Hubungan istimewa Washington-Riyadh ini sudah berlangsung selama 70 tahun membabitkan lima Raja Arab Saudi dan 12 presiden dari Franklin Delano Roosevelt hinggalah yang terbaru, Donald Trump. Tetapi Roosevelt merupakan arkitek di sebalik hubungan istimewa ini.

Jadi mengapa Roosevelt berbuat demikian? Satu sebab di sebalik tindakan ini ialah kebimbangan kekurangan bekalan minyak. Dan selain itu, ini juga peluang Roosevelt berbincang dengan Raja Abdul Aziz al-Saud berkenaan prospek kewujudan sebuah negara Yahudi di Tanah Arab (Israel). Tetapi untuk menyakinkan baginda berkenaan soal sedemikian bukan sesuatu yang mudah.

Ini kerana pada tahun 1938 dan 1943, baginda sudah menghantar surat menyatakan bantahan keras rancangan Washington dan Britain mewujudkan sebuah negara Yahudi di tanah Palestin. Dan Raja Abdul Aziz juga memberi amaran jika rancangan tersebut diteruskan, tanah tersebut akan sentiasa dibasahi darah. Berikutan itu, Roosevelt memberi jaminan sebarang rancangan berkenaan negara Yahudi tidak akan diteruskan tanpa mengambil kira pandangan orang Arab dan orang Yahudi. Dan perkara terakhir yang dimahukan beliau ialah menimbulkan kemarahan London yang dipimpin Winston Churchill kerana memutuskan sesuatu perkara yang berkait dengan tanah jajahannya.

Justeru, selepas menghadiri Persidangan Yalta pada Mac 1945 yang turut dihadiri Churchill dan arkitek pembunuhan dua rakan baik Raja Abdul Aziz iaitu Josef Stalin, satu pertemuan rahsia diadakan di atas sebuah kapal perang iaitu USS Quincy di Great Bitter Lake, Terusan Suez. Bagi memastikan suasana di atas kapal selesa bagi kemudahan rombongan Raja Abdul Aziz, mereka memasang permaidani tebal di atas kapal dan menyediakan khemah diraja di hadapan meriam kapal. Selain itu, satu kandang khas yang mengandungi kambing biri-biri turut didirikan bagi membolehkan tukang masak khas yang dibawa baginda boleh menyediakan makanan bagi pihak rombongan. Raja Abdul Aziz turut membawa pasukan pengawalnya sendiri di mana mereka membawa sebilah pisau belati.

Dalam pertemuan yang disaksikan oleh Duta Amerika ke Riyadh William Eddy, ia satu pertemuan yang mesra tetapi adakalanya panas. Raja Abdul Aziz menyifatkan baginda dan Roosevelt dianggap kembar kerana berkongsi beberapa persamaan. Mereka berdua berkongsi usia yang sama, merupakan ketua negara dengan menyandang tugas negara yang berat, kedua-duanya mempunyai jiwa petani dan mengalami kecacatan fizikal. Kita semua sedia maklum Roosevelt terpaksa menggunakan kerusi roda akibat penyakit polio. Sementara Raja Abdul Aziz sendiri terpaksa memakai tongkat semasa berjalan akibat kecederaan lama pada kaki baginda akibat terlibat dalam pelbagai pertempuran pada usia mudanya.

Semasa pertemuan ini, Roosevelt cuba memujuk Raja Abdul Aziz untuk menerima prospek kewujudan sebuah negara Yahudi di Tanah Arab. Tetapi usaha tersebut gagal kerana baginda bertegas isu tersebut dilihat tidak akan menguntungkan orang Arab. Malah baginda berpandangan, mengapa orang Arab seharusnya menyerahkan satu inci daripada tanah mereka bagi membolehkan orang Yahudi membina negara mereka. Sebaliknya, orang Yahudi seharusnya meminta satu kawasan dari negara-negara kuasa Axis untuk membina negara mereka sendiri. Walaupun Roosevelt cuba menawarkan bantuan kewangan Amerika Syarikat kepada Riyadh sebagai pertukaran kepada persetujuan kewujudan sebuah negara Yahudi di Palestin, itu sama sekali tidak memadamkan ketegasan baginda berkenaan soal Palestin.

Tetapi ada satu perkara yang dianggap satu pencapaian besar oleh Washington: akses kepada lapangan minyak Arab Saudi. Ini berikutan jalinan hubungan istimewa yang terjalin pasca-pertemuan Roosevelt dan Raja Abdul Aziz di atas kapal USS Quincy. Dengan Washington diberi kelebihan meneroka kawasan berkenaan, ia merupakan satu pukulan maut kepada London dan Churchill yang turut mengintai peluang merebut kawasan tersebut. Dan sejak itu, ia membuka kepada pembinaan saluran paip minyak dari Arab Saudi ke rantau Mediterranean, pembinaan pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) berhampiran kawasan lapangan minyak dan program latihan tentera bersama. Semua ini diluluskan baginda pada tahun 1949.

Pada akhir pertemuan, kedua-dua pemimpin berkenaan saling bertukar hadiah sebagai tanda penghargaan. Roosevelt menghadiahkan salah satu daripada kerusi roda yang digunakannya dan sebuah pesawat penumpang DC-3 kepada Raja Abdul Aziz sebagai tanda persahabatan. Manakala baginda membalas dengan memberi pelbagai hadiah seperti pisau belati bertatahkan berlian, minyak wangi dan barangan kemas yang dibuat daripada mutiara. Setiap kali Raja Abdul Aziz membawa rakan-rakannya berjalan di istananya, baginda akan menunjukkan kerusi roda Roosevelt sambil bertitah, “Inilah kerusi yang paling berharga dalam koleksi beta. Inilah hadiah rakan beta yang paling baik, Presiden Roosevelt, moga Allah mempunyai belas kasihan terhadapnya.”

Dua bulan selepas pertemuan itu, Roosevelt mati dan Raja Abdul Aziz menjadi saksi kepada kewujudan negara haram Israel pada tahun 1948. Dan apa yang diramalkan baginda itu menjadi kenyataan dengan bumi tersebut sentiasa bermandikan darah. Pada ketika itu, negara-negara Arab kehilangan bumi anbiya itu, orang Yahudi mengambil alih Baitulmaqdis dan rejim pimpinan David Ben-Gurion mendapat sokongan Amerika Syarikat dan pengganti Roosevelt, Harry Truman. Pada tahun 1953, baginda kembali ke rahmatullah pada usia 78 tahun. Pada tahun-tahun terakhir kehidupannya, Raja Abdul Aziz terus menyatakan sokongan kepada negara-negara Arab dan umat Islam untuk merampas semula bumi Palestin dari cengkaman rejim Zionis.

Sejak itu, hubungan istimewa yang terjalin ini membolehkan Arab Saudi menjadi sekutu kuat Amerika Syarikat di Tanah Arab terutama semasa Perang Dingin. Bagaimanapun, hubungan istimewa ini turut menyaksikan graf naik turun membabitkan pelbagai isu dari isu Palestin hinggalah isu keselamatan rantau berkenaan. Dan terbaru, hubungan ini diuji dengan konspirasi pembunuhan wartawan kelahiran negara berkenaan, Allahyarham Jamal Khashoggi di Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki. Pembunuhan ini pastinya akan menguji sejauh mana hubungan yang dibina semasa era Roosevelt dan Raja Abdul Aziz dapat bertahan dan apa impak daripada pembunuhan ini kepada hubungan Riyadh-Washington untuk jangka masa panjang.

SUMBER

  1. Kennedy, Lesley. (2018). History.com. How FDR Charmed a Saudi King and Won U.S. Access to Oil. https://www.history.com/news/fdr-saudi-arabia-king-oil
  2. Radosh, Ronald. (2018). Daily Beast. Bowing to the Saudis Is a Presidential Tradition That Goes Back to FDR. https://www.thedailybeast.com/bowing-to-the-saudis-is-a-presidential-tradition-that-goes-back-to-fdr
  3. Assi, Seraj. (2017). Al-Araby. When Franklin D Roosevelt met Ibn Saud. https://www.alaraby.co.uk/english/comment/2017/6/27/when-franklin-d-roosevelt-met-ibn-saud-1

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.