Leizu, atau juga dikenali sebagai Cikpuan His Ling Shih, merupakan satu figura legenda dalam sejarah China yang didakwa bertanggungjawab menemui sutera dan mencipta alat tenun sutera. Tanpa dapat dinafikan, sutera merupakan salah satu keluaran China purba yang paling penting, sekaligus banyak menyumbang kepada kekayaan dan kemewahannya.
Malahan, bersama barang dagangan mewah yang lain, sutera juga dieksport dari China ke negara-negara jauh (antara yang paling utama ialah Empayar Rom) melalui Jalan Sutera. Memandangkan perdagangan sutera meraihkan penghasilan yang banyak buat masyarakat China purba, maka mereka bersepakat mahu menyembunyikan ilmu menghasilkan sutera.
RAHSIA PENGHASILAN SUTERA
Walaupun penghasilan sutera disimpan sebagai satu ‘rahsia negara’ dan dimonopoli oleh masyarakat China purba buat tempoh yang agak lama, ilmu ini kemudiannya terbocor juga ke wilayah luar China. Misalnya, ilmu menternak ulat sutera tiba di semenanjung Korea sekitar 200 SM, iaitu ketika pendatang-pendatang China secara bergerombolan berpindah dan menetap di sana.
Namun, ilmu ini mengambil masa selama beberapa kurun sebelum tiba di barat. Di India sebagai contoh, penternakan ulat sutera dilaporkan hanya bermula pada tahun 300 M. Salah satu kisah yang paling masyhur berkenaan penyeludupan ilmu berharga ini boleh ditemui dalam History of the Wars, karya Procopius.
PENGHASILAN SUTERA JUSTINIAN
Menurut hikayat tersebut, Maharaja Justinian pernah dikunjungi oleh beberapa orang sami dari India. Sami-sami ini melontarkan janji kepada Justinian bahawa mereka akan menyediakan bahan-bahan mentah yang diperlukan bagi menghasilkan sutera. Hal ini supaya empayar Rom tidak lagi bergantung harap pada Parsi (yang merupakan musuh Byzantine) untuk mendapatkan bekalan sutera. Bagi memenuhi janji tersebut, sami-sami itu pun pulang ke ‘Serinda’ (sebuah kawasan di utara India yang dipercayai sebagai China) dan menyeludup telur-telur sutera yang ditutup dengan najis lalu menyerahkannya kepada maharaja.
Andai kisah yang diceritakan oleh Procopius ini benar-benar berlaku, maka Byzantine mula mengetahui kaedah penghasilan sutera sekitar kurun ke-6 M. Pun begitu, masyarakat China sendiri telah pun menghasilkannya sejak berkurun-kurun lamanya. Menurut bukti arkeologi, sutera dihasilkan di China setidak-tidaknya seawal zaman Longshan (3500-2000SM) dan sekitar masa ini jugalah ulat sutera, Bombyx mori dijinakkan dari ulat sutera liar, Bombyx mandarina.
PENEMUAN SUTERA
Sutera dihasilkan daripada serat-serat yang dikeluarkan oleh ulat sutera (air liur ulat sutera), ketika ia membentuk kepompong bagi mengubah bentuknya menjadi dewasa. Setelah disimpan dalam suasana yang hangat dan kering selama lapan atau sembilan hari, kepompong ini pun sedia untuk dileraikan. Sebelum itu, pupa-pupa yang ada di dalamnya terlebih dahulu perlu dibunuh agar kepompong dapat diwap atau dibakar.
Kemudian, kepompong itu akan dicelup ke dalam air panas untuk meleraikan kawat-kawat halus yang tersimpul ketat sekaligus membentuk gulungan. Antara lima atau empat kawat-kawat halus ini lalu dipintal bagi menghasilkan satu benang. Benang-benang sutera inilah yang akhirnya digunakan bagi menenun pakaian.
Mungkin, kebarangkalian untuk kita ketahui secara pasti bagaimana sutera ditemui buat kali pertama hampir tiada. Menurut masyarakat China, sama seperti penemuan-penemuan lain, penemuan berkaitan sutera dilakukan secara tidak sengaja. Watak utama dalam penemuan sutera ini ialah Leizu, isteri kepada Maharaja Kuning si pemerintah legenda China yang hidup pada milenium ke-3 SM.
Dalam salah satu versi bagi kisah ini, Leizu diceritakan menyentuh sebahagian kepompong ulat sutera dengan jarinya sekaligus mengakibatkan kawat-kawat halusnya terlerai. Beliau kemudian melilit kawat-kawat itu tadi di jarinya. Setelah mendapati bahawa kepompong itu dibuat oleh ulat sutera, maka sutera pun ditemui.
Dalam versi lain pula, Leizu diceritakan menemui beberapa ekor ulat sutera sedang memakan daun pokok mulberi dan memintal kepompong. Beliau mengutip kepompong tersebut dan pergi meminum teh. Ketika sedang menghirup teh, Leizu secara tidak sengaja terjatuhkan kepompong itu tadi ke dalam cawan. Haba daripada cawan itu mengakibatkan kawat-kawat kepompong terlerai, sekaligus Leizu pun menyedari bahawa kepompong itu boleh dileraikan untuk menghasilkan benang.
Sebagai pengetahuan sampingan, penemuan teh lazim dikaitkan dengan Shennong di mana situasinya juga agak serupa, iaitu daun teh (dari ranting teh yang sedang beliau bakar) terjatuh ke dalam periuk air yang sedang mendidih.
Setelah berhasil menemukan sutera, Leizu kemudian memujuk Maharaja Kuning agar mengurniakannya ladang yang dipenuhi pokok mulberi agar beliau dapat menternak ulat sutera. Selain penemuan sutera, Leizu juga dipercayai mencipta alat tenun sutera, iaitu alat yang digunakan bagi memintal kawat-kawat sutera menjadi benang bagi menghasilkan kain sutera.
Benar ataupun tidak Leizu memainkan peranan dalam penemuan sutera China, fabrik mewah itu sememangnya berhasil mengangkat nama negara tersebut ke persada dunia.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (5 Mac 2016). The Legend of Leizu and the Origins of Luxurious Chinese Silk. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history/legend-leizu-and-origins-luxurious-chinese-silk-005475
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih