Beberapa hari ini, laman media sosial kecoh apabila seorang agamawan mendakwa bumi tidak mengelilingi matahari. Bagi pengkaji sejarah, ia mengingatkan mereka kepada dakwaan gereja yang selalu menekankan konsep sama walaupun dibantah ramai cendekiawan Barat seperti Galileo Galilei. Agamawan ini barangkali terlupa konsep bumi beredar mengelilingi matahari merupakan sebahagian daripada sumbangan para cendekiawan Islam terhadap dunia astronomi.

Aktiviti penterjemahan karya-karya ilmu asing bermula sejak era Bani Umayyah. Dan ia mula dipergiatkan semasa era Bani Abbasiyah terutama era pemerintahan Harun al-Rashid dan al-Ma’mun. Salah satu karya yang diterjemahkan ialah Almagest, sebuah kitab astronomi yang dikarang cendekiawan Yunani terkenal, Ptolemy.

Tetapi sebaik mereka melihat kandungan Almagest, ramai menggaru kepala dengan catatan beliau. Sebabnya mudah, Ptolemy bergelut untuk menerangkan bagaimana planet beredar termasuk peredaran bumi.

Sebaik membaca dan menyelidik pengiraan yang dibuat beliau, ahli astronomi Ibnu Yunus berpandangan pengiraan Ptolemy salah. Beliau merasakan hasil pengiraan sebenar bagi perubahan gerakan peredaran bumi ialah satu darjah bagi setiap 70 tahun. Ia amat hampir dengan pengiraan moden hari ini: satu darjah bagi setiap satu abad.

Hal ini masih tidak diketahui di Eropah pada ketika itu. Alasannya mudah, doktrin gereja yang berpandangan bahawa bumi merupakan pusat dunia dan semua objek cakerawala mengelilinginya. Bagaimanapun, doktrin ini dibuktikan palsu oleh para cendekiawan Islam seperti Ibnu Yunus dan Ibnu al-Shatir. Malah, input mereka ini menjadi asas kepada model bumi mengelilingi matahari yang dibangunkan Nicholas Copernicus pada abad ke-16.

Matematik yang amat diperlukan bagi pengiraan rumit astronomi seperti trigonometri dan algebra turut disumbang oleh cendekiawan Islam seperti al-Khwarizmi. Ini diakui sendiri oleh Profesor Jamil Rageb dari Universiti McGill. Dengan melihat semua sumbangan mereka dalam pelbagai bidang termasuk matematik dan astronomi, ia merupakan satu pencapaian yang hebat.

Dunia astronomi juga bertuah kerana perkembangan astronomi dunia Islam turut disokong oleh para pemerintah. Semasa era Khalifah al-Ma’mun, baginda meluluskan projek balai cerap pertama di Baghdad. Sejak itu, setiap wilayah dan kerajaan semasa era Keemasan Islam turut membina balai cerap bagi kegunaan astronomi.

Memandangkan teleskop belum wujud ketika itu, pencerapan objek cakerawala dibuat menggunakan sekstan khas. Sesetengah sekstan boleh mencapai ukuran sebesar 40 meter. Alat ini berguna untuk mengira sudut matahari, pergerakan bintang dan memahami peredaran planet.

Pada tahun 964, data daripada semua pemerhatian Abdul Rahman al-Sufi dibukukan di bawah judul Kitab Suwar al-Kawakib atau Kitab Bintang-Bintang Tetap. Teks beliau dianggap paling menyeluruh dari segi buruj-buruj bintang yang dilihat di langit.

Buruj Ursa Major dalam Kitab Suwar al-Kawakib yang dikarang Abdul Rahman al-Sufi.

Abdul Rahman al-Sufi juga dianggap orang pertama yang menemui galaksi Andromeda dan Awan Magellan Besar (Large Magellanic Cloud). Kedua-duanya boleh dilihat dengan mata kasar tetapi beliau tidak tahu tentang besarnya impak penemuan ini. Penemuan al-Sufi menjadi asas kepada kerja-kerja ahli astronomi Denmark, Tycho Brahe.

Pembangunan teleskop tidak lengkap jika tidak menyebut sumbangan Ibnu al-Haytham. Ibnu al-Haytham dianggap bapa kepada cahaya kerana memahami cahaya bergerak secara lurus ke mata tetapi tidak keluar. Ini sama sekali berbeza dengan pandangan Ptolemy yang menyatakan mata manusia boleh mengeluarkan cahaya bak lampu suluh dalaman. Hasil kerjanya dalam bidang optik menjadi asas kepada penciptaan kamera dan teleskop.

Tetapi sumbangan Ibnu al-Haytham yang paling penting ialah membangunkan kaedah saintifik. Ini kerana bagi beliau, amat penting bagi setiap teori saintifik disiasat dan diuji berkali-kali bagi memastikan ia tidak boleh dicabar dari segi fakta. Selain itu, Ibnu al-Haytham turut mengingatkan para saintis agar tidak bersikap prejudis atau bias semasa menjalankan kajian mereka.

Satu lagi alat yang membantu perkembangan astronomi semasa Era Keemasan Islam ialah astrolab. Benar, astrolab ialah ciptaan pemikir Yunani Hipparcus tetapi ia ditambahbaik oleh para cendekiawan Islam khususnya golongan Hawa.

Antara individu yang bertanggungjawab menambahbaik astrolab ialah Mariam al-Astrulabi. Beliau merupakan seorang pembuat astrolab wanita pada abad ke-10. Menerusi astrolab yang dihasilkannya, ia membantu ahli-ahli astronomi membuat pengiraan altitud objek-objek cakerawala di langit. Atas jasanya itu, salah satu rantaian asteroid utama dinamakan sempena nama al-Astrulabi oleh ahli astronomi Henry E. Hoyer pada 1990.

Melihat semua sumbangan dunia Islam kepada bidang astronomi hari ini, agak malulah masih ada yang menjaja idea bahawa semua objek cakerawala mengelilingi bumi. Kalau tidak tahu, tanyalah kepada yang arif seperti dianjurkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Berhentilah mengelirukan orang dengan dakwaan sebegini.

RUJUKAN

Stirone, S. (2017, 14 Februari). How Islamic scholarship birthed modern astronomy. Majalah Astronomy.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply