Rujukan paling terawal untuk produk jurnalistik berasal dari Empayar Rom pada sekitar tahun 59 SM, ketika itu, penyampaian berita dicatatkan pada kepingan batu atau kayu sebagai sebaran berita yang dinamakan Acta Diurna.
Ketika itu, penerbitan dan sebaran berita berlaku pada setiap hari dengan surat digantung secara strategik diseluruh bandar agar boleh dibaca oleh semua orang yang boleh membaca dengan baik.
Pada dasarnya, penerbitan akhbar yang melaporkan berita untuk orang awam secara standard era moden hanya bermula pada sekitar abad ke-18 dan selepasnya, kerajaan yang seawal Dinasti Han di China sebenarnya sudah pun mula menggunakan dan menerbitkan ‘buletin’ mereka sendiri.
Penerbitan yang hampir serupa konsepnya dengan Dinasti Han juga ditubuhkan di Republik Venice pada abad ke-16. Buletin pada zaman-zaman tersebut walaubagaimana pun hanya berperanan menyampaikan maklumat risikan dan laporan isu tertentu hanya untuk para pegawai kerajaan sahaja.
Oleh itu, ia mungkin berasal dari ‘media’ atau medium yang sama namun kaedah sebaran khabar berita pada zaman purba amat berbeza dengan sistem penerbitan berita dan skop tugas liputan berita moden yang lebih terbuka untuk bacaan orang awam pada hari ini.
Dinasti Han dan Empayar Rom memiliki banyak tinggalan arkeologi penulisan “artikel berita” yang dicatit pada kepingan runtuhan dinding-dinding purba yang berusia ribuan tahun lamanya.
Perkembangan teknologi media massa seperti media cetak dan edaran akhbar telah diwujudkan sebagai satu bentuk kemudahan dan inisiatif untuk meraikan masyarakat yang semakin celik huruf dan suka membaca.
Akhbar tabloid yang kali pertama diterbitkan untuk orang awam adalah syarikat penerbitan akhbar swasta di China pada zaman Dinasti Ming pada tahun 1582.
Namun begitu, penerbitan akhbar Johann Carolus’s Relation Aller Fürnemmen und gedenckwürdigen Historien, yang diterbitkan pada tahun 1605 di Strassburg, sering dianggap sebagai akhbar terawal diterbitkan.
Tetapi sebenarnya ia hanya membuat kemunculan yang kali pertama di Eropah. Manakala akhbar harian pertama dalam bahasa Inggeris yang dikatakan paling berjaya adalah akhbar Daily Courant, ia diterbitkan dari tahun 1702 hingga 1735.
AKHBAR DAN POLITIK
Walaupun industri kewartawanan hanya bermula sebagai sebuah perusahaan swasta di beberapa negara seperti Empayar Rom Suci dan Empayar British, negara yang lain seperti Perancis dan Prussia telah mengambil langkah kawalan yang amat ketat terhadap sebarang penulisan yang akan disiarkan sebagai berita secara umum.
Mereka (pemerintah) sudah tentu akan mempergunakannya sebagai pentas untuk menyebarkan penulisan propaganda kerajaan.
Sementara ada Kerajaan-kerajaan lain, seperti Empayar Russia yang amat terkenal dengan sifatnya yang fobia, berhati-hati dan tidak mempercayai tahap kesetiaan para jurnalis, maka Russia telah bertindak mengharamkan industri akhbar cetak, penerbitan dan penyiaran secara mutlak sehingga pertengahan abad ke-19.
Oleh kerana akhbar berita tabloid semakin diterima sebagai salah satu amalan membaca secara meluas di sesetengah negara, syarikat biasanya akan meningkatkan penerbitan kepada kadar mingguan atau harian.
Akhbar yang diterbitkan secara mingguan atau harian akan lebih tertumpu di bandar-bandar utama yang merupakan pusat perdagangan besar, seperti di Amsterdam, London, dan Berlin.
Akhbar pertama di Amerika Latin ditubuhkan pada pertengahan abad ke-19 dan memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan sokongan popular yang memihak kepada revolusi liberal abad ke-18 dan ke-19.
Semasa era kolonisasi di benua Amerika, akhbar-akhbar ini berperanan penting dalam menyeru masyarakat untuk bangkit dan melancarkan pember*ntakan terhadap pemerintah British dengan menerbitkan penulisan suara rakyat dalam bentuk karya puisi atau satira berbentuk perjuangan.
Dalam menggalakkan penentangan terhadap Mahkota British, propaganda tentulah perlu, maka mereka menerbitkan semula risalah terkenal para pejuang revolusi seperti Thomas Paine.
Sementara penerbitan dari pihak loyalis yang menyokong kerajaan terus memberi motivasi dan dorongan semangat kepada pemerintah dalam menghadapi revolusi Amerika.
Di Perancis, akhbar-akhbar politik muncul semasa era revolusi Perancis, antara yang paling popular adalah L’Ami du peuple, disunting oleh Jean-Paul Marat, ia memainkan peranan yang sangat besar dalam memperjuangkan hak revolusi golongan kelas rendah.
Melihat kejayaan media akhbar dan sumbangan propaganda berita terhadap kejayaan dirinya sendiri, keberkesanan ser*ngan media itu menyebabkan Napoleon Bonaparte merasa bimbang kerana perkara yang sama tidak mustahil boleh berlaku terhadap dirinya nanti.
Ketakutan Napoleon membawa bencana yang melahirkan pemerintahan kuku besi selepas era revolusi berakhir dimana Napoleon telah memperkenalkan semula undang-undang penapisan berita yang sangat ketat pada tahun 1800, tetapi selepas pemerintahan beliau berakhir, penerbitan media cetak berkembang dan memainkan peranan penting dalam pembentukan budaya politik moden.
SUMBANGAN PENERBITAN AKHBAR TERHADAP REVOLUSI
Sebagai sebahagian daripada revolusi pada 1848, penerbitan liberal yang radikal seperti Rheinische Zeitung, Pesti Hírlap, dan Morgenbladet berjaya menggerakkan satu gelombang besar rakyat kelas pekerja dalam kebangkitan ideologi nasional dan sosialis.
Dari ideologi-ideologi ini lah, para pember*ntak mula mempengaruhi penerbitan akhbar swasta supaya menulis keburukan pemerintah dan memuji wawasan sosialis. Akhirnya ia mencetuskan kebangkitan rakyat yang bertindak menggulingkan banyak empayar-empayar bersistem monarki di seluruh dunia. antaranya ialah:
- Dinasti Qing (China)
- Empayar Uthmaniyyah (Turki)
- Empayar Russia
- Empayar Jerman/Kerajaan Prussia
- Kesultanan-kesultanan Melayu Sumatera
- Dinasti Qajar Parsi
- Kerajaan Austro-Hungary
dan lain-lain.
Penerbitan akhbar liberal yang lain memainkan peranan yang lebih sederhana, Buletin pro-imperialis di Russia sering memuji langkah Alexander II dalam usahanya melaksanakan reformasi liberal dalam pentadbiran Empayar Rusia pada akhir abad ke-19.
Bahkan golongan konservatif yang pro-imperialis turut menyokong peningkatan hak kebebasan politik dan ekonomi bagi para petani serta penubuhan sistem berparlimen di Russia.
Tetapi sikap atas pagar sebegini sebenarnya tindakan membun*h diri kerana gagal berikutan kejatuhan sepenuhnya Empayar Russia semasa Revolusi Oktober dilaksanakan kumpulan Bolshevik hingga membun*h seluruh anggota kerabat Tsar Nicholas II dari Dinasti Romanov.
Russia merupakan satu-satunya negara yang pember*ntaknya membun*h seluruh ahli keluarga diraja bekas pemerintah berbanding cara negara-negara lain yang lebih memilih untuk mengusir keluar bekas raja-raja yang digulingkan ke negeri-negeri lain.
Sementara itu di tempat lain yang masih baru hendak dipengaruhi dengan ideologi golongan haluan kiri, akhbar-akhbar politik sosialis dan komunis telau berjaya mempengaruhi ramai pembaca di Perancis, Russia dan Jerman walaupun sebelum itu ia diharamkan oleh kerajaan.
Selepas tamat Per*ng Dunia Pertama, industri penerbitan semakin berkembang di seluruh pelusuk dunia, termasuk lah di Tanah Melayu kita sendiri.
Walaupun pertama kali ditubuhkan pada 1907 dibawah penerbitan Singapura Free Press, namun terpaksa ditutup pada 1914. Justeru, akhbar Utusan Melayu mula diterbitkan secara rasminya pada tahun 1939 dalam format tulisan Jawi dan ia merupakan akhbar Melayu pertama yang dimodalkan dan diurus oleh orang Melayu sendiri.
Utusan Melayu memainkan peranan yang amat penting sebagai suara bangsa Melayu dalam menentang pendudukan British di Tanah Melayu hingga orang Melayu berjaya mencapai kemerdekaan pada 1957, walaupun semenjak itu Utusan Melayu lebih dikenali sebagai lidah rasmi propaganda untuk parti politik terbesar bangsa Melayu iaitu UMNO.
Namun seperti yang penulis telah nyatakan pada awal perenggan, hampir tidak ada langsung sebuah penerbitan berita yang ditubuhkan tanpa kepentingan politik, bidang ini bukan sekadar menyampaikan berita tetapi ia perlu berlumba dengan pesaingnya, hari ini sahaja dah terdapat beratus-ratus label media, belum dikira kebanjiran syarikat penyiaran televisyen lagi.
Nah, sekarang sesiapa saja sudah boleh menjadi “wartawan tidak bergaji” ekoran peralihan zaman yang kian tertumpu kepada trend media sosial sebagai dimensi dunia baharu. Jadi, istilah ‘telus’ untuk sebuah penerbitan berita adalah hampir tidak relevan untuk digunakan bagi menghukum golongan jurnalis dan wartawan.
Istilah “media” merupakan istilah induk untuk terma “kewartawanan” atau “jurnalis” kerana konteksnya sama tetapi istilahnya berbeza. Media adalah istilah umum yang muncul dari perkataan Medium (perantara), ia merupakan perantara untuk manusia saling berkomunikasi dan menerima maklumat.
Media boleh digunakan sebagai perantara ilmu, berita, hiburan atau sebagai perantara untuk menerima dan memberi maklumat seperti televisyen dan facebook.
Maka, siapakah yang akan mengendalikan media? Dipihak penerbitan dan penyiaran, wartawan dan pemberita lah yang akan menjadi nadi operasi sebuah syarikat penerbitan supaya ‘media’ di antara dunia luar, rakyat dan kerajaan tidak akan terputus.
Penemuan paling awal penggunaan ‘media’ untuk manusia berkomunikasi ditemui pada dinding-dinding runtuhan monumen dan bangunan Empayar Rom, terdapat banyak tulisan latin kuno ditemui ditulis atau dipahat pada dinding.
Setelah dianalisis dan melalui proses terjemahan, rata-rata tulisan tersebut merupakan mesej yang ditulis untuk disampai kan kepada seseorang, dan orang yang menerima mesej tersebut akan ‘membalas’ pada ruang dinding yang sama.
Umpama satu gambaran bahawa masyarakat Rom purba terlebih dahulu sudah menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook sebelum kita. Mungkin dari penemuan itu Mark Zuckerberg mencipta aplikasi yang kita guna sekarang ini, mana lah tahu kan?
Namun media sosial bukan sebuah platform untuk penyampaian berita semata-mata kerana ia tidak dicipta untuk tujuan itu, ia adalah platform komunikasi tanpa wayar yang bebas, namun secara tidak langsung ia berevolusi sebagai salah satu budaya sosial yang baru pada zaman sekarang melalui ‘media’ tanpa wayar.
Sebuah dinding yang dijadikan sebagai medan komunikasi oleh masyarakat purba di Utah, Amerika Syarikat
RUJUKAN:
- Cicero’s Web: How Social Media Was Born in Ancient Rome: https://www.brainpickings.org/2013/10/25/writing-on-the-wall-social-media-first-2000-years/
- History of the Printed Newspaper: https://www.psprint.com/resources/history-of-the-printed-newspaper/
- A Brief History of Journalism: How We Arrived to Where We Are: https://www.universalclass.com/articles/writing/journalism-a-brief-history.htm
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih