Di Modena, Itali, terdapat sebuah bangunan yang menjadi mercu tanda bandar itu. Menara Loceng Ghirlandina yang wujud sejak abad ke-14 bukan saja berperanan sebagai pemberitahu waktu dan pembukaan pintu gerbang kota. Ia juga berperanan sebagai tempat tergantungnya punca perαng Bologna-Modena: sebuah baldi kayu oak.
Sejak 1075, konflik bersenjata sentiasa tercetus antara Modena dengan Bologna. Modena pada ketika itu merupakan sebahagian daripada negeri-negeri yang menyokong arahan Paus (papal state). Sementara Bologna pula menyokong kempen Empayar Rom Suci (Holy Roman Empire).
Walaupun ketegangan antara kedua-duanya ditamatkan pada 1122, itu bukan bermakna pertelagahan antara negara-negara kota Itali sudah berakhir. Untuk empat abad berikutnya, konflik bersenjata sentiasa timbul terutama dalam kalangan negara kota di utara Itali.
Menjelang abad ke-14, Modena muncul sebagai sebuah negara kota dominan di utara Itali. Tetapi itu juga membawa kepada pembentukan puak hitam dan putih dalam kalangan penduduk sekaligus mencetuskan perebutan kuasa dan pengaruh untuk mengetuai kota tersebut. Ini membuka ruang kepada kemunculan pesaing lama Modena, Bologna.
Persaingan kedua-dua negara kota itu kembali tercetus. Kedua-duanya saling menuduh bahawa mereka menceroboh sempadan, melancarkan serangan hendap atau pembunuhan orang awam.
Tetapi mengikut satu legenda, ketegangan kedua-dua pihak memuncak apabila sepasukan tentera Modena berjaya menyusup masuk ke Bologna pada satu malam. Pasukan itu mencuri sebuah baldi oak dari sebuah perigi kota berkenaan sebelum melarikan diri. Pihak Bologna semakin naik darah apabila mendapat tahu baldi tersebut digantung di Menara Loceng Ghirlandina.
Apabila pihak Bologna cuba meminta baldi tersebut dipulangkan, tuntutan tersebut tidak dilayan pihak Modena. Ini mendorong mereka mengumpul 30,000 tentera infantri dan 2,000 tentera kavalri sebagai membalas dendam perilaku Modena.
Modena yang mendapat sokongan Paus John XXII pula mengumpulkan 5,000 orang tentera – majoritinya tentera upahan dari Jerman. Walaupun berstatus askar upahan, mereka amat terlatih dan berpengalaman di medan perαng.
Apabila kedua-duanya bertembung di perkampungan Zappolino pada 13 November 1325, pertempuran berlangsung selama dua jam. Walaupun di atas kertas, kelebihan memihak kepada Bologna, pihak Modena mempunyai kelebihan dari segi latihan, persenjataan dan pengalaman. Akibatnya, pihak Bologna mengalami kekalahan teruk dan terpaksa berundur ke kota mereka.
Pihak Modena memilih untuk tidak mengepung Bologna. Sebaliknya, mereka mengadakan temasya di luar kota termasuk acara palio – nama lain untuk acara berlawan tombak (joust). Ia ibarat satu mesej kepada pihak Bologna: “Kamu takkan dapat kalahkan kami!” Isu ini kemudiannya diselesaikan melalui pampasan kewangan oleh kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, ketegangan antara kedua-dua negara kota tidak berakhir di situ saja. Ia terus berlarutan selama dua abad. Dan hari ini, replika baldi yang menjadi punca pertelagahan digantung di Ghirlandina. Sementara baldi sebenar yang dicuri dari Bologna itu kini disimpan dalam peti kaca khas di Dewan Bandaraya Modena sebagai tatapan generasi hari ini.
RUJUKAN
Montanari, G. (2020, 31 Mei). How a Stolen Bucket Started a War. History of Yesterday.
Guttman, J. (2022, 10 Mac). DID MEDIEVAL ITALIANS DECLARE WAR OVER A WOODEN BUCKET?. HistoryNet.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih