Ini satu persoalan yang menarik yang ditanyakan oleh likers page The Patriots kepada saya. Katanya terdapat ratusan malahan ribuan bahasa di Asia Tenggara ini. Sebagai contoh, di Kepulauan Jawa, Bahasa Jawa mempunyai lebih 82 Juta penutur asli. Di Borneo pula terdapat ratusan suku kaum yang berterbaran di sana. Itu belum cakap lagi tentang seluruh suku kaum di seluruh Nusantara ini.
Entah bagaimana… tiba-tiba satu bahasa dari suku kaum Melayu dalam rumpun Nusantara ini boleh bangkit mengaum dan memahat bahasanya sebagai bahasa pemersatuan, bahasa komunikasi antaraantara suku kaum di Nusantara, mengatasi bahasa-bahasa lain yang lebih banyak penuturnya. Apakah jawapan di sebalik magis ini?
Baik, jawapan kepada soalan ini saya bahagikan kepada tiga. Dan saya akan ulas satu per satu dalam tiga bahagian artikel ini. Semoga soalan kepada persoalan ini mampu terjawab dengan jelas.
1. Empayar Yang Luas
Faktor empayar yang luas juga memainkan peranan bagaimana sebuah bahasa boleh tersebar di antara bangsa-bangsa lain. Bahasa Latin pernah suatu masa dahulu menjadi Lingua Franca di Eropah kerana Empayar Rom menanungi seluruh Eropah. Bahasa Inggeris dituturkan dan difahami hampir 2/3 penduduk dunia kerana empayar paling besar pernah ditubuhkan dalam sejarah ialah Empayar British.
Kita ambil contoh di mana Tanah Melayu pernah berada di bawah Empayar Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Ketika pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, kita dapat melihat bagaimana setiap anak Melayu diwajibkan untuk mempelajari Bahasa Jepun, sistem tulisan mereka yang terdiri daripada Kanji, Hiragana dan Katakana dan menyanyikan lagu kebangsaan Jepun turut diterapkan ke dalam sistem pendidikan mereka.
Maka sematkanlah analogi yang lebih kurang yang saya paparkan di atas. Dalam sejarah, empayar-empayar hebat yang pernah menaungi seluruh Nusantara ini adalah kebanyakannya ditubuhkan oleh orang Melayu.
Empayar Melayu Srivijaya, Empayar Dharmasraya, Sri Dharamaja, Kesultanan Melayu Melaka, Empayar Brunei… semuanya pernah suatu masa dahulu bertakhta dan membina kerajaan yang hebat di Nusantara ini. Prasasti Srivijaya di dalam Bahasa Melayu kuno boleh dicapai sejauh Filipina. Sila rujuk Laguna Copperplate yang ditemui di Laguna, Filipina dipercayai datang dari Empayar Melayu Srivijaya. Terdapat bahasa Melayu Kuno yang dipahat pada prasastiitu menandakan betapa jauhnya capaian bahasa Melayu melalui sebuah empayar.
2. Pelabuhan Yang Pesat Membangun
Sudah tentu sebuah bahasa akan berkembang dengan pesatnya apabila sebuah pelabuhan menjadi tumpuan para pedagang dari segenap dunia. Apabila terdapat pelbagai jenis bangsa yang singgah di sebuah pelabuhan, pastinya sebuah bahasa akan menjadi Lingua Franca. Kita perhatikan petikan berikut:
“Lima kurun dahulu, Melaka dikunjungi 2,000 kapal sehari iaitu sesibuk pelabuhan Singapura moden kini, yang menjadikannya satu daripada tiga pelabuhan yang tersibuk di dunia… Di situ terdapat orang-orang Gujerat, Tamil,Bengali daripada India berniaga dengan orang Melayu, Cina dan Arab secara harmonis; bandar raya dengan 100,000 penghuni, bahasa dituturkan di pasar. Sultan yang memerintah, telah memastikan keselamatan Selat Melaka daripada lanun, dan barangan dapat disimpan dalam ratusan gudang dengan selamat. Jika ada sebarang pertelingkahan undang-undang yang berwibawa dilaksanakan ke atas orang tempatan dan asing seadilnya.”
Simon Elegant, Far Eastern Economic Review (IO Jun, 1999:45)
Anda boleh bayangkan apabila 84 bahasa dipertuturkan di Pelabuhan Melaka, namun dalam masa yang sama, Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi antara pertutur 84 bahasa ini. Dan sesiapa yang mahu berdagang di Melaka harus memahami Bahasa Melayu atau mereka pastinya tidak dapat bertutur dengan pedagang-pedagang lain di Kepulauan Melayu.
Lalu bayangkan pula setiap pemilik dan anak kapal 2000 buah kapal yang berdagang di Pelabuhan Melaka ini terpaksa mempelajari Bahasa Melayu, dan ianya datang dari pelbagai bangsa, bukan sahaja yang di Nusantara, tetapi dari seluruh pelusuk dunia. Maka kata saya, tidak hairanlah apabila Bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan atau Lingua Franca.
3. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu
Anda tahu kenapa hari ini semua orang berlumba-lumba mempelajari bahasa Inggeris? Kenapa Tun Mahathir begitu keras dalam pegangannya menyuruh anak Melayu belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris? Ini tak lain tak bukan kerana bahasa Inggeris telah pun menjadi bahasa ilmu pada hari ini. Situasi yang sama sebenarnya pernah berlaku dalam sejarah bangsa Melayu itu sendiri.
Maka hayatilah petikan di bawah:
“Bahasa Melayu ialah bahasa antarabangsa dan sesiapa yang tinggal di antara Parsi di sebelah baratnya dan Filipina di sebelah timurnya, tidak mengetahui bahasa Melayu maka orang itu akan dianggap tidak berpelajaran.”
(Francois Valentjin)
Dari kenyataan di atas, di mana Valentjin mengatakan bahawa sesiapa yang tidak mampu bertutur di dalam Bahasa Melayu dianggap sebagai tidak berpelajaran, maka kata saya bahawa sesungguhnya Bahasa Melayu telah menjadi sebagai sebuah bahasa ilmu yang di mana sesiapa yang mahu menuntut ilmu pada waktu itu perlulah mempelajari Bahasa Melayu.
Hal ini kerana mungkin pada waktu itu semua naskah-nashkah ilmu yang wujud di Nusantara adalah di dalam Bahasa Melayu. Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dikatakan bermula sejak kurun ke-15 lagi iaitu dengan terhasilnya penulisan dan penterjemahan kitab-kitab agama dalam Bahasa Melayu. Ini mungkin berlaku kerana penyebaran Islam adalah di dalam Bahasa Melayu.
Ini dapat dilihat pada penghasilan sistem tulisan Jawi yang datang dari tulisan arab dan diubah suai oleh orang Melayu sendiri.
Wujudnya perkataan yang mengungkapkan konsep seperti tauhid, syariah, undang-undang dan tassawuf, adalah bukti bahawa Bahasa Melayu pernah menjadi sebagai bahasa ilmu melalui penyebaran ilmu.
Acheh kemudiannya telah mengambil alih kehebatan yang diasaskan oleh Melaka. Banyak kitab-kitab bahasa Melayu dihasilkan pada zaman ini yang menulis mengenai ilmu-ilmu agama. Antaranya ialah kitab Al-Aqai’id al-Nasafiyyah yang ditulis oleh seorang alim ulama iaitu Umar Bin Muhammad Al-Nasafi pada kurun ke 14. Tokoh-tokoh ilmuwan yang menulis kitab-kitab mereka di dalam bahasa Melayu seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Nuruddin Al-Raniri, Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari menunjukkan betapa ilmu telah sebati dengan Bahasa Melayu.
Kejatuhan Melaka tidak pernah membuatkan Bahasa Melayu tenggelam sebaliknya dicatatkan bahawa Pigafetta, seorang kelasi berbangsa Itali yang pernah bersama dengan Magellan pernah menyusun sebuah kamus Melayu-Itali ketika singgah di Pulau Tidore yang terletak di Kepulauan Maluku Utara. Dicatatkan juga bahawa penduduk di pelabuhan tersebut bertutur di dalam Bahasa Melayu membuatkan terhasilnya kamus Melayu-Itali ini.
Suku-suku kaum lain dalam Kepulauan Melayu ini juga tidak pernah ketinggalan meninggalkan bukti kepada kita betapa sesungguhnya Bahasa Melayu turut dijadikan bahasa petuturan mereka. Buktinya surat-surat yang dihantarkan kepada penjajah.
a.) Surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601)
b.) Surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton (1602)
c.) Surat Sultan Acheh kepada raja Inggeris, King James (1612)
Kemuncaknya penggunaan Bahasa Melayu secara berleluasa di Nusantara telah melahirkan lebih 11, 000 manuskrip yang disimpan di dalam negara dan juga luar negara dalam pelbagai bidang ilmu. Ini menunjukkan bahawa betapa bangsa Melayu dan Bahasa Melayu adalah bangsa yang sangat menghargai ilmu pengetahuan!!!
Ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dicatatkan bahawa Dinasti Ming telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bahasa. Di dalam jabatan itu terdapat jurubahasa yang berkhidmat dalam 18 jawatankuasa kecil yang dianggotai oleh 60 orang, dan dua orang daripadanya khusus untuk bahasa Melayu. Diceritakan juga bahawa Maharaja Ming Cheng Zhu telah menubuhkan akademi bahasa yang dikenali sebagai Si Yi Guan (Balai-Bahasa Negeri-negeri Asing) di Nanjing dan salah satu daripadanya ialah BAHASA Melayu!!!
Daripada bukti-bukti yang saya paparkan di atas, maka kata saya tidak hairanlah kalau pada hari ini, Bahasa Melayu yang menjadi Lingua Franca di Malaysia, Indonesia dan Brunei walaupun terdapat banyak bahasa lain dipertuturkan. Ini kerana sejak zaman berzaman lagi, bahasa Melayu telah dituturkan sebagai Lingua Franca atas beberapa faktor yang telah saya buktikan di atas.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
Imformasi yang baik.saya nak tanya bagaimana dengan penjajahan orang ingerris?