Valery Durov meluangkan usia muda dalam bidang sejarah. Beliau mendapatkan ijazah kajian teks daripada Universiti Leningrad, yang digunakan untuk mendalami pengetahuan am tentang Rom Kuno.

Minat mendalam dalam sejarah tidak terhad pada pengajian semata-mata. Beliau juga suka mengumpulkan barangan lama seperti artifak purba.

Dua orang anaknya walau bagaimanapun tidak mewarisi minat mendalam dalam bidang sejarah. Sebaliknya, mereka menciptakan sejarah.

Itulah ironi hebat dalam keluarga Durov. Bapa mengkaji sejarah. Anak-anak mengkaji masa depan.

Kerana gandingan Nikolai dan Pavel Durov menghasilkan VKontakte, sebuah platform media sosial yang berpusat di Saint Petersburg.

Pavel Durov.

Platform ini menjadi pentas untuk penutur bahasa Rusia, yang mahu mengirim mesej, membuat kumpulan, menganjurkan halaman umum dan berkongsi gambar. Sehingga Ogos 2018, VKontakte dijangka mempunyai 500 juta pengguna.

Durov mungkin digelar Mark Zuckerberg Rusia. Tetapi Zuckerberg tidak perlu melalui pengalaman pahit bersama pihak polis.

Pada tahun 2014, sepasukan polis membuat sεrbµaη bersεηjata di rumah Durov (Hakim, 2014). Kremlin beralih arah selepas masalah diplomasi bersama Ukraine dan ingin mengetatkan cεηgkamaη kuku besi.

Durov pula enggan memenuhi kehendak Rusia iaitu 1) menyerahkan data peribadi golongan penunjuk perasaan Ukraine dan 2) menyekat halaman Aleksei Navalny yang lantang menentang Putin (Lunden, 2014).

Tidak lama selepas itu, Durov terpaksa melepaskan VKontakte yang kemudian dipegang Alisher Usmanov dan Igor Sechin (Toor, 2014).

Kedua-dua individu ini merupakan kroni bersumpah setia pada Vladimir Putin. Jadi Durov sebagai individu tidak diingini mungkin takkan kembali kerana Rusia sudah bukan lagi negara sesuai untuk perniagaan Internet.

Kerugian Besar Buat Rusia

Pengalaman Pavel Durov menunjuk dengan jelas punca Rusia sentiasa ketinggalan di belakang Dunia Barat.

Durov yang berjaya dalam industri digital hidup di luar Rusia bagaikan buangan hanya kerana tidak menurut perintah penguasa. Durov menukar kewarganegaraan melalui pelaburan sebanyak AS$250,000 dalam ekonomi Saint Christopher dan Nevis, sebuah pulau British tidak jauh dengan Amerika Syarikat.

Sebuah pulau kecil yang terletak di Laut Carribean.

Durov melancarkan sebuah aplikasi komunikasi bernama Telegram, sebelum dihalau daripada VKontakte.

Setelah keluar daripada Rusia, nasib Telegram bagaikan tergantung tanpa tali. Tetapi Durov tidak memilih mana-mana bandar Amerika Syarikat untuk meletakkan Telegram.

Lembah Silicon yang megah dengan arus digitalisasi sendiri tidak menjadi pusat buat sebuah produk maya.

Mungkin kerana kerajaan Amerika Syarikat pernah meminta akses iPhone dalam kes San Bernardino. Jadi dengan wang tunai mencecah AS$300 juta di Bank Swiss, Durov memindahkan Telegram ke Berlin, Jerman (Walt, 2016).

Tetapi Durov gagal memperolehi permit untuk semua orang dalam pasukan pembangunan aplikasinya  (Turton, 2017).

Jadi Telegram tidak lama di Berlin, hanya sehingga awal 2015 apabila Durov berazam untuk memindahkan Telegram setiap masa.

Ketika ini Telegram berpusat di Dubai, bersama 15 ahli asal yang membangunkan aplikasi ini. Dan Durov tidak mahu menggunakan Telegram hanya untuk membuat keuntungan (Hamburger, 2014).

Diguna Semua Orang

Telegram mempunyai sistem yang jauh lebih stabil untuk dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekat seperti WhatsApp misalnya. Bukan semua orang menggunakan telefon pintar untuk berkomunikasi.

Sesetengah orang perlu menulis dengan cepat, lalu melayari alternatif atas talian seperti WhatsApp Web dan Telegram Online. Antara dua tawaran ini, Telegram jauh lebih stabil. Perisian komputernya pula lebih ringan.

Simpanan Telegram juga tiada had, bermakna semua mesej, gambar dan dokumen akan disimpan sistem Cloud.

Ini prasarana paling hebat Telegram, yang mudah ditukar peranti. WhatsApp misalnya perlu menjalankan proses backup yang panjang.

Jadi ramai tertarik dengan Telegram yang tidak secara automatik mengecilkan gambar atau video.

Pada 24 Mac 2014, Telegram mempunyai 35 juta pengguna secara bulanan. Asal-usul Durov tidak menjadi penghalang.

Durov mahu membuat suatu peranti yang tidak tunduk pada permintaan kerajaan Rusia. Komitmen ini meyakinkan jutaan di Korea Selatan yang berasa jijik dengan pihak berkuasa negara (Brandom, 2014).

Secara berperingkat, jumlah pengguna Telegram meningkat. Dan pada 8 Januari 2021, Telegram mempunyai 500 juta pengguna bulanan.

RUJUKAN:

Brandom, R. (2014, Oktober 6). Surveillance drives South Koreans to encrypted messaging apps. The Verge.

Hakim, D. (2014, Disember 2). Once celebrated in Russia, the programmer Pavel Durov chooses (ditapiskan). The New York Times.

Hamburger, E. (2014, Februari 25). Why Telegram has become the hottest messaging app in the world. The Verge.

Lunden, I. (2014, April 22). Durov, out for good from VK.com, plans a mobile social network outside Russia. Tech Crunch.

Toor, A. (2014, April 22). Russia’s largest social network is under the control of Putin’s allies, found says. The Verge.

Turton, W. (2017, September 29). What isn’t Telegram saying about its connections to the Kremlin? The Outline.

Walt, V. (2016, Februari 23). With Telegram, a reclusive social media star rises again. Fortune.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.