Teknologi moden yang wujud hari ini banyak memberi kemudahan kepada orang ramai terutama dari segi menyejukkan kediaman, bangunan atau penyimpanan makanan. Tetapi pada zaman dahulu, ini bukan sesuatu yang mudah terutama bagi individu yang tinggal di negara di mana iklim cuacanya panas dan kering seperti rantau Timur Tengah. Ini mendorong para jurutera ketika itu memperkenalkan satu bentuk struktur bagi menyejukkan kediaman penduduk yang dipanggil badgir atau penangkap angin.

Penangkap angin ialah satu bentuk struktur seperti serobong yang diletakkan di atas bumbung di rumah, bangunan atau istana lama. Ia bertujuan menangkap angin sejuk di mana ia akan ditolak ke bawah sama ada ke kawasan kediaman atau ruang penyimpanan bawah tanah bagi menyejukkan makanan yang mudah rosak. Berdasarkan satu kajian, penangkap angin boleh mengurangkan suhu dalaman sesebuah kediaman atau bangunan sebanyak 10 darjah Celsius. Bagaimanapun, memandangkan ia berada di puncak tertinggi bangunan, ia mudah rosak dan hancur bila terdedah dengan pelbagai elemen alam.

Sejarah

Struktur ini bukan saja boleh didapati di Parsi (Iran moden) dan Mesir tetapi juga sekitar rantau Timur Tengah, Pakistan dan India. Kebanyakan negara atau tamadun terdahulu menggunakannya untuk mewujudkan saluran pengudaraan semulajadi untuk kawasan kediaman atau stor simpanan, sekaligus membolehkan penduduk merasa selesa dalam suasana iklim yang panas dan mencabar.  Tidak diketahui berapa usia sebenar struktur ini walaupun penangkap angin paling lama di Iran bertarikh abad ke-14 Masihi. Ini kerana dalam catatan syair sasterawan Parsi abad ke-11 Masihi Nasir Khusraw ada menyebut berkenaan penangkap angin.

Begitu juga dengan asal-usul ciptaan ini. Ini kerana ahli arkeologi Mesir menemui sebuah lukisan bertarikh 1300 Sebelum Masihi (BC) di Luxor yang memaparkan imej dua struktur berbentuk segi tiga di atas istana Firaun Nebamun. Ini menyebabkan pihak Mesir berpandangan penangkap angin pertama berasal dari negara bumi anbiya itu. Tetapi pengkaji dan sejarawan Iran berpandangan sebaliknya. Mereka merasakan penangkap angin berasal dari Iran berdasarkan penemuan beberapa struktur seperti serobong di kawasan runtuhan sebuah kuil lama Majusi yang bertarikh 4000 BC. Hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan asap ada pada struktur-struktur tersebut, sekaligus membawa kepada konklusi dari pihak Iran.

Perbezaan pendapat ini bagaimanapun tidak menafikan pengaruh penggunaannya di Timur Tengah. Menurut Dr Abdul Moniem El Shorbagy dari Universiti Effat, Jeddah, penangkap angin boleh dijumpai bukan saja di Timur Tengah tetapi juga di Pakistan dan India. Buktinya, penemuan penangkap angin empat arah di sebuah istana lama era Bani Abbasiyah abad kelapan Masihi di Ukhaidir, Iraq. Satu teori menyatakan penggunaan penangkap angin mula tersebar ke kawasan berkenaan selepas ekspedisi ketenteraan yang digerakkan oleh dua khalifah Khulafa’ Ar-Rashidin, Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab r.a. Semasa era Umar, Parsi berjaya ditawan pada abad ketujuh Masihi.

Struktur

Struktur penangkap angin berbeza-beza mengikut kawasan yang didiami penduduk. Ia boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti segi empat sama, heksagon dan oktagon. Selain itu, penangkap angin juga boleh mempunyai ruang udara sehala, dua hala dan pelbagai hala bergantung kepada kawasan dan iklim. Contohnya di Yazd, memandangkan angin bertiup dari pelbagai arah, maka penangkap anginnya mempunyai empat ruang udara untuk menangkap angin. Berbeza di Maybod, sebuah bandar yang terletak 55 kilometer dari Yazd, penangkap angin di situ hanya mempunyai satu ruang udara untuk mengelak angin gurun yang bertiup dari sebelah utara dari memasuki kawasan rumah.

Keadaan itu tidak berlaku di Yazd kerana bandar tersebut dikelilingi oleh kawasan pergunungan yang menghalang angin gurun dari bertiup ke bandar berkenaan. Ada juga penangkap angin yang dibina berasingan dari kawasan kediaman dan disambung dengan qanat atau terowong bawah tanah. Ini dapat dilihat di Bam, sebuah bandar Iran yang pernah dilanda gempa bumi pada tahun 2003. Bandar tersebut menyaksikan struktur penangkap angin di bandar berkenaan dibina berasingan dari kawasan kediaman di mana qanat disambung dari asas menara ke kawasan bawah tanah.

Selain berbeza dari segi binaan, bilangan ruang udara dan bentuk, sesetengah penduduk turut meletakkan tikar atau duri dalam penangkap angin mereka. Tikar atau duri itu kemudian disiram dengan air bagi meningkatkan kelembapan bagi membantu proses penyejukan aliran udara. Cuaca panas di Yazd berpotensi menyebabkan air mudah tersejat untuk menjadikan kawasan kediaman sejuk dan kelembapan udara menyebabkan cuaca panas dan kering berkurangan. Di sesetengah tempat pula, udara yang ditangkap penangkap angin tidak menambah kelembapan iklim sedia ada. Sebaliknya, suhu sesebuah kediaman dikurangkan dengan menambah pergerakan udara yang ditangkap penangkap angin.

Fungsi

Penangkap angin mempunyai dua fungsi iaitu membawa masuk udara segar dalam bangunan dan membawa keluar udara panas dan tercemar melalui proses sedutan. Bila angin berlanggar dengan dinding dalaman penangkap angin, aliran udara dibawa masuk ke dalam bangunan. Sebaliknya, bila ruang udara penangkap angin dipusing dari arah angin, ia akan menarik keluar udara panas dan tercemar sebelum dilepaskan ke luar sekaligus berperanan sebagai ruang pengudaraan semulajadi.

Selain membantu menyejukkan ruang kediaman dan sebagai ruang pengudaraan semulajadi, penangkap angin turut menggunakan perbezaan suhu untuk membantu menyejukkan kediaman dan bangunan. Pada waktu siang, udara pada bahagian selatan penangkap angin akan dipanaskan oleh cahaya matahari dan ditarik keluar. Udara tersebut akan diganti dan turut berperanan sebagai vakum dalam ruang penangkap angin dengan menarik udara sejuk dalam ruang kediaman dan udara dari bahagian utara penangkap angin.

Pada waktu malam pula dengan cuaca sejuk, udara sejuk ditarik ke bawah ruang. Udara tersebut dijimatkan menerusi haba dan menjadi panas bila terdedah dengan tembok dan dibawa keluar dari penangkap angin. Kitaran ini berterusan sehinggalah suhu dinding dan suhu luar menjadi sama. Tetapi sebelum ia berada pada situasi berkenaan, penangkap angin akan kembali menjalankan peranannya seperti biasa pada waktu pagi.

Figure 1: Peranan penangkap angin pada waktu siang dan malam. Kredit: http://ajbasweb.com/old/ajbas/2012/October/159-165.pdf

Tetapi sayang, penangkap angin yang dianggap lambang kebijaksanaan masyarakat Parsi dianggap simbol kegemilangan silam kerana peranan teknologi moden hari ini. Ini kerana ramai memilih kediaman-kediaman yang bersifat moden berbanding rumah-rumah tradisional mereka. Selain itu, isu penyelenggaraan membabitkan penangkap angin turut membawa kepada kemerosotan penggunaan penangkap angin hari ini.

Bagi menyelamatkan kediaman-kediaman ini dari ancaman pemodenan, sesetengahnya dibeli oleh golongan kaya dari bandar seperti Tehran dan Shiraz. Kediaman-kediaman yang mempunyai penangkap angin ini diubahsuai menjadi hotel atau muzium. Dan sebagai inisiatif tambahan untuk memelihara dan memulihara khazanah kejuruteraan ini, Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Kebudayaan, Pendidikan dan Saintifik (UNESCO) mewartakan bandar Yazd sebagai salah satu tapak Warisan Dunia pada tahun 2017.

Ini mendorong Institut Kebudayaan Warisan Iran memberi pinjaman kepada individu-individu berminat untuk memelihara, memulihara dan mengubahsuai kediaman sebegini kepada hotel, muzium atau restoran. Bagaimanapun, dengan situasi ekonomi Iran yang tidak menentu menyebabkan ramai terpaksa menanti masa yang lama untuk mendapatkan pinjaman institut berkenaan. Namun, penangkap angin ini menjadi tumpuan ramai pelancong sekaligus memberi harapan kepada rakyat Iran untuk berusaha memelihara dan memulihara badgir kebanggaan mereka itu.

SUMBER

  1. Mohammadi, Hossein., Ghadiri, Mahdiar Hossein., Dehnavi, Mahmoud dan Ghadiri, Maryam Hossein. (2012). Universiti Islam Azad, Dezful, Iran. Study of Wind Catchers with square plan: Influence of physical parameters. http://www.ijmer.com/papers/vol2_issue1/CP021559564.pdf
  2. Abdolhamidi, Shervin. (2018). BBC. An ancient engineering feat that harnessed wind. http://www.bbc.com/travel/story/20180926-an-ancient-engineering-feat-that-harnessed-the-wind

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.