Apa yang berlaku pada tahun ini tidak sama sekali boleh dilupakan. Dalam masa tiga bulan, koronavirus telah melututkan seluruh dunia. Amerika Syarikat dan Itali mempertimbangkan untuk pilih siapa layak diselamatkan, angkara bebanan terhadap peralatan perubatan.
Tetapi dengan ratusan juta orang bersembunyi kerana perintah-perintah berkurung – penuh atau separuh – kesannya semakin jelas terhadap ekonomi.
Pemakan gaji mempunyai klausa seperti bekerja dari rumah. Dengan melengkapkan kerja, gaji masih lagi daftar masuk dalam akaun.
Ada juga yang diberikan cuti tanpa gaji. Ini pun bermasalah juga, tetapi sekurang-kurangnya mereka mempunyai harapan untuk kembali kerja. Tetapi satu kelompok ekonomi yang harus ditekankan: golongan pengambil upah.
Asasnya rakyat Malaysia keliru dengan konsep pengambilan upah. Masih ramai terbuai dengan pendapat bahawa pengusaha-pengusaha Grab sebenarnya mempunyai kerjaya.
Sebenarnya golongan sedemikian ialah pengambil upah dalam ekonomi gig, bukannya kerjaya (employment). Kalau rajin, strategik dan kadangkala bernasib baik, mereka dapat untung tinggi. Tanpa salah satu, mungkin pendapatan mereka tolak modal ialah ala kadar.
Tekanan Ekonomi Gig Di Kulim
Jam sudahpun 5 petang kelmarin apabila Tawfik menghentikan Proton Saganya di hadapan rumah. Topeng dipakainya dibasahi peluh akibat kepanasan tetapi bukan angkara suhu Kulim yang semakin melonjak.
Sebaliknya kegelisahan untuk minggu-minggu akan datang yang mencengkam mindanya. Perintah Kawalan Pergerakan ialah langkah paling dipersetujui mampu membetulkan keadaan di negara.
Perkara tersebut tidak dinafikan, tetapi gelagat rakyat yang melanggar arahan sememangnya menambahkan lagi kerisauan Tawfik.
Dugaan Buat Grab
Kedatangan koronavirus telah memberikan tamparan berdesing terhadap pengusaha-pengusaha Grab. Tawfik telah menceburi bidang ini sejak Oktober 2018 apabila dibuang kerja selepas peralihan kuasa dibawah kerajaan Harapan.
Di sebalik beberapa individu yang bersorak akan musibahnya semata-mata kerana berbeza fikrah politik, beliau mencuba nasib mengambil upah dalam Grab.
Tanpa bimbingan sesiapa, beliau berusaha sendiri dari pendaftaran ke pemahaman undang-undang. Pernah disaman trafik, dicemuh kenalan tetapi disokong sahabat, Tawfik mengharungi denai hidup sehinggalah Mac 2020 yang mendugakan.
Sudahlah dasar pembaharuan Anthony Loke Siew Fook telah menyusahkannya dengan perbelanjaan RM1,000 untuk melengkapkan segala keperluan baharu. Ditambah pula dengan kejatuhan permintaan susulan Hari Raya Cina 2020.
Koronavirus pula menyapu garam pada luka sedia ada. Sejujurnya setiap orang ada dugaan sendiri. Tetapi keperitan dilalui Tawfik dikongsi sebilangan pengambil upah sepenuh masa.
Sehingga Jun 2019, Grab mempunyai 200,000 pemandu (yang 50,000 bergantung sepenuh masa), Tawfik antaranya (Lai & Hendawy, 2019).
Realiti Perit Grab
Upahan Grab tidak semudah disangka. Jaminan beribu sebulan yang digemburkan ramai tidak tepat pun – tetapi kebarangkaliannya ada.
Tawfik pernah mencurah keringat selama 10 jam, membawa pulang tidak sampai RM50 sahaja. “Duit minyak pun langsung tak lepas… apatah lagi perkara lain,” katanya, sentiasa positif dengan hari-hari akan datang.
Ada masanya Tawfik balik dengan tersenyum selepas mendapat tiga upahan yang menjaminkan RM50 setiap satu. Beliau amat mengharapkan rezeki untuk ke Pulau Pinang.
Sebelum ini tempahan mencurah daripada pelanggan yang perlu pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Keretapi Tanah Melayu Bukit Mertajam dan mana-mana sekitar Seberang Perai.
Malah Sungai Petani pun sewangi harumanis dari Perlis, apatah lagi kalau tempahan ke sempadan Thailand atau jauh Selatan.
Kalau pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, beliau akan meletakkan kereta di Nava Parking yang berharga marhaen. Tidak sempat menghirup kopi pun kadangkala ada tempahan oleh kerana permintaan Pulau Pinang yang tinggi.
Permintaan Jatuh Ditimpa Tangga
Apabila Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan, kebergantungan Tawfik terkena teruk. Beliau amat mengharapkan pusat-pusat pengangkutan besar.
Oleh kerana ketiadaan aliran keluar masuk, permintaan pun jatuhlah. Dengan perbelanjaan bulanan yang habis dicatu pun berada pada paras RM1,600 – bayaran berwajib seperti rumah, kereta, utiliti.
Sejak perintah dikuatkuasakan, beliau menganggarkan bahawa 70% pemandu tidak berani keluar. Tempahan semasa pun hanya ke pasaraya seperti TESCO, TF dan Giant. “Setiap hari nak dapat RM50 pun susah sekarang,” katanya. Merisaukan keselamatan sendiri, beliau berhenti buat Grab pada hari kedua.
Satu-satunya sinaran mentari di sebalik ribut menggigil ini ialah kelonggaran perbankan yang mengizinkan penangguhan bayarbalik hutang selama enam bulan selain dengan bayaran RM 500 untuk pemandu Grab.
“Saya sangat berterima kasih bila pihak Bank bagi kebenaran ni,” katanya. “Tetapi pendapatan kami menurun sehingga 50% sejak Januari 2020 iaitu selepas Chinese New Year.”
Rakyat Malaysia perlu patuh dan akur kepada perintah kerajaan. Koronavirus mesti ditewaskan dengan segera. Tetapi melihat perangai segelintir masyarakat terutamanya di Pulau Pinang, hanya doa sahaja boleh dipanjangkan.
Sejak pengumuman #StayAtHome pun, masih ramai menyalahgunakan Jambatan Pulau Pinang untuk alasan-alasan sangat dangkal (Xian & Chern 2020).
- Polis terpaksa membebel kerana seorang perempuan keluar Pulau Pinang untuk beli syampu
- Mendidih polis selepas seorang lelaki beri alasan untuk beli makan kegemaran di Georgetown (rumahnya di Bayan Baru).
- Seorang lelaki dipersoalkan kenapa perlu keluar pulau untuk makan malam di Butterworth.
- Ada yang ingin beli sayur di Bukit Mertajam pun.
Sekali lagi dimaklumkan bahawa Tawfik menyokong penuh perintah dilaksanakan. Tetapi agaknya semua boleh sebulat suara bersetuju: koronavirus perlu ditewaskan segera.
Sesiapa lagi yang mempunyai masalah ingin dikongsikan dalam bentuk artikel, boleh hubungi saya di: https://www.facebook.com/ahmadfaezal93/
RUJUKAN:
Lai, A., & Hendawy, S. (2019, June 15). E-hailing drivers to hit the brakes. The Star. Retrieved from https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/06/15/ehailing-drivers-to-hit-the-brakes/
Xian, L.J., & Chern L.T. (2020, March 22). Why did Penangites cross the bridge? You won’t believe some of the reasons. The Star. Retrieved from https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/03/22/why-did-penangites-cross-the-bridge-you-wont-believe-some-of-the-reasons
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih