Sepanjang lipatan sejarah, ada figura wanita yang menyamar sebagai lelaki bila mendepani situasi sosial ketika itu. Ada yang turun sebagai ten.te.ra, menyertai pertubuhan keagamaan atau mempunyai pekerjaan profesional. Tetapi di Afghanistan, amalan bacha posh atau berpakaian seperti budak lelaki dibuat bagi mengatasi stigma sosial terhadap kaum wanita dan kebergantungan ekonomi kepada kaum lelaki.
Tidak diketahui bila amalan ini bermula tetapi ada mengatakan ia sudah bermula seabad sebelumnya. Sejarawan Nancy Dupree percaya bukti bergambar amalan bacha bosh direkodkan semasa era pemerintahan Emir Habibullah Khan sekitar awal dekad 1900. Beliau merujuk kepada pengawal-pengawal harem terdiri daripada wanita yang berpakaian seperti lelaki. Tetapi amalan ini berkemungkinan sudah wujud lebih lama daripada apa yang disangka.
Yang pasti, stigma sosial terhadap kaum Hawa di Afghanistan meletakkan ibu bapa dalam keadaan tersepit. Anak perempuan dianggap beban kepada keluarga. Tetapi bagi anak lelaki, mereka boleh mencari nafkah, meneruskan legasi keluarga dan boleh tinggal di rumah untuk menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia. Dan wujud kepercayaan anak perempuan bacha posh boleh membawa kepada kelahiran anak lelaki bila si isteri mengandung.
Bagi Najia Nasim, pengarah pertubuhan Women for Afghan Women, amalan ini membantu keluarga mengelak stigma sosial sekiranya mereka tidak mempunyai zuriat lelaki. Wanita bacha posh boleh keluar sendiri untuk berbelanja, membawa adik perempuan atau kakak pulang dari sekolah, mendapatkan pekerjaan, bersukan dan memainkan peranan lelaki dalam masyarakat.
Salah satu kisah bacha posh ialah kisah seorang wanita bernama Setareh oleh jurugambar Sweden, Loulou d’Aki. Sehari selepas dia dilahirkan – anak ketiga perempuan dalam keluarga, ibu bapanya memilih membesarkannya sebagai seorang lelaki dan menggunakan nama Setar. Dua tahun kemudian, adik perempuannya Ali dilahirkan dan dia juga dibesarkan sebagai seorang lelaki.
Apabila anak lelaki pertama dan tunggal lahir dalam keluarga Setar dan Ali, kedua-duanya memilih meneruskan hidup sebagai lelaki. Kini, Setar kini berusia 19 tahun dan dikatakan mempunyai seorang kekasih wanita – langsung tidak kisah dengan jantina sebenarnya.
Begitupun, hubungannya dengan wanita bernama Arezou ditentang keluarga dengan keluarga kekasihnya melarang dia berhubungan dengan Setar. Sementara Ali pula kini berusia 17 tahun dan menyimpan banyak surat cinta yang dikirim peminat-peminat wanita. Ali juga pernah mempunyai seorang kekasih wanita tetapi selepas status bacha bosh diketahui keluarganya, kekasihnya dihantar ke Amerika Syarikat atas alasan menyambung pelajaran.
Tetapi apabila bacha posh mencecah usia akil baligh, fasa ini dianggap mencabar bagi wanita-wanita ini. Ini kerana mereka bergelut untuk beradaptasi sebagai wanita dan mengikut semua had tradisional masyarakat Afghanistan. Semua kebebasan yang dikecapi sebelum ini terus hilang begitu saja.
Atas sebab itu, ada sesetengah kes seperti Setar dan Ali enggan bertingkah laku seperti wanita walaupun diminta berbuat demikian oleh ibu bapa mereka. Selain kes Setar, d’Aki turut berjumpa dengan bacha posh lain seperti Zara. Dalam kes Zara, dia dibesarkan oleh bapa saudaranya sebagai bacha posh untuk membantunya berdikari. d’Aki diberitahu wanita itu mendapat lamaran beberapa orang lelaki yang melihatnya sebagai seorang wanita yang tabah.
Nasim menambah, sekurang-kurangnya dua kes bacha posh dilaporkan di pusat perlindungan wanita kendalian mereka di Kabul. Dan dalam kebanyakan kes, kebanyakan wanita ini diganggu, dimalukan dan dipisahkan daripada komuniti tetapi tidak mahu hidup sebagai seorang wanita. Ini kerana bila mereka menjadi wanita, mereka perlu memakai burqa, memasak dan merendahkan pandangan mereka.
Bagi Nasim, apa yang berlaku ini merupakan satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita. Tambahnya, dengan menafikan hak wanita yang telah dijamin dalam syariat Islam kepada mereka merupakan satu penghinaan kepada jantina mereka sebagai wanita.
RUJUKAN:
Nordberg, Jenny. (2010). Afghan Boys Are Prized, So Girls Live the Part. The New York Times.
Strochlic, Nina. (2018). Inside the Lives of Girls Dressed as Boys in Afghanistan. National Geographic.
Sumber: Loulou d’Aki/National Geographic.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih