Peperangan adalah sebuah medan yang telah lama didominasi oleh kaum lelaki. Akan tetapi dalam lipatan sejarah, terdapat sejumlah wanita yang muncul sebagai pahlawan ulung atau komander cekap. Salah seorang pahlawan wanita yang kurang dikenali (setidaknya di luar negara kelahirannya adalah seorang srikandi Vietnam yang dikenali sebagai Ba Trieu.

Nama ini membawa maksud ‘Cik Puan Trieu’. Ba Trieu juga dikenali sebagai Trie Au, Trieu Trinh Nuong dan Trieu Thi Trinh. Pun begitu, nama sebenarnya tidak diketahui. Sebilangan sejarahwan menyifatkan Ba Trieu sebagai Joan of Arc bagi Vietnam.

LATAR POLITIK DI ZAMAN BA TRIEU

Ba Trieu dipercayai hidup pada separuh pertama kurun ke-3 Masehi. Pada waktu itu, jiran utara Vietnam iaitu China sedang menghadapi zaman Tiga Kerajaan (220-280M) di mana ia terpecah kepada tiga buah kerajaan; Wei, Shu dan Wu. Kerajaan yang paling selatan, iaitu Kerajaan Wu, mempunyai beberapa wilayah di Vietnam utara. Justeru, mereka sering berkonflik dengan masyarakat tempatan. Lebih kurang beginilah latar politik di zaman Ba Trieu.

Menurut sebuah sumber China dari kurun ke-3M yang dikarang oleh Chen Sou, iaitu ‘Catatan Sejarah Tiga Kerajaan’ (Records of the Three Kingdoms), pada zaman pemerintahan Sun Quan si maharaja Wu, sebuah pemberontakan tercetus di beberapa buah wilayah di Vietnam utara seperti Jiaozhi dan Jiuzhen. Untuk menangani hal ini, Sun Quan melantik seorang panglima bagi tujuan menundukkan pemberontak.

Menerusi pendekatan ketenteraan dan diplomasi, pemberontakan ini berjaya dipadamkan. Namun, tidak ada satu pun nama pemberontak yang disebutkan dalam sumber China berkenaan. Lantaran itu, kita perlu menyelak sumber-sumber Vietnam untuk mendapatkan sejarah tentang Ba Trieu.

Kuil Ba Trieu, wilayah Thanh Hoa, Vietnam


LEGENDA-LEGENDA YANG MEMERINCIKAN KISAH HIDUP BA TRIEU

Antara sumber Vietnam yang menulis tentang Ba Trieu adalah Sejarah Pertahunan Lengkap Dai Viet (Complete Annals of Dai Viet) dan Catatan Nota Atas Perintah Diraja Yang Mengimbau Sepenuhnya Sejarah Viet (Imperially Ordered Annotated Text Completely Reflecting the History of Viet).

Tidak seperti sumber China, kedua-dua karya ini tidak dihasilkan pada zaman Ba Trieu. Sumber pertama ditulis pada kurun ke-15 untuk dijadikan sebagai sejarah rasmi DinastiLe, manakala sumber yang kedua pula dikarang pada kurun ke-19 sebagai sejarah rasmi bagi kegunaan Dinasti Nguyen.

Ba Trieu merupakan figura yang sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Vietnam. Menurut sumber tradisi, Ba Trieu dipercayai memiliki ketinggian mencecah 9 kaki (2.7 meter) dan buah dada sepanjang 3 kaki (0.91 meter). Satu sumber menyebutkan bahawa Ba Trieu mempunyai suara seperti bunyi loceng kuil. Kononnya beliau berupaya berjalan sejauh 3000km dalam masa sehari dan rupa parasnya pula sangat jelita.

Sebagai seorang pahlawan, beliau sering disifatkan memakai baju emas, dadanya diikat pada bahu, dan menunggang seekor gajah perang. Beliau dipercayai memimpin sepasukan tentera yang berkekuatan 1000 orang (termasuk lelaki dan wanita) dan terlibat dalam 30 buah pertempuran (kesemuanya berkemungkinan melibatkan perang menentang China).

Lukisan Dong Ho yang menggambarkan Ba Trieu sedang menunggang seekor gajah


KETAKUTAN TERHADAP PERKARA JIJIK DAN KUASA LUAR BIASA BA TRIEU

Satu lagi sumber tradisi menyebutkan bahawa antara kelemahan Ba Trieu adalah sifat takutnya terhadap sebarang benda yang berbau, jijik dan kotor. Hal ini kemudiannya dimanfaatkan oleh tentera China dan mengakibatkan kematian Ba Trieu. Dalam sebuah hikayat, diceritakan bahawa Ba Trieu menantikan tentera-tentera China keluar dari kubu mereka untuk bertempur di medan tempur. Hal ini kerana beliau tidak mempunyai sebarang kelengkapan mengepung.

Kemudian, komander China mengarahkan supaya tenteranya keluar dari kubu seperti haiwan-haiwan liar, yakni dalam keadaan telanjang, terpekik terlolong dan menendang-nendang debu. Melihat keadaan ini, Ba Trieu segera naik jijik dan meninggalkan medan perang. Tatkala tentera-tenteranya menyaksikan beliau beredar, mereka diserang panik dan ikut berundur. Akibatnya, Ba Trieu dikepung dan hikayat memerihalkan bahawa beliau memilih untuk membunuh diri berbanding membiarkan dirinya ditangkap.

Ba Trieu juga kononnya memiliki kuasa luar biasa, kerana hikayat menceritakan bahawa beliau masih tetap memerangi China walau sesudah mati. Dikisahkan bahawa selepas kematian Ba Trieu, pahlawan itu muncul dalam mimpi ngeri komander China. Selain itu, suatu wabak menimpa tentera-tentera China yang kononnya wabak ini disebabkan oleh Ba Trieu. Untuk menangkis dan menghalau gangguan dari semangat atau roh Ba Trieu, komander China mengarahkan agar tukang-tukang kayu mereka mengukir ratusan imej zakar dan menggantungnya pada pintu.

BA TRIEU SEBAGAI SEBUAH SIMBOL PENENTANGAN

Masyarakat Vietnam terus meraikan dan menghormati Ba Trieu walau sesudah kematiannya. Tambahan lagi, ketika Vietnam berada di bawah pemerintahan orang tempatan, Ba Trieu diberikan kemuliaan dan gelaran istana.

Apapun, kisah-kisah menakjubkan seputar Ba Trieu berkemungkinan adalah penokokan tambah yang dibuat oleh masyarakat umum ketika memperturunkan kisah-kisah tersebut (dari sumber lisan) dari satu generasi ke satu generasi. Terdapat juga anggapan yang berpendapat bahawa Ba Trieu ini adalah perwira legenda, yang kisahnya direka berdasarkan seorang figura sejarah yang identitinya tidak dapat kita kenal pasti.

Makam Ba Trieu di kuil Ba Trieu, wilayah Thanh Hoa, Vietnam

Walau apapun keadaannya, baik Ba Trieu itu benar-benar wujud, atau sekadar perwira fiksyen, atau penokokan tambah daripada masyarakat umum, tidak dinafikan bahawa namanya dijadikan sebagai simbol penentangan berikutan penentangannya terhadap China dan amalan patriarki. Selama mana Ba Trieu kekal dalam hati dan minda masyarakat Vietnam, semangatnya akan terus dijulang oleh pelbagai macam ideologi yang berjuang demi matlamat yang tersendiri.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (18 November 2015). The Heroic Warrior Ba Trieu: A Figure of Resistance Against Patriarchy and the Enemies of Vietnam. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/heroic-warrior-ba-trieu-figure-resistance-against-patriarchy-and-enemies-020626


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.