Diantara bab menarik di dalam ilmu Ulum al-Qur’an ialah perbahasan ayat pertama dan terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. Rujukan untuk mengenali ayat pertama dan terakhir yang diturunkan dalam Al Qur’an ialah melalui perkhabaran para Sahabat R.anhum. Ini kerana mereka menyaksikan dengan mata kepala akan kelibat Rasulullah saw dan mengetahui ayat pertama dan terakhir yang diwahyukan kepada Baginda saw.
Faedah Mengenal Ayat yang pertama dan terakhir di turunkan dalam al-Qur’an
Antara faedah mengenal ayat pertama dan terakhir di dalam Al Qur’an ialah :
- Dapat membezakan ayat Nasikh (yang membatalkan hukum) dan Mansukh (yang dibatalkan hukumnya). Apabila datang dua ayat atau ayat-ayat pada topik yang sama sementara hukum salah satu ayat berbeza dengan ayat lain, maka kita mengetahui bahawa ayat yang terakhir dalam al Qur’an menasakh ayat yang sebelum. Contoh ayat 234 surah Al Baqarah tentang iddah wanita kematian suami adalah 4 bulan 10 hari telah menasakhkan ayat 240 surah Al Baqarah yang menyatakan iddah wanita kematian suami adalah setahun. Ini kerana ayat 234 al Baqarah turun kemudian selepas ayat 240.
- Selain itu, antara faedahnya lagi ialah dapat mengikuti sejarah pensyariatan syariat, memerhati perjalanan pensyariatan dari sudut sejarah serta kajian tahap-tahap peringkat tarbiyah manusia dengan penuh kelembutan dan belas kasihan.
- Disamping itu juga, menerangkan sejauh mana ketekunan yang telah diusahakan oleh para sahabat dalam khidmat mereka terhadap Al Qur’an al Karim sehingga mereka mengetahui sungguh waktu dan penurunan ayat al Qur’an, keadaan persekitaran waktu penurunan, sebab – sebab penurunan dan hal-hal yang bersangkut paut dengan peristiwa penurunan ayat Al Qur’an.
Ayat Yang Pertama Diturunkan
Bermula pendapat yang sahih bahawa ayat pertama yang diturunkan dalam Al Qur’an adalah permulaan surah (اقرأ) ayat 1-5 berdasarkan dalil dari hadis-hadis sahih, antaranya hadis Aisyah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim :
أول ما بدىء به رسول الله صلى الله عليه وسلم من الوحي الرؤيا الصادقة في النوم فكان لا يرى رؤيا إلا جاءت مثل فلق الصبح، ثم حبب اليه الخلاء فكان يأتي حراء فيتحنث فيه الليالي ذوات العدد ويتزود لذلك ثم يرجع الى خديجة رضي الله عنها فتزوده لمثلها حتى فجأه الحق وهو في غار حراء، فجاءه الملك فيه فقال اقراء، قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : فقلت : ما أنا بقارىء ، فأخذ فغطني حتى بلغ مني الجهد، ثم أرسلني فقال اقراء ، فقلت ما أنا بقارىء، فغطني الثانية حتى بلغ مني الجهد ثم أرسلني فقال اقراء، فقلت ما أنا بقارىء، فغطني الثالثة حتى بلغ مني الجهد ثم أرسلني فقال ( اقرأ باسم ربك الذي خلق ) حتى بلغ (ما لم يعلم)
Terjemahan : “Permulaan wahyu yang diterima oleh Rasulullah saw ialah mimpi yang benar di dalam tidur. Setiap kali bermimpi, baginda tidak melihat dalam mimpi tersebut melainkan ada yang datang bagikan cahaya yang terang di pagi hari. Kemudian baginda gemar mengasingkan diri. Ia pergi ke gua hira’ untuk beribadat beberapa malam dengan membawa bekalan. Kemudian Rasulullah kembali ke rumah Khadijah dan Khadijah pun membekalkan makanan seperti biasa sehingga datangnya Jibril kepada Rasulullah ketika Baginda berada di Gua Hira’. Datang Malikat Jibril dan berkata : “Bacalah”, Rasulullah saw menjawab, “aku tidak tahu membaca”. Lalu Jibril merangkul dan memelukku sehingga aku merasa kesukaran kemudian dia melepaskan aku, katanya, “bacalah”, aku menjawab, “aku tidak pandai membawa”. Lalu dia merangkul dan memeluk ku untuk kali keduanya hingga aku merasa kesukaran, kemudian dia melepaskan aku, katanya, “bacalah”, aku menjawab, “aku tidak pandai membawa”. Lalu dia merangkul dan memeluk ku untuk kali ketiganya hingga aku merasa kesukaran, kemudian dia melepaskan ku, lalu berkata,”bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk) –hingga ke ayat – apa yang tidak diketahuinya”……(al Hadis)
Di sana ada pendapat yang mengatakan ayat pertama diturunkan ialah ayat 1- 4 Surah Al –Mudatsir. Ia berdalilkan hadis daripada Abu Salamah Ibnu Abdul Rahman yang juga diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dimana Abu Salamah berkata yang bermaksud,
سألت جابر بن عبد الله : أي القران أنزل قبل ؟ قال : يأيها المدثر ، قلت ؛ أو اقراء باسم ربك ؟ قال : أحدثكم ما حدثنا به رسول الله صلى الله عليه وسلم : إني جاورت بحراء فلما قضيت جواري نزلت فاستبطنت الوادي ، فنظرت أمامي وخلفي و عن يميني و شمالي ثم نظرت إلى السماء فإذا هو – يعني جبريل – فأخذتني رجفة ، فأتيت خديجة فأمربهم فدثروني ، فأنزل الله ( يأيها المدثر ، قم فأنذر))
Terjemahan : Saya pernah bertanya kepada Jabir Bin Abdullah, apakah ayat Al-Qur’an yang diturunkan sebelumnya? Beliau menjawab : “Wahai orang yang berselimut”. Saya bertanya lagi, atau kah “Bacalah dengan nama Tuhanmu”? Beliau menjawab: saya memberitahu kamu apa yang telah Rasulullah saw beritahu kepada kami. “Sesungguhnya aku mengasingkan diri di Gua Hira’, setelah aku menghabiskan masa pengasinganku itu, aku turun menyusuri lembah, maka aku memandang ke hadapan, ke belakang, ke kanan dan ke kiri. Kemudian aku memandang ke arah langit, tiba-tiba aku melihat Jibril sehingga merasa gementar dan menakutkan aku. Lalu aku pulang menemui Khadijah dan aku menyuruh mereka supaya menyelimutiku, lalu aku diselimuti. Maka Allah menurunkan ayat “Wahai orang yang berselimut ! bangunlah dan berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
Komentar : dijawab berhubung hadis Jabir r.a bahawa, maksud Jabir r.a dari hadis ini menjelaskan tentang penurunan surah pertama secara lengkap. Jabir telah menjelaskan bahawa Surah al Mudatsir diturunkan dengan sempurna sebelum turun ayat-ayat lain dari surah Al’-Alaq (yang melengkapkan kesempurnaan surahnya). Ini kerana, ayat yang pertama turun dari Surah Iqra` itu hanya permulaan saja. Sebahagian berpendapat, apa yang dimaksudkan Jabir r.a ialah Surat al-Mudatsir adalah yang pertama turun berkaitan dengan kerasulan (risalah) atau perintah berdakwah, sedangkan permulaan ayat Surat Al-’Alaq adalah yang pertama turun berkaitan dengan kenabian (nubuwwah), atau pelantikan menjadi nabi.
Disamping itu, ada juga ulama’ menyatakan bahawa Jabir r.a telah berpendapat dengan ijtihadnya akan tetapi riwayat Aisyah lebih mendahuluinya. Justeru itu, jika ada riwayat-riwayat lain yang sahih mendukung riwayat Aisyah, maka ijtihad pendapat Jabir r.a boleh diabaikan. w/a
Kesimpulan : Sesungguhnya ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah saw ialah permulaan Surah Al’-Alaq. Kemudian dikuatkan dengan hujah lain dari Hadis daripada Abu Salamah daripada Jabir yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو يحدث عن فترة الوحي فقال في حديثه : بينا أنا أمشي سمعت صوتا من السماء فرفعت رأسي فإذا الملك الذي جاءني بحراء جالس على كرسي بين السماء و الارض فرجعت فقلت : زملوني فدثرني فأنزل الله يأيها المدثر) )
Terjemahan : “Aku mendengar Rasulullah ketika baginda berbicara tentang terputusnya wahyu. Kata baginda dalam bicara tersebut, ketika aku berjalan, aku mendengar suara dari langit. Lalu aku mendongak kepalaku, tiba-tiba aku melihat malaikat yang pernah datang kepadaku sewaktu di Gua Hira’ berada di atas kerusi di antara langit dan bumi, lalu aku pulang dan aku katakana “selimutilah daku, maka mereka menyelimuti aku. Maka Allah menurunkan : “Wahai orang yang berselimut !”
Komentar : Hadis ini menjadi bukti kisah penurunan Surah Al Mudatsir berlaku kemudian selepas kisah di Hira’. Oleh itu, sebelumnya ada wahyu lain atau ayat lain diturunkan iaitu ayat 1-5 Surah Al’-Alaq yang diturunkan di Hira’. Selain itu, hadis ini juga menunjukkan Surah Al Mudatsir adalah awal surah tetapi awal surah yang diturunkan selepas terputus wahyu (fatrah al Wahyu) bukan awal ayat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw.
Para Ulama’ berbeza pandangan tempoh terputus wahyu (fatrah al wahyu) atau erti lebih mudah tempoh Nabi saw tidak di datangi wahyu selepas wahyu pertama. Ada yang berpendapat 3 tahun, lebih kurang 2 tahu, 2 tahun setenga, 12 hari, 15hari dan 40 hari. Boleh baca lanjut tentang tempoh terputus wahyu di kitab Fathul Bari oleh Imam Ibnu Hajar Asqalani, Al Bidayah Wa Nihayah oleh Imam Ibnu Katsir, Tafsir Ar Razi oleh Imam Ar Razi, At Tahrir Wan At Tanwir oleh Ibnu Asyur.
Catatan : Selain pendapat di atas ada juga pendapat yang menyatakan bahwa yang pertama kali turun adalah Surat al-Fatihah dan lafaz basmallah, tapi dalil kedua pendapat ini lemah.
Ayat Yang Terakhir Diturunkan
Ayat terakhir yang diturunkan ialah firman Allah Taala dalam Surah al Baqarah ayat 281.
واتقوا يوما ترجعون فيه إلى الله ثم توفى كل نفس ما كسبت وهم لا يظلمون
Terjemahan : “dan peliharalah diri kamu dari huru hara hari(kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakan, sedangkan mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun”
Ini berdasarkan hadis daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas yang telah diriwayatkan oleh An Nasaie, yang bermaksud :
اخر شيء نزل من القران (واتقوا يوما ترجعون فيه إلى الله)
Terjemahan : “Ayat yang terakhir diturunkan ialah ayat “واتقوا يوما ترجعون فيه إلى الله
Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah sembilan malam sebelum kewafatan Rasulullah.
Adapun ayat yang tercatat dalam Surah al Maidah ayat 3 :
اليوم أكملت لكم دينكم و أتممت عليكم نعمتى ورضيت لكم الاسلام دينا….
Terjemahan : “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan agama bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu padamu dan Aku telah redhankan Islam itu sebagai agama kamu”
Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah pada hari Arafah di Haji al Wada’ (Haji Perpisahan) pada tahun ke-10 Hijrah kira-kira lebih 2 bulan sebelum kewafatan Baginda.
Yang dimaksudkan dengan sempurna agama dan sempurna nikmat ialah sempurna pensyariatan agama yang berhubung dengan ibadah dan muamalat dan lain-lain dari hukum hakam agama serta sudah terzahir syariat agama secara keseluruhan walaupun dibenci orang kafir.
Insya Allah, saya akan menulis bab Asbab Al Nuzul (sebab-sebab penurunan ayat al-Qur’an) pula pada artikel yang akan datang. Sampai jumpa lagi !
Disediakan oleh, Angah Sunan.
RUJUKAN:
Syaikh Manaq al Khalil Al Qattan, Mabahis Fi Ulum Al Qur’an, Mu’assat al-Risalah, Beirut, Lebanon.
Syaikh Muhammad Abdul Azim Az Zarqani (1995M), Manahil Al Irfan Fi Ulum Al Qur’an, Dar Al Kitab Al’ Arabiyah.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih