Bagi pencari kebenaran, rezeki berbentuk hidayah merupakan antara kurniaan-Nya yang tertinggi. Justeru bila hati disapa hidayah dan keinginan menganut Islam mengangkat keesaan-Nya semakin kuat, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Tidak kira siapa mereka sama ada selebriti, ahli akademik atau golongan marhaen, cahaya hidayah merupakan hadiah terindah dalam kehidupan mereka. Dan itu yang diakui selebriti media sosial yang berasal dari Korea Selatan, Ayana Jihye Moon.
Mungkin bagi penulis, penulis kurang arif dengan nama wanita jelita ini. Tetapi bagi pengikut laman media sosial terutama di Instagram, Ayana mempunyai 1.5 juta pengikut dan telah mencetuskan fenomena tersendiri di Malaysia dan Indonesia. Berbekalkan keayuan paras rupanya dan berkulit putih gebu, tiada kata yang dapat menggambarkan betapa cantiknya wanita berusia 22 tahun. Tak percaya? Nah, tataplah sendiri wajah kesayangan 1.5 juta pengikut di Malaysia dan Indonesia…
Mesti ada yang terkeluar biji mata atau mulut jatuh sampai ke bawah selepas melihat gadis kelahiran Korea ini. Ayana masih belum mahir bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia tetapi dia masih juga berusaha mempelajari dan menuturkan beberapa perkataan yang diketahuinya. Dan Ayana juga kini sedang mendalami pembelajaran kedua-dua bahasa berkenaan bagi memudahkan urusan dalam bidang yang diceburinya itu.
Bila ditanya tentang penghijrahannya sebagai seorang Muslim pada tahun 2012, Ayana menyifatkan peristiwa dia memeluk Islam membuka dimensi baru dalam kehidupannya dan membuka jalan kepada meneruskan kesinambungan kehidupan baik di Korea atau di luar negara kelahirannya itu. Dia berkata, “Saya mula tertarik dengan Islam sejak kecil lagi. Saya jatuh hati dengan kebudayaan Timur selepas mempelajari tentang Timur Tengah sehingga menambah keyakinan saya terhadap Islam. Alhamdulillah, saya terbuka hati memeluk Islam pada tahun 2012.”
Bagaimanapun, keputusannya menjadi seorang Muslim mendapat tentangan daripada keluarga ketika itu. Ini kerana masyarakat Korea terutama keluarganya memandang agama Islam dari sudut negatif. Tetapi itu tidak menghalangnya dari menjaga hubungan silaturahim dengan mereka walaupun berbeza dari segi agama yang dianuti. Malah pada tahun lepas, Ayana menjadi saksi kepada pengislaman adik lelakinya. Boleh rujuk kepada gambar di bawah:
Jadi, apa yang mendorong sang bidadari ini berhijrah ke rantau Nusantara? Menurut Ayana, disebabkan statusnya sebagai seorang Muslim dan memakai hijab, agak sukar baginya mendapatkan pekerjaan di Korea Selatan. Jika ada sekalipun, ianya berkait dengan pelbagai perkara haram termasuk menghidangkan minuman alkohol yang menjadi lumrah bagi masyarakat Korea. Atas sebab yang dinyatakan inilah yang akhirnya membawa Ayana ke Indonesia dan Malaysia.
Salah satu peluang yang diberi kepadanya ialah bekerja sebagai model fesyen Muslimah untuk jenama Wardah Beauty Muslim. Tambahnya, “Saya merasa lega memilih Malaysia dan Indonesia sebagai negara untuk bekerja kerana selain dapat mencari rezeki yang halal, saya juga dapat memelihara keimanan saya.” Bila ditanya tentang bilangan pengikut Instagramnya yang ramai, Ayana sendiri tidak menyangka mempunyai bilangan pengikut sebegitu rupa. Dia melihat perkara ini berlaku berikutan tempias gelombang Hallyu yang sedikit sebanyak menyumbang kepada bilangan pengikutnya itu. Tambahnya lagi, kehidupan sebelum dan selepas menjadi seorang selebriti media sosial dilihat tidak banyak berbeza berikutan perwatakan pemalunya itu membuatkan dia lebih gemar tersenyum apabila disapa sesiapa.
Walaupun sibuk dengan aktiviti seni, itu masih tidak menghalang impian Ayana untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan perundangan. Jurusan itu bukan sesuatu yang asing bagi gadis jelita itu memandangkan dia pernah mengambil jurusan sama di negara kelahirannya itu. Tetapi disebabkan statusnya sebagai seorang mualaf dan berhijab, agak mustahil baginya untuk mendapatkan kerjaya di situ. Namun, itu bukanlah satu halangan buat Ayana kerana dia berharap dapat membantu sesiapa yang mempunyai masalah undang-undang. Isu jarak juga dilihat bukan satu isu baginya kerana Kuala Lumpur dan Jakarta sudah diibaratkan sebagai rumah keduanya.
Yang pasti, keperibadian sang rupawan ini menarik perhatian ramai termasuk selebriti tanah air. Salah seorang daripada mereka ialah penyanyi popular Wany Hasrita. Wany yang popular dengan lagu Terlalu Memuja dan Belenggu Rindu tidak menyangka Ayana menjadikannya sebagai idola. Beliau berkata, “”Saya sangat terharu apabila mengetahui serba sedikit kisah hidup Ayana yang sanggup berhijrah ke Malaysia demi mendalami agama Islam yang dianutinya kini. Dia juga begitu cekal dan tabah dalam meneruskan kembara ilmunya terhadap Islam dan berusaha mempersiapkan diri menjadi muslimah sejati.”
Wany yang berkesempatan bertemu dengan Ayana sebanyak dua kali menambah, “Pertemuan dua kali bersama Ayana cukup membuatkan saya selesa kerana dia seorang gadis yang sopan dan lemah lembut. Perwatakan dirinya yang santun apabila berbicara membuatkan saya tenang dan sentiasa mahu jadi sahabat kepadanya. Ditambah lagi, aura positif Ayana yang cukup menyerlah membuatkan sesiapa yang bersama dengannya ceria dan gembira.” Salah satu pertemuan mereka ialah dalam rancangan Meletop yang disiarkan di Astro Ria pada Oktober 2018 dengan Wany muncul sebagai kejutan kepada gadis kelahiran Korea itu.
RUJUKAN:
- Nordin, Norhayati. (2018). Wany Hasrita idola Ayana Jihye Moon. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/rap/2018/10/387730/wany-hasrita-idola-ayana-jihye-moon
- Arman, Phic. (2018). Wany Hasrita Sebak Dapat Jumpa Ayana Jihye Moon. Ini Sebabnya!. Murai. https://murai.my/2018/48963/wany-hasrita-ayana-jihye-moon-ini-sebabnya/
- Arman, Phic. (2019). Adik Lelaki Ayana Jihye Moon Sah Peluk Islam. Murai. https://murai.my/2019/56324/adik-lelaki-ayana-jihye-moon-sah-peluk-islam/
- Idayu, Rosmah. (2018). Gadis Mualaf Korea, AYANA JIHYE MOON Tetap Pilih Islam Walaupun Ditentang Keluarga. Nona. https://www.nona.my/gadis-mualaf-korea-ayana-jihye-moon-tetap-pilih-islam-walaupun-ditentang-keluarga/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih