Persoalan ‘pagar’ dan ‘pegar’ sering sahaja menjadi perbahasan yang tidak berkesudahan antara penutur bahasa Melayu. Kewujudan pendapat tentang kesalahan penterjemahan tulisan jawi menyebabkan wujud golongan yang mempertahankan istilah ‘pegar’. Sebelum penggunaan istilah ‘pagar’ atau ‘pegar’ dibincangkan dengan lebih lanjut dalam artikel ini, elok juga kiranya kita mengetahui serba sedikit tentang ayam pegar.

Dalam majalah Dewan Kosmik, tulisan Jasmi Abdul dalam keluaran Mei 2015, ada menjelaskan perihal ayam pegar. Ayam pegar atau nama saintifiknya, Lopura ignita atau juga dikenali sebagai  Crested-Fireback Pheasant dikatakan sama saiz dengan ayam kampung. Walau bagaimanapun, ayam pegar diklasifikasikan dalam kumpulan Phesanidae iaitu sekumpulan dengan burung kuang raya, kuang cermin, kuang gunung, merah mata, dana yam hutan. Menurut kepercayaan orang dahulu, ayam pegar jantan digunakan untuk menjaga tanaman tuannya.

Namun begitu, bukti untuk penyataan ini adalah kurang. Perkara yang lebih pasti ialah ayam pegar jantan yang dominan bersifat sangat garang terutama pada musim mengawan. Ayam pegar jantan menyerang sesiapa sahaja yang dianggap musuhnya, termsuklah tuannya sendiri demi melindungi ayam-ayam pegar betina dan anak-anaknya yang sudah dewasa dan yang sedang membesar.

Dari segi habitat, ayam pegar mendiami kawasan tanah pamah, terutamanya di kawasan lembangan sungai. Hutan tanah pamah yang masih dara ialah habitat utama bagi spesies ini. Kawasan yang banyak ditumbuhi pokok tepus dan ara amat sesuai didiami oleh spesies ini kerana ayam pegar sangat gemar akan buah hutan terutamanya buah ara nasi (Ficus benjamina) yang masak ranum dan jatuh ke tanah (berdasarkan pemerhatian yang dilakukan di Kuala Tahan, Taman Negara Pahang).

Selain buah hutan, spesies teresterial ini juga mengais sampah atau daun kayu di atas tanah untuk mencari serangga, ulat, belalang, anai-anai, atau cacing tanah yang tersorok. Ayam pegar juga banyak di kawasan tanah gambut terutamanya di kawasan yang agak tinggi dan tidak ditenggelami air seperti di Rizab Hidupan Liar Sungai Dusun, Hutan Rizab Sungai Karang, Selangor dan kawasan hutan Rizab Pondok Tanjung, Perak.

Ayam pegar tidak seperti ayam kampung yang boleh kita pelihara sesuka hati. Spesies burung liar ini dilindungi dengan sepenuhnya oleh di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Bilangan 76 tahun 2010. Sesiapa yang didapati memelihara, memiliki, menangkap atau membunuh burung ini akan didenda hingga RM50 000.00 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 64 Akta yang sama. Begitulah serba sedikit tentang ayam pegar.

Apakah perkaitannya dengan peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi? Semua penerangan tentang ayam pegar dalam tiga perenggan tadi tidak berkaitan dengan peribahasa ini. Penerangan itu sekadar penerangan. Ada maklumat yang perlu kita ketahui juga tentang ayam pegar selain membahaskan kewujudannya dalam peribahasa. Saya ingin mengajak para pembaca menelusuri pertentangan pendapat berkenaan hal ini.

Ayam pegar dipelihara untuk menjaga padi daripada binatang-binatang perosak seperti burung dan tikus. Tetapi, ayam ini juga pemakan padi. Maksudnya: Seseorang yang kita terlalu percaya dan boleh diharapkan telah mengkhianati kita. Golongan yang berpendapat begini juga menyatakan bahawa adalah sesuatu yang sangat absurd jika kita membayangkan bahawa pesawah zaman dahulu membina pagar mengelilingi bendang.

Hingga kini pun tidak pernah kita lihat ada pagar yang dibina mengelilingi sawah. Mungkin juga pagar yang dimaksudkan ialah ‘pagar’ ghaib, yakni penjaga dari kalangan jin. Tetapi, jin pun tidak meminta padi sebagai upah, malah permintaannya lebih diva yakni pulut kuning, bertih, rokok daun, telur ayam dan syiling berjumlah suku (dua puluh lima sen).

Namun begitu, bangsa Melayu yang sangat terkenal dengan metafora, kiasan, simbol, tanda dan petanda ini tidak pernah memetik perkara ghaib untuk dijadikan peribahasa. Bangsa Melayu lazimnya memetik perkara yang zahir, yang nyata di mata untuk menggambarkan sesuatu yang batin, yang kasat mata. Begitu halusnya (seni) penelitian bangsa Melayu terhadap alam dan manusia.

Pendapat yang lain berkenaan hal ini adalah bersandarkan pada ejaan Jawi ke Rumi. Mereka berpendapat bahawa pada zaman dahulu ejaan perkataan pagar dan pegar sama, iaitu pa-ga-ra. Apabila perumpamaan itu disalin dalam tulisan Rumi, perkataan pegar bertukar menjadi pagar. Justeru, mereka menegaskan bahawa kesilapan penukaran daripada tulisan Jawi ke tulisan Rumi telah menyebabkan peribahasa ini salah berpuluh-puluh tahun lamanya. Segelintir yang mempunyai pemikiran yang terlalu ekstrem menyatakan bahawa kesilapan ini merupakan keculasan dan penyelewengan dalam kehalusan pepatah Melayu.

Berhubung hal tersebut, belum ada dapatan sahih tentang peribahasa tersebut. Walaupun pendapat yang mengatakan peribahasa ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ adalah betul tetapi tidak ada satu dapatan yang mengesahkannya. Perlu kita ingat peribahasa ialah warisan daripada zaman berzaman dan bentuknya tidak berubah walau diulang cetak berkali-kali. Mungkin juga ada benarnya pendapat yang mengatakan kesilapan ejaan berlaku sewaktu pemindahan teks daripada tulisan Jawi kepada tulisan Rumi tetapi tidak ada dapatan yang dapat mengesahkannya.

Pada 19 Februari 2012, Ketua Pengarah DBP, Profesor Dr. Haji Awang Sariyan yang dikenali sebagai Kembara Bahasa dalam komunikasi maya menyatakan, kajian awal DBP menunjukkan bahawa ejaan Jawi yang digunakan dalam buku-buku lama ialah pa-alif-ga-ra (pagar), bukannya pa-ga-ra (pegar). Jadi, alasan yang menyatakan perkataan pagar itu digunakan akibat kesilapan transkripsi tulisan Jawi kepada Rumi tertolak.

Kembara Bahasa pula menegaskan bahawa perlakuan pagar dalam peribahasa itu diperorangkan dengan berdasarkan gaya personifikasi (perorangan). Perorangan bagi benda yang lain termasuklah “perigi mencari timba”, “lesung mencari antan” dan “pancing makan umpan”. Pada hari yang sama, saya dan Kembara Bahasa meminta pengendali laman itu untuk menyatakan sumber tulisannya.

Dalam buku Ilmu Mengarang Melayu (1934) karangan Za’ba, Kitab Tikaman Bahasa (1934) karangan Muhammad Adnan Muhammad Ariffin dan Kitab Kiliran Budi (1949) susunan Paderi Shellabear terdapat perumpamaan “pagar makan padi”. Ketiga-tiga buku itu bertulisan Jawi. Ejaan pagar dalam ketiga-tiga buku itu ialah pa-alif-ga-ra.

Ejaan pa-alif-ga-ra bagi masukan pagar terdapat dalam dua buah kamus bertulisan Jawi, iaitu Buku Katan Kamus Melayu (1936) karangan Haji Muhammad Said Haji Sulaiman dan Kamus Melayu(1948) susunan Shamsudin Mohd Yunus. Kedua-dua kamus ini mengandungi masukan pegar yang dieja pa-ga-ra.

Tegasnya, pada tahun 30-an dan 40-an itu masyarakat kita sudah membezakan pa-alif-ga-ra dengan pa-ga-ra. Masukan kamus dan ejaan dalam ketiga-tiga buku tadi membuktikan bahawa perkataan dalam perumpamaan itu ialah pagar dan bukannya pegar. Oleh sebab pengendali laman itu belum berjaya membuktikan bahawa perkataan pagar pernah ditulis pa-ga-ra dalam mana-mana buku lama bertulisan Jawi, maka pandangannya belum sah. 

\Sehingga kini, sama ada ‘pagar’ ataupun ‘pegar’ masih belum diputuskan perkataan mana satu yang betul atau salah. Selama belum ada kesahihannya, adalah lebih baik jika kita tidak mengelirukan orang ramai terutama golongan pelajar tentang peribahasa tersebut. Setakat hari ini, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka masih mengekalkan bentuk yang sedia ada, iaitu “Harapkan pagarpagar makan padi.” kerana peribahasa  tersebut merupakan khazanah yang terakam sejak dahulu lagi, seperti yang terakam dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu.

Saya yakin, pada masa usaha menukarkan ejaan dari tulisan Jawi ke tulisan Rumi pada masa dahulu itu tidak ada sedikit pun rasa atau niat dalam hati mereka yang terlibat untuk menyelewengkan makna tersurat dan tersirat peribahasa tinggalan nenek moyang kita. Memiliki pendapat itu tidak salah namun elakkan pendapat yang terlalu ekstrem hingga boleh menimbulkan tuduhan. Sama ada ‘pagar’ ataupun ‘pegar’, maksud peribahasa itu tetap juga sama. Betulkan?

RUJUKAN:

1.    Jasmi Abdul, Ayam Pegar Makan Padi?, Dewan Kosmik, Mei 2015, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

2.  Nota Bahasa Kebangsaan A. http://bahasamelayukini.blogspot.com/2016/11/pagar-vs-pegar.html

3.         Esei Bahasa Jiwa Seni Melayu.
http://www.dailyseni.com/v4/esei-bahasa-jiwa-seni-melayu/

4.        Mewah bahasa: ‘Harapkan pegar, pegar makan padi’. Dr Nor Hisham Osman. Berita Harian 11-January-2012. https://umlib.um.edu.my/newscut_details.asp?cutid=4925

5.        Laman Web DBP. http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=Harapkan+pagar+pagar+makan+padi&d=175768&


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah. Berkelulusan Pengajian Melayu (major dalam Linguistik Melayu) di UM. Sejarah, bahasa, sosiobudaya, dan pendidikan merupakan isu yang boleh menarik perhatian mata, hati dan minda. Segala pengetahuan hanya asas dan baru mula mengintai ruang untuk menulis.

Comments are closed.