Sepanjang lipatan sejarah Empayar Mughal, era emas kerajaan itu berlaku semasa era pemerintahan Aurangzeb. Dari satu segi, sebilangan pihak melihatnya sebagai ekstremis dan tiada toleransi terhadap agama. Tetapi bila disingkap lembaran sejarah pemerintahan baginda, ia sama sekali berbeza dengan apa yang dimomokkan hari ini.

Aurangzeb merupakan putera ketiga Putera Khurram (kemudiannya bergelar Shah Jahan) dan Arjumand Bano Begam (kemudiannya dikenali sebagai Mumtaz Mahal). Baginda diputerakan pada 3 November 1618 tetapi masa kecilnya diganggu oleh pergolakan politik dalam kalangan kerabat diraja Mughal.

Aurangzeb

Pergolakan politik di sini merujuk kepada cita-cita ayahandanya, Putera Khurram untuk bergelar Maharaja Mughal. Walaupun dianggap cucu kesayangan nendanya, Akbar dan dianggap pilihan utama untuk menaiki takhta selepas Jahangir, kedudukannya diancam oleh bonda tirinya Nur Jahan. Nur Jahan dikatakan lebih suka sekiranya adinda Khurram, Shahryar sebagai pengganti Jahangir.

Lantas, konflik tercetus antara Jahangir dengan putera kesayangannya itu selama empat tahun. Pada akhirnya, Khurram mengaku kalah dan diberi pengampunan oleh ayahandanya. Tetapi bagi memastikan perkara ini tidak berulang, Aurangzeb dan kekandanya Dara Shikoh dihantar ke Lahore sebagai tebusan Jahangir.

Selepas ayahandanya mangkat pada 1627, Khurram bangkit dan menewaskan individu yang mensasarkan takhta Mughal termasuk adindanya Shahryar. Selepas ditabalkan sebagai maharaja, Shah Jahan mengarahkan bonda tirinya Nur Jahan dipenjarakan.

Selain itu, Shahryar dan kerabat diraja Mughal yang berpotensi mengancam kedudukan baginda dikenakan hukuman mati. Dengan kedudukannya kini selamat, barulah Shah Jahan dapat disatukan semula dengan anak-anaknya yang menjadi tebusan di Agra.

Semasa menjadi tebusan di Lahore dan kembali ke Agra, Aurangzeb mempelajari semua aspek pengetahuan yang diperlukan sebagai pemerintah Mughal. Ini termasuk pengajian Islam, kesusasteraan Parsi dan Turki, pentadbiran dan strategi ketenteraan. Begitupun, sejak dari awal lagi, Shah Jahan lebih suka sekiranya putera sulungnya Dara Shikoh sebagai maharaja Mughal seterusnya.

Dara Shikoh

Di sebalik unsur pilih kasih ini, Aurangzeb mula menonjolkan kualiti sebagai maharaja. Pada usia 15 tahun, baginda membunuh seekor gajah yang mengamuk dalam satu perlawanan gajah yang disaksikan oleh kerabat diraja dan bangsawan Mughal. Kerja gila bagi sesetengah orang tetapi atas keberaniannya itu, Shah Jahan mengurniakan emas sama berat dengan puteranya itu dan memberi kepercayaan kepadanya mengetuai operasi ketenteraan Mughal di kemudian hari.

Segar daripada mencecah usia 18 tahun, Aurangzeb dilantik sebagai wizurai di Deccan. Bagaimanapun, kelewatannya pulang daripada ekspedisi ketenteraan sekitar Deccan selepas mendapat berita kekandanya Jahanara jatuh gering mengundang kemurkaan ayahandanya Shah Jahan.

Akibatnya, baginda dipecat sebagai wizurai Deccan dan dihalang berinteraksi dengan istana selama beberapa bulan. Hubungan dua beranak ini semakin tegang apabila Aurangzeb menudah Shah Jahan bersifat pilih kasih dan sentiasa mengutamakan Dara Shikoh.

Tidak mahu perkara ini berlarutan lebih-lebih lagi dengan pengaruhnya dalam kalangan komander tentera Mughal, baginda melantik Aurangzeb sebagai gabenor di Gujarat, Balkh (Afghanistan) dan Badakshan. Bagaimanapun, kegagalannya merampas Kandahar daripada kerajaan Safavid mengakibatkan Shah Jahan memanggilnya semula ke Agra.

Aurangzeb percaya situasi ini sebenarnya didalangi oleh Dara Shikoh yang cuba mensabotaj kedudukannya. Kecurigaannya semakin bertambah apabila Shah Jahan melantiknya sebagai wizurai Deccan buat kali kedua.

Deccan merupakan wilayah miskin dan tidak menjanjikan pendapatan tinggi buat wakil Mughal di situ – satu perkara yang menjengkelkan Aurangzeb. Tetapi usaha baginda memajukan pertanian di situ menyaksikan Deccan kembali makmur dan memberi pulangan kewangan yang tinggi kepadanya.

Bagi Dara Shikoh dan Aurangzeb, semuanya berubah pada 1657. Shah Jahan jatuh gering dan susulan itu, jawatan pemangku maharaja digalas olehnya. Dan bila khabar angin tentang kemangkatan Shah Jahan tersebar, adinda-adinda Dara Shikoh mula mensasarkan Agra menerusi kekuatan tentera masing-masing.

Aurangzeb yang dianggap putera ketiga dalam kalangan mereka memilih berpakat dengan adindanya Murad Bakhsh. Baginda berjanji akan membahagikan empayar sesama mereka sekiranya berjaya mengalahkan Dara Shikoh dan kekanda kedua mereka, Shah Shuja.

Murad Bakhsh

Tempoh 1658 dan 1659 dianggap kritikal bagi menentukan siapa Maharaja Mughal yang seterusnya. Tidak seperti sistem monarki biasa di mana putera sulung merupakan pewaris takhta, penentuan takhta Mughal ditentukan oleh kekuatan tentera putera-putera kerajaan itu.

Mungkin ada menganggap perkara sebegini sebagai janggal. Tetapi pembunuhan saudara (fratricide) juga berlaku dalam kalangan pemerintah Turki Uthmaniyah. Ini kerana ini membolehkan putera yang berkemampuan memerintah negara mengambil alih tampuk pemerintahan. Selain itu, ia turut memberi peluang kepada putera-putera lain mengumpul pengikut yang berkelayakan bagi membantu mereka mendapatkan tampuk pemerintahan.

Pakatan Aurangzeb-Murad berjaya mengalahkan angkatan Dara di Dharmat pada April 1658. Ini disusuli dengan tindakan pantas baginda membina pakatan dalam kalangan bangsawan dan pemerintah wilayah jajahan Mughal – satu perkara yang lewat disedari kekandanya itu. Dan ini terbukti di Samugarh sebulan kemudian apabila angkatan perang Aurangzeb berupaya menewaskan angkatan perang Dara dengan mudah.

Akibatnya, Dara dan puteranya Sulaiman Shikoh melarikan diri ke Balkh tetapi dicekup oleh gabenor wilayah berkenaan. Penahanan tersebut berlaku selepas Aurangzeb berjaya menakluk Agra dan memaksa ayahandanya Shah Jahan menyerah kalah tanpa syarat.

Dara dan puteranya itu kemudian dihukum mati dengan Shah Jahan dipenjarakan di Kubu Agra selama lapan tahun di bawah jagaan Jahanara sehingga mangkat pada 1666. Setelah itu, barulah Aurangzeb mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Mughal yang baru. Begitupun, tindakannya yang merampas takhta mengakibatkan Sharif Makkah dan kerajaan Safavid enggan mengiktiraf kedudukannya sebagai Maharaja Mughal.

Perkara itu langsung tidak menggusarkan baginda. Malah, bagi mengukuhkan kedudukannya, Aurangzeb mensasarkan adindanya. Ini kerana baginda tiada niat menghormati pakatan yang dibuatnya dengan Murad. Lantas, adindanya itu kemudian dihukum mati pada 1661 selepas didapati membunuh seorang pegawai kerajaan.

Setelah itu, fokusnya beralih kepada kekanda keduanya Shah Shuja. Walaupun beberapa kali tewas, keupayaan Shah Shuja membina semula tenteranya sentiasa menjadi duri dalam daging kepada Aurangzeb. Tetapi akhirnya, baginda terpaksa mengaku kalah di Khajwa sebelum berundur ke Bengal dan akhirnya Arakan.

Shah Shuja kemudiannya mangkat selepas dihukum mati oleh pemerintah Arakan ketika itu, Sanda Thudhamma pada Februari 1661. Murka dengan layanan buruk yang diterima kekandanya itu, Aurangzeb kemudiannya mengepung dan menakluk Chittagong dengan ribuan warga Arakan menjadi tahanan perang.

Antara polisi Aurangzeb yang terkenal dan menjadi momokan pelampau Hindu di India hari ini ialah pemusnahan kuil-kuil Hindu. Kononnya, dengan berbuat demikian, baginda telah berpaling daripada dasar toleransi yang diamalkan pemerintah Mughal sejak era Akbar dan bersikap anti-Hindu.

Hakikatnya, tindakan tersebut hanya dilakukan jika wujud aktiviti pemberontakan anti-Mughal digerakkan di kuil-kuil berkenaan. Contohnya, isu perobohan kuil Keshava Deva. Kuil tersebut dirobohkan sebagai tindak balas terhadap gerakan pemberontak Mathura Jat. Ini kerana semasa tempoh pemberontakan mereka, bukan sedikit tentera Mughal terbunuh di tangan mereka termasuk seorang panglima tentera.

Malah, kumpulan pemberontak ini juga bertanggungjawab menyerang makam Maharaja Akbar dan membakar jenazahnya sampai hangus. Bagi Aurangzeb, ia sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. Lantas, pemusnahan kuil Keshava Deva dianggap tindak balas terbaik terhadap kekejaman mereka.

Kompleks Makam Akbar pernah diserang kumpulan pemberontak Mathura Jat. Ini mengakibatkan Aurangzeb mengarahkan Kuil Keshava Deva dirobohkan sebagai tindak balas.

Pelampau Hindu juga terlupa raja-raja Hindu yang saling bermusuhan akan melakukan perkara sama termasuk wira mereka, Shivaji Bhonsle. Selain merobohkan kuil, ada juga yang merosakkan patung-patung atau mencuri patung sebelum dipasang pada kuil mereka.

Ramai sejarawan India hari ini melihat tuduhan ini terhadap Aurangzeb patut diperbetulkan. Ini kerana baginda tetap meluluskan pembinaan dan penambahbaikan kuil di wilayah-wilayah Mughal yang tidak diancam pemberontakan. Aurangzeb juga tidak teragak-agak mengeluarkan arahan melindungi tapak-tapak kuil golongan Hindu dan Jainisme serta menegur para pentadbirnya jika mereka didapati menyusahkan pendeta-pendeta Brahmin.

Satu lagi polisi baginda yang dianggap kontroversi ialah pelaksanaan cukai jizyah pada April 1679. Ramai pelampau Hindu dan sejarawan Orientalis melihat langkah ini sebagai satu lagi sisi anti-agama lain Aurangzeb dan menonjolkannya sebagai pelampau Islamisasi.

Hakikatnya, tuduhan ini ditolak oleh sejarawan Sri Ram Sharma. Ini kerana golongan yang terkesan dengan cukai ini ialah golongan miskin hinggalah golongan pertengahan Hindu di mana cukai ini menuntut hanya pendapatan lebih dari tiga minggu daripada hasil pendapatan tahunan mereka.

Jika benarlah Islamisasi sebagai asas tindakan Aurangzeb, mengapa hanya segelintir saja penganut Hindu memeluk Islam bagi mengelak dikenakan cukai jizyah? Perkara ini berlaku kerana mereka tertekan dengan cara kutipan yang dikenakan pihak kerajaan berbanding saiz jumlah cukai yang dikenakan.

Di samping itu, cukai ini tidak tertakluk kepada golongan fakir, pendeta-pendeta Brahmin, pentadbir-pentadbir Hindu dan tentera Mogul yang beragama Hindu. Malah, semasa berlakunya krisis kebuluran, Aurangzeb turut mengarahkan kutipan jizyah digantung.  Justeru, kelihatan polisi tersebut hanya menguntungkan golongan ulama dan panglima-panglima perang Islam berpangkat kecil.

Semasa era ini juga, Aurangzeb turut memansuhkan beberapa cukai yang dianggap membebankan dan ini dianggap menjustifikasikan perlaksanaan cukai tersebut. Ada juga berpandangan cukai tersebut dikenakan bagi memuaskan hati bangsawan-bangsawan Islam yang kehilangan jagir (hak kutipan cukai) mereka kepada panglima-panglima perang dari Maratha.

Semasa era Aurangzeb, Islam juga berkembang dengan pesat tetapi tidaklah sampai ke tahap pelampau totok – label yang diberi pelampau Hindu kepada baginda. Misalnya, baginda mengarahkan keraian untuk sambutan Aidilfitri, Aidiladha dan Nairuz (Tahun Baru Parsi) dikurangkan. Pengurangan tersebut dibuat bukan saja atas faktor peribadi tetapi bagi menjamin keselamatan baginda dan rakyat pada tiga hari perayaan berkenaan.

Selain itu, Aurangzeb juga mempunyai hubungan rapat dengan kelompok ahli sufi termasuk golongan ulama Firamgi Mal yang cenderung kepada falsafah Yunani dan Sufisme. Sementara teks perundangan mazhab Hanafi iaitu Fatawa-i Alamgiri turut dikumpulkan dan menjadi teks perundangan terkemuka pada zamannya. Walaupun ia menjadi undang-undang utama kerajaan, baginda tidak cenderung kepada pendekatan menghukum.

Salinan manuskrip Fatawa-i Alamgiri

Aurangzeb juga tetap mengekalkan elemen toleransi tetapi tidaklah sampai ke tahap melampau seperti yang dilakukan moyangnya Akbar. Tidak ramai tahu, wazir pertama baginda ialah seorang bangsawan Hindu berdarah Punjab bernama Raja Raghanath Khatri. Bagaimanapun, Khatri hanya diberi gelaran sebagai menteri dan bukan wazir bagi menjaga hati komander-komander Mughal yang beragama Islam.

Semasa era pemerintahannya, Empayar Mughal berada di puncak kegemilangannya. Dengan empayar sejauh benua kecil India di selatan, Chittagong di sebelah timur dan Balkh di sebelah barat, kekuasaan kerajaan itu sukar dicabar. Empayar itu turut menyumbang 22% daripada ekonomi dunia pada abad ke-17 dengan kekayaannya pada 1700 bersamaan dengan AS$21 trilion hari ini.

Tetapi semua itu ada harganya. Walaupun mempunyai jajahan takluk yang luas, Aurangzeb sentiasa berdepan pemberontakan dan secara perlahan-lahan melemahkan Empayar Mughal untuk jangka masa panjang.

Pada 3 Mac 1707, baginda kembali dijemput Ilahi pada usia 88 tahun. Pada ketika itu, Aurangzeb hanya mempunyai sedikit wang tetapi telah meminta agar semua wang tersebut disedekahkan untuk tujuan amal. Baginda juga meminta agar dimakamkan secara ringkas bersesuaian dengan keperibadiannya yang sederhana.

Makam Aurangzeb di Khuldabad, Aurangabad.

Aurangzeb dimakamkan di kawasan halaman kompleks makam tokoh sufi India Sheikh Burhanuddin Gharib di Khuldabad, Aurangabad. Berdekad-dekad selepas kemangkatan baginda, kekuasaan kerajaan Mughal hanya tertumpu di Delhi sehingga kedatangan British di India.


Kalau anda berminat dengan artikel sejarah Islam di India seperti ini, kami nak cadangkan pembelian judul terbaru kami, MUGHAL: MUTIARA ISLAM DI INDIA sementara ada diskaun terakhir ini. Beli di: https://bit.ly/MughalShopee

RUJUKAN

Truschke, A. (2017). Aeon.co. A much-maligned Mughal.

Truschke, A. (2018). Huffington Post. Historian Audrey Truschke Explains Why The Hindu Right Is Terrified Of Having A Meaningful Conversation About The Past.

Szczepanski, K. (2019, 3 Julai). Biography of Aurangzeb, Emperor of Mughal India. ThoughtCo.

Izdani Khan, S. (1998). London Metropolitan University. The Portrayal of the Mughal Emperor Aurangzeb in Modern History Writing.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply