Perpustakaan Diraja Ashurbanipal kadangkala disebut sebagai ‘perpustakaan pertama’ di dunia, ataupun ‘perpustakaan diraja yang paling lama bertahan di dunia’. Perpustakaan ini ditemukan semula oleh sekumpulan ahli arkeologi yang melakukan kerja-kerja ekskavasi di tapak Nineveh (kini dikenali sebagai Kuyunjik). 

Memandangkan tempat tersebut merupakan kota diraja bagi Empayar Neo-Assyria pada masa pemerintahan Ashurbanipal, maka perpustakaan ini dinamakan bersempena nama beliau.

Perpustakaan Diraja Ashurbanipal memuatkan lebih 30 000 buah tablet tanah liat dan lembaran yang mengandungi teks-teks kuneiform. Antara bidang ilmu yang dirangkumi oleh teks-teks berkenaan termasuklah catatan pentadbiran, karya sastera dan pengajian teknikal.

PEMERINTAHAN ASHURBANIPAL


Ashurbanipal (bermaksud ‘dewa Ashur si pencipta pewaris’) sering dianggap sebagai seorang pemerintah yang hebat bagi Empayar Neo-Assyria. Tempoh pemerintahannya berlangsung antara  tahun 668SM hingga 627SM. Pada waktu itu, Empayar Neo-Assyria sedang mengalami tempoh kemuncak perluasan wilayah. Antara kawasan yang termasuk di bawah pemerintahan Ashurbanipal ketika itu adalah Babylon, Parsi, Syria dan Mesir.

Memandangkan Ashurbanipal memerintah rakyatnya dengan penuh adil dan saksama, maka namanya masyhur sebagai seorang raja yang dijulang tinggi. Walau bagaimanapun, beliau turut dikenali dengan kekejamannya ketika berurusan dengan para musuhnya. Apapun, kejayaan Ashurbanipal yang paling ulung adalah kewujudan perpustakaan diraja miliknya.

Pada mulanya, Ashurbanipal tidak langsung dijangka akan mewarisi takhta ayahandanya, Esarhaddon memandangkan beliau mempunyai abang sulung yang bernama Sin-iddina-apla. Selepas abangnya mangkat pada tahun 672SM, beliau dinamakan sebagai pewaris takhta. Sebelum kemangkatan abangnya, Ashurbanipal meraih kebebasan untuk mendalami sebanyak mungkin ilmu pengetahuan memandangkan beliau pada asalnya bukanlah pewaris takhta (jawatan yang sudah tentu mengehadkan masa lapangnya).

Oleh kerana itu, beliau mampu meluangkan masa dengan membaca dan menulis, serta menguasai pelbagai lapangan ilmu termasuklah matematik dan ramalan (kewujudan) minyak. Berkemungkinan atas faktor inilah Ashurbanipal mengarahkan agar perpustakaan diraja dibina setelah beliau selesai menstabilkan empayar.

PERPUSTAKAAN ISKANDARIAH (ALEXANDRIA)


Menurut masyarakat Parsi dan Armenia Purba, Alexander Agung sendiri pernah melawat dan melihat Perpustakaan Diraja Ashurbanipal ini semasa kunjungannya ke Nineveh. Oleh kerana terinspirasi dengan binaan tersebut, beliau pun berhajat untuk mengumpulkan seluruh karya hasilan masyarakat yang telah ditaklukinya; menterjemahkannya ke dalam bahasa Greek; dan menyimpannya di dalam sebuah perpustakaan besar miliknya.

Memandangkan si penakluk dari Macedonia ini tidak dikurniakan usia yang panjang untuk merealisasikan impiannya itu, Ptolemy, iaitu salah seorang panglimanya yang mewarisi kepemimpinan di Mesir mengambil tanggungjawab untuk memulakan pembinaan Perpustakaan Besar Iskandariah.

Istana Besar Iskandariah, O. Von Corven, abad ke-19

TINGGALAN DARI PERPUSTAKAAN LAMA INI

Seiring peredaran masa, tinggalan berbentuk fizikal dan mungkin juga ingatan berkenaan Perpustakaan Ashurbanipal ini hilang dan hanya ditemui semula pada abad ke-19M. Pada sekitar tahun 1850an, Muzium British menjalankan sebuah usaha ekskavasi di tapak arkeologi Nineveh. Ketika itulah perpustakaan ini ditemui.

Individu yang bertanggungjawab ke atas penemuan tersebut adalah seorang ahli arkeologi dari British yang bernama Sir Austen Henry Layard. Ekskavasi di Nineveh ini kemudiannya berlanjutan secara berkala sehingga tahun 1930an. Pada waktu itu pula, lebih dari 30 000 buah tablet tanah liat dan lembaran dijumpai.

Tablet tentang perkiasan, Muzium British

Perpustakaan Diraja Ashurbanipal ini dianggap penting atas sejumlah fakor. Antaranya, bilangan tablet tanah liat dan lembaran yang begitu besar itu membuatkan perpustakaan milik Ashurbanipal ini menjadi salah sebuah tempat pengkoleksian bahan-bahan bertulis yang paling bezar di zaman itu. Tambahan lagi, keluasan lapangan ilmu yang dirangkumi oleh teks-teks berkenaan turut meraih signifikasi tersendiri. Perpustakaan ini mengandungi teks-teks yang meliputi bidang-bidang seperti perubatan, mitologi, sains, puisi dan geografi.

Salah satu dokumen yang paling masyhur dari perpustakaan ini adalah sebahagian catatan daripada Epik Gilgamesh – epik yang sering dianggap sebagai karya sastera ulung yang paling berusia. Berikutan keluasan lapangan ilmu yang dirangkumi oleh teks-teks yang terkandung di dalam Perpustakaan Ashurbanipal ini, makanya ia dianggap sebagai tinggalan sejarah yang sangat penting terutama dalam pengkajian moden berkenaan Timur Dekat di zaman purba.

Tablet yang mengandungi sebahagian daripada Epik Gilgamesh

Menurut sebuah artikel dari Guardian, perpustakaan ini merupakan sumbangan berkekalan daripada Ashurbanipal kepada peradaban dunia – sumbangan yang ditinggalkan oleh seorang raja berkuasa, yang memerintah Empayar Assyria dalam tempoh waktu yang singkat.

Menerusi impian yang tinggi serta pengorganisasian yang mantap, Ashurbanipal berjaya mengekalkan kedaulatan empayarnya yang hebat. Impiannya itu dapat diungkap menerusi kesenian Assyria. Menurut Guardian, ia termasuklah ‘sebahagian dari gambaran paling mengerikan yang pernah tercipta’, iaitu antaranya penyeksaan, pembunuhan beramai-ramai, lidah yang direntap hingga putus, serta pelbagai kekejaman lain (menggambarkan keulungannya dari segi kekuatan).

Di celah-celah keganasan ini, nilai pemuliharaan dan pemeliharaan kesusasteraan serta keilmuan turut dijunjung dan diserlahkan dengan baik.
Tahun-tahun kebelakangan ini, terdapat sebuah projek yang dikenali sebagai Projek Perpustakaan Ashurbanipal (Ashurbanipal Library Project). Ia merupakan sebuah kolaborasi di antara Muzium British dan Universiti Mosul di Iraq.

Projek tersebut dimulakan pada tahun 2002 dan bermatlamat ingin menghidupkan semula perpustakaan Ashurbanipal dengan cara mendokumentasikan sebanyak mungkin perihal perpustakaan ini baik menerusi tulisan mahupun gambar.

Diharapkan supaya projek berkenaan dapat mencambahkan minat, serta menggalakkan penyebaran pengetahuan dan pengkajian terhadap teks-teks dari tinggalan Perpustakaan Ashurbanipal sekaligus meningkatkan kefahaman kita tentang Timur Dekat di zaman purba.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

DHWTY. (9 April 2019). Ashurbanipal: The Oldest Surviving Royal Library in the World with Over 30 000 Clay Tablets. Ancient Origins.https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ashurbanipal-oldest-surviving-royal-library-world-over-30000-clay-tablets-007127


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.