Pada tahun 64 Masehi, sebuah kebakaran dahsyat berlaku di kota Rome selama enam hari penuh. Kebakaran ini membumihanguskan hampir seluruh kota. Menurut Tacitus, “Nero meletakkan kesalahan dan menimpakan hukuman paling berat kepada sebuah kelas masyarakat yang dibenci kerana kekejian mereka, dipanggil sebagai penganut Kristian oleh orang ramai.”

‘Kekejian’ yang kononnya dilakukan oleh mereka ini berbentuk kanibalisme dan sumbang mahram, dan anggapan ini berdasarkan daripada khabar angin yang tersebar di Rome pada masa itu. Khabar angin ini berakar daripada salah faham terhadap tradisi Eucharist.

Episod dalam sejarah Gereja Awal ini menunjukkan bagaimana dengan mudahnya sesebuah kepercayaan itu, terutama yang berkait dengan hal-hal yang bersifat rahsia (tidak diketahui umum) boleh disalaherti. Kes yang sama dapat dilihat pada kepercayaan yang dikenali sebagai Voodoo (juga dikenali dengan Vodou atau Voudon).

Bagi kebanyakan orang, perkataan ‘voodoo’ bakal menggamit imej patung-patung magis yang dicucuk dengan jarung dengan tujuan menimpakan kesakitan atau kesengsaraan pada musuh, ataupun menghidupkan orang yang telah mati. Imej-imej sebegini terhasil akibat salah faham terhadap Voodoo yang dilakukan oleh budaya pop. Gambaran terhadap Voodoo sebagaimana yang difahami oleh masyarakat umum ini tidak bertepatan dengan apa yang diamalkan oleh para penganutnya.

Kebanyakan masyarakat mengaitkan Voodoo dengan patung yang dipenuhi dengan cucukan jarum, direka untuk menimpakan derita pada orang lain

Voudon merujuk kepada “gabungan elemen-elemen yang agak menyeluruh sehingga membentuk sebuah kebudayaan: pegangan dan amalan individu, sistem perubatan tradisional yang terperinci, sistem etika yang diwarisi generasi demi generasi, termasuklah peribahasa, kisah rakyat, lagu dan juga legenda. Voudon lebih dari sekadar kepercayaan. Ia adalah satu jalan hidup.”

Begitulah apa yang ditulis oleh Leslie Desmangles, seorang profesor Haiti dari Kolej Trinity Hartford dalam karyanya yang berjudul The Encyclopedia of the Paranormal (Prometheus Books, 1996).

“Voudon mengajarkan kepercayaan terhadap kemenjadian ulung yang dipanggil sebagai Bondve, iaitu dewata pencipta yang tidak dapat dikenali dan juga tidak bersifat sama dengan apapun jua,” jelas Live Science.

“Para penganut Voudon memuja sejumlah semangat (dipanggil sebagai loa atau lwa). Setiap satunya bertanggungjawab terhadap sebuah lapangan mahupun bahagian hidup. 

Misalnya, jika anda seorang petani, maka anda mungkin akan memuja dan memberi sembah korban kepada semangat pertanian. Jika anda menanggung derita cinta yang tidak berbalas, anda akan memuja dan memberi sembah korban kepada Erzulie Freda, semangat cinta.

Begitulah selanjutnya. Selain membantu (atau menghalangi) urusan manusia, loa juga berupaya memunculkan diri dengan merasuk tubuh para pemujanya. Para penganut voudon juga percaya terhadap tenaga sejagat (universal) di samping hakikat bahawa jiwa boleh meninggalkan tubuh semasa bermimpi mahupun terkena rasukan.”

Kelengkapan Voodoo

Walaupun sejarah asal-usul sebenar Voodoo tidak diketahui, ilmuwan bersepakat secara umum bahawa kepercayaan ini berakar dari Afrika Barat. Benin moden dianggap sebagai tempat lahirnya kepercayaan ini. Nama voodoo sendiri bermaksud ‘semangat’ dalam bahasa tempatan.

Ada juga yang berpendapat bahawa voodoo di Afrika Barat berkembang daripada tradisi-tradisi purba yang memuja nenek-moyang dan mengamalkan animisme. Namun, bentuk-bentuk voodoo yang diamalkan pada hari ini adalah kesan daripada salah satu episod yang paling tidak berperikemanusiaan dalam sejarah manusia – iaitu pemerdagangan hamba-hamba Afrika yang berlaku pada abad ke-16 hingga abad ke-19.

Zangbeto, pelindung voodoo di bawah kepercayaan Yoruba. Zangbeto berfungsi sebagai polis di wilayah terpencil Benin

Semasa hamba-hamba Afrika dibawa ke Amerika untuk melakukan kerja-kerja di sektor perladangan, mereka turut membawa bersama kepercayaan Voodoo. Walau bagaimanapun, majikan-majikan berkulit putih mereka mempunyai agendatersendiri terhadap kepercayaan hamba-hamba mereka itu. Antaranya adalah undang-undang yang digubal pada tahun 1685 yang mengharamkan pengamalan kepercayaan dari Afrika. Undang-undang ini malah menuntut kesemua majikan agar mengkristiankan hamba-hamba mereka dalam masa lapan hari selepas ketibaan mereka di Haiti. 

Walaupun hamba-hamba tersebut menerima agama Rom-Katolik, mereka sama sekali tidak meninggalkan kepercayaan tradisi yang dipegang sejak sekian lama. Sebaliknya, kepercayaan lama dan baharu yang dianuti mereka ini dicampuradukkan, sekaligus menghasilkan sebuah kesan yang tersendiri.

Kebanyakan paderi Katolik dirujuk oleh mereka sebagai lwa (roh semangat/dewa) dalam tradisi kepercayaan Vodoo. Paling tidak pun, mereka memegang maksud yang bercabang bagi pengamal-pengamal kepercayaan Voodoo. Misalnya dalam kepercayaan Voodoo yang diamalkan oleh masyarakat Afrika di Haiti, St. Peter dianggap sebagai Papa Legba, iaitu penjaga gerbang dunia semangat (dunia kematian) manakala St. Patrick pula dikaitkan dengan Dumballa, ular lwa dalam kepercayaan Voodoo.

Walaupun hamba-hamba Afrika dibawa ke Haiti dan New Orleans pada masa yang hampir sama, iaitu 1720an, perkembangan amalan Voodoo di kedua tempat tersebut agak berbeza. Di Haiti, Vodoo menjadi suatu faktor yang memberikan kekuatan sekaligus mengekalkan kelangsungan hidup para hamba Afrika dalam menghadapi kesusahan dan penderitaan. Dalam rentang waktu antara tahun 1791 hingga 1804, sebuah siri pemberontakan oleh golongan hamba yang diinspirasikan daripada kepercayaan Voodo memuncak kepada pengusiran orang-orang Perancis dari Haiti. 

Kolonis-kolonis yang terselamat pula melarikan diri ke New Orleans. Sebahagian daripada mereka ditemani oleh hamba-hamba Afrika yang fasih berbahasa Perancis dan masih berpegang kepada kepercayaan Voodoo. Melalui kehadiran mereka inilah Voodoo mula berkembang di New Orleans. Walaupun Voodoo diamalkan di New Orleans sebelum tahun 1791 lagi, keadaannya tidaklah sekuat penganut di Haiti. Mereka ditekan dengan dahsyat setiap kali cuba untuk menonjol. Hanya pada kurun ke-18, barulah Voodoo di New Orleans diseragamkan oleh Marie Laveau.

Potret Marie Laveau

Semenjak itu, kepercayaan Voodoo tersebar ke negara-negara Afrika yang lain, Caribbean, serta Erikaka Utara dan Selatan. Di Benin dan Haiti, Voodoo secara rasmi diperakui sebagai sebuah agama. Walau apapun, Voodoo masih lagi merupakan sebuah agama yang disalaherti berikutan gambaran tidak tepat yang disebarkan oleh media.

Berbanding mengaitkan agama ini dengan zombie mahupun patung sihir Voodoo, kita mungkin seharusnya mengambil masa untuk mengenalinya dengan lebih lanjut. Hal ini kerana Voodoo merupakan sebuah cara hidup yang boleh dikatakan agak lengkap dalam membimbing para penganutnya.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Wu Mingren. (21 April 2015). The Origins of Voodoo, the Misunderstood Religion. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/origins-voodoo-misunderstood-religion-002933


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.