Perkataan vandal  pada hari ini didefinisikan sebagai seorang yang memusnahkan atau merosakkan harta benda awam. Berbicara daripada sudut sejarah, seseorang yang disebut sebagai Vandal “merupakan anggota masyarakat Jerman yang hidup di bahagian selatan Laut Baltik, tepatnya di antara Sungai Vistula dan Sungai Oder, serta menguasai Gaul, Sepanyol dan Afrika Utara pada kurun ke-4 dan kurun ke-5 Masihi sementara pada tahun 455 Masihi pula menjarah kota Rome.”

Rentetan daripada peristiwa ‘penjarahan kota Rome’ pada tahun 455 Masihi inilah makanya perkataan ‘vandal’ digunakan bagi merujuk kepada orang yang menghancurkan dan merosakkan harta benda.

ASAL-USUL VANDAL YANG KABUR

Tidak banyak yang kita ketahui tentang sejarah awal Vandal. Diandaikan bahawa Vandal berasal dari Scandinavia (di wilayah tengah Sweden, terdapat sebuah pekan bernama Vendel yang mungkin mempunyai kaitan dengan mereka) dan berpindah ke selatan lalu memasuki wilayah Silesia lalu berinteraksi dengan tamadun Rom.

Karya pertama Rom yang menyebut perihal Vandal adalah Natural History  oleh Pliny the Elder’s. Menurut beliau, Vandal atau disebut sebagai Vandili, merupakan satu dari lima kumpulan masyarakat Jerman dan mereka ini terdiri daripada beberapa suku yang lebih kecil.

“Terdapat lima kumpulan masyarakat Jerman; Vandili, Burgundiones, Varini, Carini, dan Gutones.”

Penulis-penulis lain seperti Tacitus dan Ptolemy juga ada memerihalkan tentang Vandal, mereka lebih cenderung menggunakan istilah Lugii dalam karya masing-masing. Namun, sama seperti Pliny, catatan mengenai Vandal hanya dilakukan secara sepintas lalu. Justeru, tidak banyak maklumat yang dapat kita peroleh daripada sumber-sumber klasik.

Replika orang Vandal di Muzium Arkeologi Krakow, Poland

ROM DAN VANDAL MEMETERAI PERDAMAIAN SEMENTARA

Catatan penting berkenaan Vandal yang selanjutnya boleh ditemui dalam Roman History oleh Cassius Dio. Dalam karyanya itu, Dio menyebutkan bahawa semasa berlakunya P3rang Marcomannic (166-180M), satu suku yang dikenali sebagai Astingi (dianggap sebagai Vandal oleh sebilangan ilmuwan) memasuki wilayah Dacia dan menawarkan kesetiaan kepada Empayar Rom:

“Astingi yang dipimpin oleh Raus dan Raptus datang ke wilayah Dacia bersama seluruh anggota keluarga mereka, dengan harapan dapat meraih wang dan tanah sebagai ganti kepada curahan bakti kesetiaan.”

Walau bagaimanapun, tawaran mereka itu ditolak dan sesudah men4kluki Costoboci, mereka mula menjarah wilayah Dacia yang ketika itu merupakan naungan Rom. Pun begitu, kejayaan mereka ini tidak bertahan lama. Setelah ditewaskan oleh Lacringi, suku Astingi tidak lagi menyerang Rom. Malah, mereka mengusulkan satu permohonan kepada maharaja.

“Susulan daripada peristiwa ini, Astingi tidak lagi melakukan sebarang ser4ngan ke atas Rom. Namun, sebagai respon balas kepada bantuan yang diberikan kepada Marcus, mereka menerima wang dan kebebasan untuk meminta tanah daripadanya.”

Maharaja Marcus Aurelius memberi belas kasih kepada suku-suku Jerman yang ditewaskan. Relif dari arka Marcus Aurelius, Rome

PERSETERUAN ANTARA VANDAL DAN GOTH

Selepas berlalunya episod ini, sejarah Vandal sekali lagi menjadi kabur dan mereka hanya muncul semula dalam The Origin and Deeds of the Goths oleh Jordanes. Dalam karya kurun ke-6 Masihi itu, disebutkan bahawa Vandal berkonflik dengan Goth pada era pemerintahan Maharaja Constantine. Selepas ditewaskan oleh Goth dalam sebuah pertempuran, Vandal berpindah ke Pannonia:

“Kemudian, saki-baki Vandal yang terselamat pun menghimpunkan seluruh anggota mereka dan beredar meninggalkan negara mereka yang dirundung malang. Mereka seterusnya memohon suaka Maharaja Constantine di Pannonia. Di sana, mereka berdiam selama hampir 60 tahun dan mentaati titah perintah maharaja seperti layaknya rakyat jelata. Setelah lama masa berlalu, mereka digalang oleh Stilicho si Ketua Tentera dan Bekas Konsul lalu merebut kekuasaan ke atas Gaul. Ketika berada di sana, mereka menjarah wilayahwilayah jiran dan tidak memiliki tempat untuk menetap.”

Patung gangsa moden Maharaha Constantine di York, England. Vandal meminta izin Constantine untuk menetap di Pannonia setelah melarikan diri dari Goth

Jordanes juga melanjutkan penulisannya tentang pengembaraan Vandal ke Gaul dan Sepanyol pada era Maharaja Honorius (393-423M).

“Kini, sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelum ini, Vandal dan Alani mendiami Pannonias dengan izin maharaja-maharaja Rom. Namun lantaran khuatir diganggu oleh Goth, maka mereka pun berkelana ke Gaul. Tidak lama selepas menguasai Gaul, mereka membawa diri ke Sepanyol.”

VANDAL BERPINDAH KE AFRIKA UTARA

Destinasi Vandal yang selanjutnya ialah Afrika. Menurut Jordanes, raja Vandal yang bernama Gaiseric dijemput ke Afrika Utara oleh Boniface, panglima dan gabenor Rom yang mentadbir wilayah Dioecese di Afrika. Menurut Jordanes, tujuan Vandal dijemput adalah kerana gabenor “sedang bertelagah dengan maharaja Valentinian dan satu-satunya cara untuk melepaskan geram kepadanya adalah dengan berbuat khianat terhadap empayar.”

Pergerakan Vandal ditunjukkan dalam anak panah berwarna biru

Dilaporkan bahawa Vandal melayan penganut Katolik dengan jauh lebih keras jika dibandingkan dengan mana-mana suku Jerman yang lain, kononnya kerana mereka mengamalkan Kristian-Arian.

Namun, keadaan sebegini tidaklah berlaku dalam sepanjang kekuasaan mereka. Sebagai contoh, pada era Gaiseric, beliau menjalinkan hubungan baik dengan Rome dan Konstantinopel. Begitu juga halnya bagi Hneric (pengganti Gaiseric) dan Gunthamund (pengganti Huneric).

Penguasaan Vandal ke atas Afrika Utara hanya berakhir pada era Justinian Agung, iaitu kira-kira satu abad kemudian.

TIBANYA VANDAL DATANG KE ROME…

Peristiwa penjarahan kota Rome pada tahun 455 Masihi yang masyhur itu berlaku pada era Gaiseric. Jordanes mencatatkan tentang peristiwa ini secara ringkas:

“… Maharaja Valentinian dibvnuh oleh Maximus dan Maximus sendiri kemudiannya merampas pemerintahan laksana seorang tirani. Khabar ini sampai ke pengetahuan Gaiseric si raja Vandal. Lalu, beliau pun berangkat dari Afrika menuju ke Itali bersama kapal-kapal p3rang, memasuki kota Rome dan membumihanguskannya. Maximus sempat melarikan diri, sebelum dibvnuh oleh seorang tentera Rom yang bernama Ursus.”

Siliqua Raja Gaiseric dari Vandal, sekitar 400 M


Procopius, seorang lagi sejarahwan purba menulis bahawa tujuan Vandal datang ke Rome adalah bagi memenuhi permintaan Eudoxia, balu Valentinian:

“Kemudian, Maximus membvnuh maharaja dan merampas takhta tanpa menghadapi sebarang masalah. Beliau juga mengahwini Eudoxia secara paksa… Eudoxia menghantar utusan ke Carthage dan merayu kepada Gizeric (Gaiseric) agar menuntut bela atas kem4tian Valentinian yang dibvnuh oleh lelaki keji dengan cara yang tidak layak bagi seorang maharaja. Beliau juga merayu agar Gizeric menyelamatkannya lantaran beliau dilayan dengan amat buruk oleh Maximus.”

Namun, Gaiseric disifatkan hanya berminat terhadap penjarahan, “Dan Gizeric, tanpa dorongan lain selain harta kekayaan yang bakal mengalir ke perbendaharaannya, pun bertindak berlayar ke Itali dengan membawa armada yang besar saiznya.” Berkenaan penjarahan ke atas Rome, Procopius menulis:

“… meletakkan emas dan perbendaharaan diraja lain yang tidak terhitung banyaknya ke dalam kapal-kapal mereka dan mereka pun berlayar pulang ke Carthage, tanpa meninggalkan sebarang gangsa mahupun apa jua harta di istana Rome. Mereka juga menjarah kuil Jupiter Capitolinus dan meruntuhkan separuh bumbungnya. Bumbung tersebut diperbuat daripada gangsa yang tinggi kualitinya. Begitu juga dengan emas tebal yang ditatahkan padanya.”

CAMPUR TANGAN OLEH PAUS LEO

Turut didakwa bahawa kononnya penjarahan kota Rome di tangan Vandal ini mungkin jauh lebih dahsyat andai Paus Leo tidak campur tangan. Menurut beberapa sumber, sebaik sahaja Gaiseric tiba di tembok kota Rome, Paus diutus supaya bertemu dengan Gaiseric dan meminta belas kasihan daripadanya. Diceritakan bahawa Leo memberi kebebasan kepada Gaiseric untuk menjarah kota. Namun, beliau merayu supaya bangunan dan penduduknya tidak diapa-apakan. Permintaan ini dipenuhi oleh Gaiseric.

Paus Leo merayu kepada Gaiseric agar memberi belas kasih

Terdapat pendapat yang mengemukakan bahawa Gaiseric akur kepada permintaan Paus lantaran beliau tidak mahu memanjangkan tempoh pengepungan memandangkan pada waktu itu Itali sedang dilanda kebuluran. Tembok kota Rome pula ampuh dan sukar ditembusi.

Walau bagaimanapun, sejauh mana kebenaran kisah ini masih belum dapat dipastikan. Keadaan ini seterusnya membuatkan reputasi buruk yang dipalitkan pada Vandal dipersoalkan dan ia terus menjadi bahan perdebatan sehingga ke hari ini.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (24 Oktober 2015). Exploring the Origins of the Vandals, The Great Destroyers. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/exploring-origins-vandals-great-destroyers-004307


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.