Songkok merupakan salah satu daripada perhiasan kepala yang dikategorikan dalam keluarga ‘Destar’ pada pakaian cara Melayu. Songkok moden pada hari ini kebanyakannya diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam yang dijahit pada lapisan kertas keras serta peragaannya terkadang diserikan dengan hiasan pada bahagian tepinya daripada hiasan kain berupa renda atau ropol daripada kain satin, sulaman bermotif dan sebagainya.
Dalam tatacara pakaian kebangsaan, Songkok dianggap sebagai alat pelengkap kepada peragaan rasmi ‘baju melayu’ yang dipakai dalam majlis-majlis rasmi selain peranannya turut dipasangkan bersama kain songket. Bahkan, penggunaan songkok turut boleh diperagakan bersama pakaian-pakaian formal barat yang lain.
Nama Songkok dipercayai dipinjam daripada nama pakaian adat Bugis dari suku Bone,iaitu Songko’ Recca.Namun Songko’ Recca kebiasaanya diperbuat dari gentian sabut atau pohon palma yang dirajut serta dijalin. Manakala Songkok yang kita kenal pada hari ini juga pada awalnya memang sudah terbuat daripda fabrik yang pada awalnya dilipat,dan dikeraskan sebelum dijahit,dikenali sebagai ‘Getam Bulan atau Songkok Daeng yang berbentuk bulat dan rata di bahagian atasnya.
Perihal bentuk asal Songkok Daeng yang diubah menjadi Songkok Keras ini ada disebut dalam catatan Mejar Mohd Said Sulaiman dalam Pakai Patut Melayu: “Maka ada jua setengah daripada ikatan setangan itu diikat keras iaitu seperti keadaan songkok menjadi keringkasan bagi memakainya yang demikian terbit pada fikiran Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Abu Bakar lebih munasabah dan ringkas memakai Songkok sahaja
Menurut catatan saudara Amir Hisyam pula, hubungan baik di antara Sultan Sir Abu Bakar dengan Sultan Abdul Hamid II dari kerajaan Turki Uthmaniyah ketika itu menyebabkan Baginda berkenan mengadaptasi Fez sebagai pakaian Melayu Johor.Fez atau juga disebut sebagai Tarbus menjadi sebahagian pakaian rasmi tentera Uthmaniyah sejak zaman Sultan Mahmud II.Catatan berkenaan Songkok di Johor pertama kali disebut dalam Syair Siti Zubaidah: “..berbaju putih bersongkok merah..”
Dalam buku ‘The Malay States’ oleh Philip C.Coote juga diadaptasikan daripada Fez Turki,tetapi agak menyerupai topi orang-orang Eropah,tetapi tidak mempunyai bahagian tepi,bertujuan memudahkan pemakainya bersujud ketika sembahyang, sebagaimana berikut: “…but with a little brimless hat,rather like a Turkish fez without the tassle, and made of red,black,yellow or green velvet which is always worn.The cap is made without a brim, in order that in accordance with his Mahomedan faith,the wearer may prostrate himself the more easily on the ground”
Rekabentuk Fez pulz pada asalnya adalah daripada Qalansuwah, iaitu sejenis penutup kepala yang agak keras dan menonjol yang dikenakan oleh Rasulullah ﷺ bersama-sama lilitan serban Baginda, sebagaimanan catatan Imam Ibn Qayyim رحمه الله dalam Zaad Al-Ma’ad.
Songkok meraih populariti yang hebat ketika zaman Presiden Soekarno memulai gerakan kemerdekaan di Indonesia, sekitar tahun 1921 apabila beliau menyarankan agar peci hitam dipakai sebagai lambang kesatuan nasional tanpa mengira agama,bangsa atau budaya yang berbeza di seluruh Nusantara.
Peci merupakan sebutan orang-orang Indonesia untuk Songkok sebelum nama ‘Songkok’ lebih dikenali di Malaysia dan Brunei.Dipercayai nama Peci berasal dari perkataan ‘Petje’ dalam bahasa Belanda yang merupakan kuasa kolonial yang paling lama menduduki Indonesia.
Selain daripada mempopularkan Songkok, Soekarno juga telah membuat sedikit perubahan kepada bentuk asal Songkok yang bulat kepada sedikit membujur,yang diinspirasikan daripada topi Belanda itu sendiri.Migrasi sebahagian besar orang-orang Indonesia ke Persekutuan Tanah Melayu (sebelum pembentukan Malaysia) membawa bersama mereka sebahagian tukang-tukang pembuat songkok juga yang akhirnya membawa kepada populariti songkok berbentuk bujur yang kita kenali hari ini.
Songkok juga diadaptasi sebagai sebahagian baju seragam Rejimen Ask4r Melayu Diraja di awal penubuhannya sekitar tahun 1933 dan dikekalkan sehingga ke hari ini. Pada hari ini rekabentuk songkok telah mengalami lebih banyak perubahan semisal wujudnya songkok jenis boleh lipat serta berberapa rekaan yang sinonim dengan individu tertentu misalnya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dikenal sebagai ‘Songkok Tun’.
Jadi apabila anda mengenakan songkok pada harini,berbanggalah dengan sejarahnya yang begitu unik dan niatkanlah untuk memakainya bagi menjaga kehormatan diri serta mencontohi sunnah Rasulullah ﷺ yang memakai Qalansuwah.
RUJUKAN:
Destar Alam Melayu, Johan Iskandar, Akademi Seni Warisan Tradisional Melayu. 2.Sejarah Songkok, Amir Hisyam https://www.facebook.com/laksamana.putrajaya/posts/673655173119315
Seminar Destar Alam Melayu, pembentangan oleh Encik Fadzil Azwan dari Persatuan Penggiat Seni Alam Melau (PERNILAM) di Universiti Malaya,28 November 2019
Pakai Patut Melayu,Mejar Mohd Said Sulaiman,Penerbit UKM
Zad Al-Ma’ad Fi Haadi Khayril ‘Ibad, ibn Qayyim Al-Jauziyah, Dar Kutub ilmiyyah
The Malay States,Philip C.Coote , A& C Black
Fakta Peci Soekarno: https://www.boombastis.com/fakta-peci-sukarno/86474
Makna Tersembunyi di Balik Helaian Benang Emas Songkok Bone https://www.liputan6.com/regional/read/3023741/makna-tersembunyi-di-balik-helaian-benang-emas-songkok-bone
Rejimen Askar Melayu Diraja 1933-1968, Syed Othman Syed Omar, Penerbit UM 10.Songkok Style Tun Pilihan Dr Mahathir
https://www.sinarharian.com.my/article/29974/BERITA/Nasional/Songkok-Style-Tun-pilihan-Dr-Mahathir
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih