Menurut Terry dan Sean (2011), kata joget membawa dua maksud, iaitu tari dan penari wanita. Joget tari tradisional yang termasyhur oleh gerakan tangan gemalai dan rentak kaki yang perlahan, diiringi lagu pantun yang meratapi nasib daripada sudut pandangan Edy Sedyawati (1992:26) dalam Anastasia Wiwik dan Hanafi (2007).

Joget dicipta oleh orang Melaka pada abad ke-16, disesuaikan daripada tari Branyo Portugis yang berganding dengan lagu Jingli Nona (Yayasan Warisan Johor, t.t.; Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, 2011; Mollyosc, 2011). Joget Melaka dikenal juga sebagai joget lambak atau Cak Kun Cak kerana ditarikan secara berpasangan atau beramai-ramai.

Anastasia Wiwik dan Hanafi (2007) berpendapat bahawa pergerakan joget berasal daripada tari Ronggeng Melayu di Sumatera Utara yang ditarikan secara berpasangan. Beberapa jenis joget yang termasyhur joget Melaka, joget gamelan dari Pahang dan Terengganu, joget dangkung dari Riau.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa joget tari asimilasi yang memancarkan budaya Timur dan Barat (HAMIDIsP, 2015). Rencana ini akan menghalusi keindahan joget daripada dua sudut, iaitu pergerakan dan pantun joget.

Pergerakan Joget

Terdapat dua jenis pergerakan joget bergantung pada jenis joget: pantas dan perlahan.

Joget yang berentak pantas lazim ditarikan oleh sepasang kekasih. Menurut Muhd Noramin (2018) dan Terry dan Sean (2011), joget ditarikan dengan rentak dua atau empat langkah satu set, menyerupai tari tarantello dan fandango Eropah yang mempunyai rentak enam atau lapan langkah satu set. Irama joget pula disesuaikan daripada lagu Portugis (Ibrahim, 2004).

Alat muzik yang mengiringi tari joget pula rebana, serunai, gambus, bangsi, gendang, gong (Irwan, 2018). Pantas pergerakan joget, seiring dengan irama yang ceria. Pada akhir tari, paluan gendang menjadi cepat, sepasang kekasih akan berhadapan dan menari dengan bertukar kaki secara pantas (laman Malaysia Truly Asia, t.t.). Hal ini menunjukkan peranan joget pantas sebagai penerjemah kegembiraan dan kebahagiaan sepasang kekasih.

Selain rancak, joget dapat ditarikan secara gemalai juga. Joget dangkung yang ternama di Kepulauan Riau ditarikan dalam Upacara Enau di Kraton Bulungan, Kalimantan Timur (Anastasia Wiwik dan Hanafi, 2007). Di Riau, nelayan menyaksikan joget dangkung sebagai hiburan untuk mengisi masa senggang yang panjang selepas muslim melaut. Dalam upacara tersebut, dua orang wanita duduk bersimpuh lalu mengatur sembah.

Selepas itu, mereka menari sambil memegang kipas. Kebanyakan gaya tari mereka menggambarkan cara berhias wanita. Akhir sekali, tari diakhiri dengan kedudukan duduk bersimpuh dan mengatur sembah semula.

Namun begitu, apabila kesedaran Islam berkembang, wanita berubah menjadi penyanyi pantun, tugas menari pula diambil alih oleh lelaki. Hal ini dikatakan demikian kerana agama Islam tidak membenarkan wanita merendahkan kehormatannya di hadapan lelaki dengan menari. Oleh itu, lahir jugalah penari-penari wanita profesional dalam tari joget.

Di samping itu, joget gamelan yang berasal dari Pahang dan Terengganu ditarikan oleh sekumpulan wanita secara gemalai dan perlahan juga, menyerlahkan kesantunan dan kesederhanaan orang Melayu. Joget gamelan, berdasar pada tujuan asalnya, ditarikan untuk menghibur bangsawan di istana.

Beberapa pergerakan joget gamelan seperti duduk simpuh katak, campak lenggang (menari tertib), campak lenggang sambut gong (menari tertib berpandukan rentak alat muzik), mengayak (bergerak ke kiri, ke kanan) dan menapak (maju dengan membengkokkan lutut) (Norsafini dan Rahmah, 2015).

Secara umum, indahnya joget terserlah dalam langkah-langkah yang tertib, perlahan, santun dan kadang-kadang melaju untuk pasangan meluahkan kegembiraan.

Pantun Joget

Selain langkah-langkah joget, pantun meranumkan keindahan yang setimpal dengan lemah gemalainya pergerakan joget. Pantun digubah sebagai seni kata joget. Hal ini dikatakan demikian kerana hubungan antara pembayang dengan bahagian maksud bertaut secara indah dan berbudi bahasa.

Dalam pantun, salah satu kayu ukur keindahan pantun hubungan yang harmoni antara pembayang dengan maksud (Muhammad, 2000). Kebanyakan pantun joget menceritakan penantian kekasih dan berirama sayu. Oleh itu, pembayang alam yang merawankan rasa sering dikaitkan dengan kehampaan penantian.

Rencana ini mengamati tiga rangkap pantun daripada Joget Mengidam Rindu, Joget Berkias Kasih dan Joget Orang Berkasih yang dinyanyikan oleh Noraniza Idris, penyanyi yang tekal memperjuangkan lagu irama Malaysia selama ini. Lagu joget Noraniza Idris menjadi pilihan kerana irama syahdu yang sesuai dengan konsep rindu duka orang Melayu dan seni kata puitis yang dimatangkan kerinduan.

Daun kenanga gugur ke anjung,

        Pohon meranti dahannya retak;

Tujuh purnama duduk bermenung,

        Orang dinanti tibanya tidak.

  • Joget Berkias Kasih

Rangkap pertama pantun daripada Joget Berkias Kasih ini menceritakan kesetiaan seorang wanita menunggu kepulangan suaminya. Kesetiaannya terpahat selama tujuh bulan, namun suaminya tidak pulang-pulang.

Untuk penulis mencambahkan rasa rindu dan hampa, pembayang yang memilukan telah digunakan: daun kenanga yang gugur dan dahan meranti yang retak.  Bunga kenanga lambang kasih teguh lelaki kerana tahan akan pelbagai cuaca dan menjadi peneduh halaman (umpama lelaki yang melindungi wanita dan rumahnya) (Anida, 2018).

Pohon meranti yang bersifat tinggi menjulang, teguh dan mempunyai guna yang banyak menjadi kiasan keteguhan dan sanjungan cinta si dara kepada si jejaka. Daun kenanga yang gugur menggambarkan kasih lelaki yang berkurang, dahan meranti yang retak pula menggambarkan kesetiaan yang makin goyah, tua dan tidak berbalas. Nyatalah pembayang berpadanan dengan maksud tujuh purnama duduk bermenung/orang dinanti tibanya tidak.

Colek-colek buah mempelam,

        Idam-idam suri mengandung;

Biar terbalik biarpun tenggelam,

        Kerana cinta kasih disanjung.

  • Joget Mengidam Rindu

Pantun daripada Joget Mengidam Rindu ini menerjemahkan idaman kecintaan melalui ikatan pembayang dan maksud. Berpandu pada pembayang, seorang wanita hamil mengidam akan buah mempelam muda. Suri yang mengandung cenderung makan buah masam untuk mengurangkan kemualan dan menyeimbangkan nilai pH badan (Febby, t.t.). Mengidam petanda kekurangan zat badan ibu hamil (Azlinda, 2012).

Jika wanita hamil menyanjung buah mempelam sebagai idaman, demikian jugalah halnya seseorang gadis yang menyanjung cinta. Dengan itu, buah mempelam dalam pembayang dikiaskan kepada cinta yang diidamkan dalam bahagian maksud; suri mengandung pula kiasan gadis yang sedang bercinta. Seseorang ibu hamil mengidamkan mempelam, seseorang gadis pula mengidamkan cinta sejati.

Kapal dagang turunkan sauh,

        Sarat berisi si buah pinang;

Bila terkenang orang yang jauh,

        Air mataku jatuh berlinang.

  • Joget Orang Berkasih

Rangkap kedua pantun Joget Orang Berkasih ini menceritakan kenangan terhadap seorang perantau. Pembayang memerihalkan sebuah kapal dagang yang berlabuh dengan bekal buah pinang. Kapal dagang melambangkan perantau yang merupakan kekasih wanita dalam pantun ini. Dagang bermaksud perantau. Buah pinang pula melambangkan lelaki yang berketurunan mulia dan jujur.

Hal ini dikatakan demikian kerana pokok pinang tumbuh tinggi dan lurus, serupa dengan martabat atau keturunan tinggi seorang lelaki. Buah pinang yang mengandung empulur putih pula membayangkan hati yang jujur (Masril, 2018).

Secara keseluruhan, kapal dagang yang memuatkan bekal buah pinang dirujukkan kepada kekasih lelaki yang berketurunan mulia dan jujur yang telah lama merantau. Pembayang berpadanan dengan maksud: pembayang menggalurkan pedagang yang pulang melabuhkan kapalnya, sementara maksud menghalusi air mata kerinduan si gadis terhadap kekasih perantau yang tidak pulang-pulang.

Simpulan

Sebagai rumusan, indah pergerakan joget kerana sifat berpada dan santun; indah pantun kerana ikatan mesra antara hubungan dengan pembayang. Pembayang telah menyediakan pemandangan yang memilukan sebagai gambaran awal seperti pohon yang berbalam, kapal dagang, daun yang gugur, untuk menambah penghayatan tentang kerinduan, kepiluan, kehampaan dalam percintaan.

Kalau pantun mengatur aksara pilu, joget pula menerjemahkan kepiluan itu melalui gerak yang gemalai, berpada dan santun. Nyatalah tekad orang Melayu menjaga susila berbahasanya dengan berkias madah walaupun dilambung kerawanan dan kekecewaan.

Lebat di ladang buah delima,

      Minum secawan khasiat padu;

Indah berdendang pantun berima,

      Joget peneman melipur rindu. 

RUJUKAN:

Anastasia Wiwik Swastiwi & Hanafi Hussin. (2007). Joget dangkung dan        perkembangannya di Kepulauan Riau sejak 1913 hingga alaf baru. Jati, 12,        211—228.

Anida Sarudin. (2018). Metafora bunga kiambang dalam pantun Melayu          berdasarkan teori relevans dan rangka rujuk silang. International Journal of Education, Psychology and Counseling, 3 (16), 1—17.

Azlinda. (2012, Januari 27). Mengidam semasa hamil. Kementerian Kesihatan           Malaysia.  http://www.myhealth.gov.my/mengidam-semasa-mengandung/

Febby. (t.t.). Mengapa ibu hamil mengidam makan asam? Ini penjelasan doktor!.        theAsianparent Malaysia. https://my.theasianparent.com/mengapa-ibu-hamil-      ngidam-makanan-asam-ini-penjelasan-doktor

HAMIDIsP. (2015, Januari 6). Tahukah anda asal-usul joget?. SentiasaPanas.        http://www.sentiasapanas.com/2015/06/tahukah-anda-asal-usul-tarian-joget.
html#axzz6Jw0ORdMO

Ibrahim Ahmad. (2004). Muzik kontemporari sebagai alat pembentukan nilai
dalam komuniti: ke mana halatuju kita? 1—12.

Irwan P. Ratu Bangsawan. (2018). Kamus istilah tarian Melayu. Dinas Pendidikan.

Joget 1 Malaysia di Melaka. (t.p.). (2011, Disember 16). Jabatan Kebudayaan &           Kesenian Negara. http://www.jkkn.gov.my/en/joget-1malaysia-di-melaka

Music and dance. (t.p.). (t.t.). Malaysia Truly Asia. https://www.malaysia.travel/
en/ay/about-malaysia/culture-n-heritage/music-and-dance

Masril Mat Rosdi. (2018, September 21). Ini fungsi sirih pinang dalam adat Melayu      yang anda tak tahu. VITDAILY. https://www.vitdaily.com/ini-fungsi-sirih-pinang-      dalam-adat-melayu-yang-anda-tak-tahu/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pui Wen Hang guru pelatih IPG Kampus Bahasa Melayu. Dia meminati tatabahasa Melayu dan mengkaji Tatabahasa Dewan untuk mengukuhkan asas bahasanya sejak sekolah menengah lagi. Sejak melanjutkan pengajian ke peringkat IPG, Wen Hang bermula menceburi kesusasteraan dan menulis beberapa sajak, cerpen dan rencana. Wen Hang berpegang teguh pada kepercayaan bahawa, dengan menerapkan tatabahasa dalam sastera, di samping mengadunkan pelbagai gaya bahasa, seseorang pengarang mampu melahirkan bahasa yang kemas, indah dan bertaraf bahasa bertamadun.

Comments are closed.