Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkeras untuk menguasai Semenanjung Gaza. Beliau melihat dengan cara tersebut, ia akan membantu pembangunan semula wilayah Palestin itu sekaligus menjadi pusat pelancongan yang diberi jolokan ‘Riviera in the Middle East’. Meskipun begitu, hasrat figura kontroversi berusia 78 tahun itu ditentang ramai pihak terutama di dunia Arab.

Ini kerana tindakan Trump dilihat bukan saja menunjukkan beliau jahil tentang impak besar yang akan dirasai rantau tersebut untuk jangka masa panjang. Malah, tindakan tersebut jelas satu tindakan jenayah kemanusiaan dan perang. Ini turut menjadikan AS bersubahat dengan setiap perilaku jenayah yang dilakukan sekutu mereka, Israel.

Walau bagaimanapun, ini bukan kali pertama AS menunjukkan minat untuk menduduki tanah Palestin. Hasrat tersebut sudah dizahirkan negara Uncle Sam itu sejak abad ke-19 lagi.

[Usaha Awal AS Untuk Menjajah Palestin]

Usaha pertama AS untuk menduduki tanah Palestin bermula pada tahun 1820-an menerusi kumpulan mubaligh Kristian Presbyterian. Misi mereka ialah menyebarkan ajaran Kristian terhadap populasi Muslim Palestin, Kristian Ortodoks dan Yahudi Palestin serta 4,000 Yahudi Lithuania yang tiba di situ.

Meskipun begitu, usaha mereka tidak bertahan lama. Ini disebabkan kehadiran satu lagi kumpulan mubaligh Anglican dari Britain di Palestin. Kehadiran mereka menjadikan misi mubaligh AS tidak lagi relevan di kawasan tersebut. Kumpulan ini menjadi antara kelompok pertama orang AS yang cuba menduduki tanah Palestin.

Ini dilihat sebahagian daripada usaha orang Kristian Eropah untuk kembali menakluk wilayah tersebut secara aman atau ‘Peaceful Crusade’.

Bagi menjayakan usaha mereka, kelompok peneroka dan mubaligh Kristian AS berusaha menubuhkan koloni pertanian di Palestin. Salah satunya di Jaffa (kini Tel Aviv) dengan kelompok ini berusaha memujuk orang Yahudi Palestin untuk menukar agama mereka. Malangnya, penduduk tempatan langsung tidak termakan dengan dakyah yang dibawa mereka.

Selain itu, kelompok Yahudi Palestin dilabel pemalas kerana enggan bertani mengikut cara yang diajar kelompok mubaligh AS tersebut. Ini mengakibatkan beberapa koloni pertanian yang diusahakan peneroka AS di Palestin gagal. Contohnya, pada tahun 1851, sekumpulan pengikut Seventh-day Adventists atau Millerites tiba di Baitulaham untuk mengusahakan koloni pertanian di situ.

Selepas itu, kelompok tersebut kemudiannya berpindah ke Jaffa untuk mengusahakan koloni Mount Hope. Malangnya, penubuhan koloni tersebut langsung tidak membuahkan hasil. Situasi sama turut menimpa salah satu ahli Millerites, Walter Dickson. Beliau menubuhkan sebuah koloni yang dipanggil “American Mission Colony” di Jaffa pada 1854.

Namun, kumpulan ini mendapat tentangan penduduk tempatan. Ini membawa kepada konflik yang tercetus pada tahun 1858 yang mengakibatkan beberapa peneroka terbunuh. Peneroka dan ahli keluarga mereka yang terselamat kemudiannya dihantar pulang ke Massachusetts. Berang dengan insiden itu, kerajaan AS kemudiannya menghantar sebuah kapal frigat bernama USS Wabash ke perairan Palestin.

Ini bertujuan memaksa pemerintah Palestin ketika itu, Empayar Turki Uthmaniyyah mencari individu-individu yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

[Cubaan Kedua AS: Campur Tangan Kerajaan]

Lapan tahun kemudian, satu lagi kumpulan peneroka diketuai George Washington Joshua Adams mencuba nasib di Palestin. Kali ini, kumpulan tersebut mendapat sokongan kerajaan yang ketika itu diketuai Presiden Andrew Johnson.

Johnson dan Setiausaha Negara, William H. Seward menghantar petisyen kepada Empayar Turki Uthmaniyyah untuk membenarkan mereka mengadakan koloni di Palestin. Ini bagi memastikan pembelian tanah yang dibuat koloni Adams dihormati kerajaan tersebut.

Kehadiran peneroka baru ini mencetuskan kemarahan penduduk Palestin. Hal ini mendorong Empayar Turki Uthmaniyyah mengeluarkan satu surat protes kepada duta AS di Istanbul ketika itu. Surat tersebut menyatakan penduduk tempatan telah dihalau keluar dari tanah mereka oleh peneroka-peneroka Yankees.

Hasrat Adams untuk menjadikan koloninya berjaya tidak kesampaian sama sekali. Koloni tersebut hanya bertahan selama dua tahun dengan ramai peneroka memilih untuk pulang ke AS. Hanya 20 peneroka saja yang memilih kekal, sebahagian daripadanya memilih untuk menetap di Palestin.

Pada tahun 1881, giliran pasangan mubaligh Protestan, Horatio dan Anna Spafford pula mencuba nasib menubuhkan koloni di Palestin. Tidak seperti koloni-koloni sebelumnya, mereka tidak menyebarkan dakyah Kristianisasi. Langkah ini membolehkan mereka dapat menjalinkan hubungan erat dengan komuniti Palestin.

Menjelang abad ke-20, bilangan peneroka kelompok tersebut mencapai 150 orang. Koloni ini bertahan sehingga tahun 50-an sebelum dibubarkan akibat pertikaian dalaman sesama mereka.

[Trump & Mimpi Penjajahan Yang Tak Berkesudahan]

Apabila melihat semula kronologi sejarah ini, jelas menunjukkan Trump berusaha merealisasikan mimpi penjajahan yang tak berkesudahan tentang Palestin sejak abad ke-19.

Dan seperti mimpi itu juga, ia akan berakhir dengan kegagalan. Ini kerana penduduk Palestin memiliki rasa cinta yang tinggi terhadap tanah air mereka. Rasa cinta itu juga dilihat mampu mengatasi cita-cita imperialis yang dimiliki AS dan Israel.

[Sumber]

Massad, J. (2025). Trump’s plan to colonise Gaza echoes failed 19th-century American missions. Middle East Eye.

Richter, J. (1910). A History of Protestant Missions in the Near East. Fleming H. Revell Company.

Vogel, L. I. (2010). To See A Promised Land: Americans and the Holy Land in the Nineteenth Century. Pennsylvania State University Press.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.