Mesir kaya dengan pelbagai artifak bersejarah terutama dari era Mesir Purba. Di sebalik pelbagai artifak para Firaun dari Akhenaten hinggalah Ramses II dan Tutankhamun, satu nama yang kurang menonjol ialah Firaun Khufu. Ini disebabkan kisah baginda tidak banyak diketahui oleh pengkaji Mesir Purba sehingga hari ini. Tetapi ia dijangka berubah menerusi penemuan terbaru di kawasan kejiranan Ayn-Shams, Kaherah beberapa hari lepas.

Empat hari sebelumnya, pasukan pengkaji Mesir-Jerman menemui blok-blok batu era Khufu di barat muzium terbuka Matariya, Kaherah. Selain blok-blok batu besar yang diperbuat daripada granit, mereka turut menemui batu asas kuil matahari yang didedikasikan kepada baginda di tempat sama. Kebanyakan blok batu ini wujud seawal 2580 SM sekaligus menjadikan artifak-artifak ini sebagai yang tertua pernah ditemui di Matariya.

Kesemua artifak ini ditemui di bawah pelbagai lapisan serpihan objek dari pelbagai era iaitu Rom, Rom Timur/Byzantine, zaman awal Islam (dari era Amru bin al-As r.a sehingga era Fatimiyah dan Ayubiyah), Mamluk dan Turki Uthmaniyah. Selain blok batu granit era Khufu, pasukan pengkaji turut menemui tapak patung Ahmose II dan dipercayai berasal dari zaman akhir Mesir Purba (525-332 SM) dan patung-patung berbentuk sfinks.

Antara contoh patung sfinks yang ditemui pasukan pengkaji Mesir-Jerman di Matariya. Sumber: Kementerian Antikuiti Mesir

Penemuan objek-objek ini menunjukkan kawasan ini merupakan kawasan penting untuk golongan diraja terutama apabila ia berfungsi sebagai pusat pentadbiran kerajaan ketika itu. Antara Firaun yang pernah mentadbir Mesir Purba dari Matariya ialah Amenemhat II (1914–1879 SM), Thutmosis III (1479-1425 SM), Ramses II (1279-1213 SM) dan Seti II (1204-1198 SM).

Sebelum ini, blok-blok batu granit telah ditemui berhampiran dengan obelisk Firaun Senusret I. Penemuan blok-blok granit dan batu asas kuil matahari di Matariya dianggap penting bagi pihak berkuasa antikuiti Mesir. Ini kerana ini menunjukkan keprihatinan Firaun Khufu terhadap aktiviti keagamaan Mesir Purba termasuk menyembah dewa utama tamadun berkenaan iaitu Ra (dewa matahari).

Salah satu blok batu granit era Firaun Khufu yang ditemui di Matariya. Sumber: Kementerian Antikuiti Mesir.

Pengkaji Mesir Purba percaya pada satu ketika, blok-blok granit ini pernah menjadi sebahagian daripada struktur Piramid Agung Giza. Tetapi sebahagian batu piramid berkenaan dialihkan dan digunakan semula untuk pembinaan monumen baru semasa era Ramses.

Mungkin ada menganggap perkara ini sebagai pelik. Tetapi pada era Firaun-Firaun tersebut, batu-batu dari monumen-monumen lama selalu dimanfaatkan semula sebagai asas binaan monumen-monumen baru semasa era pemerintahan mereka. Antara monumen yang dipengaruhi oleh trend ini ialah Kuil Seti I di Abydos dan Kuil Abu Simbel yang didedikasikan kepada Firaun Ramses II.

Kuil Abu Simbel merupakan contoh trend seni bina yang berlaku semasa era Ramses. Sumber: Youssef_Alam/CC BY-SA 3.0.

Mengikut rekod sejarah, Firaun Khufu merupakan Firaun kedua Dinasti Keempat yang memerintah separuh pertama zaman Kerajaan Lama Mesir Purba. Sudah pasti, jasa baginda yang terus diingati sehingga hari ini ialah mengarahkan pembinaan Piramid Agung Giza di mana ia kemudiannya menjadi sebahagian daripada Tujuh Keajaiban Dunia. Piramid itu juga merupakan sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO selepas pertubuhan itu menyenaraikan Memphis dan kawasan nekropolis sekitarnya dalam senarai berkenaan pada 1979.

Di sebalik pencapaiannya itu, ada saja yang cemburu. Salah seorang daripadanya ialah sejarawan Yunani Herdotus. Dalam catatannya, beliau melabel Khufu sebagai seorang pemerintah zalim dan mempergunakan golongan hamba sebagai cara menyiapkan pembinaan Piramid Agung Giza.

Ramai sejarawan percaya cerita sebegini sengaja disebarkan bagi mengukuhkan kredibiliti Dinasti Ptolemy yang memerintah Mesir dari 305 hingga 30 SM. Dengan menyebarkan cerita sebegini, kononnya Dinasti Ptolemy dianggap jauh lebih baik daripada Firaun-Firaun terdahulu termasuk Khufu. Dan berdasarkan kajian pengkaji Mesir Purba, piramid bukan dibina atas keringat hamba tetapi atas jasa ribuan pekerja dengan hak mereka dijamin termasuk pembayaran gaji.

Nota kaki

Era Ramses – era di mana Firaun-Firaun bernama Ramses berkuasa di Mesir dari 1292 hingga 1069 SM

RUJUKAN

Gomaa, A. (2022, 18 Jun). New archaeological discovery in King Khufu’s reign. Al-Monitor.

Pandey, S. (2022, 15 Jun). “First of Its Kind” 2600-BC King Khufu Evidence Found In Cairo!. Ancient-Origins.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply