“Aku tidak pernah melihat seorang wanita yang lebih jelita dan berkemahiran daripada Arib. Beliau bukan saja boleh menyanyi dan bermain alat muzik tetapi boleh mengarang puisi dan bermain catur dengan baik.” – kata-kata seorang cendekiawan muzik Abbasiyyah bila ditanya tentang perihal Arib al-Ma’muniyyah

Pada zaman Bani Abbasiyyah, kelibat hamba berstatus penyanyi atau qayna bukan sesuatu yang asing. Mereka merupakan penghibur bagi golongan elit Abbasiyyah termasuk bangsawan dan khalifah. Dalam kes Arib al-Ma’muniyyah, beliau merupakan penghibur kepada sekurang-kurangnya lima orang khalifah kerajaan berkenaan.

Lahir pada 797 atau 798 Masihi, Arib dikatakan telah dijual sebagai hamba bila mencecah usia 10 tahun. Tetapi wujud khabar angin bahawa beliau sebenarnya puteri kepada wazir Bani Abbasiyyah semasa era Harun al-Rashid, Jaafar bin Yahya al-Barmaki dan seorang hambanya bernama Fatimah.

Justeru, jika benar khabar angin ini, ini bermakna Arib sudah berstatus hamba atau dijual sebagai hamba susulan kejatuhan keluarga al-Barmaki. Keluarga al-Barmaki tumbang selepas Jaafar disyaki melanggar syarat khalifah berkenaan satu perkahwinan antara beliau dengan kekanda baginda Abbasa binti al-Mahdi. Akibatnya, Jaafar ditahan sebelum dikenakan hukuman pan.cu.ng.

Selain Jaafar, anggota keluarga al-Barmaki lain turut ditahan dan seluruh harta mereka dirampas selepas disyaki berlaku khianat dan cuba menggulingkan kedudukan Harun sebagai khalifah. Satu-satunya ahli keluarga al-Barmaki yang terselamat daripada aktiviti ‘pembersihan’ ini ialah saudara Jaafar, Muhammad bin Yahya al-Barmaki.

Walaupun berstatus hamba, Arib berusaha untuk menjadikan dirinya celik huruf dan mahir dalam pelbagai perkara yang digemari golongan elit. Ini termasuk menunggang kuda, mengarang karya sastera, menyanyi, bermain alat muzik dan bermain catur. Ini sekaligus meningkatkan nilainya sebagai hamba di pasaran berikutan kemahiran-kemahiran ini hanya boleh dikuasai oleh hamba-hamba tertentu sahaja.

Kelebihan bakat Arib mula diketahui di seluruh Iraq termasuk ibu kota kerajaan Abbasiyyah, Baghdad. Menjelang tahun 810, Khalifah al-Amin mendapatkannya sebagai penghibur istana khalifah. Walaupun al-Amin kemudiannya tumbang di tangan kekandanya al-Ma’mun dalam perebutan takhta khalifah, khidmat Arib terus dikekalkan oleh baginda.

Malah, baginda menyediakan upah sebanyak 50,000 dirham khas untuknya. Jika dibandingkan dengan upah artisan ketika itu, upah mereka hanya sekitar 20 dirham sebulan sekaligus menunjukkan betapa bernilainya bakat Arib sebagai qayna. Semasa era al-Mutawakkil, baginda bersedia membayar 100,000 dirham sebagai penghiburnya di istana.

Oleh kerana kemahirannya sebagai penyanyi dan sasterawan, Arib amat mengetahui gaya dan tradisi muzik sesebuah wilayah serta biasa dengan selera pendengarnya. Mengikut catatan, beliau telah menghasilkan lebih 1,000 buah lagu. Dua lagunya yang memperlihatkan kebencian beliau bergelar hamba turut mendorong pengganti al-Ma’mun, al-Mu’tasim untuk memerdekakannya.

Arib mempunyai ramai kekasih dalam kalangan golongan elit termasuk bangsawan dan khalifah. Malah, usah terkejut jika wujud khabar angin hubungan erotik antara beliau dengan beberapa khalifah Abbasiyyah seperti al-Ma’mun, al-Mu’tasim dan al-Mutawakkil. Dan perihal mereka turut menjadi inspirasi beberapa lagunya berkenaan kekasih.

“Apabila kekasihku berlalu pergi
Walau melawan keinginanku
untuk dia kekal di sisi.

Perpisahan membuatkanku canggung
kerna aku tidak punya pengganti.

Apabila kelibatnya tiada di mataku
aku merasa letih dengan kehidupan.”

– terjemahan salah satu lagu Arib oleh Fuad Caswell

Arib kembali menemui Tuhan pada usia 96 tahun semasa era pemerintahan al-Mu’tadid. Dikatakan pada penghujung usianya, beliau dikatakan sudah bergelar hartawan, mempunyai hartanah dan bertanggungjawab melatih kumpulan qayna seterusnya. Anekdot kisahnya sedikit sebanyak menambah lagi warna pengetahuan sejarah kehidupan golongan elit era Bani Abbasiyyah.

Nota kaki

  • al-Barmaki – keluarga bangsawan berdarah Parsi yang menjadi tulang belakang pemerintahan khalifah-khalifah awal Bani Abbasiyyah. Merupakan keturunan pentadbir atau ketua biara Buddha Nava Vihara di Balkh, Afghanistan hari ini. Merupakan penaung kepada ramai cendekiawan, ulama dan sasterawan pada era Bani Abbasiyyah dengan tradisi dimulakan oleh Khalid al-Barmaki. Nama mereka turut disebut dalam beberapa kisah 1001 Malam

RUJUKAN:

Robinson, Chase F. (2021). ‘Arib al-Ma’muniyya: the enslaved medieval woman who sang her way to wealth. HistoryExtra.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.