Area 51 dan kerahsiaan tidak boleh dipisahkan seperti irama dan lagu. Apatah lagi bila ada elemen objek terbang tak dikenali atau UFO yang dikatakan sentiasa berada di kawasan itu. Dua perkara ini saja sudah cukup untuk bikin pengamal teori konspirasi jadi gila.
Tetapi di sebalik semua ini, ada sebab mengapa kerajaan Amerika Syarikat merahsiakan kawasan ini dari pengetahuan umum terutamanya negara-negara asing. Sebabnya mudah saja, ia sebenarnya tapak ujian pesawat-pesawat rahsia Amerika.
10 tahun selepas tamat Perang Dunia Kedua (WWII), Presiden Dwight Eisenhower meluluskan projek pembinaan sebuah kapal terbang yang boleh terbang tinggi, terbang dengan jarak jauh dan berkemampuan mengambil gambar sasaran perisikan berkualiti.
Dua pihak dipilih untuk menjayakan projek ini ialah Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dan syarikat pengeluar pesawat Lockheed Martin. Berdasarkan laporan yang telah dinyahsulit, kedua-dua pihak merasakan mereka tidak boleh memanggil pesawat baru itu pesawat pengebom, pesawat pejuang atau pesawat pengangkut. Untuk mengelakkan ia diketahui sebagai pesawat pengintip, pesawat baru CL-282 dikelaskan di bawah pesawat utiliti dan diberi nama samaran U-2.
Langkah seterusnya ialah mencari tapak sesuai untuk menguji pesawat tersebut secara rahsia. Pada 12 April 1955, seorang pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) Richard Bissell dan seorang pegawai USAF bernama Kolonel Osmund Ritland terbang ke Nevada bersama dua orang Lockheed, Kelly Johnson dan juruterbang ujian Tony LeVier.
Semasa terbang, mereka mengesan sesuatu seperti landasan kapal terbang di kawasan yang dikenali sebagai Groom Lake berhampiran Tapak Ujian Nevada. Selepas berdebat sama ada hendak mendarat atau tidak, LeVier mendarat di kawasan dasar tasik dan keempat-empat individu itu memeriksa landasan.
Groom Lake sebelum ini pernah digunakan sebagai lapang sasar udara oleh para juruterbang Kor Udara Tentera semasa WWII. Selepas pemeriksaan, mereka mendapati landasan yang disangka berturap tetapi sebenarnya dari tanah yang telah ditambak yang bertukar menjadi habuk selepas sedekad tidak digunakan. Jika LeVier cuba mendarat, sudah pasti pesawat Beechcraft yang dipandunya itu menjunam yang boleh mencederakan atau membunuh semua yang berada dalam pesawat itu.
Ujian penerbangan U-2 dimulakan pada Julai 1955 dan sejak itu, ia mencetuskan pelbagai laporan berkenaan UFO di kawasan tersebut. Berdasarkan laporan CIA yang telah dinyahsulit, kebanyakan UFO yang dilaporkan ketika itu sebenarnya membabitkan U-2 yang terbang di kawasan berkenaan.
Bagi para juruterbang komersial yang terbang di kawasan itu, mereka tidak pernah melihat sebuah pesawat yang berkemampuan terbang pada altitud tinggi seperti U-2. Kita kena ingat tidak seperti pesawat komersial hari ini yang boleh terbang pada altitud 45,000 kaki, pesawat-pesawat ketika itu hanya boleh terbang pada ketinggian 10,000 atau 20,000 kaki. Sementara U-2 pula boleh terbang melebihi ketinggian 60,000 kaki, jadi sudah pasti mereka menyangka terserempak dengan UFO.
Secara dasarnya, pegawai-pegawai USAF tahu majoriti UFO yang dilihat sebenarnya membabitkan ujian U-2 tetapi mereka tidak dibenarkan mendedahkan perkara tersebut kepada orang ramai. Jadi antara alasan standard yang biasa diberi kepada media ialah fenomena alam atau kajian cuaca altitud tinggi untuk majoriti insiden UFO termasuk insiden pesawat U-2 yang ditembak jatuh pihak Soviet pada tahun 1960. Inilah insiden yang menyebabkan Francis Gary Powers ditahan pihak berkuasa Soviet dan menjadi sebahagian daripada proses pertukaran membabitkan pengintip Rusia, Rudolf Abel seperti dipaparkan dalam filem Bridge of Spies.
Bagi pegawai-pegawai yang bekerja di Area 51, ia bukan sesuatu yang mudah untuk menerbangkan pesawat U-2 dari lokasi tersebut. Ini kerana mereka mendapati satelit-satelit pengintip Soviet sentiasa terbang di Nevada. Untuk mengatasi masalah ini, bekas pegawai CIA bernama T.D.
Barnes mendedahkan CIA memberi jadual bila satelit Soviet berada di ruang udara Nevada. Barnes yang pernah berkhidmat sebagai pakar penerbangan hipersonik di Area 51 turut mendedahkan jadual tersebut menyatakan apa jenis satelit yang digunakan sama ada inframerah atau sebaliknya.
Sekiranya satelit terbang tatkala mereka menyediakan pesawat, pesawat U-2 itu segera dibawa masuk ke dalam hangar untuk mengelak dikesan. Dan bagi bekas pegawai yang bekerja di Area 51 Jim Freedman, ia merupakan satu tugas yang sukar dan mencabar kerana terpaksa bermain permainan kejar-mengejar dengan satelit pengintipan Rusia.
Jika mengelak dikesan satelit saja sudah mencabar, pegawai-pegawai CIA dikejutkan dengan satu berita: Soviet sudah ada pelan lakaran U-2 yang diperoleh melalui satelit inframerah. Dan ini disebabkan ia diletakkan di kawasan padang pasir yang panas, satelit inframerah Rusia masih dapat menangkap imej bayang-bayang pesawat walaupun selepas digerakkan ke dalam hangar.
Untuk mengelak dari terus dikesan satelit inframerah, kru Area 51 membina pesawat umpan dari kadbod untuk menghasilkan bayang-bayang yang bikin Soviet penasaran. Dan adakalanya, staf turut memasang pemanas berhampiran lokasi pesawat palsu ini untuk memperlihatkan seperti ia sudah mendarat.
Soviet tidak dapat menyelesaikan teka-teki berkenaan program U-2 sehinggalah program tersebut didedahkan kepada umum pada pertengahan 1960-an. Hasil dari 2,850 ujian penerbangan rahsia ini membawa kepada pengenalan pesawat pengintip seterusnya, Archangel-12 atau A-12.
Bagaimanapun, A-12 tidak mencapai standard yang dimahukan CIA lebih-lebih lagi selepas beberapa kali diserang peluru berpandu darat ke udara (SAM) di Vietnam Utara. Ini menyebabkan CIA dan Lockheed memfokuskan kepada pesawat perisikan ikonik Amerika, SR-71 yang disentuh oleh The Patriots tak lama dahulu.
Fakta menarik berkenaan Area 51:
- Nama kawasan diambil dari kawasan yang dikelaskan oleh Tapak Ujian Nevada (kini dikenali Tapak Keselamatan Kebangsaan Nevada), 105 kilometer di utara Las Vegas. Kawasan ini pernah menjadi tapak ujian senjata nuklear pada tahun 1950-an di mana 100 ujian berkenaan dijalankan di atas tanah.
- Terkenal kerana didakwa menjadi kawasan kajian dan pembangunan (R&D) untuk teknologi makhluk asing oleh beberapa orang termasuk Bob Lazar. Salah satu kapal makhluk asing yang dikatakan dibawa ke Area 51 ialah kapal angkasa makhluk asing yang terhempas di Roswell. Bagaimanapun pada tahun 1994, USAF mengeluarkan satu laporan yang menjelaskan objek yang terhempas di Roswell sememangnya belon tetapi bukan belon kaji cuaca. Sebaliknya, ia sebenarnya belon pemantau atom yang dilancarkan untuk mengesan ujian nuklear yang diadakan di tempat yang jauh.
- Sebut pasal Lazar, dia pernah mencetuskan kontroversi dengan mendedahkan satu kawasan yang bernama S4 sebagai kawasan kajian kapal makhluk asing. Tetapi selepas disiasat, Lazar didapati memalsukan semua info termasuk maklumat latar belakangnya. Antara dakwaannya ialah dia pernah menuntut di MIT dan Caltech tetapi kedua-dua institusi berkenaan tidak menyimpan rekod berkenaan Lazar di situ.
- Walaupun ia ada dalam peta, ia tak semestinya boleh dilawati begitu saja. Area 51 merupakan kawasan larangan dan dikawal rapi pengawal bersenjata yang meronda perimeter kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, mereka juga yang terjejas dengan kerahsiaan pihak tentera berkenaan Area 51. Ada sesetengah memfailkan tuntutan pampasan atas masalah pernafasan yang dihadapi semasa bekerja di Area 51. Ini disebabkan mereka terdedah dengan bahan kimia akibat lapisan pelindung yang terbakar yang melindungi pesawat daripada radar.
- Didakwa sebagai tempat memalsukan peristiwa manusia mendarat di bulan tetapi dibuktikan sebagai palsu. Malah sesetengah peralatan seperti kenderaan perayau dan sistem sokongan kehidupan turut diuji di Nevada berhampiran sebuah tapak ujian nuklear.
- Secara rasmi, Area 51 merupakan sebahagian daripada Lapangan Latihan dan Ujian Nevada (NTTR) dan ada kaitan dengan Pangkalan Tentera Udara Nellis. NTTR merupakan kawasan terbesar bagi operasi tentera masa aman yang meliputi 2.9 juta ekar persegi dan kawasan udara terhad seluas 5,000 batu.
- Untuk menarik minat pekerja bekerja di Area 51, kawasan tersebut diberi nama baru iaitu Paradise Ranch oleh salah seorang orang kuat Lockheed, Johnson.
- Area 51 terus beroperasi sebagai tapak ujian pesawat rahsia lain termasuk A-12, D-21 Tagboard dan F-117 Nighthawk. Buktinya pada September tahun lepas, seorang Kolonel USAF terbunuh apabila pesawatnya terhempas di Nevada dan Pentagon tidak mengenalpasti dengan cepat pesawat yang dipandu juruterbang tersebut. Ramai mengesyaki juruterbang itu sebenarnya memandu pesawat asing yang dirampas oleh Amerika Syarikat.
- Orang awam boleh memandu hingga pintu masuk atau pintu belakang Area 51 tetapi jangan mengada-ada nak masuk. Jika anda berani berbuat demikian, anda akan ditahan dan dikenakan denda $1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali atas kesalahan menceroboh.
- Pada tahun 2016, imej Google Earth mendedahkan wujud pembangunan kawasan landasan dan hangar di Area 6 berhampiran tapak ujian Yucca Flat. Tidak diketahui apa yang diuji di situ tetapi Jabatan Pertahanan (DOD) dan Jabatan Keselamatan Tanah Air (Homeland Security) menggunakan tapak tersebut. Analisis pakar keselamatan menyifatkan ia merupakan kawasan ujian dron pengintip dan pengesan dua jabatan tersebut.
- Tiada kapal angkasa lepas makhluk asing di Area 51 tetapi pihak Amerika ada menyimpan pesawat MiG yang dirampas semasa Perang Dingin pada tahun 1970-an dan 1980-an. Pesawat-pesawat ini diberi label HAVE DOUGHNUT, HAVE FERRY dan HAVE DRILL.
RUJUKAN:
- Handwerk, Brian. (2011). National Geographic. Revealed: How Area 51 Hid Secret Craft. https://news.nationalgeographic.com/news/2011/05/110520-area-51-secret-hid-craft-base-declassified-a-12-plane/
- Blitz, Matt. (2017). Popular Mechanics. The Real Story Behind The Myth of Area 51. https://www.popularmechanics.com/military/research/a24152/area-51-history/
- Bump, Philip. (2013). The Atlantic. The Government Now Admits There’s an ‘Area 51’. https://www.theatlantic.com/national/archive/2013/08/government-now-admits-theres-area-51/312054/
- Pappas, Stephanie. (2017). Live Science. 15 Far-Out Facts About Area 51. https://www.livescience.com/60916-strange-facts-about-area-51.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih