Dalam mengungkap sejarah perjuangan demi keamanan pada hari ini, selain daripada golongan mereka yang memang ditugaskan di barisan hadapan, terdapat segelintir lagi golongan yang benar-benar tidak didendang dan nama mereka hanya sirna begitu saja dalam lipatan sejarah. Tiada uniform, tiada pangkat, tiada gelaran..malah tiada disebutpun dalam mana-mana catatan – mereka ini adalah sebenar-benar wira tidak didendang yang hidup mereka hanya untuk berbakti semata, dan kematian mereka hanya ditemani harum kemboja tanpa keranda bertutup bendera atau tembakan penghormatan berbelas das sebagai pengiring perjalanan. Yang dimaksudkan adalah golongan masyarakat awam yang tanpa gentar maju ke hadapan demi membantu pasukan keselamatan demi mencapai maksud memenangi keamanan yang kita kecapi hari ini, terutama pada zaman darurat dan insurgensi yang berlangsung sekian lama.Salah seorang wira sebegitu, namanya APONG.
Tiada siapa mengenali siapa sebenarnya lelaki ini, hadirnya tiba-tiba sahaja, menemani kumpulan A Kompeni Batalion 1 RAMD ketika menjalankan operasi Jala Raja di Balai Ringin, Sarawak yang telah dilancarkan pada awal Januari 1970. Dek kerana kekurangan anggota untuk bertugas di kawasan yang begitu luas itu, A Kompeni kehilangan 2 platunnya, sehingga tinggallah 1 platun sahaja dan OC ( Pegawai Memerintah) nya sendiri terpaksa turun kuasa daripada Ketua Kompeni menjadi Ketua Platun.
Sebulan setengah operasi mereka jalankan tanpa hasil walaupun setiap hari pasukan ronda dihantar mencari jejak musuh. Dalam keadaan tertekan dan kecewa, pada satu hari kumpulan ronda kembali ke kem mereka, dengan lebihan satu anggota!
Berusia sekitar 25 tahun, lelaki itu dipanggil Apong. Ibunya seorang wanita Melayu yang telah berkahwin dgn ayah Apong – seorang muallaf Cina. Setelah kematian ayahnya 2 tahun sebelum itu, ibunya telah berkahwin semula dengan seorang lelaki Melayu. Tinggallah Apong merayau-rayau sehingga dia terserempak dengan kumpulan ronda itu dan mengikut mereka balik.
Tergaru sekejap kepala masing-masing, terutama ketua platun mereka. Apa nak dibuat dgn lelaki itu? Kalau ikutkan prosedur, dia sepatutnya dihantar ke markas bagi pemeriksaan. Tetapi, melihat bahawa lelaki itu tidak berbahaya, dia akhirnya dibenar dan dibiarkan tinggal bersama mereka. Percakapannya tidak difahami..nak kata bahasa Melayu bukan, Cina pun bukan. Sedikit demi sedikit dia mula belajar bercakap seperti anggota pasukan lainnya. Diberikan sehelai baju PD Green dan kasut- sepasang but hoki oleh OC, dia sudah cukup gembira. Seluarnya lusuh dan senjatanya hanya sebilah parang yang diikat dgn tali ke pinggangnya.
Duduklah dia bersama anggota pasukan, dan dilayan seperti saudara sendiri. Ke mana saja mereka pergi, dia akan ikut, terutama OC. Tidak berenggang dia daripada pegawai itu, seperti seekor anak kucing jalanan yang telah berjumpa tuan. Anggota yang lain juga tak segan berkongsi makanan dengannya, walaupun ada waktunya mereka sendiri kekurangan. Di mana mereka tidur, di situlah dia tidur – kadang berlantai tanah, kadang di atas hammock anggota yang bertugas meronda. Rasa simpati membuatkan anggota membiarkan saja si Apong tinggal bersama mereka, tanpa dihantar ke markas.
Namun ternyata kehadiran Apong tidak sia-sia. Sekian lama memburu jejak tanpa hasil, kehadiran Apong berjaya memberikan sinar kejayaan buat Kompeni A. Pada satu senja, ketika rondaan, sampai di satu lokasi iaitu sebuah rumah Cina yang telah ditinggalkan, Apong menemui sebiji buah kedondong yang telah digigit. Pada mata orang yang tak faham, ia tidak membawa apa-apa makna. Namun dalam keadaan perintah berkurung dijalankan, ia menimbukan persoalan. Siapa yang telah memakannya? Takkan orang kampung, kerana penduduk kampung sedang berada di rumah masing-masing. Apong menunjukkan arah ke sebelah kiri. Dan ia telah memberikan jawapan kepada teka-teki mudah itu.
Tak sampai 5 minit kemudian, berlaku pertembungan, dan 1x musuh telah berjaya ditumbangkan, manakala yang lain melarikan diri.
Dalam satu kejadian lain, pasukan itu terputus bekalan makanan kerana kehabisan rangsum. Aponglah yang membantu anggota mencari makanan dari hutan tersebut demi melangsungkan hidup sehinggalah mereka memperolehi bekalan semula. Antara kejayaan terbesar kompeni tersebut juga adalah hasil bantuan Apong.
Dalam satu kejadian, ketika meronda, mereka telah bertembung dengan 2 lelaki Cina, iaitu pasangan ayah dan anak. Hasil perbualan antara Apong dan mereka mendapati terdapat sekumpulan musuh yang telah melalui kawasan tersebut. Dalam pertempuran yang menyusul, 5 anggota musuh terbunuh tanpa sebarang kecederaan di pihak Kompeni, sehingga Gen. Hamid Bidin yang ketika itu dalam rangka lawatan sebelum bersara beliau berkata, “Ini adalah hadiah perpisahan paling berharga pernah saya terima”. Ketua kompeni tersebut segera ditarik keluar untuk dihantar berkursus di US sebagai penghargaan ke atas kejayaan tersebut, dan beliau tidak lagi bertemu dengan Apong sehingga sekarang. Dimaklumkan, Apong telahpun meninggal dunia 2 tahun lepas.”
Tiada gambar..malah nama penuhnya tidak diketahui. Namun, individu seperti Apong layak dipuji dan diangkat sebaris dgn pahlawan-pahlawan lain. Meski dia tidak menyarung uniform atau memakai pangkat, beliau adalah antara barisan manusia biasa yang tanpa gentar maju dalam keadaan memerlukan.
Semoga Apong ditempatkan di tempat yang baik. Beliau mungkin tidak dikenali atau diingati ramai orang..namun jasanya harum mekar sepanjang zaman..=WRA=
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih