Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Aparteid – Bila Kaum Minoriti Menindas Majoriti
Kronikel Dunia

Aparteid – Bila Kaum Minoriti Menindas Majoriti

Isu
aparteid atau pemisahan kaum bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah. Bagi
sesetengah negara, ia merupakan satu babak hitam membabitkan hubungan kaum di
negara berkenaan. Dan ia masih berlaku seperti yang berlaku di Palestin hari
ini. Maka tidak hairanlah ia dianggap sebagai satu jenayah kemanusiaan dan
mana-mana pelaku boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The
Hague. Bagi Afrika Selatan yang pernah dibelenggu polisi ini, ia merupakan satu
titik hitam dalam sejarah negara itu.

Walaupun
doktrin aparteid hanya berkuatkuasa secara rasmi pada tahun 1948, isu
penindasan ke atas golongan kulit hitam sudah berleluasa sejak abad ke-17 lagi.
Pada pertengahan abad itu, peneroka-peneroka Eropah menghalau keluar orang Khoi
dan San dari tanah asal mereka dengan kekuatan ketenteraan. Sesiapa yang
menentang akan dibunuh dengan kejam dan mana yang masih kekal di tanah mereka
akan ditawan dan dijual sebagai hamba.

“Beware of Natives”

Sebuah papan tanda yang memberi amaran kepada golongan minoriti berkulit putih supaya ‘berhati-hati’ dengan warga PRIBUMI berkulit hitam.

Pada
awal abad ke-19, Britain menguasai Semenanjung Cape dan mengharamkan amalan
perhambaan pada tahun 1830-an. Dan seperti disaksikan dalam lipatan sejarah
Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, Britain turut mengamalkan dasar pecah dan
perintah bagi mengekalkan dominasi pemerintahannya di sesebuah negara. Selepas
tamat Perang Boer yang tercetus antara 1899 hingga 1902, kawasan tersebut
diberi nama Persekutuan Afrika Selatan dan semua aspek pemerintahan diserahkan
kepada populasi kulit putih tempatan. Perlembagaan Persekutuan Afrika Selatan
turut mengekalkan semua bentuk diskriminasi dan penafian hak terhadap orang
berwarna termasuk kulit hitam dalam bidang politik dan ekonomi.

Satu
akta yang dianggap kontroversi dan dianggap permulaan kepada asas aparteid
ialah Akta Tanah 1913 yang digubal tiga tahun selepas Johannesburg mencapai
kemerdekaan. Menerusi akta ini, warga Afrika Selatan yang berkulit hitam
dipaksa tinggal secara berasingan dan tidak dibenarkan bekerja sebagai penuai
hasil tanaman. Akta ini menimbulkan kemarahan ramai hingga mendorong sesetengah
menubuhkan organisasi politik anti-aparteid. Satu entiti yang dianggap
signifikan ialah penubuhan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) di mana antara
pemimpinnya yang terkenal ialah mendiang Nelson Mandela.

Selain
itu, isu kemelesetan ekonomi (The Great Depression) dan Perang Dunia Kedua
(WWII) turut mendorong Afrika Selatan semakin hampir ke arah aparteid. Semasa
WWII, berikutan ketiadaan ramai orang kulit putih untuk bekerja dalam sektor
perindustrian, ini memaksa pemilik-pemilik kilang mengambil pekerja-pekerja
kulit hitam dari kawasan bandar dan luar bandar. Pada era ini juga, wujud satu
undang-undang yang melarang orang kulit hitam dari memasuki kawasan bandar.
Tetapi berikutan situasi perang, pihak berkuasa melonggarkan penguatkuasaan
undang-undang ini.

Bilangan
penduduk luar bandar yang berhijrah ke bandar semakin bertambah lebih-lebih
lagi bila Afrika Selatan mengalami situasi kemarau paling buruk dalam
sejarahnya. Ini mendorong lebih sejuta penduduk berhijrah ke bandar-bandar dan
mereka terpaksa mencari tempat perlindungan di mana-mana walaupun ia tiada
saluran longkang dan akses kepada air bersih. Salah satu dari petempatan mereka
yang terkenal ialah sebuah kawasan setinggan berhampiran Johannesburg yang kini
dikenali sebagai Soweto. Walaupun mereka diberi latihan dan kemahiran sama
seperti rakan sekerja mereka yang berdarah Kaukasia, itu tidak diterjemahkan
dalam bentuk gaji yang saksama dan setaraf dengan kemahiran mereka.

Isu
ini menarik perhatian ANC walaupun ketika Afrika Selatan masih bergelut dengan
WWII. Pada tahun 1943, ANC yang ketika itu diketuai Dr Alfred Xuma menyerahkan
sehelai dokumen yang bertajuk Tuntutan-Tuntutan Orang Afrika di Afrika Selatan
kepada Perdana Menteri ketika itu Jan Smuts. Dokumen tersebut mengandungi
pelbagai tuntutan seperti hak kerakyatan penuh, pengagihan tanah yang lebih
adil, bayaran gaji yang saksama dan pengharaman dasar pemisahan kaum. Setahun
selepas itu, gerakan pemuda ANC diketuai Anton Lembede yang turut disertai
Mandela menubuhkan Liga Pemuda ANC untuk menggerakkan lebih banyak protes
terhadap pemisahan dan diskriminasi kaum. Kawasan setinggan pula bertindak
menubuhkan majlis perbandaran dan sistem percukaian mereka sendiri serta
menyertai pelbagai mogok untuk menuntut hak pekerjaan yang lebih baik. Ini
mendorong pihak berkuasa bertindak balas termasuk menembak peluru hidup
terhadap penunjuk perasaan.

Agak
lucu figura utama aparteid pada tahun WWII ini juga merupakan antara penulis
piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Dalam piagam itu, semua orang di dunia
berhak menerima hak yang saksama tetapi Smuts sengaja tidak menyelitkan
kelompok berwarna dalam definisinya terhadap manusia. Ini menyebabkan Afrika
Selatan memilih untuk bersikap berkecuali semasa sesi undian piagam diadakan.
Dan ada satu lagi fakta aneh terhadap kelompok pro-aparteid ini. Tatkala Afrika
Selatan menyertai perjuangan memerangi kezaliman rejim Nazi Jerman, sesetengah
daripada mereka ini cenderung terhadap Nazisme dan mula menyokong gerakan
berkenaan pada akhir tahun 30-an.

Terdapat
tiga pendekatan yang didukung golongan pro-aparteid. Parti Bersatu (UP)
pimpinan Smuts memilih meneruskan polisi sedia ada, menolak pemisahan kaum
secara total kerana dianggap tidak praktikal tetapi pada masa sama menolak
memberi hak politik terhadap orang kulit hitam. Sementara Parti Penyatuan
Kebangsaan (HNP) pimpinan D.F Malan pula memilih dua kaedah iaitu pemisahan
secara total dan aparteid praktikal.

Untuk
pilihan pertama, hanya lelaki kulit hitam saja dibenarkan ke bandar dan mereka
diberi pekerjaan yang bersifat remeh dan menjerihkan. Sementara pilihan kedua
pula ialah menubuhkan sebuah agensi khas untuk menunjukkan buruh Afrika
pekerjaan mana yang harus diisi dalam organisasi yang dikawal orang Afrikaan. Pemisahan
secara total tidak ditolak tetapi itu akan memakan masa bertahun-tahun
mengeluarkan mereka keluar dari bandar-bandar. Selain itu, mereka juga melihat
penduduk imigran harus dihalau keluar dari Afrika Selatan dan dihantar pulang
ke negara asal. Walaupun UP menang undi popular, HNP yang dipimpin Malan
berjaya membentuk kerajaan majoriti dan memulakan proses aparteid praktikal
pada tahun 1948, sekaligus memulakan mimpi ngeri selama 40 tahun.

Antara
bentuk penindasan yang dikenakan ke atas penduduk Afrika Selatan termasuk
golongan berwarna ialah larangan kahwin campur. Alasan di sebalik penggubalan
Akta Larangan Kahwin Campur 1949 ini ialah untuk menjaga kesucian kelompok
Afrikaan dari ‘dicemari’ oleh pasangan berbangsa asing. Perasan kan akta
sebegini berbaur perkauman seperti mana dekri-dekri bersifat rasis dari Nazi
Jerman? Tetapi akta sebegini dianggap tidak praktikal kerana menghina golongan
wanita Afrikaan dan mencetuskan kemarahan gereja berikutan akta sebegini
seolah-olah mengejek satu ikatan suci bernama perkahwinan. Dan akta sebegini
hanyalah satu langkah politik untuk menjaga hati kelompok Kaukasia tempatan
agar terus mengundi NP berbanding UP yang dianggap terlalu lemah menyokong hak
mereka. Akta sebegini turut dilemahkan dengan fakta penurunan peratusan wanita
yang berkahwin dengan pasangan berwarna dari 0.8% (1925) kepada 0.2% (1946).

Setahun
selepas itu, kerajaan NP menggubal Akta Pendaftaran Populasi 1950 yang
mengklasifikasikan rakyat mengikut bangsa mereka. Golongan berkulit hitam
diberi gelaran Bantu, Berwarna (penduduk yang berdarah campur) dan kelompok
Afrikaan. Kategori keempat iaitu penduduk Asia (orang India, Pakistan dan
sebagainya) ditambah tidak lama selepas itu. Pengelasan sebegini dianggap kejam
kerana ia bertindak memisahkan keluarga secara tidak langsung. Contoh ibu bapa
boleh diklasifikasikan sebagai Afrikaan tetapi label itu tidak terpakai kepada
anak-anak atau sanak-saudara. Persis elemen Nazisme di kem-kem tahanan mereka
bukan tetapi dibuatnya secara halus.

Jika
anda rasa ini pelik, babak ini sudah pasti akan meruntun hati sesiapa.
Penggubalan Akta Promosi Berkerajaan Sendiri 1959 semasa era Hendrik Verwoerd
dibuat bagi menghasilkan tanah air baru yang dikenali sebagai Bantustan. Ini
dilakukan dengan memisahkan kelompok kulit hitam Afrika Selatan ke 10 kawasan Bantustan
bagi memastikan mereka tidak membentuk majoriti, seterusnya bersatu dan
menggerakkan protes besar-besaran terhadap kerajaan pro-aparteid. Kelompok ini
bukan saja didiskriminasi dari segi soal kerakyatan dan hak politik bahkan
melihat tanah mereka dirampas dan dijual kepada peladang-peladang kulit putih
dengan harga murah. Ini berlaku antara tahun 1961 hingga 1994 di mana 3.5 juta
penduduk kehilangan tanah mereka dan dipaksa berhijrah ke Bantustan. Setibanya
mereka di situ, mereka mengalami masalah kemiskinan yang dahsyat dan sudah
putus asa dengan situasi mereka.

Satu
lagi undang-undang yang amat dibenci ramai di Afrika Selatan ialah Akta Dokumen
Koordinasi dan Pas Penghapusan 1952. Akta ini dibuat bagi mengawal pergerakan
orang kulit hitam di sana dan mereka diwajibkan membawa pas sebegini bila
berada di luar kawasan simpanan atau Bantustan. Pas ini terpakai kepada kaum
Adam saja kerana cubaan mengenakan pas sama terhadap kaum Hawa sebanyak dua
kali pada tahun 1910 dan 1950-an ditentang ramai pihak. Pas ini dilihat sama
seperti pasport di mana ia mengandungi maklumat individu seperti gambar, cap
jari, alamat, nama majikan, tempoh bekerja dan maklumat tingkah laku lain.
Maklumat tingkah laku ini boleh diisi oleh majikan di mana semua majikan ketika
itu berdarah Afrikaan.

Jika
mereka hendak ke luar kawasan, mereka perlu mendapat izin pihak kerajaan dan
perlu menyatakan sebab munasabah perjalanan. Sekiranya mereka tidak berpuas
hati, pemilik pas boleh kehilangan pas dan jika pas kemasukan didapati dengan
cara tidak sah, ini boleh mengakibatkan individu itu dipenjarakan. Kelompok
orang kulit hitam terpaksa mengambil risiko dengan undang-undang ini bagi
membolehkan mereka mencari sesuap nasi dan menyara keluarga mereka. Apabila ia
dibatalkan pada tahun 1986, lebih 17 juta penduduk Afrika Selatan berkulit
hitam dipenjarakan akibat akta ini. Akta ini juga mencetuskan protes
beramai-ramai pada 50-an dan 60-an di mana satu protes yang diadakan
Sharpesville menyaksikan 69 penduduk yang membantah mati dibunuh pihak
berkuasa. Selain itu, akta ini juga mengakibatkan mereka kehilangan hak
kewarganegaraan dan dihantar ke Bantustan yang penuh dengan kemiskinan.

Insiden
di Sharpesville menyedarkan kelompok anti-aparteid bahawa perjuangan ini sudah
tidak boleh dimenangi dengan kaedah damai dan perlu digantikan dengan
perjuangan bersenjata. Ini mendorong entiti politik seperti ANC menubuhkan
sayap militia mereka. Tetapi sayap sebegini tidaklah dilihat memberi ancaman
kepada pasukan keselamatan Afrika Selatan ketika itu. Namun, itu sudah cukup
mendorong Johannesburg mengenakan hukuman penjara yang lama ke atas
pemimpin-pemimpin anti-aparteid termasuk Mandela. Sesetengah daripada mereka
berjaya melarikan diri ke negara-negara Afrika yang bersimpati dengan
perjuangan mereka termasuk Guinea, Tanzania dan Zambia.

Namun,
semua itu langsung tidak mematahkan semangat kelompok anti-aparteid kerana
perjuangan mereka turut disokong oleh komuniti dunia. Tetapi ada satu negara
yang dilihat masih tega menyokong rejim itu iaitu Amerika Syarikat. Bagi
Washington semasa era Harry Truman, Afrika Selatan dianggap penting kerana
menolak fahaman komunisme walaupun pada masa sama, mengamalkan dasar
pro-aparteid yang kejam. Dasar yang diperkenalkan Truman ini kemudiannya
diteruskan oleh presiden-presiden lain atas alasan Johannesburg merupakan
sekutu utama Washington mengekang pengaruh komunisme di wilayah selatan Afrika.

Tetapi
semua itu berubah semasa era Lyndon B. Johnson yang menyaksikan pelbagai akta
dan visi yang bersifat inklusif termasuk Akta Hak Sivil dan visi ‘Masyarakat
Hebat’ yang digerakkan semasa era pentadbirannya. Ramai ahli politik dan
pemimpin berpengaruh Amerika terpengaruh dengan idea-idea ini dan
perlahan-lahan menggerakkan kempen menolak aparteid. Semasa era Ronald Reagan,
Kongres meluluskan sekatan ekonomi bersifat penting menerusi penggubalan Akta
Anti-Aparteid pada tahun 1986.

Menerusi
akta ini, Kongres menyatakan beberapa fasal iaitu:

  • mengharamkan pengimportan produk Afrika Selatan seperti besi dan
    uranium dari memasuki Afrika Selatan
  • melarang Johannesburg dari memiliki akaun-akaun bank Amerika
    Syarikat.
  • melarang pesawat South African Airways dari mendarat di mana-mana
    landasan terbang Amerika.
  • menghalang semua bentuk bantuan asing dari dihulurkan kepada
    kerajaan Afrika Selatan.
  • melarang semua bentuk pelaburan dan pinjaman kepada Afrika
    Selatan.

Sekiranya
kerajaan Johannesburg bersedia menggugurkan semua polisi perkauman mereka,
semua bentuk sekatan akan ditarik balik. Bagaimanapun, usul Kongres ditolak
Reagan atas alasan ia merupakan satu bentuk perang ekonomi dan hanya menambah
konflik sivil di Afrika Selatan. Beliau bersedia mengenakan sekatan yang
berbentuk fleksibel menerusi arahan eksekutif presidennya. Namun, bimbang
sekiranya sekatan Reagan bersifat terlalu ringan ditambah dengan isu
Iran-Contra yang menghentam pentadbiran beliau ketika itu, Kongres terutama 81
wakil Republikan menyokong usul akta itu dan menolak cubaan veto Reagan.
Beberapa hari selepas itu, Senat menolak usaha veto beliau dan meluluskan Akta
Anti-Aparteid Sepenuhnya.

Sekatan
yang berkuatkuasa pada tahun 1986 ini menyaksikan banyak syarikat multinasional
menarik diri dari Johannesburg sekaligus mengakibatkan mereka kehilangan sumber
pendapatan yang penting. Walaupun ia tidak dilaksanakan secara ketat semasa era
Reagan, era George H.W Bush menyaksikan sekatan dikenakan sepenuhnya ke atas
Johannesburg pada tahun 1989. Melihat situasi tidak lagi menyebelahi mereka,
Perdana Menteri ketika itu P.W Botha meletak jawatan dan digantikan oleh F.W de
Klerk. De Klerk mengejutkan semua dengan menarik balik semua sekatan ke atas
parti-parti politik terutama parti orang kulit hitam, mengembalikan kebebasan
media dan melepaskan semua banduan politik. Antara yang dibebaskan ialah
Mandela yang dibebaskan pada tahun 1990.

Selepas
dibebaskan, Mandela meneruskan usaha menolak aparteid tetapi memilih pendekatan
damai yang diinspirasikan dari gerakan Mahatma Gandhi. Pada tahun 1993, de
Klerk bersetuju mengadakan pilihan raya membabitkan semua kaum di Afrika
Selatan sekaligus membolehkan Washington yang ditadbir Bill Clinton bersetuju
menarik balik semua sekatan ekonomi ke atas Johannesburg.  Dan pada 9 Mei 1994, Parlimen Afrika Selatan
yang memiliki komposisi kaum yang berlainan sebulat suara mengangkat Mandela
sebagai presiden dengan de Klerk dan Thabo Mbeki (bakal presiden Afrika Selatan)
sebagai timbalan presiden beliau.

SUMBER

1.
Boddy-Evans, Alistair. (2018). ThoughtCo.com. Pass Laws During Apartheid. https://www.thoughtco.com/pass-laws-during-apartheid-43492

2.
Boddy-Evans, Alistair. (2019). ThoughtCo.com. The Origins of Apartheid in South
Africa. https://www.thoughtco.com/when-did-apartheid-start-south-africa-43460

3.
Thompsell, Angela. (2018). ThoughtCo.com. The Prohibition of Mixed Marriages
Act. https://www.thoughtco.com/prohibition-of-mixed-marriages-act-43464

4.
Thompsell, Angela. (2018). ThoughtCo.com. What Was Apartheid in South Africa? https://www.thoughtco.com/apartheid-definition-4140415

5.
History.com. (2010). Apartheid. https://www.history.com/topics/africa/apartheid

6.
Longley, Robert. (2018). ThoughtCo.com. The End of South African Apartheid. https://www.thoughtco.com/when-did-apartheid-end-43456

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet