Gambar ini diambil semasa Sidang Kemuncak Afro-Arab tahun 2010. Yang berdiri di depan itu semuanya pemimpin ‘strongman’ Arab dan Afrika terkemuka suatu ketika dahulu.

Dari kanan: Mugabe (Zimbabwe), Compaore (Burkina Faso), Mubarak (Mesir), Gaddafi (Libya), Saleh (Yaman), Ben Ali (Tunisia) dan Omar al-Bashir (Sudan). Masing-masing memerintah negara paling kurang 20 tahun.

Tapi dalam masa tak sampai 2 tahun, 4 daripada mereka tumbang akibat gelombang kebangkitan rakyat ‘Arab Spring’ antara tahun 2011-2012, bermula dengan Ben Ali pada Januari 2011, diikuti oleh Mubarak (Februari 2011), Gaddafi (Oktober 2011) dan Saleh pada 2012. Compaore digulingkan pada tahun 2014, Mugabe pada tahun 2017 dan semalam al-Bashir.

Antara sebab utama pemimpin kuku besi ini dapat memegang kuasa buat begitu lama adalah kerana mereka disokong oleh tentera. Apabila tentera berpaling tadah, mereka terpaksa meletak jawatan untuk menyelamatkan diri, kalau tidak mahu direjam sampai mati oleh rakyat yang dikuasai amarah, seperti Gaddafi. Di negara-negara autokratik, tentera ialah elemen ‘deep state’ yang memainkan peranan ‘kerajaan di belakang tabir’. 

Selepas 3 bulan demonstrasi besar-besaran rakyat Sudan terhadap kerajaan al-Bashir, akhirnya al-Bashir digulingkan oleh Leftenan Jeneral Ahmed Awad ibn Auf. Namun rakyat kurang berpuas hati kerana menganggap tindakan itu tidak membawa kepada demokrasi yang mereka tuntut. Tentera yang mengambil alih kuasa juga masih melaksanakan darurat seperti al-Bashir.

Seperti Gaddafi, al-Bashir merupakan seorang pegawai tentera berpangkat kolonel yang merampas kuasa menerusi kudeta. Yang lagi menarik, kedua-dua Gaddafi dan al-Bashir merampas kuasa daripada pemimpin asal yang merupakan ketua tarekat sufi: Gaddafi menggulingkan Raja Idris ketua tarekat Sanusiyyah pada tahun 1969, al-Bashir menggulingkan Sadiq al-Mahdi yang merupakan ketua tarekat al-Mahdiyyah (juga dikenali sebagai ‘Ansar’) pada tahun 1989.

Sebagai pemimpin Sudan, al-Bashir mewarisi masalah perang saudara antara kerajaan pusat dan wilayah Sudan Selatan sejak tahun 1983. Pada tahun 1983, Gaafar Nimeiry, pemimpin Sudan ketika itu telah memperkenalkan pelaksanaan undang-undang syariah dan langkah tersebut ditentang oleh kaum Kristian dan animis di selatan Sudan. Akibat daripada itu, kerajaan pusat dan Sudan Selatan berperang.

Selatan Sudan ialah tempat terletaknya sumber minyak Sudan. By hook or by crook, kerajaan Sudan tak boleh hilang Sudan Selatan. Tapi pada tahun 2005, al-Bashir menandatangani perjanjian damai dengan Sudan Selatan yang menetapkan pembahagian pendapatan minyak 50:50 antara Sudan dan Sudan Selatan. Selepas 6 tahun, referendum akan diadakan untuk menentukan samada Sudan Selatan kekal atau keluar daripada Sudan.

Hasilnya, Sudan Selatan merdeka pada tahun 2011, dan itu memberi tamparan besar kepada ekonomi Sudan. Pendapatan negara jatuh mendadak. Dan pada Disember yang lepas, langkah kerajaan Sudan menurunkan nilai matawang Sudan untuk menangani masalah inflasi telah menimbulkan kemarahan rakyat dan mencetuskan demonstrasi terbesar sepanjang pemerintahan al-Bashir. 

Negara-negara yang asalnya friendly dengan Sudan kerana sumber minyak (seperti China) dah lama beralih ke Sudan Selatan. Itu menyebabkan al-Bashir terpaksa ‘memacaikan’ diri demi kelangsungan hidup Sudan. 

Antara langkah yang diambil ialah merapat-rapatkan diri dengan Saudi, hantar askar untuk membantu Saudi di Yaman supaya diberi bantuan ekonomi. Tanpa sumber minyak, Sudan masih mempunyai kedudukan geografi yang strategik yang membuat kuasa-kuasa serantau ingin menjalin kerjasama dengannya. 

Tapi kebelakangan ini, nampaknya al-Bashir mula nak ‘diversify’ hubungan luarnya dengan Turki dan Qatar. Itu pasti buat Saudi dan geng kurang sedap hati kerana Saudi dan Turki-Qatar ialah pesaing. Jadi, ada kemungkinan juga al-Bashir diusir kerana itu. Ahmed Awad ibn Auf memang mempunyai hubungan yang rapat dengan Saudi pun.

Sekarang dunia menanti-nanti apakah nasib akan menimpa al-Bashir. Adakah dia akan didakwa atas tuduhan perlakuan jenayah perang terhadap penduduk Darfur oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah mengeluarkan waran penangkapan sejak tahun 2009? Atau langkah kudeta ini sekadar langkah golongan tentera untuk menyelamatkan al-Bashir dengan mengundurkannya ke belakang tabir?

ICC, jenayah perang, kudeta, ‘tentera sebagai deep state’ — perkataan-perkataan yang menjadi bualan hangat warganet Malaysia beberapa hari lepas semuanya terdapat dalam kes Sudan. Kebetulan?


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.