Apabila kita bercakap tentang sejarah kegemilangan tamadun manusia pada zaman purba, sudah tentu Tamadun Mesir Purba tidak akan terlepas daripada dijadikan topik perbincangan. Mana tidaknya, tamadun ini dianggap sebagai antara tamadun yang terhebat dan berpengaruh pernah wujud dalam lembaran sejarah peradaban manusia. Hal ini terbukti apabila tamadun ini mampu untuk teguh berdiri selama lebih 3,000 tahun, kira-kira dari sekitar tahun 3100 BC sehinggalah tahun 30 BC.

Selain itu, tamadun ini juga telah meninggalkan banyak monumen hebat seperti Piramid Firaun Khufu di Giza dan Kuil-kuil seperti kuil binaan Firaun Hatshepsut di Deir el-Bahri yang masih lagi bertahan sehingga ke hari ini. Namun demikian, umum mengetahui bahawa setiap tamadun atau mana-mana empayar sekalipun sudah tentu akan mengalami fasa-fasa kejatuhan yang membawa kepada kehancurannya, begitu juga dengan Tamadun Mesir Purba. Oleh yang demikian penulis menjemput pembaca sekalian untuk membaca artikel ini bagi memahami apakah punca-punca yang menyumbang kepada keruntuhan Tamadun Mesir Purba.

Terlebih dahulu, sebelum kita meneliti punca-punca yang menyebakan Tamadun Mesir Purba runtuh, kita perlu maklum satu perkara yang agak penting apabila berbicara soal keruntuhan Tamadun Mesir Purba. Menurut seorang pakar sejarah Mesir Purba iaitu Dr Aidan Dodson, beliau telah menyatakan bahawa persoalan kepada bagaimana Tamadun Mesir Purba runtuh adalah satu perkara agak sukar untuk dijawab disebabkan tiada persetujuan yang tuntas berkenaan bagaimana Tamadun Mesir Purba boleh runtuh. Hal ini demikian kerana, terdapat beberapa pendapat kepada solusi bagaimana tamadun ini runtuh. Antara yang diajukan oleh Dr Aidan Dodson adalah, adakah keruntuhan bagi Tamadun ini terjadi sebaik sahaja Mesir Purba tidak lagi diperintah oleh Firaun yang berdarah Mesir asli?

Dalam hal ini, kita boleh mengambil peristiwa Firaun Nectanebo II yang melarikan diri daripada Mesir pada tahun 342 SM sebagai jawapannya. Namun setelah Nectanebo II pergi, datang pula Artaxerxes yang menabalkan dirinya sebagai Firaun Mesir yang baru. Antara pendapat lain menurut Dr. Aidan Dodson adalah, adakah tamadun Mesir Purba runtuh apabila ianya diserap masuk menjadi sebahagian daripada wilayah Empayar Rom pada 30 SM? Mungkin pendapat ini boleh diterima ramai memandangkan institusi kefiraunan turut terkubur sekali pada waktu itu ekoran tindakan Firaun Cleopatra yang membunuh dirinya dengan membiarkan dua ekor ular mematuk dirinya.

Arca kepala Nectanebo II. Kredit foto: Museum of Fine Arts, Boston

Oleh kerana tiadanya satu jawapan atau satu persetujuan yang tuntas berkenaan bagaimana Tamadun Mesir Purba boleh runtuh, makanya di dalam artikel ini penulis tidak akan fokus untuk mencari satu jawapan yang tuntas bagi menjawab persoalan bagaimana Tamadun ini boleh pupus. Sebaliknya, penulis akan membawa pembaca untuk melihat peristiwa keruntuhan tamadun ini daripada skop yang lebih luas iaitu dengan meneliti dan mengenalpasti punca-punca yang menyumbang kepada keruntuhan peradaban hebat ini.

Antara faktor yang menyumbang kepada keruntuhan Tamadun Mesir Purba adalah kegagalan mereka dalam mengejar kemajuan dengan membangunkan teknologi ketenteraan selari dengan peredaran zaman. Hal ini demikian kerana, Tamadun Mesir Purba tidak mempunyai sumber semula jadi yang diperlukan bagi memajukan teknologi persenjataan mereka. Hal ini dibuktikan apabila empayar-empayar lain yang berada di sekeliling mereka sudah mampu memajukan persenjataan mereka dengan menggunakan bahan yang lebih kuat dan berkesan.

Contohnya, Empayar Hittite yang merupakan musuh ketat bagi Mesir sudah mampu menghasilkan senjata mereka menggunakan besi sementara Mesir masih lagi menggunakan tembaga. Oleh itu, Mesir terdedah kepada ancaman tentera musuh yang jauh lebih kuat berikutan senjata mereka yang lebih maju dan berkesan. Jelaslah bahawa, kegagalan dalam membangunkan teknologi ketenteraan selari dengan peredaran zaman merupakan antara faktor yang menyumbang kepada keruntuhan Tamadun Mesir Purba.

Gambaran Pertempuran Kadesh. Sebuah pertempuran sengit antara Firaun Ramses II dengan Muwatalli II, Raja Empayar Hittite. Kredit foto: https://www.cleopatraegypttours.com/travel-guide/ancient-egypt-battles/battle-of-kadesh/

Selain itu, perpecahan politik juga merupakan antara faktor penyumbang kepada keruntuhan Tamadun Mesir Purba. Hal ini demikian kerana, setelah kemangkatan Firaun Ramesses XI atau secara tepatnya bermula dari tahun 1070 SM dan kehadapan, Mesir telah berpecah kepada dua kerajaan. Kerajaan pertama berpusat di bahagian utara yang diperintah oleh Firaun, Manakala kerjaan kedua berada di bahagian selatan yang diperintah oleh seorang agamawan yang berpusat di Thebes.

Kononya, agamawan ini menumpahkan taat setianya kepada Firaun padahal mereka berdua merupakan penguasa berasingan yang memerintah kawasan yang tersendiri. Hasilnya, perpecahan Mesir kepada dua ini telah menyebabkan ketiadaan perpaduan yang kukuh sekaligus membuka jalan dan peluang bagi empayar lain untuk menyerang dan menakluk wilayah Mesir.

Hal ini dibuktikan apabila Mesir mula diserang dari arah barat oleh orang-orang Libya yang mana mereka kemudiannya menguasai Mesir selama 200 tahun. Sudah jelaslah bahawa, perpecahan politik juga merupakan antara faktor penyumbang kepada keruntuhan Tamadun Mesir Purba.

  Gambaran orang-orang Libya yang menyerang Mesir Purba. Kredit foto: https://weaponsandwarfare.com/2020/05/28/libyans-ancient-egyptian-enemies/

Siapa sangka bahawa faktor semulajadi seperti perubahan cuaca dan iklim yang tidak menentu juga memainkan peranannya sebagai faktor yang menyebabkan runtuhnya Tamadun Mesir Purba. Hal ini demikian kerana, perubahan cuaca yang tak menentu telah mempengaruhi perubahan paras air Sungai Nil yang seterusnya meningkat dengan mendadak sekaligus menyebabkan banjir lalu memusnahkan tanaman-tanaman yang berada di sekitar itu.

Selain itu, perubahan suhu yang tidak menentu juga telah menjejaskan hasil pengeluaran tanaman. Gabungan kedua-dua faktor ini mencetuskan krisis makanan yang meluas sehingga mengakibatkan ratusan ribu rakyat Mesir mati akibat dehidrasi dan kebuluran. Tegaslah Faktor semulajadi seperti perubahan cuaca dan iklim yang tidak menentu juga memainkan peranannya sebagai antara faktor yang menyebabkan runtuhnya Tamadun Mesir Purba.

Konklusinya, sudah nyata bahawa faktor-faktor seperti perpecahan politik, kegagalan dalam mengejar kemajuan dan perubahan iklim adalah antara faktor-faktor yang menyebabkan runtuhnya peradaban hebat ini. Jika diperhatikan, faktor-faktor ini juga sedang berlaku pada era moden kini dan terpulang kapada kita pula sama ada ingin mengatasinya atau membiarkan ianya terus berlaku. Justeru, adalah suatu tanggungjawab bagi kita semua untuk mengambil iktibar daripada sejarah keruntuhan Mesir Purba untuk mengelakkan perkara yang sama kembali berulang kepada kita. Menepati mutiara kata George Santayana menerusi bukunya The Life Of Reason, “Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.”

RUJUKAN:

Kuiper, K. (2011). Ancient egypt: From prehistory to the islamic conquest. Britannica Educational Pub. in association with Rosen Educational Services.

Dodson, D. A. (2011, February 17). History – ancient history in depth: Egypt: The end of a civilisation. BBC.

The Fall of Ancient egypt. (n.d.). Retrieved from https://www.ancient-egypt-online.com/fall-of-ancient-egypt.html

Artikel dikirimkan oleh Fakhry Harraz untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.

Leave A Reply