Apakah itu negara? Sesetengah sarjana menggunakan istilah tersebut untuk menggambarkan hampir semua institusi politik tertinggi yang telah wujud dari masa ke masa. Sebagai contoh, Charles Tilly menulis dalam buku terkenalnya Coercion, Capital, and European States, AD 990–1992, “Negara telah menjadi organisasi terbesar dan paling kuat di dunia selama lebih dari 5 ribu tahun.”[1]

Namun, definisi yang luas seperti itu gagal untuk menangkap perbezaan penting di antara banyak entiti politik berbeza yang telah wujud di Eropah dan di rantau lain sepanjang sejarah. Sebaliknya, saya menghadkan istilah negara kepada entiti politik tertentu yang mula terbentuk di Eropah pada awal tahun 1500-an dan akhirnya merebak ke seluruh dunia.

Negara jauh berbeza daripada banyak entiti politik pendahulunya, termasuklah (untuk menamakan beberapa) negara-kota, empayar, puak, kerajaan putera (principality), wilayah duke (duchies), teokrasi, dan monarki feudal. Negara dalam naratif saya mengambil dua bentuk: negara dinasti yang mendominasi dari sekitar tahun 1500 hingga 1800, dan negara-bangsa yang menggantikannya.

Negara adalah sebuah institusi politik yang menguasai wilayah besar dengan sempadan yang jelas dan mempunyai kemampuan untuk menggunakan kuasa untuk memecahkan atau mendisiplinkan individu dan kelompok yang hidup di dalam wilayah tersebut.[2]

Dengan kata lain, dalam wilayah-wilayah ini, negara mempunyai “perintah tertinggi yang eksklusif, yang membolehkannya untuk mengatasi pentadbiran atasan yang lebih rendah serta mengabaikan harta persendirian dalam wilayah ini.”[3] Pembuatan keputusan dipusatkan kepada sebuah negara: kuasa tertumpu pada pusat.

Dalam istilah praktikal, ini bermaksud negara mempunyai birokrasi tetap, sistem peraturan dan undang-undang, dan kapasiti untuk mengenakan cukai ke atas orang yang tinggal di dalam sempadannya. Paling pentingnya, pentadbiran pusat mengawal alat keganasan yang sah. Negara, sudah tentunya, melihat ke luar dan ke dalam, dan dengan itu terlibat dalam diplomasi, hubungan ekonomi, persaingan keselamatan, dan peperangan dengan negara-negara lain.

Konsep kedaulatan dibentuk ketika negara dinasti muncul di Eropah, itulah sebabnya negara dinasti kadang-kadang disebut sebagai negara berdaulat. Kedaulatan terletak pada mahkota di negara-negara dinasti tersebut, tetapi dengan kedatangan negara-bangsa, kedaulatan menjadi terserah kepada rakyat.

Walaupun kedaulatan adalah mengenai siapakah yang memiliki autoriti politik tertinggi, bukannya mengenai kuasa politik sebenar, dalam dunia sebenar autoriti dan kuasa saling berkait rapat. Siapa yang memiliki kuasa tertinggi sangat penting di negara-negara yang baru muncul, kerana orang-orang tersebut boleh menjadi sangat berkuasa, yang bermaksud mereka akan mempunyai pengaruh yang besar terhadap orang-orang yang jatuh di bawah bidang kekuasaan mereka.

Sebelum negara dinasti muncul, kedua-dua autoriti politik dan kuasa politik di Eropah jauh lebih terpencar (decentralized). Selalunya sukar untuk mengetahui di manakah kedaulatan berada. Semasa Abad Pertengahan (kira-kira 500 hingga 1500 AD), tulis ahli sosiologi politik William Sewell, “Sistem sosial adalah bersifat korporat dan hierarki. . . . Orang-orang adalah sebahagian daripada seluruh unit solidariti yang dibentuk, berkongsi komuniti-komuniti pengiktirafan (communities of recognition) dengan cara yang dirundingkan secara serentak dengan kumpulan orang lain yang bertindih.”[4]

Gereja Katolik mempunyai beberapa autoriti, tetapi begitu jugalah dengan raja-raja, bangsawan tempatan, bandar, kota, dan bahkan persatuan. Seperti yang dikatakan oleh Robert Jackson, autoriti politik adalah “beragam, tergendala, dan terputus.”[5] Kesukaran dalam menentukan siapa yang mempunyai autoriti tertinggi disokong oleh hakikat bahawa tiada entiti politik di Eropah yang secara signifikannya jauh lebih berkuasa daripada pesaingnya.

Orang mungkin berfikir bahawa raja-raja abad pertengahan mempunyai kuasa politik yang besar. Tetapi aktor politik yang paling berkuasa biasanya adalah orang bangsawan dan uskup yang menjalankan gereja-gereja tempatan. Pihak berkuasa pusat biasanya tidak setanding dengan kuasa tempatan ini, yang mempunyai pengaruh lebih besar terhadap kehidupan seharian individu berbanding monarki.

Seperti mana yang dicatatkan oleh sejarawan Joseph Strayer dan Dana Munro, “Raja-raja tidak begitu dimuliakan atau tidak penting. Di kebanyakan rantau Eropah, para raja tidak menerima kesetiaan utama rakyat mereka dan tidak dapat menentukan nasib politik negara mereka. . . . Ikatan peribadi antara seorang pemuda dengan tuannya jauh lebih kuat daripada idea kesetiaan kepada negara yang samar-samar.”[6]

Keadaan ini mula berubah pada awal tahun 1500-an dengan kemunculan negara dinasti yang berkomited untuk menegaskan kawalan politik ke atas semua orang di dalam sempadannya. Ini bermaksud melemahkan kuasa Gereja Katolik di Rom dan juga pihak berkuasa tempatan.

Walau bagaimanapun, ia mengambil masa bagi negara dinasti untuk memusatkan kawalan di dalam sempadannya, kerana teknologi pada waktu itu tidak memungkinkan projeksi kuasa yang mudah oleh mahkota. Sistem jalan raya di seluruh Eropah adalah primitif, komunikasi boleh bergerak tidak lebih laju daripada kuda atau kapal, dan keupayaan untuk membuat beberapa salinan dokumen baru sahaja mula berkembang.[7] Tidak sehingga lebih kurang 300 tahun selepas negara pertama mula muncul di Eropah, ia adalah masuk akal untuk bercakap mengenai penumpuan kuasa di pusat negara-negara.

Bagaimanapun, menjelang akhir tahun 1700-an, negara diposisikan jauh lebih baik untuk berhadapan dengan pihak autoriti tempatan di dalam sempadannya. Tidak hairanlah, bangsa-bangsa yang baru muncul memberikan perhatian yang besar kepada perkembangan ini. Setiap bangsa mahukan negara-bangsa mereka sendiri.

NOTA KAKI

[1] Charles Tilly, Coercion, Capital, and European States, AD 990–1992 (Cambridge, MA: Blackwell, 1992), ms. 1.

[2] Perry Anderson, Lineages of the Absolutist State (London: Verso, 1980), ms. 20.

[3] Andreas Osiander, Before the State: Systemic Political Change in the West from the Greeks to the French Revolution (New York: Oxford University Press, 2007), ms. 5.

[4] Sewell, “The French Revolution and the Emergence of the Nation Form,” ms. 98.

[5] Jackson, Sovereignty, ms. 32.

[6] Joseph R. Strayer and Dana C. Munro, The Middle Ages: 395–1500 (New York: Appleton-Century-Crofts, 1942), hlm. 113, 270.

[7] Mengenai batasan projeksi kuasa sepanjang jarak jauh, lihat Scott, Art of Not Being Governed, bab. 1–2; dan David Stasavage, “When Distance Mattered: Geographic Scale and the Development of European Representative Assemblies,” American Political Science Review 104, no. 4 (November 2010): 625–43.

……

Artikel asal John Mearsheimer yang merupakan profesor sains politik di University of Chicago dan pengarang buku The Tragedy of Great Power Politics (W.W Norton, 2001) dan The Great Delusion: Liberal Dreams and International Realities (New Haven, CT: Yale University Press, 2018. Terjemahan: Muaz Malik Diolah daripada The Great Delusion (2018)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pelajar agama yang (entah macam mana) minat hubungan antarabangsa. Buat terjemahan berkaitan subjek IR sebagai hobi masa lapang.

Comments are closed.