Semua orang tahu pada satu ketika, Singapura pernah menjadi sebahagian daripada Malaysia. Sebagai komitmen menyertai Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, Singapura bersetuju memeterai Perjanjian Malaysia di London pada 9 Julai 1963. Dengan menandatangani perjanjian tersebut, Singapura merdeka daripada Britain pada 31 Ogos 1963 dan sah sebahagian daripada negara pada 16 September tahun sama.

Bagaimanapun, kemasukan wilayah itu ke dalam Malaysia sebenarnya penuh ranjau sehingga ada menjangkakan penggabungan ini tidak akan bertahan lama. Ini kerana seminggu sebelumnya, rundingan antara pihak Malaysia dan Singapura berkisar tentang isu berbangkit seperti pasaran tunggal dan kedudukan autonomi Singapura. Walaupun ia berjaya dimuktamadkan pada akhirnya, ada merasakan penggabungan ini tidak akan berakhir dengan baik.

Penggabungan Malaysia-Singapura sudah bermasalah akibat beberapa faktor. Pertama, isu tiada persetujuan ekonomi berkenaan peratusan pinjaman bebas faedah kepada Sabah dan Sarawak. Kedua-dua pihak bertelagah tentang isu ini di mana Singapura enggan menaikkan peratusan pinjaman yang diperlukan dua wilayah itu untuk aktiviti pembangunan. Isu berbangkit ini kemudiannya dibawa ke Bank Dunia untuk tujuan timbang tara.

Kedua, parti pemerintah Singapura iaitu PAP mengetengahkan konsep Malaysian Malaysia yang menjanjikan kesaksamaan hak kepada semua rakyat tanpa mengira status ekonomi atau kaum. Konsep ini diketengahkan dalam Konvensyen Perpaduan Malaysia (MSC) pada Mei 1965. Konvensyen yang turut disertai empat parti pembangkang Tanah Melayu dan Sarawak.

Dalam konvensyen berkenaan, Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew melihat kunci kepada perpaduan ialah jaminan hak sama rata kepada seluruh kaum di Malaysia tanpa mengira taraf ekonomi dan kaum. Bagaimanapun, ramai melihat MSC dan Malaysian Malaysia merupakan manifestasi keinginan beliau untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dan meraih sokongan ramai.

Bagi kepimpinan politik orang Melayu seperti UMNO dan PAS, ramai melihat wawasan yang dicadangkan sebagai satu ancaman kepada pelbagai hak orang Melayu termasuk kedudukan ekonomi Bumiputra. Selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman sedar wujud ketidakseimbangan ekonomi antara orang Melayu dan kelompok bukan Melayu.

Justeru, beliau dan para pemimpin ketika itu percaya bagi membolehkan perpaduan dan kemakmuran ekonomi dapat dicapai, perkara ini harus ditangani terlebih dahulu. Jika agenda Malaysian Malaysia diteruskan, dibimbangi orang Melayu pada ketika itu akan terus ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain. Hal ini menjadi titik panas ramai pemimpin Melayu terhadap agenda berkenaan.

Keadaan ini tidak dibantu oleh tanggapan PAP terhadap situasi orang Cina di Tanah Melayu. Pada mereka, orang Melayu ini cuba merampas hasil titik peluh orang Cina dengan menafikan sumbangan mereka. Malah, parti itu melihat dasar dan perlembagaan kerajaan yang menjamin hak orang Melayu sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap kaum-kaum lain termasuk orang Cina. Ini mendorong parti itu terus melancarkan polisi berbaur provokasi walaupun ia dijangka mengundang kemarahan orang Melayu.

Akibat dua isu ini, negara dilanda rusuhan kaum sepanjang tahun 1964. Keadaan turut dipanaskan lagi dengan ucapan berapi pemimpin politik yang menyemarakkan lagi sentimen permusuhan orang Melayu-Cina. Akibat rusuhan-rusuhan ini, ia mengakibatkan kenaikan harga makanan dan menjejaskan sistem pengangkutan ketika itu.

Insiden paling menyayat hati ialah insiden rusuhan pada 22 Julai 1964. Pada hari itu, orang-orang Melayu mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul sebelum berlaku satu insiden di Kallang. Akibatnya, rusuhan berlaku di mana pada hari pertama menyaksikan empat orang mati dan 178 lagi cedera. Apabila rusuhan berjaya ditamatkan oleh pihak berkuasa, 23 orang disahkan terbunuh dengan 454 lagi cedera.

Walaupun Tunku Abdul Rahman dan Kuan Yew menggesa agar semua bentuk provokasi dihentikan, satu lagi rusuhan tercetus pada 2 September 1964. Kali ini, ia dicetuskan oleh pembunuhan seorang penarik beca Melayu di Geylang Serai. Akibatnya, ini menyaksikan pelbagai insiden keganasan yang menyaksikan 13 orang terbunuh, 106 lagi cedera dan 1,439 individu ditahan.

Dengan mengambil kira apa yang berlaku sepanjang tahun 1964 dan pembentukan MSC pada Mei 1965, Tunku Abdul Rahman tahu sudah tiba masanya untuk Malaysia berpisah dengan Singapura. Begitupun, idea tersebut kurang disenangi oleh beberapa pemimpin PAP termasuk Kuan Yew sendiri. Malah, beliau cuba memujuk Perdana Menteri Malaysia itu untuk mengubah fikiran tetapi tidak berjaya.

Di sebalik idea bahawa Malaysia berpisah dengan Singapura terhasil menerusi rundingan rahsia pada 5 Ogos 1965, hakikatnya rundingan untuk berpisah telah dimulakan sejak Julai 1964. Ini didedahkan dalam satu fail rahsia yang dipanggil Fail Albatross. Bagi pihak PAP ketika itu, penyertaan Singapura dalam Malaysia dilihat menguntungkan mereka. Ini kerana menerusi Operasi Coldstore, ramai pemimpin Barisan Sosialis dipenjarakan sekaligus tidak lagi dapat mencabar kedudukan PAP sebagai parti politik dominan.

Rundingan rahsia kemudiannya diadakan pada 5 Ogos 1965 di Kuala Lumpur dengan pihak Singapura diwakili oleh Dr Goh Keng Swee dengan Malaysia (Tun Abdul Razak Hussein). Dalam rundingan berkenaan, beliau berharap dapat membentangkan dokumen pengisytiharan pemisahan pada sesi Dewan Rakyat pada 9 Ogos 1965. Draf perjanjian pemisahan dibuat oleh Menteri Undang-Undang Singapura ketika itu, E. W. Barker pada akhir Julai.

Selepas rundingan demi rundingan berkenaan klausa dan pindaan, akhirnya draf perjanjian dimuktamadkan pada awal pagi 7 Ogos. Barker dan Keng Swee menandatangani perjanjian bagi pihak Singapura. Sementara tandatangan wakil kerajaan pula dibuat oleh Tun Abdul Razak, Menteri Dalam Negeri Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Menteri Kewangan Tun Tan Siew Sin dan Menteri Kerja Raya Tun V. T. Sambathan.

Pada pagi 7 Ogos, Kuan Yew dan dua lagi pemimpin senior Singapura iaitu S. Rajaratnam dan Toh Chin Chye menandatangani draf perjanjian sama. Pada awalnya, kedua-duanya enggan menandatangani perjanjian tersebut dan tidak bersetuju dengan idea tersebut. Tetapi selepas Chin Chye membaca surat yang diutus Tunku Abdul Rahman kepadanya bahawa ini merupakan jalan terbaik, barulah kedua-duanya bersetuju untuk berbuat demikian.

Setelah itu, Kuan Yew bertolak pulang ke Singapura untuk mendapatkan tandatangan barisan kabinetnya yang lain. Bagi memastikan berita ini tidak diketahui oleh sesiapa sebelum 9 Ogos, perjanjian pemisahan dihantar semula ke Kuala Lumpur menggunakan krew Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Singapura turut mengarahkan Pejabat Percetakan Kerajaan (GPO) ditutup bagi mengelak berita tersebut bocor.

Pada 8 Ogos, selepas menerima perjanjian pemisahan dari Singapura, barulah Tun Abdul Razak mengadakan sesi mesyuarat dengan Majlis Raja-Raja Melayu, para menteri besar dan ketua menteri. Mesyuarat tersebut bagi menerangkan tujuan sebenar sidang Dewan Rakyat diadakan pada keesokan harinya.

Pada 9 Ogos, tepat jam 10.00 pagi, Tunku Abdul Rahman membentangkan usul pindaan perlembagaan tentang pemisahan Malaysia-Singapura di Parlimen. Pada masa sama, pengisytiharan kemerdekaan Singapura turut dibuat di Radio Singapura. Selepas dibentangkan, kesemua ahli dewan sebulat suara bersetuju dengan usul berkenaan dan mendapat perkenan Duli Yang Maha Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail.

Pada sebelah petang hari yang sama, Kuan Yew mengadakan satu sidang media untuk menjelaskan apa yang berlaku. Dalam sidang media yang berlangsung pada jam 4.30 petang, beliau melihat keluarnya Singapura dari Malaysia sebagai satu langkah terbaik dan menggesa rakyat agar kekal tenang dan tabah. Walaupun ada yang marah dengan keputusan tersebut, tetapi ramai merasa lega dengan keputusan berkenaan.

Nota kaki:

  1. Operasi Coldstore: Operasi rahsia yang digerakkan pada 18 Januari 1963 di Singapura dengan tujuan memusnahkan mana-mana organisasi pro-komunis yang beroperasi ketika itu. Antara yang ditahan termasuk bekas editor Utusan Melayu Said Zahari, Setiausaha Agung Barisan Sosialis Lim Chin Siong dan Naib Pengerusi Barisan Sosialis Sidney Woodhull.
  2. Fail Albatross: Fail mengandungi pelbagai dokumen rahsia tentang pemisahan Singapura daripada Malaysia dan pembentukannya sebagai sebuah negara moden. Dalam simpanan Keng Swee selama bertahun-tahun sebelum ia didedahkan dalam satu temubual bersamanya pada tahun 80-an.

RUJUKAN:

Lim, Edmund. (2015). Secret documents reveal extent of negotiations for Separation. The Straits Times.

History.sg. (2014). SINGAPORE SEPARATES FROM MALAYSIA AND BECOMES INDEPENDENT

Mohd Yaakop, Mohd Rizal. (2009). ISU PEMISAHAN SINGAPURA-MALAYSIA: RASIONAL KESELAMATAN POLITIK. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies, Isu ke-36. Halaman 62-89.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.