Apa yang berlaku apabila kotak pandora terbuka? Apakah musibah yang dibawanya? Apakah malapetaka yang akan menimpa? Persoalan ini dijawab melalui filem  dari Korea Selatan, yang bertajuk Pandora.

Filem yang ditayangkan pada tahun 2016 ini agak kurang dikenali, dan ia tidak begitu popular jika dibandingkan dengan sensasi yang dibawa oleh filem Train to Busan yang juga ditayangkan pada tahun yang sama. Secara umumnya, Pandora adalah sebuah filem yang berkisar tentang kemusnahan rektor janakuasa nuklear atau meltdown di daerah bahagian selatan Korea Selatan. Filem ini secara jelasnya mengambil inspirasi daripada peristiwa kemusnahan stesen nuklear di Fukushima pada tahun 2011, dan diolah mengikut latar dan kisah yang berbeza.

Filem ini dimulakan dengan imbas kembali melalui perbualan sekumpulan kanak-kanak (yang dewasanya adalah antara mereka yang terkorban di dalam kemusnahan stesen nuklear tersebut) mengenai apakah sebenarnya stesen janakuasa nuklear yang diberi nama Hanbyul yang didirikan di tempat mereka diami itu. Salah seorang daripada mereka melihatnya sebagai sebuah periuk nasi yang besar, yang memberi makan kepada seluruh penduduk di kawasan tersebut, hanya kerana abang dan ayahnya turut bekerja di stesen janakuasa berkenaan.

Namun, seorang kanak-kanak perempuan berbeza pendapat dengan mengatakan bahawa ia adalah sebuah kotak yang apabila dibuka akan membawa masalah kepada semua orang, iaitu merujuk kepada kotak Pandora. Secara jelasnya, adegan pertama dalam filem ini jelas menunjukkan perbezaan pendapat antara dua golongan, iaitu mereka yang bekerja di stesen janakuasa dan mereka yang anti-nuklear, yang turut dipaparkan dalam filem ini dalam babak yang seterusnya.

Watak utama dalam filem ini, Kang Jaehyuk (dilakonkan oleh Kim Nam Gil) merupakan seorang pekerja di stesen janakuasa nuklear Hanbyul. Dia kehilangan abang dan ayahnya akibat radiasi yang diakibatkan oleh kemalangan di stesen janakuasa tersebut, dana bertekad untuk keluar daripada daerah tersebut dan mencari pekerjaan jauh daripada kawasan itu. Namun, hasratnya ditentang oleh ibu, kakak ipar, malah teman wanitanya yang turut bekerja di stesen janakuasa itu. Bagi mereka, stesen janakuasa tersebut adalah nadi yang menggerakkan dan memberi sumber pekerjaan kepada ramai anak muda di kawasan tersebut, meskipun banyak kesan buruk yang berlaku akibatnya.

Kisah kemusnahan bermula dengan insiden gempa bumi berukuran 6.1 skala richter, yang menyebabkan radiasi akibat kebocoran daripada cooling valve stesen tersebut. Para pekerja yang panik, enggan untuk membaiki kerosakan dan kebocoran yang berlaku, menyebabkan berlakunya kebocoran cooling valve yang lain dan seterusnya mencapai kemuncak radiasi lalu mengakibatkan letupan besar.

Seorang jurutera yang bertanggungjawab dalam hal penyelenggaraan (lakonan Jung Jin Young) cuba untuk menyelesaikannya, namun setiap keputusannya ditentang oleh pihak atasan stesen Hanbyul. Elemen politik yang dipaparkan di sini menunjukkan bagaimana reaksi dan tindakan yang dilakukan oleh para menteri kabinet berhubung letupan tersebut, sehingga melangkaui keputusan yang cuba dibuat oleh Presiden.

Keseluruhannya, filem ini memaparkan sisi hitam sebuah kerajaan apabila berhadapan dengan bencana dan kemusnahan yang berlaku dalam negara, dengan setiap penduduk di seluruh ceruk negara mula melarikan diri daripada terdedah daripada sisa radiasi. Ia turut menunjukkan bagaimana tindakan dan keputusan tidak wajar yang dilakukan oleh pihak kerajaan serta pihak yang bertanggungjawab boleh memberi kesan berpanjangan kepada semua penduduk.

Ia turut mendedahkan bagaimana kesan radiasi nuklear memberi kesan yang dahsyat, melalui adegan para pekerja Hanbyul yang terdedah dengan radiasi dibawa ke sebuah penempatan khas dan mengalami pelbagai kesan sampingan. Seperti mana filem Korea Selatan yang lain, sisi kekeluargaan, persahabatan dan patriotisme yang tinggi juga sangat tebal dalam filem ini. Adegan di mana Kang Jaehyuk mencari telefonnya meskipun dalam keadaan separa sedar semata-mata untuk mendengar khabar ahli keluarganya begitu emosional. Ia adalah gambaran tentang kasih sayang keluarga yang melangkaui kesakitan dan keperitan yang dialami.

Babak di mana para pekerja yang terdedah dengan radiasi bergerak masuk ke dalam stesen untuk berkorban demi mengelakkan kemusnahan yang lebih besar mengingatkan aku tentang babak dalam filem Armageddon. Namun, apa yang paling meruntun hati, adalah babak di mana Kang Jaehyuk mengorbankan dirinya untuk keselamatan sahabat-sahabatnya yang lain, meskipun di akhirnya dia sendiri begitu takut untuk menghadapi kematian dan bersendirian.

Filem ini mungkin merupakan sebuah filem yang berkisar tentang kemusnahan, yang biasa kita lihat seperti Train to Busan dan Deranged, namun, intipati yang ingin dipaparkan adalah bagaimana kemusnahan itu mungkin menjadi permulaan untuk sebuah kehidupan baru yang lebih baik.

Kemusnahan akibat nuklear dalam filem adalah menyakitkan, sehingga mengakibatkan kematian hampir keseluruhan anggota penyelamat, pasukan perubatan serta para pekerja di stesen janakuasa tersebut. Ketidakcekapan pihak kerajaan dalam menangani masalah kemusnahan juga adalah suatu pengajaran yang boleh kita ambil dan teladani. Filem ini mempunyai kesan khas dan visual yang sangat menarik dan ia sebenarnya berbaloi untuk ditonton.

Pandora memberi pengajaran yang bererti tentang kehidupan kita semua, apa jua kemudahan yang dinikmati mempunyai harga untuk dibayar, namun, ia bukanlah penyebab untuk kita takut menerima perubahan. Setiap yang baik, ada buruknya, tetapi kita jugalah yang harus memastikan setiap keburukan itu dapat diatasi melalui keputusan yang sewajaranya. Seperti mana yang diucapkan oleh Kang Jaehyuk di pengakhiran filem ini, dia bukanlah membenci stesen janakuasa tersebut, dia hanya takut. Ketakutan terhadap sikap tidak peduli pihak atasan mengenai masalah yang berlaku dalam stesen tersebut.

“Jangan tutup mata dan telinga kita hanya kerana kita takut. Kotak Pandora telah dibuka. Meskipun banyak yang buruk dan jahat di dalamnya, bukankah terselit juga harapan di dalamnya?” (Kang Jaehyuk)

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.