Ini bukan andaian atau perkara yang bakal berlaku pada masa akan datang. Ia memang sudah berlaku. AI kini mampu mengklon atau mereplikasi dirinya sendiri!
Pasukan penyelidik daripada Universiti Fudan di China beberapa minggu telah menemui satu kejutan baharu dalam perkembangan teknologi kecerdasan buatan, yang akhirnya telah melampaui batasannya, iaitu berjaya mereplikasi dirinya sendiri tanpa bantuan manusia.
Secara tak langsung, ini adalah amaran awal kepada manusia, bahawa perkembangan AI yang berjaya mengklon dirinya sendiri adalah antara langkah AI untuk mengatasi kecerdikan dan akal yang dimiliki manusia.
Pasukan penyelidik itu menyatakan bahawa ini juga adalah petanda awal kemunculan AI jahat yang akhirnya akan datang boleh beroperasi secara berlawanan daripada kepentingan manusia.
Penemuan ini adalah berdasarkan kajian terhadap dua model bahasa besar (LLM) yang sudah tersedia secara meluas, yang dibangunkan oleh Llama Meta dan Qwen Alibaba. Kajian dilakukan untuk memahami adakah berlakunya kemungkinan untuk AI menghasilkan replika berfungsi sendiri secara bebas tanpa arahan daripada manusia.
Model yang diuji adalah Llama31-70B-Instruct Meta dan model Qwen2.5-72B-Instruct Alibaba, dan hasilnya menunjukkan bahawa sistem AI ini berjaya mengklonkan diri mereka masing-masing dalam 50% dan 90% percubaan.
Malah, kajian ini turut meneroka dua situasi utama iaitu, pertama, AI boleh mengelak daripada ditutup dengan mereplikasi diri sendiri dan kedua, apabila replikasi ini berlaku dalam rantaian yang berterusan, ia menyerlahkan keadaan AI yang mungkin ‘membiak’ tanpa diduga.
Jadi, kenapa kita perlu tahu dan risau dengan perkembangan terbaharu AI ini?
Ini kerana, implikasi yang dibawa daripada AI yang mampu mereplikasi diri sendiri ini jauh melangkaui kebimbangan secara teori, kerana mereka menunjukkan keupayaan untuk menyelesaikan masalah secara dinamik, malah mengubah fungsi sistem untuk memastikan kelangsungan hidup mereka.
Maksudnya, tingkah laku AI seperti menamatkan proses bercanggah, mengatur semula (rebooting) sistem dan mengimbas fail yang hilang adalah tindakan-tindakan yang menunjukkan penyelesaian masalah autonomi. Malah, penyelidik kajian ini sudah mula menggesa kerjasama antarabangsa untuk melindungi replikasi AI yang mungkin tidak terkawal.
Perkembangan AI yang tanpa sempadan ini mengingatkan kita bahawa mungkin satu hari nanti apabila AI benar-benar secara nyata boleh mereplikasi diri sendiri, maka ia takkan dapat dihapuskan dan realiti ini takkan dapat dipulihkan lagi.




No comments yet