Isu Uyghur tengah hangat, ramai minta aku ulas. Aku nak ulas lama dah, cuma asyik tulis padam, tulis padam. Serba salah rasa sebenarnya.

Disebabkan agak panjang (ini mungkin tulisan FB aku yang paling panjang, gila psycho), aku pakai format numbering. First time aku tulis style macam ini. Senang korang nak refer nanti. Kalau nak copy paste tak perlu lah salin penuh, ambil je perenggan yang berkaitan. Kadang aku buat lawak hambar pun korang copy share, aduhai.

Panjang pulak mukadimah. Ini dia:

1. Sedikit sejarah pasal Xinjiang. “Xinjiang” (ejaan Mandarin baharu / Hanyu Pinyin) atau “Sinkiang” (ejaan Mandarin lama / Postal Romanization) bermaksud sempadan baharu dalam Bahasa Cina. “Baharu” sebab hanya sehingga 1759, kawasan ini dimasukkan ke dalam Empayar China (waktu itu diperintah oleh Dinasti Qing yang pemerintahnya terdiri daripada Kaum Manchu).

2. Di bawah Republik Rakyat China (PRC), Xinjiang ialah sebuah wilayah autonomi. Autonomi ini perlu disebabkan majoriti penduduk Xinjiang ialah Kaum Uyghur yang mempunyai agama (Islam) dan bahasa (Uyghur) yang tersendiri. Uyghur ialah etnik terbesar di Xinjiang (46%), diikuti oleh Han (39%), Kazakh (7%), Hui (4.5%) dan Kyrgyz (0.9%). Di peringkat negara, Uyghur ialah etnik ke-5 besar selepas Han, Zhuang, Hui dan Manchu.

3. Uyghur ialah salah satu cabang kelompok rumpun Turkik (“Turkic”) yang bertebaran di Asia Tengah, bersama-sama Kazakh (bangsa utama Kazakhstan), Uzbek (bangsa utama Uzbekistan), Turkmen (bangsa utama Turkmenistan), Kyrgyz (bangsa utama Kyrgyzstan), Azeri (bangsa utama Azerbaijan) dan Turk (bangsa utama Turki). Tapi jangan anggap ada nama “-stan” terus jadi Turkik. Tajikistan dan Afghanistan ialah “Iranic”.

4. Sebab itu muka selebriti Uyghur seperti Dilraba, Gulnazar dan Hanikezi ada mirip Orang Turki. Tapi jangan pukul rata. Ada juga muka Uyghur yang lebih dekat dengan Cina Han dan Mongol, contoh seperti Abudushalamu Abudurexiti, pemain basketball dan Neghmet Rakhman, pengacara CCTV. Konsep rumpun bangsa yang dipakai dalam bidang “ethnolinguistics” adalah berdasarkan persamaan bahasa, bukan berdasarkan keturunan.

5. Uyghur pada asalnya ialah penganut Manichean dan Buddha, pernah mendirikan Uyghur Khaganate yang menguasai seluruh kawasan Mongolia dan pernah menakluk ibu kota China, Chang’an pada tahun 765. Namun sekitar tahun 840, Uyghur dikalahkan oleh Kyrgyz dan berpecah. Ada yang berpindah ke Gansu dan berkembang menjadi Kaum Yugur (裕固族). Uyghur yang berada di Qocho dan Turpan (di Xinjiang sekarang, tapi waktu itu tak ada konsep Xinjiang) mendirikan negara Qara-Khoja.

6. Pada tahun 1209, Qara-Khoja menyerah kepada Empayar Mongol bawah Genghis Khan. Selepas Empayar Mongol berpecah, Uyghur jadi subject kepada Chagatai Khanate (yang diasaskan oleh anak kedua Genghis Khan). Selepas raja (khan) Chagatai memeluk Islam, Uyghur pun bertukar agama mereka daripada Buddha kepada Islam, mengikuti mazhab Hanafi.

7. Kerajaan Mongol terakhir yang memerintah Uyghur ialah Dzungar Khanate. Dzungar ialah penganut Buddha, jadi Uyghur cuba lawan Dzungar dengan bekerjasama dengan Qing.

8. Pada tahun 1755, Qing menghapuskan Dzungar. Qing melantik Burhanuddin Khoja dan adiknya Jahan Khoja sebagai pemimpin Uyghur di Altishahr.

9. Altishahr merujuk kepada kawasan Tarim Basin. Geografi 101: Xinjiang dipisahkan oleh Banjaran Gunung Tianshan. Bahagian utara dikenali sebagai Dzungaria, kawasan yang dikuasai penuh oleh Dzungar (Mongol). Bahagian selatan dikenali sebagai Kashgaria atau Tarim Basin, atau Altishahr menurut Uyghur. Altishahr (آلتی شهر) bermaksud “6 bandar”, merujuk kepada Kashgar, Yarkand, Khotan, Aqsu, Uch Turfan dan Kucha.

10. Burhanuddin dan Jahan Khoja ialah makhdum (مخدوم) atau syeikh tarekat Naqshbandi. Kerajaan Qing menggelarkan mereka sebagai Khoja Besar dan Khoja Kecil (大小和卓 / da xiao he zhuo). Khoja (خوجا) ialah gelaran hormat kepada guru Sufi yang dipakai di kalangan kaum-kaum Turkik. Kalau di Turki panggil “hoca”.

11. Tak lama kemudian, Burhanuddin dan Jahan memberontak dan melancarkan jihad terhadap Qing. Qing berjaya mematahkan pemberontakan pada tahun 1759 dan menempatkan Altishahr di bawah pemerintahan langsung, maka bermulalah sejarah Uyghur di bawah China.

12. Tapi keturunan Khoja meneruskan jihad mereka di Kokand Khanate (Uzbekistan hari ini). Kokand menghantar Yaqub Beg (ياقۇب بەگ) untuk membantu Burzug Khan (cicit Burhanuddin) untuk merampas balik Altishahr. Tapi Yaqub Beg menyingkirkan Burzug Khan, sendiri jadi penguasa Altishahr dan mendirikan kerajaan bernama Yettishahar pada tahun 1864. Yettishahar bermaksud “7 bandar”, tambah Turfan. [1]

13. Walaupun Yaqub Beg berjaya dipatahkan oleh Qing pada tahun 1877, tapi ia kekal sebagai inspirasi Uyghur yang mahu bebas daripada China. Rebiya Kadeer (pemimpin World Uyghur Congress, lihat Perenggan 26) menggelarkan Yaqub Beg sebagai “our Uyghur hero”, walaupun etnisiti Yaqub Beg ialah Tajik. [2]

14. Kesan pemberontakan Yaqub Beg ialah merosotnya autoriti agamawan seperti Khoja di kalangan Uyghur. Dengan itu, “Pan-Turkic nationalism” muncul sebagai “rallying call” baharu. [3]

15. Pan-Turkic Nationalism ialah ideologi yang dibawa oleh Kaum Muda (“Jadid”) di kalangan intelektual Uyghur (Kaum Tua digelar sebagai “Qadim”). Golongan ini dipengaruhi oleh ideologi Pan-nasionalisme moden semasa menerima pendidikan di Russia di mana kajian “Turcology” (kajian bahasa dan budaya Turkik) berkembang dengan pesat. [4]

16. Mereka membayangkan Asia Tengah sebagai “Turkestan”, tanah tumpah darah rumpun Turkik. Xinjiang berada di sebelah timur, jadi ia adalah “East Turkestan”. Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan dan Kyrgyzstan pula adalah “West Turkestan”. Matlamat Jadid adalah untuk mendirikan sebuah negara Turkestan yang menyatukan semua bangsa-bangsa Turkik.

17. Percubaan pertama untuk mendirikan negara East Turkestan berlaku pada November 1933. Waktu itu Qing sudah tumbang, diganti dengan Republik China (ROC) yang diperintah oleh Parti Nasionalis (Kuomintang).

18. Islamic Republic of East Turkestan diisytiharkan di Kashgar dengan Khoja Niyaz sebagai Presiden dan Sabit Damulla sebagai Perdana Menteri. Namun akibat serangan tentera Kuomintang (dipimpin oleh Ma Chung-ying, jeneral Muslim Hui) dan konflik dalaman, kerajaan East Turkestan pertama ini tumbang selepas 5 bulan, belum sempat nak menguasai seluruh Xinjiang. Dan disebabkan insiden ini, ramai Uyghur masih berdendam dengan Hui walaupun sama-sama Muslim.

19. Percubaan kedua berlaku pada 1944. East Turkestan Republic didirikan di Ili, dipimpin oleh Elihan Tore dan kemudian Ehmetjan Qasim. Kali ini tiada nama “Islamic” sebab ia disokong oleh USSR yang komunis. Republik kedua bertahan lebih lama (1944-1949) tapi tak dapat sokongan Pan-Turkic Nationalist yang anti-komunis.

20. Pan-Turkic Nationalist yang anti-USSR seperti Muhammad Amin Bughra, Isa Alptekin, Masud Sabri dan Burhan Shahidi mula mengubah pendirian. Mereka tidak lagi menaruh harapan terhadap idea East Turkestan dan sebaliknya memilih untuk pertahankan kepentingan Uyghur di bawah kerangka China. Hasil daripada perundingan dengan Kuomintang, Masud dilantik sebagai gabenor Xinjiang pada tahun 1947. Buat kali pertama dalam sejarah, pemimpin Uyghur sendiri mentadbir Xinjiang.

21. Namun malangnya, Kuomintang tewas dalam perang dengan Parti Komunis China. Keluar mulut komunis Russia, masuk mulut komunis China. Untuk elakkan tumpahan darah, Burhan (pengganti Masud) mengumumkan penyerahan kepada Parti Komunis China pada 26 September 1949. Burhan dilantik sebagai pengerusi Xinjiang Provincial People’s Government.

22. Muhammad Amin dan Isa lari ke Turki dan meneruskan perjuangan Pan-Turkik mereka. Dengan itu, Turki menjadi markas Pan-Turkic Nationalist dan idea East Turkestan (“Doğu Türkistan” dalam Bahasa Turki) disebar.

23. Burhan kemudian diganti oleh Saifuddin Azizi yang pernah jadi Menteri Pendidikan di bawah East Turkestan Republic kedua. Pada tahun 1955, Saifuddin berjaya mendapatkan status autonomi kepada Xinjiang dan Xinjiang dinamakan semula sebagai Xinjiang Uyghur Autonomous Region.

24. Pemerintahan PRC di Xinjiang mula-mula tak ada masalah, malah Uyghur dipandang sebagai aset penting. Burhan jadi duta ke negara-negara Arab sosialis seperti Mesir dan Syria dan menjadi jambatan antara PRC dan dunia Muslim.

25. Tapi gelombang fenomena “Kebangkitan Islam” pada 1980-an turut melanda Xinjiang. Tambahan kedudukan geografi Xinjiang yang dekat dengan Afghanistan, ramai bekas “mujahideen” yang menyertai jihad lawan USSR mula menubuhkan kumpulan militan untuk membebaskan Xinjiang. Gerakan-gerakan ini juga guna nama East Turkestan. Antaranya East Turkestan Islamic Movement (ETIM) yang ada hubungan dengan Al-Qaeda didakwa China sebagai dalang serangan pengganas di Xinjiang yang makin menjadi-jadi memasuki 1990-an. [5]

26. Ada juga gerakan separatis bukan militan seperti World Uyghur Congress yang diasaskan oleh Rebiya Kadeer, dan East Turkestan Government-in-Exile yang diasaskan oleh Anwar Yusuf Turani. Kedua-dua diasaskan pada tahun 2004. Yang menariknya Rebiya dan Anwar saling menuduh sesama mereka sebagai “pemecah-belah bangsa”.

27. Namun semua gerakan East Turkestan ini menggugat keabsahan pemerintahan China di Xinjiang. Untuk mengatasi masalah ini, China melancarkan Program Pembangunan Barat atau Xibu Dakaifa (西部大開發) untuk membangunkan kawasan Barat termasuk Xinjiang, dengan harapan pembangunan akan mengurangkan jurang kekayaan antara Uyghur dan Han di Xinjiang yang dianggap sebagai penyumbang kepada semangat separatisme.

28. Tapi masalahnya, pembangunan menggalakkan lagi migrasi Cina Han ke Xinjiang. Pada tahun 1953, peratusan Uyghur dan Han ialah 75% dan 6%, peratusan berubah jadi 46% dan 39% pada tahun 2015.

29. Takut jadi minoriti di tanah sendiri, rusuhan tercetus seperti rusuhan di Urumqi pada Julai 2009 yang mengorbankan hampir 200 nyawa. Kerajaan China macam biasa, mendakwa semua ini sebagai kerja ETIM dan sewaktunya.

30. Xi Jinping yang mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2012 mahu mengambil pendekatan yang lebih keras untuk membanteras kegiatan ETIM. Terutamanya selepas berlaku kejadian serangan di stesen keretapi di Kunming, Yunnan yang mengorbankan 31 orang awam pada tahun 2014.

31. Atas alasan membanteras “Islam radikal”, Xi memperkenalkan “re-education camp” (再教育营 / zai jiao yu ying). Ini bukan sekolah pendidikan vokasional, tapi lebih kepada “corrective camp” yang digunakan untuk “de-radicalize” tahanan Uyghur yang disyaki terlibat dalam ETIM. Macam Gulag di USSR lah.

32. Ada juga beberapa langkah “de-radicalization” Xi yang kontroversial seperti “Kempen Anti-Halal” sebab Kerajaan Xi melihat “halal” ini sebagai tanda Islam radikal. Undang-Undang De-Radicalization yang dikeluarkan pada tahun 2017 ada sebut “泛化清真” (fan hua qing zhen) iaitu mengaplikasikan konsep halal selain untuk tujuan makanan adalah dilarang (Artikel 2.6). Muslimah dilarang pakai burqa kerana itu tanda radikal (Artikel 2.7). Lelaki dilarang menyimpan janggut di “luar kebiasaan” (非正常蓄须 / fei zheng chang xu xu – Artikel 2.8). Ini People’s Daily eh, bukan kelentong. [6]

33. Like seriously? Tapi kan, kalau kita sendiri pun ada yang anggap Jawi sebagai Arabisasi takkan nak expect Komunis China faham konsep halal atau sunnah.

34. Hui yang tak ada kena mengena dengan separatisme Uyghur pun menerima kesan. Selain Muslim, kebebasan beragama penganut Kristian, Buddha dan Tao pun semakin tergugat di bawah Xi. Jadi orang mula pertikai Xi. “De-radicalization” hanyalah alasan, Xi sebenarnya anti-agama, takut agama mengalihkan kesetiaan rakyat terhadap Parti Komunis China.

35. Tapi yang betul-betul membuat isu re-educational camp ini menarik perhatian dunia ialah kenyataan Gay McDougall di sidang Jawatankuasa Penghapusan Diskrimasi Kaum (CERD, ye betul, ICERD itu lah), PBB pada 13 Ogos 2018 yang kata ada 1 juta Uyghur ditahan bawah re-education camp. [7]

36. Susulan daripada, pelbagai cerita horror tentang kekejaman yang berlaku di dalam re-education camp mula memenuhi media antarabangsa. Ada yang sahih, ada yang boleh diragui. Ada yang pakai gambar ahli Falun Gong kena seksa, tapi letak tajuk kesengsaraan Uyghur.

37. Berdasarkan laporan PBB ini, 23 negara termasuk US, UK, Jepun dan Australia telah mengemukakan kenyataan bersama yang mengecam China dan menggesa re-education ditutup camp serta merta.

38. Di kalangan negara ini, tak ada satu pun negara anggota OIC (negara-negara Islam). Malah negara-negara seperti Saudi, Iran, Pakistan, Bangladesh even Turkmenistan (saudara serumpun) siap keluarkan kenyataan bersama menyokong tindakan China.

39. Jadi ramai marah mana suara umat Islam membela nasib Uyghur, termasuk Mesut Özil yang bikin panas baru-baru ini.

40. Namun idola Özil sendiri, Erdoğan pun tak nyatakan pendirian. Sikap Erdoğan dikecam oleh media Turki dan juga gerakan-gerakan East Turkestan yang selama ini memandang Turki sebagai “abang besar” yang sentiasa bersedia untuk membela nasib negara Turkik yang lain. [8]

41. Mereka syak Erdoğan desperate nak berbaik dengan China selepas bergaduh dengan US. Buktinya Turki telah mengiktiraf ETIM sebagai pengganas pada tahun 2017, walaupun selama ini Turki enggan berbuat demikian.

42. Rata-rata negara Islam juga dituduh senyap kerana takut nak confront China. Kalau bahasa kasaq sikit, tak ada teluq. Teluq kena pegang oleh China. Saudi dan Pakistan menerima berpuluh bilion pelaburan oleh China, confirm kena beli lah orang kata.

43. Tapi tak adil sebenarnya nak kata mereka pengecut. Mereka sebenarnya ada masalah dengan dakwaan “sejuta tahanan”. Dakwaan tersebut bukan dibuat oleh siasatan tapi berdasarkan dakwaan McDougall sendiri tanpa menyatakan sebarang sumber.

44. Negara-negara Islam ini tak sokong kecaman US dan sekutunya yang berdasarkan dakwaan McDougall, tapi bukan bermaksud mereka tak prihatin dengan isu Uyghur. Kena ada siasatan impartial dari pihak PBB. “Pendedahan” di Oh Bintang atau Nangka Cheese, walaupun ada sejuta share, tak cukup untuk negara-negara ini mencabar China.

45. Suka atau tidak, isu ini intertwine dengan geopolitik. Aku cakap macam ini sebab dah agak mesti ada yang akan kecam aku “eh, orang cerita pasal hak asasi manusia lah, kau lagi nak sibuk dengan geopolitik!”

46. Menyokong gerakan pemisah untuk menyahstabil sesebuah negara bukan benda yang baru. Contoh klasik macam campur tangan NATO di Kosovo dan Negara-Negara Teluk di Syria untuk tumbangkan Bashar al-Assad. Semua bermula dengan “krisis kemanusiaan”.

47. Bukan bermaksud tak berlaku kezaliman dalam kem, atau cerita-cerita penderitaan hanya rekaan/propaganda semata-mata. Tahanan berprofil tinggi seperti Muhammad Salih Halim (ulama), Rahile Dawut (profesor) dan Ablajan Ayup (penyanyi) yang jauh sekali nak dikaitkan dengan “radikal” merupakan isyarat bahawa something is wrong dengan re-education camp.

48. Cuma isu diperalatkan untuk agenda geopolitik. Negara perlu berhati-hati supaya tidak terjebak dalam usaha untuk mengabsahkan gerakan kemerdekaan.

49. Dalam isu Uyghur ini kita kena bezakan bersolidariti atas kemanusiaan dan menyokong gerakan East Turkestan.

50. Isu pertama melibatkan kemanusiaan, hak asasi untuk dapat fair trial dan tidak diseksa. Benda ini universal, terpakai untuk Uyghur, terpakai untuk Tibet, terpakai untuk Cina Han. Kisah kena electric shock dan tuai organ sudah lama dilaporkan di kalangan penganut Falun Gong yang diharamkan pada tahun 1999. Pengikut Falun Gong kebanyakan ialah Orang Han. Benda ini juga berlaku kepada separatis Tibet. Malah laporan McDougall juga ada sebut Mongolia dan Tibet.

51. Isu kedua melibatkan kedaulatan (“sovereignty”) China ke atas Xinjiang. Naratif yang cuba diwujudkan oleh sesetengah pihak sekarang ialah bahawa East Turkestan ialah sebuah negara merdeka sehingga China datang menjajah. Macam Aydin Anwar (aktivis Uyghur warga US) yang videonya ramai orang share.

52. Aydin menyeru ramai untuk gantikan nama Xinjiang dengan East Turkestan, dan buat perbandingan antara isu Israel-Palestin dan China-Xinjiang. Katanya Xinjiang ialah “Occupied East Turkestan”. Ramai (walhal ahli akademik) sokong dakwaan demikian. Tapi cuba bandingkan klaim dia dengan kronologi sejarah dari Perenggan 7-23 (kalau tak yakin dengan aku, boleh kaji sendiri). Xinjiang ini Palestin, atau Catalonia?

53. Perasan tak selepas isu 1 juta tahanan Uyghur timbul, simbol kemerdekaan East Turkestan tetiba pop up sini sana? Poster “Save Uyghur” letak budak muka yang dicat dengan “gök bayrak” (lambang separatis Uyghur yang diadaptasi daripada bendera East Turkestan Republic). Manga Jepun pasal Mihrigul Tursun yang viral baru-baru ini pun letak gök bayrak di muka depan. Motif?

54. Ramai yang sekadar bersolidariti dengan Uyghur pun secara tidak langsung memandang simbol-simbol tersebut sebagai lambang Kaum Uyghur.

55. Tindakan Özil yang mengiktiraf East Turkestan dalam tweet yang sebenarnya dikecam oleh warganet China, bukan kenyataannya tentang Uyghur. Tapi hampir semua media tak highlight aspek itu. Motif?

56. Selain Turki, markas utama separatis Uyghur ialah US dan Jepun. Jepun menyokong gerakan East Turkestan sejak 1930-an lagi, dengan cita-cita menjadikan East Turkestan sebagai “Manchukuo” di Asia Tengah (Manchukuo ialah negara boneka Jepun di Manchuria yang digunakan untuk memperluaskan kepentingan Jepun). Rebiya Kadeer ada kabel kuat di Jepun. Uyghur menjadi satu bidak penting dalam percaturan US-Jepun terhadap China.

57. Kita boleh tekan China untuk memperbaiki layanannya terhadap Uyghur, tapi kalau kita nak kata “Free Uyghur” “Free East Turkestan” itu dah kira mencabar kedaulatan China. China tak akan lepaskan Xinjiang atas kepentingan dari segi “energy security” dan “strategic depth” (akan diulas lebih lanjut dalam DTT3).

58. Bukan bermaksud aku setuju dengan perbuatan China, tapi mencampur adukkan isu kemanusiaan dengan kedaulatan, diapi-apikan lagi dengan dakwaan ada konspirasi Cina terhadap Muslim hanya merumitkan isu.

59. Walaupun layanan China terhadap Uyghur teruk, tapi China ialah penyokong teguh Palestin dan Muslim di Kashmir. Aku percaya negara-negara yang berdiam bukan kerana takut, tapi sebenarnya nak cari jalan tengah, tak nak ikut rentak negara-negara Barat yang ada agenda tersendiri. Bukan semudah “berdiam itu tanda lemahnya iman”. Islam juga ajar bertindak dengan hikmah, kena lihat big picture.

60. China juga patut bertindak dengan hikmah dan come clean. Sikap China yang sorok-sorok dan tak telus dalam isu re-education camp dan layanan ke atas Uyghur hanya akan backfire. ISIS tunggu masa je nak venture masuk Xinjiang, isu Uyghur yang semakin disensasikan akan memudahkan lagi mereka rekrut pejuang.

61. Apa yang patut kita buat sebagai orang awam? Doakan kesejahteraan saudara seagama. Nak boikot pun boikot lah. Tapi hindari daripada mensensasikan sentimen agama dan perkauman.

62. Secara peribadi aku rasa tak wajar promote simbol East Turkestan dalam masa bersolidariti. Tapi itu kebebasan korang, aku tak berhak untuk halang. Cuma kalau kita tak suka orang buat kat kita, kita jangan buat kat orang.

63. Aku ambil jalan tengah: tak percaya bulat-bulat propaganda pro-China yang “whitewash” China seolah-olah keadaan di Xinjiang semua baik-baik sahaja, tapi juga sangsi dengan cerita sensasi berkaitan Xinjiang yang mengandungi agenda tertentu.

64. Akhir kalam, kalau ada point yang tak setuju, sila berdiskusi secara tenang. Aku tak ada kepentingan dalam isu ni, cuma menulis atas dasar penuntut ilmu dan juga permintaan ramai. Janganlah kecam-mengecam.

Versi TL;DR: Dalam mengecam tindakan China di Xinjiang yang melanggari hak asasi manusia, kita juga harus berhati-hati untuk tidak ikut rentak pihak berkepentingan yang cuba legitimize gerakan pemisah dan mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman. Jangan beremosi dan berdoa baik-baik saja.

Sekian, Salam Hormat.

Rujukan (tak semua benda aku letak rujukan, hanya untuk point spesifik sahaja)

[1] “Mais Mohammed Yacoub ne pouvait longtemps se résoudre à laisser un Chodjajouir des fruits de sa victoire; il renversa le prince Burzug-Khan qu’il avait rétabli au pouvoir, le jeta en prison et finalement l’expulsa du pays” (Bulletin de la Société de géographie, Juillet à Décembre 1877)

[2] Rebiya Kadeer & Alexandra Cavelius, Dragon Fighter: One Woman’s Epic Struggle for Peace With China (Kales Press, 2009)

[3] Nabijan Tursun, “Factors and Challenges of Uyghur Nationalism in the Early Twentieth Century” dalam Güljanat Kurmangaliyeva & Konuralp Ercilasun, The Uyghur Community: Diaspora, Identity and Geopolitics (Palgrave Macmillan, 2018)

[4] Arne Haugen, The Establishment of National Republics in Soviet Central Asia (Palgrave Macmillan, 2003)

[5] J. Todd Reed & Diana Raschke, The ETIM: China’s Islamic Militants and the Global Terrorist Threat (Praeger, 2010)

[6] http://xj.people.com.cn/n2/2017/0330/c186332-29942874.html

[7] https://www.ohchr.org/EN/NewsEvents/Pages/DisplayNews.aspx…

[8] https://www.middleeasteye.net/…/erdogan-criticised-over-sil…


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.