Bagi membantu semua memahami apa sebenarnya berlaku di Venezuela, lihat statistik ini. Negara tersebut bergelut dengan situasi hutang yang membebankan, dilegakan sedikit dengan bantuan kewangan dari Rusia. Ekonominya juga merudum dengan industri minyak dan gas bergelut, inflasi melonjak ke tahap 2,000% (sudah masuk ke tahap hiperinflasi) dan peratusan pengangguran melebihi 20%. Dengan statistik sebegini, tidak mengejutkan mengapa sesetengah warga Caracas menjarah dan merompak berikutan kekurangan dari segi makanan dan keperluan asas. Dan tidak mengejutkan mengapa negara Amerika Selatan ini mempunyai kadar jenayah bunuh tertinggi di dunia dan ekonominya mengecut sebanyak 40% per kapita dari tahun 2013 hingga 2017.

Figure 1: Kadar inflasi Venezuela dari 1980 hingga 2015.

Maduro hanya kekal berkuasa disebabkan oleh sokongan pihak tentera, penasihat-penasihat Cuba, kumpulan penyokong pergerakan Chavismo (walaupun hakikatnya sokongan semakin berkurangan), pengundi yang mengharapkan bantuan makanan kerajaan, China dan Kremlin. Dan rejim Maduro tidak teragak-agak menggunakan apa saja cara untuk kekal berkuasa termasuk kekerasan. Buktinya, pembunuhan pemimpin pemberontak yang berkarisma iaitu Oscar Perez. Tahun lepas saja, lebih 100 orang penyokong pembangkang dibunuh oleh rejim. Maduro juga masih merasa selamat berikutan pihak pembangkang masih gagal bersatu dalam menyatukan matlamat mereka.

Dengan pilihan raya presiden yang dijangka diadakan pada bulan April, beliau dijangka memenanginya dengan mudah. Rejim Maduro juga tidak teragak-agak menukar peraturan sekiranya pihak pembangkang dilihat mengancam kedudukan mereka. Contohnya, pada Disember 2015, selepas pembangkang berjaya menguasai badan perundangan kebangsaan, rejim Maduro meminda undang-undang untuk badan tersebut. Dua tahun selepas itu, pada Julai 2017, kerajaan mengadakan pilihan raya perundangan pasca-pindaan undang-undang baru itu dengan penyokong rejim menguasai majoriti parlimen. Pihak pembangkang memboikot pilihan raya tersebut kerana merasakan pindaan tersebut menyalahi perlembagaan Venezuela. Bagi para pengundi, mereka sebenarnya tersepit antara menyokong perubahan atau kekal dengan rejim. Tidak seperti kita di sini yang asyik diasak dengan kempen #UndiRosak kerana bengang dengan kepimpinan sesetengah parti, mereka pula tersepit kerana kerajaan mengawal bekalan makanan mereka. Jika mereka enggan mengundi kerajaan, maka prospek kehilangan makanan yang dibekalkan mereka amat tinggi.

Sementara Maduro berterusan mengawal rejim, hubungan Caracas dengan negara-negara pemberi kreditnya agak tegang. China misalnya memberi pinjaman sebanyak $50 bilion kepada mereka. Namun, kelambatan pihak Venezuela memenuhi kewajipan pembayaran sudah menimbulkan kemarahan Beijing walaupun pembayaran tersebut dalam bentuk minyak. Tambahan pula, Caracas juga terputus dari pasaran modal antarabangsa. Menurut agensi pemberi taraf antarabangsa, Moody’s, Venezuela berhutang $141 bilion kepada pemegang-pemegang bon, negara-negara asing dan syarikat-syarikat termasuk syarikat penerbangan antarabangsa. Tambah memburukkan keadaan, pihak Amerika Syarikat menyenaraikan 30 pegawai rejim termasuk Maduro dan naib presidennya, Tareck El Aissami terlibat dalam aktiviti jenayah dan menghalang rejim mendapatkan pinjaman dari bank-bank Amerika. Selain Amerika, negara lain yang mengenakan sekatan terhadap pemimpin-pemimpin rejim ialah Kanada, Colombia, Mexico dan Kesatuan Eropah (EU). Pada Januari ini saja, EU mengenakan sekatan perjalanan dan pembekuan aset tujuh pemimpin rejim atas alasan mereka menggugat amalan demokrasi di Caracas.

Sekiranya revolusi hendak dilancarkan, ia perlu datang dari pihak tentera sendiri. Walaupun kepimpinan tinggi tentera pada dasarnya masih berpihak kepada Maduro tetapi kebanyakan anggota bawah turut merasa tempias dasar-dasar beliau yang mengarut itu. Sudah timbul ura-ura moral dalam kalangan pihak tentera semakin menjunam. Dan ini seharusnya diberi perhatian oleh Maduro sekiranya tidak mahu mengalami nasib sama seperti Nicolae Ceaucescu di Romania pada tahun 1989 dan Muammar Gaddafi (Libya/2011). Sementara Venezuela semakin terasing, negara-negara serantau pula lebih memilih pendekatan bersifat mesra pasaran termasuk bekas sekutu iaitu Argentina dan Ecuador. Enam pilihan raya presiden akan dilangsungkan pada 2018 membabitkan Brazil, Colombia, Costa Rica, Mexico dan Paraguay. Persamaan enam negara ini ialah mereka tidak akan membawa pemimpin yang sedia melindungi rejim autokratik Maduro. Jika ada pun, boleh dibilang dengan jari iaitu Cuba, Bolivia dan Nicaragua dan mereka juga tidak dapat membantu dari segi ekonomi. Ini mendorong ramai melarikan diri ke Kepulauan Carribean, Brazil dan Colombia.

Figure 2: Kekurangan bekalan makanan memaksa ramai penduduk Venezuela melarikan diri ke negara-negara jiran.

Jika anda sangka pergerakan pelarian hanya setakat di kawasan konflik seperti Arakan, Timur Tengah dan Afrika, anda salah. Fenomena orang bot ini juga berlaku di Venezuela dengan banyak laporan mengatakan mereka lemas dalam perjalanan ke negara-negara lain. Fenomena ini sedang diperhatikan dengan teliti oleh kebanyakan negara berjiran. Bagi mereka, masalah pelarian Venezuela ini ialah masalah terakhir yang mahu dihadapi mereka. Colombia misalnya terpaksa menggunakan kaedah menutup pintu sempadan untuk menghalang kemasukan pelarian Venezuela. Sementara Kepulauan Belanda seperti Aruba, Bonaire dan Curacao pula berhadapan masalah pelarian-pelarian ini melakukan pembelian senyap-senyap bagi mendapatkan barangan yang tidak boleh didapati di Caracas. Berang dengan tindakan mereka, rejim Maduro menutup semua bentuk perdagangan selama beberapa hari bagi mengekang trend ini. Selain tiga pulau tersebut, sesetengah penduduk turut memilih Trinidad dan Tobago sebagai destinasi pilihan mereka untuk melarikan diri.

Figure 3: Situasi pelarian Venezuela di Colombia.

Dengan krisis Caracas semakin runcing, negara-negara serantau sudah bimbang kemungkinan Venezuela menjadi negara gagal dan berpecah kepada beberapa zon politik seperti yang berlaku pada Libya pasca-kejatuhan Gaddafi. Dan ini bakal membawa kepada kejatuhan kepada rejim Maduro oleh pihak tentera. Walaupun rejim boleh saja meneruskan bekalan diperlukan untuk penyokong mereka, prospek kejatuhan rejim dilihat semakin besar dari hari ke hari. Dan ia bukan lagi soal apakah ianya mustahil tetapi bila dan apa kaedah yang membawa kepada kemusnahan rejim secara keseluruhan.

SUMBER

MacDonald, Scott B. (2018). National Interest. Is Venezuela on the Brink of Economic and Social Collapse. http://nationalinterest.org/feature/venezuela-the-brink-economic-social-collapse-24247?page=show


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.