Aku ingat nak hiatus lagi sebulan. Tapi atas permintaan, aku ulas sikit je lah pasal Myanmar.
Sepatutnya parlimen Myanmar mula bersidang hari ini, tapi tentera (orang Myanmar panggil Tatmadaw) bertindak menahan pemimpin parti National League for Democracy (NLD) termasuk Aung San Suu Kyi, dan mengisytiharkan darurat selama setahun.
Apa yang berlaku ialah rampasan kuasa (kudeta) yang klasik.
Kenapa nak rampas kuasa? Sebab Tatmadaw takut hilang kuasa.
Walaupun Myanmar sekarang mengamalkan demokrasi, tapi “demokrasi” ini sebenarnya diwujudkan oleh Tatmadaw, dengan tujuan untuk memelihara kuasa mereka.
Tatmadaw menguasai politik Myanmar sejak tahun 1962, selepas Jeneral Ne Win menggulingkan Presiden Win Maung dan PM U Nu. US pada waktu tu sibuk Pe-rang Vietnam, so tak ada masa nak tarbiah Myanmar (waktu tu masih bernama Burma) pasal demokrasi dan hak asasi manusia bagai.
Hanya pada tahun 1988-1989, situasi Myanmar mula menarik perhatian dunia apabila berlaku demonstrasi besar-besaran yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi yang mengasaskan parti NLD.
Suu Kyi adalah anak Aung San yang merupakan bapa kemerdekaan Myanmar. Keluarga Aung San masih mempunyai prestij yang tinggi di kalangan orang ramai, jadi Tatmadaw melihat Suu Kyi sebagai ancaman dan kurung dia kat rumah.
Tapi pada masa yang sama, Tatmadaw bersetuju untuk mengadakan PRU pada tahun 1990, dengan harapan parti proksi tentera (National Unity Party) akan menang. Sekali kena belasah dengan NLD yang menang 392 daripada 492 kerusi. Tatmadaw tak terima keputusan, dan tak buat PRU lagi.
Ahli politik dan media luar (terutamanya Barat) bersimpati dengan Suu Kyi, melihat dia sebagai ikon demokrasi, bagi dia Nobel Peace Prize pada tahun 1991.
Myanmar pun dikenakan pelbagai sekatan ekonomi, dan akhirnya Tatmadaw membebaskan Suu Kyi pada tahun 2010.
Perlembagaan baharu juga berkuatkuasa bermula tahun 2008, membenarkan PRU bagi memilih wakil rakyat ke parlimen. Cuma, 25% kerusi parlimen (110 daripada 440 di dewan bawah, 56 daripada 224 di dewan atas) diperuntukkan kepada Tatmadaw tanpa melalui PRU. Dan perlembagaan hanya boleh dipinda dengan persetujuan lebih 75% ahli parlimen.
Indonesia pun pernah buat macam tu selepas kejatuhan Suharto tahun 1998, di mana 38 daripada 500 kerusi Majlis Perwakilan Rakyat reserved untuk tentera dan polis. Tapi peraturan itu dimansuhkan bermula tahun 2004, membolehkan Indonesia menjadi demokrasi penuh.
Tatmadaw juga diberi jawatan kabinet yang paling penting seperti naib presiden, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan. Tak ada jawatan PM. Presiden dicalonkan oleh parlimen dan selalunya dari kalangan ahli parti yang mempunyai paling banyak kerusi.
Dan untuk menghalang Suu Kyi menjadi presiden, Perlembagaan 2008 menetapkan sesiapa yang berkahwin dengan warga asing tak boleh pegang jawatan presiden. So basically Suu Kyi yang berkahwin dengan Michael Aris (warga UK) tak layak.
PRU diadakan pada tahun 2010. NLD tak bertanding, maka Union and Solidarity Development Party (USDP) yang merupakan proksi Tatmadaw berjaya menang 388 daripada 498 kerusi yang dipertandingkan. Thein Sein yang merupakan mantan PM dalam kerajaan tentera dilantik sebagai ketua kerajaan “orang awam” pertama sejak 1962 (sebenarnya tentera bersara).
Tapi dalam PRU 2015, NLD belasah USDP dengan memenangi 390 daripada 498 kerusi. Walaupun Suu Kyi tak boleh pegang jawatan presiden, parlimen yang dikuasai oleh NLD meluluskan undang-undang yang mencipta jawatan khas bernama State Counsellor untuk Suu Kyi.
Nama je Counsellor (Penasihat), tapi dia yang pegang kuasa sebenar sebagai ketua kerajaan “de facto” (secara fakta). Tapi yang pegang jawatan presiden (Htin Kyaw dan kemudian Win Myint) pun dari NLD. Geng sendiri so tak kisah lah.
Sebagai respon, Tatmadaw mengorak langkah seterusnya dengan mengapi-apikan sentimen anti-Rohingya. Pada Oktober 2016, Tatmadaw melancarkan serangan ke atas kaum Rohingya di Rakhine, membuat kerajaan NLD berdepan dengan desakan antarabangsa.
Kira-kira yang dibuat oleh Tatmadaw ialah: kalau Suu Kyi pertahankan Rohingya, maka kaum majoriti (Bamar) yang termakan propaganda Tatmadaw akan benci Suu Kyi, dan NLD akan kalah PRU yang akan datang. Suu Kyi ialah ikon demokrasi dan hak manusia, dan rapat dengan Barat, mestilah dia akan bersama dengan Rohingya.
Tapi agak mengejutkan, Suu Kyi memilih untuk mempertahankan tindakan Tatmadaw, sanggup dimaki oleh satu dunia. Tapi itu juga membolehkan NLD menang sekali lagi dalam PRU November 2020, tambah lagi 6 kerusi.
Kalau berterusan macam ni, Tatmadaw memang out lah. So Tatmadaw pertikaikan keputusan PRU, kata PRU tak bersih, dan menahan Suu Kyi dan Win Myint.
Jalan cerita yang seterusnya bergantung kepada reaksi kuasa-kuasa besar, terutamanya China dan India yang merupakan jiran Myanmar.
Tatmadaw ada hubungan baik dengan China, so basically China akan berdiam diri, kata tu urusan dalaman Myanmar.
India pun tak kisah sangat perkembangan dalaman Myanmar, as long as kerajaan Myanmar jaga kepentingan India dalam Myanmar (India ada banyak projek pelabuhan dan infrastruktur di Myanmar).
So kena tengok apa reaksi US dan EU. US di bawah Biden yang berhaluan liberal internationalist memang tak boleh toleransi dengan benda-benda macam ni, cuma selain sekatan dan kecaman, US pun tak boleh buat apa sangat.
Reaksi rakyat Myanmar juga akan jadi penentu. Adakah penyokong NLD akan dapat terima demokrasi digantung begitu sahaja? Dan kalau berlaku protes besar-besaran, apakah respon Tatmadaw?
Itu semua akan menentukan halatuju krisis politik Myanmar kali ini.
Dalam Politik Untuk Pemula yang akan terbit nanti, korang akan baca lebih lanjut pasal kudeta dalam Bab 24 (Rampasan Kuasa). Kenapa ada negara tenteranya sangat berkuasa sampai boleh buat kudeta, ada negara pula tak ada masalah macam tu.
Nak kembali berhiatus.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih