Lebih kurang seperti kita pada hari ini, masyarakat Mesir purba turut menikmati pelbagai jenis juadah. Jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun purba lain, boleh dikatakan bahawa mereka cukup beruntung kerana mempunyai akses terhadap sumber makanan yang pelbagai. Sungai Nil mengalirkan kesuburan buat tumbuh-tumbuhan dan membekalkan habitat buat hidupan sungai.
Umumnya, roti dan bir merupakan makanan ruji buat masyarakat Mesir. Bebuahan, sayuran, dan ikan sering menjadi santapan buat golongan marhaen sambil kelas bangsawan pula berpeluang menikmati daging segar dari pelbagai jenis haiwan.
PENGHASILAN ROTI DAN BIR MESIR PURBA
Roti dan bir merupakan makanan ruji buat masyarakat Mesir. Roti kebiasaannya dihasilkan daripada gandum ataupun barli, di mana bijirin tersebut akan digiling sehingga menjadi tepung. Untuk mempercepatkan kerja-kerja menggiling gandum atau barli, masyarakat Mesir sering memasukkan pasir ke dalam adunan.
Dalam erti kata lain, selain gandum/barli, roti Mesir purba juga mengandungi pasir sebagai bahan. Hal ini turut dibuktikan menerusi penelitian ke atas gigi mumia-mumia Mesir yang menunjukkan bahawa mereka mengunyah pasir sepanjang hayatnya. Sebagaimana biasa, setelah bijirin selesai digiling halus menjadi tepung, ia dicampurkan dengan air dan yis lalu menghasilkan doh. Doh ini kemudian dimasukkan ke dalam acuan tanah liat lalu dimasak di dalam ketuhar tanah.
Untuk menghasilkan bir pula, masyarakat Mesir purba menggunakan sejenis roti khusus yang dipanggil oleh ahli-ahli arkeologi sebagai ‘roti bir’. Roti ini mengandungi jumlah yis yang lebih tinggi berbanding roti-roti lain.
Setelah dibakar pada suhu sederhana, ia kemudian dihancur-hancurkan lalu dimasukkan ke dalam tong berisi air dan dibiarkan selama beberapa tempoh sehingga proses penapaian selesai. Kebiasaannya, bir tidaklah diminum oleh masyarakat Mesir purba sebagai minuman bersenang-senang. Sebaliknya, ia menjadi keperluan bagi mereka memandangkan air Sungai Nil tidak cukup bersih dan selamat untuk diminum.
SUNGAI NIL DAN PEMAKANAN MESIR PURBA
Walaupun Sungai Nil tidak dapat dimanfaatkan sebagai sumber minuman masyarakat Mesir purba, ia berjasa dalam menyuburkan tanah-tanah di sekelilingnya menerusi banjir yang berlaku secara tahunan. Hal ini seterusnya membolehkan pelbagai jenis tumbuhan ditanam, sekaligus menjadi sebahagian daripada diet masyarakat Mesir.
Selain gandum dan barli yang disebutkan di atas, mereka turut menanam pelbagai jenis sayuran seperti bawang besar, bawang putih, daun bawang, kacang lentil, sayur salad, lobak merah, dan lobak putih. Mereka juga mengusahakan tanaman bebuahan seperti pokok ara, pokok kurma, pokok epal, dan pokok delima. Sayuran kebiasaannya dimakan sebagai pelengkap roti dan bir, sementara bebuahan pula dinikmati sebagai sebahagian daripada pencuci mulut.
Di samping itu, Sungai Nil turut membekalkan sumber protein utama (ikan) buat masyarakat umum Mesir. Ikan lazimnya dimasinkan atau dikeringkan supaya ia lebih tahan lama. Selain ikan, mereka turut mengambil sumber protein daripada angsa, itik, merpati, dan puyuh. Namun, makanan sebegini dianggap mewah dan jarang dikonsumsi.
Bagi golongan berada, mereka turut menikmati daging khinzir, daging lembu, dan daging kambing yang jauh lebih mahal. Daging-daging ini kebiasaannya hanya mampu dinikmati oleh masyarakat umum semasa kelangsungan jamuan atau keraian sahaja.
SEBINGKIS PENGETAHUAN TENTANG CARA PENYEDIAAN MAKANAN MASYARAKAT MESIR PURBA
Bagaimanapun, tidak banyak maklumat yang kita ketahui tentang cara penyediaan makanan masyarakat Mesir purba memandangkan tiada resepi yang terselamat sehingga kini.
Berdasarkan alatan memasak dan lukisan-lukisan yang menggambarkan proses penyediaan makanan sebagaimana yang ditemui di makam-makam Mesir purba, kita boleh menyimpulkan bahawa hidangan mereka dihasilkan dengan pelbagai kaedah, seperti membakar, merebus, mendidih, menggoreng, dan memanggang.
Bagi menambah perasa pada makanan, masyarakat Mesir purba juga menggunakan jintan putih, ketumbang, dan kayu manis. Begitu juga dengan madu dan sirap kurma, sirap anggur, dan sirap buah ara, di mana ia digunakan bagi memaniskan lagi masakan.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (23 November 2018). What Egyptians Ate: Did the Cuisine of Ancient Egypt Reflect the Tastes of Today? Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/ancient-egyptian-food-0011035
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih