Beberapa hari kebelakangan ini, dunia maya digegarkan dengan isu aplikasi ‘Muslim Pro’ yang dikatakan menjual data peribadi milik penggunanya kepada Angkatan Tentera Amerika Syarikat (US Military).

Terlebih dahulu, sebaiknya kita ambil tahu serba sedikit tentang latar belakang aplikasi ‘Muslim Pro’ (MP).

Aplikasi Muslim Pro dimiliki oleh sebuah syarikat teknologi yang dikenali sebagai ‘Bitsmedia Private Limited’. Bitsmedia telah diasaskan pada tahun 2009, oleh seorang lelaki warganegara Perancis yang bernama Erwan Mace.

Ibu pejabat (HQ) syarikat ini berpusat di Singapura, selain memiliki ‘sattelite office’ di Malaysia (Kuala Lumpur) dan Indonesia (Jakarta).

Kejayaan syarikat Bitsmedia bermula setelah Erwan Mace mencipta aplikasi Muslim Pro, yang dilancarkan pada 21 Ogos 2010. Aplikasi ini dibangunkan untuk kegunaan 1.7 Bilion umat Islam di serata dunia.

Seiring dengan kemajuan teknologi telefon pintar, MP mula menjengah pasaran ‘Google Play Store’ pada bulan April tahun 2013. Selain Google Play Store yang ditumpukan kepada pengguna Android, aplikasi MP turut disasarkan kepada pengguna iOS melalui ‘Apple App Store’.

Sepertimana yang kita ketahui, aplikasi MP menyediakan beberapa kemudahan asas seperti waktu solat, arah kiblat, Quran digital berserta terjemahan, kalendar hijrah, kalkulator zakat, senarai masjid & restoran halal mengikut negara dan sebagainya.

Pada bulan Julai 2016, 90% saham syarikat Bitsmedia telah dibeli oleh dua firma ekuiti swasta, iaitu Bintang Capital Partners milik Affin Hwang Asset Management (Malaysia) dan CMIA Capital Partners (Singapura) mengikut laporan theedgemarket.com.

Bagi mengembangkan operasinya di Malaysia, Bitsmedia telah menubuhkan sebuah syarikat subsidiari yang dinamakan sebagai Muslim Pro Technologies Sdn Bhd. Setakat tahun 2019, jumlah pengguna MP di Malaysia adalah seramai 6 juta orang menurut Pengurus Muslim Pro Malaysia, Nik Emir Din.

Dalam pada itu, menurut laman Muslim Pro, jumlah pengguna aktif aplikasi MP di seluruh dunia sudah mencecah 98 juta orang yang terdiri daripada 216 buah negara setakat bulan November 2020. Angka ini telah meletakkan MP sebagai salah sebuah aplikasi paling ramai jumlah pengguna di peringkat global.

Menurut salaamgateway.com, syarikat Bitsmedia kini diuruskan oleh Louis-Bernard Carcouet selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, bagi menggantikan Erwan Mace yang meletakkan jawatannya sebagai CEO pada bulan Oktober 2019. Mace kini meneruskan peranan sebagai Penasihat (Advisor) kepada Louis dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Bitsmedia.

Berbalik kepada isu penjualan data peribadi, menurut siasatan Vice Motherboard terbitan 16 November 2020, aplikasi Muslim Pro dikatakan terlibat secara langsung dengan firma data lokasi (location data firm) iaitu firma X-Mode.

X-Mode telah dikaitkan dengan kes penjualan data lokasi secara tidak langsung kepada ‘US Military’ melalui cabang U.S. Special Operations Command (USSOCOM).

Sebagai info, USSOCOM ialah unit khas di dalam ‘US Military’ yang dipertanggungjawabkan sebagai unit pembanterasan aktiviti keganasan seperti ‘counterterrorism’ dan ‘counterinsurgency’.

Atas faktor ‘paranoia’ melampau US terhadap teroris yang ‘di-eksklusif-kan’ kepada umat Islam, maka aplikasi Muslim Pro dilihat sesuai dijadikan sasaran untuk mereka memperoleh data berkaitan lokasi umat Islam di US.

Menurut Vice Motherboard, X-Mode selaku ‘third-party data brokers’ didapati menjual data lokasi kepada syarikat yang kebanyakannya terdiri daripada syarikat kontraktor pertahanan seperti ‘Sierra Nevada Corporation’ dan ‘Systems & Technology Research’.

Sebab utama kedua-dua syarikat kontraktor pertahanan tersebut tersenarai di dalam laporan Vice Motherboard adalah kerana laman rasmi X-Mode versi ‘archieved’ meletakkan mereka sebagai ‘Trusted Partners’, di samping keterlibatan mereka di dalam pembangunan ‘US Military’ sebelum ini. Walaubagaimanapun, firma X-Mode telah menafikan kesemua dapatan siasatan tersebut.

X-Mode turut memberitahu Vice Motherboard bahawa hubungan perniagaan mereka dengan syarikat kontraktor pertahanan US hanya melibatkan tiga tujuan, iaitu ‘counter-terrorism’, ‘cybersecurity’ dan ‘predicting future COVID-19 hotspots’.

Selain Muslim Pro, Vice Motherboard turut menyenaraikan beberapa aplikasi lain yang turut terlibat dengan firma X-Mode seperti Muslim Mingle, Accupedo, Global Storms, dan ‘CPlus for Craigslist’.

Terbaharu, Muslim Pro melalui hebahan media terbitan 17 November 2020 telah menafikan sebarang pertuduhan yang melibatkan aplikasi MP dengan skandal penjualan data peribadi pengguna kepada firma X-Mode. MP turut menyebut bahawa, mereka sudah menghentikan (terminate) sebarang bentuk usahama dengan rakan kongsi (partners) yang terdiri daripada beberapa firma data khususnya X-Mode.

Secara asasnya, majoriti aplikasi telefon pintar yang ada pada hari ini memerlukan data lokasi pengguna bagi menyediakan servis pengiklanan (ads) secara berfokus mengikut lokaliti tertentu. Kesemua data ini walaubagaimanapun tidak boleh ‘dijual’ secara sesuka hati, atas dasar melindungi privasi pengguna.

Oleh hal yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab setiap pembangun aplikasi (apps developer) untuk menjaga data peribadi milik pengguna mereka. Pada masa yang sama, pengguna juga perlu sentiasa cakna tentang sebarang aplikasi yang dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing.

Seperti biasa, isu ini boleh mencetuskan panik apabila dimainkan sekali dengan naratif-naratif sensitif khususnya berkaitan ‘public surveillance’ yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, termasuk kebarangkalian berlakunya ‘serangan bom’ melalui teknologi persenjataan baharu berasaskan ‘drone’ sambil dikaitkan dengan serangan ‘drone’ di Timur Tengah.

Walhal, majoriti besar umat Islam di Malaysia tidak terlibat langsung dengan sebarang aktiviti keganasan yang mampu menganggu gugat keselamatan negara Malaysia, apatah lagi nak kacau kestabilan negara Amerika Syarikat yang jauhnya beribu-ribu batu.

Apa-apa hal sekalipun, ‘kudos’ untuk sesiapa yang mula cakna tentang hal-hal berkaitan teknologi moden pada hari ini. Pada saya, tak salah pun untuk kita berasa risau dan takut, cumanya lebih elok kalau ketakutan kita itu disulami dengan sifat realistik dan rasional berbanding ketakutan secara beremosi dan panik yang tidak tentu hala.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar penulis amatur.

Comments are closed.