Nama Prussia pasti asing bagi sesetengah rakyat Malaysia. Tapi tahu tak, negara ini pernah jadi antara kuasa tentera paling digeruni di Eropah. Meskipun Prussia sudah tak wujud di peta dunia, legasi mereka masih ada. Terutama dalam bidang ketenteraan, pendidikan dan pentadbiran. Dan ya… ada benda yang Malaysia boleh belajar daripada mereka.
Prussia wujud sekitar abad ke-16 hingga awal abad ke-20, berpusat di wilayah yang kini sebahagiannya milik Jerman, Poland dan Rusia. Apa yang buat Prussia lain daripada negara Eropah lain?
Disiplin dan keberkesanan mereka. Bayangkan sebuah negara yang kecil, tapi mampu kalahkan musuh yang jauh lebih besar semata-mata kerana sistemnya teratur dan rakyatnya terlatih.
Asas kekuatan Prussia adalah tenteranya. Mereka membina “tentera profesional” ketika banyak negara lain masih bergantung kepada askar upahan. Latihan ketat, hierarki jelas dan teknologi senjata terkini sudah sebati dalam diri Russia. Malah, kata-kata “Prussian discipline” jadi sinonim dengan ketegasan dan ketepatan.
Tapi kejayaan Prussia bukan sekadar pasal perang. Mereka juga pelopor sistem pendidikan moden. Pada abad ke-18, Prussia perkenal pendidikan asas wajib untuk semua kanak-kanak, lelaki dan perempuan yang dibiayai negara. Tujuannya jelas: membentuk rakyat celik huruf, berdisiplin, dan setia pada negara. Model ini kemudiannya diambil oleh banyak negara lain, termasuk Amerika Syarikat.
Dari segi pentadbiran, Prussia terkenal dengan birokrasi yang efisien. Pegawai kerajaan dipilih berdasarkan merit, bukan semata-mata kerana hubungan politik atau kekayaan. Walaupun kedengaran kaku, sistem ini memastikan keputusan dibuat dengan cepat dan teratur.
Jadi, apa yang Malaysia boleh belajar?
Pertama, disiplin dan meritokrasi. Banyak masalah negara hari ini berpunca daripada sistem yang longgar, kronisme dan sikap sambil lewa. Kedua, pendidikan sebagai asas kekuatan negara. Pendidikan bukan hanya untuk lulus peperiksaan, tapi untuk membentuk rakyat yang berfikiran kritis dan beretika.
Memang betul, kita tak boleh tiru semua daripada Prussia. Mereka juga ada sisi gelap seperti terlalu obses dengan ketenteraan hingga terjerumus dalam peperangan besar. Tapi dari segi ketegasan, keberkesanan dan komitmen terhadap kualiti, Prussia membuktikan bahawa saiz negara bukan halangan untuk jadi kuasa besar.
Kesimpulannya, kalau Malaysia mahu melangkah jauh, kita perlukan lebih daripada sekadar slogan kosong dan janji manis. Kita perlukan semangat Prussia seperti fokus, disiplin, dan keazaman untuk jadi yang terbaik, walau sekecil mana pun kita di peta dunia.




No comments yet