Bila kita berbicara tentang Inception, sebuah karya hebat oleh Christopher Nolan, perkara pertama kita bayangkan ialah bagaimana mimpi boleh menjadi medan perisik-perisik korporat seperti Dom Cobb (Leonardo DiCaprio) untuk mencuri rahsia-rahsia penting daripada seseorang walaupun rahsia tersebut hanya diketahui dia seorang saja. Ditambah dengan koreografi aksi mendebarkan dan muzik latar yang digubah oleh komposer terkenal dan salah seorang rakan kolaborasi Nolan, Hans Zimmer, ia menjadikan filem tersebut sebagai antara filem sains fiksyen yang hebat dan mengangkat nama beliau ke aras lebih tinggi. Namun di sebalik kejayaan filem ini, terdapat banyak elemen yang menjadikan plot yang agak mustahil ini mendapat tempat di hati penonton dan menggondol pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa.

  1. KEKELUARGAAN
Figure 1: Hasrat sebenar Cobb tatkala melaksanakan tugas mencuri maklumat dari minda sasaran ialah kembali semula kepada anak-anaknya. Kredit: https://moviepilot.com/p/inception-ending-explained-by-totem-theory/4124658

Seperti mana kita sedia maklum, plot filem ini mengisahkan bagaimana sekumpulan pemeroleh maklumat menceroboh mimpi seseorang individu untuk mendapatkan maklumat atau rahsia yang dimahukan oleh klien mereka. Namun untuk tugasan ini, Cobb diberi tugas melakukan inception iaitu menanam idea dalam minda pesaing kliennya, satu tugas yang disifatkan mustahil dan merbahaya. Namun apabila majikan barunya, Saito (Ken Watanabe) memberi jaminan untuk membantu Cobb kembali ke Amerika Syarikat untuk bersama semula dengan anak-anaknya, beliau terus menerima tugas itu tanpa berfikir panjang. Cobb amat terdesak untuk kembali ke sana sehingga sanggup memberi saham insentif yang ditawarkan Saito pada beliau dan kumpulannya kepada Yusuf (Dileep Rao) untuk melakukan perkara lebih merbahaya semata-mata untuk memastikan tugas tersebut terlaksana.

Keluarga ialah sesuatu yang amat penting dalam kehidupan kita. Ini kerana ia merupakan satu institusi yang menjamin kestabilan sosial dan kebudayaan masyarakat amnya. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 1, Surah An-Nisa, “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Namun, usah pula memandang enteng kepentingan mereka terutama ibu bapa apabila mereka mencecah usia tua. Ini kerana mereka sentiasa ada menyokong, memberi nasihat atau meredakan kerisauan yang dihadapi. Mereka sentiasa ada untuk kita sehinggalah pada hari mereka dipanggil kembali ke rahmatullah. Maka tidak hairanlah, mengapa keluarga turut disenaraikan sebagai salah satu bentuk ujian kepada manusia kerana mereka boleh saja mengukuhkan lagi iman manusia atau melalaikan manusia daripada mengingati-Nya. Firman Allah s.w.t dalam ayat 9, Surah Al-Munafikun, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”

Atas sebab itulah, walaupun berterusan digoda oleh imej mimpi mendiang isterinya, Mallory ‘Mal’ Cobb (Marion Cottilard) untuk terus kekal dalam mimpi bersamanya, Cobb tetap kembali kerana mahu menunaikan janjinya kembali bersama anak-anaknya. Dan ini dikukuhkan lagi apabila beliau cuba menguji situasi di rumahnya itu realiti atau sebaliknya dengan memusing gasing, bila mana Cobb melihat anak-anaknya berpusing dan memandangnya, beliau terus memeluk mereka. Cobb tidak mempedulikan sama ada gasing tersebut terus berpusing atau tidak kerana pada beliau, beliau sudah kembali bersama anak-anaknya. Bagi pelakon yang memegang watak bapa mentua Cobb, Dr Stephen Miles, Sir Michael Caine, berpandangan Cobb sememangnya kembali semula ke rumah dan bersama dengan anak-anaknya.

Figure 2: Gasing yang digunakan Cobb untuk menguji realiti benar-benar wujud atau sebaliknya.
  1. KATARSIS/KEMAAFAN
Figure 3: Persamaan Cobb dan sasarannya, Fischer ialah kedua-duanya mahukan katarsis berikutan konflik yang dihadapi dalam kehidupan masing-masing.

Inception menyentuh katarsis pada dua situasi. Pertama, situasi sasaran mereka, Robert Fischer (Cillian Murphy) dengan Maurice Fischer (mendiang Pete Postlethwaite) yang disifatkan bermasalah sehingga dimanipulasi oleh bapa angkat Robert, Peter Browning (Tom Berenger). Kedua, kesukaran Cobb memaafkan dirinya kerana menggunakan teknik inception pada isterinya sehingga menyebabkan Mal membunuh diri dan terpaksa melarikan diri kerana dituduh membunuhnya. Persamaan kedua-dua situasi ini ialah kedua-dua Fischer dan Cobb sukar memaafkan diri mereka atas kesilapan atau pilihan yang mereka buat pada orang yang mereka sayang.

Kita akui agak sukar bagi kita belajar memohon maaf atau memaafkan orang lain kerana sikap ego yang dimiliki dalam diri. Kita sentiasa cuba menjustifikasikan apa yang kita lakukan walaupun adakalanya ini merenggangkan hubungan atau memberi kesan buruk pada setiap aspek kehidupan. Belajarlah untuk memaafkan kerana memaafkan itu ialah sifat individu yang berani. Kemaafan sebenarnya memberi kelegaan kepada hati dan mengubah pandangan hidup kita ke arah lebih positif. Usah terus hidup pada masa lalu kerana ia sebenarnya lebih menyakitkan jiwa dan tidak memberi satu sen pun kelegaan yang kita mahukan.

Buanglah ego dan hadapilah kebenaran di depan mata. Jika benar kita ada melakukan kesilapan, akuilah, bermohon maaf dan teruskan hidup seperti biasa. Ketahuilah, manusia yang mampu memaafkan orang lain atau dirinya sendiri sebenarnya mendapat katarsis dalam jiwanya. Nabi s.a.w bersabda, “Mahukah aku ceritakan kepadamu mengenai sesuatu yang membuat Allah memuliakan kedudukan dan meninggikan darjatmu? Para sahabat menjawab, “Tentu.” Baginda pun bersabda, ”Kamu harus bersikap sabar kepada orang yang membencimu, kemudian memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu, memberi kepada orang yang memusuhimu dan juga menghubungi orang yang telah memutuskan silaturahim denganmu.”

Bila kedua-duanya berjaya mendapatkan kemaafan yang mereka cari selama ini, ia memberi satu kelegaan besar kepada mereka. Bagi Fischer, bila mana beliau dapat berbaik semula dengan bapanya (walaupun ia hanya mimpi dan umpan disediakan Eames (Tom Hardy)), ia sebenarnya memberi kelegaan yang dicari selama ini. Dan atas sebab itu juga, Fischer sebenarnya termakan umpan Eames iaitu membahagi-bahagikan syarikat bapanya seperti yang dimahukan Saito. Bagi Cobb sendiri, beliau tidak lagi terbeban dengan memori bersama isterinya dan mempunyai pandangan hidup lebih positif semasa mencari Saito selepas kesemua krew melainkan mereka berdua berjaya keluar dari minda Fischer.

  1. MENTOR-PROTEGE
Figure 4: Ariadne merupakan proksi penonton untuk memahami plot penceritaan Inception terutama perancangan krew. Kredit: https://www.aceshowbiz.com/still/00005410/inception21.html

Bila mana kita mengenali Ariadne (Ellen Page) dalam filem ini, Nolan menjadikan wataknya sebagai proksi kepada penonton untuk memahami plot penceritaan dan rancangan yang diatur Cobb untuk menceroboh mimpi Fischer. Pada mulanya, agak sukar juga bagi Ariadne belajar tentang semua ini terutama selepas pengalaman pertama perkongsian mimpinya berakhir dengan Mal menikam beliau sampai mati. Namun selepas memahami sepenuhnya konsep perkongsian mimpi termasuk bahaya yang dibawa Mal semasa mereka menceroboh mimpi sasaran mereka, beliau memainkan peranan sama seperti watak yang mempunyai nama sama dengannya dalam kisah Minotaur iaitu membimbing Theseus keluar dari pagar sesat dan membunuh raksasa Minotaur yang menghuni kawasan tersebut. Dalam filem ini pula, Ariadne berperanan memberi bimbingan dan nasihat kepada Cobb dalam menghadapi ancaman Mal termasuk menembak imej isteri mentornya demi memastikan misi asal mereka terus berjalan dan menyelamatkan krew lain daripada menerima nasib sama.

Hubungan Cobb-Ariadne ibarat mentor dengan protege. Ini kerana beliau mengenali bakat yang dimiliki Ariadne dalam soal perkongsian mimpi dan percaya dengan lapisan mimpi yang dibinanya. Ini dibuktikan semasa perkongsian mimpi pertama mereka, Ariadne berjaya membuat bandar terbalik dan menambah struktur-struktur baru pada Bandaraya Paris pada masa singkat. Ariadne pula melihat Cobb sebagai individu yang percaya dengan kebolehannya dan mengagumi pengetahuan dan pengalaman dimiliki pemeroleh maklumat tersebut.

Hubungan sebegini sebenarnya memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak. Bagi si mentor, selain dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman bersama protege, ia turut membantu mentor lebih banyak mendengar dan memperbaiki kemahiran perhubungan sesama manusia. Dan ini dibuktikan dalam filem tersebut selepas beberapa siri komunikasi antara Cobb dengan Ariadne, Cobb berjaya menambahbaik kemahiran perhubungan dan mengukuhkan kembali keyakinan krewnya semasa menceroboh minda Fischer selepas Saito ditembak pasukan keselamatan minda Fischer. Dan dari diskusi ini juga, beliau dapat memaafkan dirinya dan fokus untuk membawa pulang majikan mereka kembali ke realiti.

Bagi si protege pula, hubungan sebegini sebenarnya menambah lagi keyakinan diri sesetengah individu dan membantu mereka menyuarakan pendapat dalam isu-isu penting. Buktinya, Ariadne berani menyuarakan kebimbangannya tentang ancaman Mal pada misi mereka kepada Cobb dan banyak memberi input tentang cara terbaik mengendalikan situasi mereka. Beliau juga tidak menghadapi masalah memikirkan solusi di luar kotak bila diancam gangguan dirancang Mal termasuk mencadangkan untuk menggunakan kaedah mimpi dalam mimpi untuk mengejar Fischer dan menembak Mal sambil menolak sasaran mereka kembali semula ke peringkat ketiga mimpi.

  1. MONOPOLI
Figure 5: Saito sengaja mengumpan Cobb dan Arthur mencuri rahsia dari mindanya sebagai uji bakat untuk tugas sebenar: Inception. Kredit: http://www.rafu.com/2010/07/the-part-was-his-from-the-%E2%80%98inception%E2%80%99/

Pada babak-babak awal filem ini, Cobb dan regunya, Arthur (Joseph Gordon-Levitt) diberi tugas mencuri rahsia perniagaan Saito oleh klien mereka, Cobol Engineering. Tanpa kita sedari, syarikat yang mengupah mereka itu sebenarnya mempunyai hubungan dengan syarikat sasaran mereka, Fisher-Morrow. Dalam filem ini, Saito menerangkan tujuannya merekrut Cobb untuk menanam idea dalam minda Fischer. Syarikat beliau, Proclus sudah tidak mampu lagi bersaing dengan Fisher-Morrow dalam bidang tenaga. Dan sekiranya perkara ini berterusan untuk tahun-tahun seterusnya, Fisher-Morrow berpotensi sebagai kuasa besar baru dalam bidang tenaga.

Walaupun ia masih dalam dunia filem tersebut, ia sebenarnya satu cubaan Nolan untuk mengingatkan orang ramai akan bahaya stateless state. Stateless state ialah satu situasi di mana sesebuah syarikat memonopoli sesuatu bidang sehingga memaksa pengguna terpaksa bergantung kepada perkhidmatan mereka untuk melakukan sesuatu perkara. Dan realitinya, semakin banyak syarikat besar yang memenuhi parameter stateless state dan mendominasi pasaran pengguna, menyebabkan syarikat-syarikat ini mudah terdedah kepada pelbagai ancaman sama ada daripada kerajaan asing atau individu-individu yang mempunyai motif tertentu. Dan bagi para pengguna, ini menimbulkan kegelisahan kerana entiti-entiti sebegini boleh saja mengancam keselamatan dan privasi mereka sekiranya berlaku peristiwa seperti syarikat digodam.

Contoh paling mudah, insiden serangan WannaCry ke atas sistem-sistem komputer di seluruh dunia sehingga menjejaskan pelbagai jenis sistem digunakan dalam pelbagai bidang daripada kesihatan sehinggalah keselamatan. Walaupun syarikat-syarikat perisian komputer memberi jaminan serangan tersebut tidak akan menjejaskan sistem-sistem komputer, ia masih lagi menyebabkan negara-negara dan entiti-entiti korporat mengalami kerugian berjuta-juta dolar.

  1. TIADA YANG MUSTAHIL

Bagi mana-mana pemeroleh maklumat, sekiranya mereka diminta melakukan tugas menanam idea pada sasaran mereka, pasti tugas tersebut ditolak serta-merta. Begitu juga dalam situasi Cobb dan Arthur bila mana majikan mereka, Saito memberi tugasan tersebut kepada mereka, reaksi pertama Arthur adalah mustahil kerana menurutnya, minda manusia boleh saja menjejaki semula asal-usul idea yang ditanam. Namun bagi Cobb dan Eames, pada mereka tidak mustahil berdasarkan pengalaman mereka. Eames pernah terlibat dalam tugasan tersebut bersama satu krew lain tetapi sasarannya tidak termakan umpan yang diletakkan di situ. Sementara Cobb pula pernah melakukannya pada isterinya sendiri, Mal dalam usaha menyelamatkan mereka berdua kembali ke dunia nyata.

Kita selalu mendengar terma ‘Tiada yang mustahil’ bila mana timbul polemik apakah sesuatu matlamat atau objektif yang ditetapkan bersifat mustahil atau sukar dicapai. Ini berlaku disebabkan sikap sesetengah daripada kita yang tidak berani mencuba atas alasan ia boleh berakhir dengan kegagalan. Sikap sebegini harus diubah kerana ia sebenarnya menunjukkan sikap negatif dan keengganan untuk tidak mencuba. Jika kita tidak cuba, bagaimana kita tahu sesuatu perkara itu berjaya atau tidak. Kenali dulu kelebihan kita, bersikap positif dan percaya bahawasanya apa saja perkara boleh berlaku dengan izin-Nya walaupun perkara tersebut kelihatan mustahil mengikut logik akal.

Dan inilah apa yang dilakukan oleh Cobb walaupun nampak mustahil iaitu menanam idea dalam minda Fischer. Jika kita percaya kita boleh melakukannya, maka ia boleh saja menjadi satu realiti. Bak kata Mary McLeod Bethune, “Without faith, nothing is possible. With faith, nothing is impossible.”

  1. SETIAP BIDANG ADA PAKARNYA

Dalam Inception, krew Cobb terdiri daripada orang-orang yang benar-benar pakar dalam bidang mereka. Cobb seperti diketahui ialah pemeroleh maklumat paling elit dalam bidang tersebut seperti dalam pembentangannya kepada Saito. Arthur ialah orang yang bertanggungjawab menyediakan peralatan dan mengkaji sasaran mereka serta terbaik dalam bidangnya walaupun dianggap tiada imaginasi oleh Eames. Eames sendiri ialah seorang pencuri, pemalsu dan penyamar yang mempunyai latar belakang ketenteraan. Walaupun masih bergelar pelajar, Ariadne merupakan pelajar cemerlang dalam kursusnya berdasarkan cadangan Dr Miles. Yusuf ialah seorang ahli farmasi yang berkemahiran menghasilkan sedatif mengikut keperluan misi. Dan usah dilupakan peranan penyumbang dana mereka, Saito. Walaupun hadir dalam misi tersebut sebagai pelancong tetapi dengan bantuan dari segi pengaruh dan kewangan membantu mereka memerangkap Fischer tanpa sebarang halangan.

Dalam mana-mana bidang, amat penting untuk mengambil atau meminta pandangan orang yang benar-benar pakar dalam sesuatu bidang dalam sesuatu isu. Ini kerana orang sebegini akan memastikan apa saja pekerjaan yang dilakukan atau nasihat yang diberi benar-benar memberi impak bermanfaat kepada pihak-pihak terlibat. Namun sesetengah pihak mengambil jalan mudah dengan membuat kerja sambil lewa atau sengaja melewat-lewatkan tempoh penyiapan kerja atas sebab-sebab tertentu. Ada juga berbuat demikian atas sebab mahu menjaga kepentingan masing-masing. Dan sejarah menjadi saksi bukan saja kepada tindakan individu-individu sebegini tetapi juga bahana tindakan mementingkan diri mereka ini.

Contohnya, pada zaman Khalifah Al-Mutawakkil, baginda mengarahkan dua orang jurutera iaitu Ahmed dan Muhammad bin Musa bin Shakir untuk mengetuai proses mendalamkan salah satu anak Sungai Tigris iaitu Sungai Al-Ja’fari. Bagi melicinkan proses tersebut, mereka membawa seorang lagi jurutera dari Mesir bernama Ahmad bin Kathir al-Faraghani yang berpengalaman mengukur struktur dan kedudukan Sungai Nil di Raudah, Mesir. Namun, ketiga-tiganya langsung tidak ada pengalaman dalam perkara tersebut dan hanya mempunyai pengetahuan dari segi teori. Akibatnya, kerajaan terpaksa membelanjakan wang baitulmal yang banyak bagi projek tersebut sehingga mengundang kemurkaan khalifah. Atas sebab itu, Ahmed bin Kathir terpaksa melarikan diri untuk mengelak dihukum bunuh sementara Ahmed dan Muhammad tidak lagi mendapat kedudukan istimewa dalam istana kerajaan Bani Abbasiyyah.

Dan perkara yang sama hampir menimpa Cobb apabila arkitek untuk misi asal, Nash mengkhianati beliau dan Arthur semata-mata untuk mengelak dari dibunuh Saito atau klien mereka, Cobol Engineering. Berikutan itu, klien baru mereka memberi peluang kepada Cobb untuk membunuhnya tetapi ditolak atas alasan itu bukan cara beliau beroperasi. Saito kemudian mengarahkan orang-orangnya menyerahkan Nash kepada Cobol, memberi tugas sebenar kepada Cobb dan mengingatkan beliau berhati-hati dalam memilih anggota krewnya.

SUMBER

  1. Saidi, Nursyamimi. (2014). Utusan Malaysia. Transformasi dahulu sebelum motivasi. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140606/ba_02/Transformasi-dahulu-sebelum-motivasi
  2. Fahmi, Ikhwan. (2014). RujukanKerjaya.com. Tiada yang mustahil jika kita berani mencuba! http://rujukankerjaya.com/tiada-yang-mustahil-jika-kita-berani-mencuba/
  3. Management-Mentors.com. Benefits of Mentoring. http://www.management-mentors.com/resources/benefits-of-mentoring
  4. Arnamee, Anem. (2017). IluvIslam.my. Minta Maaf dan Memaafkan Dalam Islam. http://iluvislam.my/minta-maaf-dan-memaafkan-dalam-islam/
  5. Ahmad Zamri, Nurul Azzianie. (2017). IluvIslam.my. Ujian Itu Tarbiyah Daripada Allah. http://iluvislam.my/ujian-itu-tarbiyah-daripada-allah/
  6. Moore, Ben. (2010). ScreenRant. Michael Caine Says ‘Inception’ Ending Was No Dream. https://web.archive.org/web/20110629203715/http://screenrant.com:80/michael-caine-inception-ending-batman-3-benm-80670/
  7. Fayyad, Sulayman. (2002). Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Al-Kindi: Tokoh Muzik Arab.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply