Semasa Khalifah Ali menjadi khalifah, beliau tidak mewasiatkan sesiapa untuk menjadi penggantinya. Di akhir hayatnya, Khalifah Ali pernah diminta oleh pengikutnya supaya Sayyidina Hasan, anak sulung kepada Khalifah Ali diangkat menjadi Khalifah seterusnya, beliau berkata;
“Saya tidak memerintahkan kalian dan saya juga tidak melarang kalian, saya tinggalkan kalian sebagaimana Rasulullah meninggalkan kalian.” (H.R. Ahmad)
Setelah jasad Khalifah Ali dimakamkan, maka umat Islam Kufah mengangkat Sayyidina Hasan sebagai khalifah kelima Khulafa’ Ar-Rasyidin. Qeis bin Sa’ad bin Ubadah, panglima perang kerajaan di Kufah merupakan orang pertama yang membaiahnya dan diikuti oleh semua penduduk Kufah dan sekitar serta kekhalifahannya sah mengikut syarak.
Setelah 2 bulan dibaiat menjadi khalifah, Qeis bin Sa’ad dan ‘Ubaidillah bin ‘Abbas mendesak Khalifah Hasan menyiapkan bala tentera untuk melancarkan serangan terhadap Syam. Terbawa oleh desakan tersebut, sebuah ketumbukan besar seramai 12,000 orang dipimpin oleh Qeis bin Sa’ad dan ‘Ubaidillah bin’Abbas. Hasan bersama-sama beberapa orang sahabat sebenarnya merancang perdamaian dan bukan peperangan.
Rancangan tersebut bocor di Al-Madain sehinggakan Khalifah Hasan cedera diserang pengikutnya sendiri dan dirawat sehingga sembuh di al-Madain. Khalifah Hasan kecewa dengan perpecahan yang berlaku di dalam umat Islam serta tentera Kufah sendiri. Sebilangan daripada mereka membelot kepada Muawiyah setelah disogok dengan wang dan meragui kredibiliti Khalifah Hasan. Khalifah Hasan terus berutus surat dengan Muawiyah dengan tujuan untuk berdamai. (Taha Husain, 1990)
Muawiyah menerima cadangan tersebut lalu mengutuskan Abdullah bin Amir dan Abd. Rahman bin Samurrah kepada Hasan di Kufah. Khalifah Hasan menyatakan hasrat untuk menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Muawiyah menulis sepucuk surat dengan mendahulukan nama Khalifah Hasan daripada namanya sendiri: “Surat ini untuk Hasan bin Ali k.w., dari Muawiyah bin Abi Sufyan.”
Dalam surat tersebut, Muawiyah menawarkan 3 perkara kepada Khalifah Hasan. Pertama, Muawiyah akan menyerahkan kekhalifahan semula kepada Khalifah Hasan. Kedua, Muawiyah akan memberikan satu juta dirham setiap tahun dari hasil Baitulmal kepada Khalifah Hasan. Dan ketiga, Muawiyah memberikan dua wilayah di Parsi kepada Khalifah Hasan dengan Khalifah Hasan sendiri menetapkan kekuasaannya di sana. Muawiyah juga berjanji memberi jaminan keamanan kepada Khalifah Hasan daripada segala bentuk bencana dan bahaya. (Taha Husain, 1990)
Khalifah Hasan tidak berasa cukup dengan syarat-syarat tersebut. Khalifah Hasan mengutus Abdullah bin Al-Harits bin Naufal yang berasal dari Bani Abdul Muthalib kepada Muawiyah dengan berpesan: “Datanglah kepada saudaramu dan katakan kepadanya, ‘Jika anda berjanji menjamin keselamatan semua orang, maka Hasan bersedia membai’at anda.” Muawiyah kemudiannya menyerahkan selembar kertas bersama sebuah cincin sambil berkata, “Tulislah sekehendakmu.”
Sebuah perjanjian termeterai antara Khalifah Hasan dan Muawiyah sebelum dilantik menjadi khalifah baharu dengan syarat wajib berpegang kepada Kitabullah, sunnah Rasul-Nya dan dasar politik Khulafa’ Ar-Rasyidin. Selain itu, soal kekhalifahan perlu melalui cara musyawarah.
Seterusnya, semua orang dijamin keselamatan jiwanya, harta benda dan keluarganya dengan tidak menjatuhkan hukuman kepada mana-mana tentera yang terlibat dalam pertempuran-pertempuran sebelum ini. Muawiyah tidak akan mengancam Khalifah Hasan dan para pengikutnya. (Taha Husain, 1990)
Khalifah Hasan berpendapat janji pada surat pertama Muawiyah masih tetap berlaku sedangkan Muawiyah berpendapat surat kedua ini menggugurkan syarat-syarat di surat pertama kecuali syarat yang diminta Khalifah Hasan iaitu kekhalifahan selepas Muawiyah yang akan ditentukan secara musyawarah dan pemerintahan Muawiyah yang wajib berasaskan syarak’.
Khalifah Hasan yang menyandang jawatan khalifah selama 6 bulan sahaja sendiri yang membaiah Muawiyah sebagai Amirul Mukminin yang baharu serta diikuti oleh beberapa sahabat yang lain seperti Usamah bin Zaid, Abdullah bin Umar, Maslamah bin Mukhallad, Abu Umamah, Anas bin Malik, Zaid bin Tsabit dan Rafi bin Hudayj. Perdamaian ini mengingatkan ramai para sahabat dan Muawiyah sendiri akan sabda Rasulullah s.a.w;
“Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid, semoga Allah mendamaikan dengannya dua kumpulan umat Islam yang sedang berselisih.” [Sahih al-Bukhari – Hadis no: 3629]
Tahun perdamaian ini dikenali sebagai “Am al-Jamaah” kerana umat Islam kembali bersatu dibawah satu pemimpin. Penyerahan kuasa ini berlaku di Kufah pada hari Khamis bulan Rabiul Awwal 41H memberikan tamparan hebat buat puak Khawarij dan al-Sabaiyyun.
Setelah Hasan meletakkan jawatan, beliau dan ahli keluarganya berpindah keluar dari Kufah menuju dan menetap di Madinah Al-Munawwarah. Kota Kufah dimasukkan di bawah kekuasaan Khalifah Muawiyah dan al-Mughirah bin Syu’bah dilantik sebagai gabenor Kufah yang baharu seterusnya menyambung legasi Khulafa’ Ar-Rasyidin dengan terbentuknya Kerajaan Bani Umaiyyah.
Kesimpulan
Dapat kita saksikan pembunuhan Khalifah Uthman dan Khalifah Ali serta perang saudara sesama Islam yang berlaku merupakan antara detik hitam sejarah umat Islam akibat berleluasanya fitnah sehingga dikenali zaman tersebut sebagai Era Fitnah Pertama oleh sejarawan. Sewajarnya kita mengambil iktibar dan sentiasa rasional, memikirkan baik dan buruk yang akan berlaku dalam jangka masa pendek mahupun panjang dalam melaksanakan sesuatu tindakan.
Ambillah iktibar daripada sejarah supaya kita tidak mengulanginya semula. Setelah zaman Fitnah Pertama ini yang mana perpecahan umat Islam kali pertama berlaku ini berakhir, banyak lagi perpecahan umat Islam yang berlaku selepas daripada itu seperti mana di Era Fitnah Kedua yang menyaksikan gugurnya cucu Rasulullah S.A.W. iaitu Saiyyidina Husein bin Ali.
RUJUKAN:
Ḥusain Ṭāhā. (1990). Fitnah Terbesar Dalam Sejarah Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Artikel dikirimkan oleh Azizul Farhan untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih