Kelantan hari ini masyhur sebagai “Serambi Mekah”, negeri yang sinonim dengan imej Islamik dan kuat pegangan agama. Namun, tahukah anda bahawa sekitar pertengahan abad ke-20, Kelantan pernah mendapat gelaran sinis “Paris of Malaya” merujuk kepada kota pelacuran terbesar di Tanah Melayu ketika itu?
Gelaran ini tentu mengejutkan ramai, apatah lagi memikirkan reputasi Kelantan sebagai bumi para ulama.
Jadi, apa sebenarnya punca yang membuat Kelantan dikenali dengan jolokan ini?
Jika kita mengimbau Kelantan pada abad ke-19, rupa-rupanya gejala pelacuran sudah wujud sejak dulu. Abdullah Munshi pernah berkunjung ke Kelantan pada tahun 1838. Dalam karyanya Kisah Pelayaran Abdullah, beliau terkejut melihat ramainya wanita tempatan berkelakuan tidak senonoh.
Abdullah menulis: “…terlalu banyak perempuan jalang. Maka apabila petang hari, datanglah ia dekat-dekat perahu segala dagang, berjalan berduyun-duyun. Adapun pakaiannya itu berkemban sahaja dengan tiada berbaju; dan rambutnya bersanggul lintang… dipakainya bunga melor berumbai-umbai, panjangnya sampai ke lututnya…”.
Gambaran ini menunjukkan pada petang hari di pelabuhan Kota Bharu, kumpulan wanita “jalang” (pelacur) akan berdandan menarik, berkemban tanpa baju, rambut disanggul rapi berhias bunga lalu menghampiri perahu-perahu pedagang yang berlabuh, barangkali untuk menawarkan khidmat.
Bayangkan, seawal 1830-an lagi Kota Bharu sudah punya reputasi sedemikian!
Fenomena ini tidak terhenti di situ. Menjelang awal abad ke-20, golongan ulama dan pihak berkuasa tempatan turut mengakui masalah sosial ini. Tokoh ulama Kelantan seperti Tok Kenali misalnya pernah mengupas isu persundalan (pelacuran) dalam penulisannya pada tahun 1921, petanda bahawa gejala ini membimbangkan masyarakat ketika itu. Kerajaan negeri Kelantan di era pra-merdeka juga mengambil langkah serius dengan menubuhkan Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada tahun 1915 antara lainnya untuk menangani masalah maksiat di kalangan orang Islam Kelantan.
Bermula detik itu, kita melihat usaha-usaha awal yang lebih terancang untuk membendung gejala pelacuran di bumi Kelantan.
Sejak awal penubuhan, MAIK mendapati masalah salah laku seksual khususnya pelacuran cukup berleluasa di Kelantan sehingga dominan dalam laporan tahunannya. Malah, dalam Penyata MAIK 1917, golongan pelacur digambarkan “seperti kawan-kawan kambing yang tiada berasa malu aib kepada siapa-siapa sekalipun”, suatu perumpamaan tajam yang membayangkan betapa pelacur-pelacur ketika itu bebas berkeliaran tanpa rasa segan silu. Bagi negeri yang kuat pegangan adat dan agama, tentunya situasi ini dilihat mencemarkan maruah masyarakat.
Sebagai respon, pihak berkuasa Kelantan ketika itu menggubal beberapa peraturan dan memberikan kuasa luar biasa kepada MAIK. Notis No. 26 Tahun 1916 misalnya, digubal untuk membanteras “laki-laki dan perempuan jahat” (istilah lama bagi pelaku maksiat). Notis ini memberikan kuasa kepada MAIK untuk menangkap pesalah tanpa waran, memanggil mereka untuk soal siasat, menghalang serta mengusir pelacur atau orang tengah dari mana-mana jajahan di Kelantan dan menjatuhkan hukuman denda atau penjara jika bersalah.
Dengan adanya peruntukan undang-undang ini, MAIK boleh bertindak sebagai semacam polis agama di peringkat negeri, satu langkah berani yang jarang wujud di negeri-negeri Melayu lain pada waktu itu.
Walaupun kuasa sudah diberi, MAIK berdepan cabaran besar di lapangan. Operasi menangkap pelacur dan orang tengah tidak sentiasa mudah atau selamat. Ada kalanya pegawai-pegawai MAIK mendapat tentangan sengit daripada pihak terlibat. Contohnya, dalam satu laporan tahun 1921, Penggawa Temangan mengadu sukarnya hendak menahan sekumpulan pelacur di sebuah rumah kongsi pekerja kereta api kerana mereka dilindungi oleh imigran Cina yang mengurus premis tersebut. Pegawai itu terpaksa memohon waran tangkap supaya operasi dapat dijalankan dengan lancar.
Kejadian seperti ini menunjukkan bahawa kegiatan pelacuran di Kelantan awal abad ke-20 ada rangkaian dan “payung” tertentu yang sanggup berdepan risiko demi melindungi ‘perniagaan daging’ mereka. MAIK terpaksa merancang operasi dengan teliti dan sering bekerjasama dengan pihak polis supaya sebarang tangkapan tidak bertukar kecoh atau gagal.
Namun, jika isu “Paris of Malaya” hanya dibaca sebagai masalah sosial dalaman masyarakat Kelantan, analisis itu sebenarnya masih belum lengkap. Pelacuran di Tanah Melayu termasuk di Kelantan tidak boleh dipisahkan daripada kerangka ekonomi kolonial British yang lebih luas. Sejak akhir abad ke-19 hingga awal abad ke-20, British membentuk struktur ekonomi yang bergantung kepada kemasukan buruh lelaki secara besar-besaran khususnya dalam sektor perlombongan, pelabuhan dan perdagangan. Dalam sistem ini, pelacuran dianggap oleh pentadbiran kolonial sebagai “kejahatan yang perlu” untuk mengekalkan kestabilan tenaga kerja.
Pelacuran pernah dilesenkan secara rasmi oleh British di Negeri-Negeri Selat dan kawasan ekonomi utama Tanah Melayu. Di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka, ratusan pelacur berlesen direkodkan seawal akhir abad ke-19. Dasar ini lahir kerana mereka menganggap keperluan seksual buruh lelaki imigran terutamanya lelaki Cina yang datang tanpa keluarga sebagai satu faktor sosial yang perlu “diurus”. Ketidakseimbangan jantina yang ketara dalam komuniti buruh iaitu puluhan ribu lelaki berbanding hanya ribuan wanita menjadikan pelacuran sebahagian daripada ekosistem ekonomi kolonial.
Dalam konteks ini, pelacuran berkembang seiring dengan pembukaan kawasan ekonomi. Apabila perlombongan, pelabuhan dan perdagangan diperluas, maka wujud permintaan terhadap rumah tumpangan, hiburan dan perkhidmatan seksual. British sendiri mengakui bahawa tanpa “saluran pelepasan” ini, mereka bimbang tenaga buruh akan hilang motivasi, memberontak, atau terlibat dalam keganasan dan jenayah lain. Oleh sebab itu, pelacuran di bandar-bandar kolonial pada satu ketika bukan sahaja ditoleransi, malah dikawal selia atas nama kesihatan awam dan ketenteraman sosial.
Walaupun dasar pelacuran berlesen ini lebih ketara di Negeri-Negeri Selat, kesannya tidak terhenti di situ. Model ekonomi kolonial yang sama turut mempengaruhi negeri-negeri Melayu termasuk Kelantan. Kota Bharu tidak terkecuali daripada arus ini. Apabila aktiviti ekonomi berkembang tanpa perlindungan sosial yang mencukupi, golongan paling terdedah ialah wanita miskin tempatan khususnya janda muda dan mereka yang tercicir daripada sistem pendidikan. Mereka menjadi mangsa kepada struktur yang memerlukan perkhidmatan tersebut untuk terus berfungsi.
Dalam banyak kes, wanita yang melacur ialah golongan paling bawah sedangkan keuntungan sebenar dikutip oleh pihak yang mengawal premis, lesen atau perlindungan. Maka, menuding jari kepada wanita tempatan semata-mata tanpa menyoal siapa yang mencipta permintaan dan siapa yang mengaut hasil adalah satu pembacaan sejarah yang tidak adil dan pincang.
Lebih ironik, apabila British mula mengharamkan pelacuran berlesen pada 1930-an, larangan itu didorong oleh kebimbangan terhadap imej kolonial, penyakit kelamin dan implikasi keselamatan termasuk isu homoseksual dalam kalangan buruh dan anggota tentera. Pelacuran tidak dihapuskan, sebaliknya hanya ditolak ke bawah tanah. Kesan jangka panjangnya ialah kegiatan ini terus wujud secara terselindung, sementara beban sosial tetap ditanggung oleh masyarakat tempatan selepas penjajah berundur.
[Kemiskinan, “Buje” dan Punca Pelacuran di Kelantan]
Untuk memahami punca pelacuran berleluasa, kita perlu melihat faktor sosial-ekonomi Kelantan sejak dahulu. Kemiskinan ternyata menjadi faktor utama. Kelantan tradisinya negeri agraria. Sebelum 1950, majoriti rakyatnya hidup sebagai petani sara diri di kampung-kampung. Malah selepas Merdeka sekali pun, keadaan ekonomi tidak banyak berubah. Sekitar 1950-an hingga 1970-an, pertanian kekal dominan, peluang pekerjaan sektor lain amat terhad dan Kelantan mencatat kadar kemiskinan serta penghijrahan keluar negeri yang tertinggi di Malaya/Malaysia. Ramai anak muda lelaki terpaksa merantau ke negeri lain mencari rezeki, meninggalkan keluarga di kampung.
Dalam keadaan begini, wanita khususnya yang tiada pelajaran atau kemahiran mudah terjerumus ke kancah pelacuran sebagai jalan singkat mencari pendapatan.
Kajian oleh sejarawan Haryati Hasan menemukan bahawa ramai pelacur Melayu Kelantan pada era itu berstatus “buje” iaitu janda atau wanita yang pernah berkahwin tetapi bercerai pada usia muda. Perceraian awal (sering kali akibat perkahwinan pada usia remaja) menyebabkan golongan ini terpaksa menanggung diri sendiri, malah ada yang memiliki anak atau keluarga untuk disara. Tanpa pendidikan dan kemahiran, pilihan kerja amat terhad lantas ada yang terpaksa menjadikan pelacuran sebagai pekerjaan, sama ada sepenuh masa atau sambilan, demi meneruskan hidup.
Ironinya, menurut temubual MAIK dengan wanita-wanita ini, ramai di antara mereka masih menyimpan hasrat untuk mendapat jodoh baru dan “kehidupan lurus” suatu hari nanti. Namun selagi terperangkap dalam kitaran kemiskinan, sukar untuk mereka keluar daripada lembah maksiat.
Data daripada fail-fail MAIK 1916-1941 mendedahkan lebih terperinci tentang struktur “industri pelacuran” di Kelantan pada zaman itu. Kota Bharu menjadi pusatnya dengan jaringan tempat operasi yang dikenalpasti. Ada pelacur yang melayan pelanggan di rumah persendirian contohnya di Jalan Wakaf Siku. Ada juga rumah pelacuran khas di lorong-lorong tertentu seperti Lorong Kubur, Lorong Che Kadir dan Jalan Pejabat Pos Lama.
Selain itu, rumah tumpangan dan hotel turut digunakan sebagai lokasi aktiviti memberi kemudahan kepada pelancong atau orang luar yang berkunjung mencari “hiburan”. Pelanggan pula terdiri daripada pelbagai kaum dan kerjaya. Bukan orang Kelantan sahaja, malah ada yang datang dari luar. Laporan MAIK merekodkan pelanggan Melayu, Cina, India dan lain-lain termasuk golongan berjawatan seperti polis, kerani bahkan imam dan bomoh juga pernah ditangkap berkhalwat dengan wanita di Kelantan. Untuk mendapatkan khidmat pula, pelanggan boleh berurusan terus dengan pelacur atau melalui orang tengah bergelar “barua” (bapa ayam).
Golongan barua inilah yang mengurus “tempahan” pelanggan, mengatur pertemuan sama ada di rumah pelacuran atau membawa pelacur ke tempat tertentu.
Memasuki era 1950-an, kegiatan pelacuran di Kelantan mencapai kemuncaknya sehingga menarik perhatian umum satu Malaya. Laporan-laporan pada awal 1950-an menunjukkan Kota Bharu dan beberapa kawasan lain di Kelantan menjadi pusat pelacuran utama di Tanah Melayu. Situasi ini begitu serius sehingga media British mula memberi jolokan “Paris of Malaya” kepada Kelantan yang merujuk kepada reputasi kota Paris di Eropah sebagai “kota pelacur” ketika itu.
Apakah cerita di sebalik gelaran “Paris of Malaya” ini? Beberapa peristiwa penting menjelaskannya.
Pada tahun 1953, Sultan Kelantan iaitu Sultan Ibrahim dilaporkan berangkat ke London dan dalam kesempatan itu akhbar-akhbar kolonial sibuk memperkatakan tentang Kelantan yang “masyhur” dengan gelaran Paris Malaya. Namun isu ini benar-benar meletup pada hujung dekad 1950-an, apabila seorang pegawai kebajikan British bernama Josephine Foss membuat pendedahan mengejutkan. Beliau mendakwa bahawa di Kelantan terdapat sindiket pelacuran yang merekrut gadis-gadis muda malah kanak-kanak seawal 12 tahun untuk dilatih menjadi pelacur dan “ibu ayam” yang mengeksploitasi gadis ini dilimpahi ganjaran mewah termasuk penginapan di hotel-hotel bertaraf tinggi.
Kenyataan ini bagaikan membongkar rahsia yang selama ini diperkatakan senyap-senyap. Memang ada jaringan terancang melibatkan pihak berkedudukan serta wang besar dalam industri hina ini.
Tidak menghairankan, pendedahan Josephine Foss mencetuskan kontroversi. Ramai pemimpin tempatan Kelantan tersinggung dengan dakwaan orang British tersebut dan menganggapnya cuba memburukkan nama negeri dan boleh menaikkan ketegangan kaum. Namun, tidak kurang juga yang mengakui kebenaran di sebalik kata-katanya.
Akhirnya pada 1959, isu ini dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Seorang ahli majlis negeri, Nik Mohamed Amin Nik Ali tampil membentangkan laporan rasmi tentang kegiatan pelacuran yang berleluasa. Laporannya cukup mengejutkan. Beliau menyatakan bahawa pelajar-pelajar sekolah turut terlibat sama dalam kegiatan terkutuk ini!
Nik Mohamed Amin dengan lantang mencadangkan agar kerajaan negeri mencari jalan memberi peluang pekerjaan alternatif kepada para pelacur ini daripada hanya menghukum mereka semata-mata. Cadangan ini menunjukkan ada kesedaran bahawa faktor ekonomi memaksa mereka ke situ, maka penyelesaian jangka panjang perlulah dengan menyediakan sumber rezeki yang halal.
Perbahasan di DUN Kelantan 1959 itu mendapat liputan meluas sekaligus mengesahkan kepada seluruh negara bahawa gelaran “Paris of Malaya” bukan omong kosong. Seorang ahli politik pembangkang (Perikatan) bernama Yaacob Awang dalam reaksinya meluahkan rasa malu dan kesal Kelantan digelar sedemikian. Namun menariknya, isteri beliau Che Halimah tampil membidas katanya bukan perempuan sahaja bersalah, lelaki juga wajar dipersalahkan kerana kerap menceraikan isteri dan menyebabkan wanita teraniaya terdesak mencari makan sebagai pelacur.
Pernyataan isteri wakil rakyat ini menjadi bualan kerana jarang-jarang seorang wanita bersuara sedemikian lantang di khalayak ketika itu.
Heboh gelaran “Paris of Malaya” ini turut sampai ke telinga orang luar negara. Lucunya, ada juga yang “terasa” dengan perbandingan tersebut kononnya menghina kota Paris! Seorang warga Perancis yang tinggal di Singapura menulis surat kepada akhbar The Straits Times pada 4 Mei 1959 menyatakan bahawa menyamakan Kelantan dengan Paris adalah “satu penghinaan terhadap kota budaya dunia”. Baginya, Paris ialah kota penuh seni dan budaya, bukan semata-mata sarang pelacuran. Malah, sindiran orang Perancis itu berbunyi, kalau mahu sebut “kota pelacur”, London lebih sesuai daripada Paris.
Gelaran sudah pun melekat, namun usaha pembaikan mula dijalankan sebaik menyedari keadaan tidak boleh dibiarkan. Walaupun British masih berkuasa hingga 1957, tanggungjawab membanteras masalah sosial ini akhirnya digalas pemerintah tempatan. Pada tahun 1959, selepas Pilihan Raya Umum pertama pasca-Merdeka, Kelantan diperintah oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menang besar di negeri itu. Kerajaan PAS Kelantan (dahulu dikenali sebagai PMIP) di bawah Menteri Besar Datuk Ishak Lotfi segera berikrar membersihkan nama Kelantan dari maksiat. Mereka mula menguatkuasakan undang-undang moral berteraskan Islam dimana premis perjudian ditutup, lesen arak dikawal, operasi menghapus sarang pelacuran dijalankan dan taman-taman hiburan dikaji semula.
Malah, rekod Berita Harian 18 Julai 1960 dan 6 Ogos 1960 menunjukkan kerajaan negeri ketika itu mengharamkan penganjuran pesta tari-menari dan melarang funfair (taman hiburan) kerana dianggap bertentangan dengan Islam. Pihak ulama PAS merasakan langkah ini perlu untuk mencegah maksiat berleluasa.
Namun begitu, membanteras pelacuran bukan mudah seperti memetik suis lampu. Laporan akhbar The Straits Times pada tahun 1962 masih menunjukkan aktiviti pelacuran di Kelantan belum reda. Ia masih berleluasa di celah-celah masyarakat walaupun kerajaan negeri baru lebih tegas membuat serbuan. Satu persatu pusat maksiat perlu ditutup secara berperingkat. Taman hiburan Biaritz Park, ikon hiburan di Kota Bharu sejak zaman British akhirnya ditutup sekitar pertengahan 1970-an. Biaritz Park dahulunya ditubuhkan British sebagai tempat riadah rakyat (pertandingan laga lembu, dikir barat, tinju, dll), tapi lama-kelamaan menjadi “lubuk maksiat” selepas wujud kegiatan tidak bermoral di situ. Apabila taman ini ditutup, mereka yang dahagakan hiburan beralih pula ke kelab malam dan hotel yang mana bertambah rancak di Kota Bharu era 1970-an.
Menjelang akhir 1970-an, Kelantan mengalami pergolakan politik (krisis pada 1977) sehingga PAS tewas dan Barisan Nasional mengambil alih pentadbiran negeri buat seketika (1978-1990). Walau kerajaan silih berganti, isu sosial ini tetap menghantui. Kerajaan pusat BN cuba membawa pembangunan ekonomi ke Kelantan bagi mengurangkan kemiskinan, namun perubahan mengambil masa. Kegiatan pelacuran kekal ada tetapi mungkin kurang mendapat publisiti. Gelaran “Paris of Malaya” perlahan-lahan tenggelam ditelan waktu, namun parutnya masih berbekas dalam ingatan orang Kelantan.
Tahun 1990 menandakan titik perubahan besar. Dalam Pilihan Raya Umum 1990, PAS kembali memenangi Kelantan dan mentadbir negeri di bawah kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Misi Tuan Guru Nik Aziz jelas untuk meneruskan agenda Islamisasi dan membentuk Kelantan sebagai model negeri berkebajikan berlandaskan Islam. Di bawah dasar “Membangun Bersama Islam”, kerajaan PAS Kelantan giat mengubah imej negeri yang tercalar sebelum ini. Langkah-langkah drastik diambil dimana semua premis perjudian yang masih wujud ditutup, lesen penjualan arak tidak diperbaharui (diharamkan di tempat awam) dan sebarang bentuk hiburan yang dianggap melalaikan dikawal ketat. Malahan, kesenian tradisional Kelantan seperti wayang kulit, makyong, menora dan main puteri turut disemak jika ada unsur kurafat atau bertentangan syariat, ia diharamkan dari persembahan umum.
Pendek kata, Kerajaan Nik Aziz “menggempur” sisa-sisa pengaruh Paris of Malaya habis-habisan, menukar haluan negeri kepada identiti “Serambi Mekah” yang lebih sesuai dengan jati diri majoriti rakyatnya.
Hasilnya, perlahan-lahan Kelantan berjaya membersihkan imejnya. Jika pada era 50-an nama Kelantan sinonim dengan maksiat, menjelang era 90-an dan 2000-an, Kelantan lebih terkenal sebagai negeri konservatif yang menitikberatkan nilai agama. Banyak pihak mengakui perubahan besar ini dimana Kelantan di bawah Tuan Guru Nik Aziz berjaya ditukar daripada “Paris of Malaya” menjadi “Serambi Mekah” secara realiti mahupun persepsi.
Tiada lagi kelab malam besar-besaran, tiada judi berlesen dimana suasana negeri menjadi lebih sesuai dengan roh Islam yang diperjuangkan pemimpinnya. Undang-undang kecil seperti Enakmen Kawalan Hiburan 1998 digubal untuk memastikan aktiviti hiburan patuh syariat dan bebas unsur maksiat.
Dalam konteks sosial, perubahan dasar ini seolah-olah menutup pintu-pintu terang kegiatan pelacuran yang dahulunya terbuka luas.
Namun, adakah masalah ini betul-betul lenyap? Hakikatnya, pelacuran sebagai “dosa tertua” dunia memang sukar diberantas 100%. Meskipun sarang pelacuran tidak lagi kelihatan secara terbuka di Kelantan pasca-1990, laporan-laporan media sejak 2000-an menunjukkan aktiviti persundalan masih wujud secara tersembunyi.
Modus operandi mereka berubah mengikut zaman dengan bergerak secara “nomad” mengikut tempahan melalui telefon pintar dan media sosial. Ada yang dibawa masuk secara senyap dari luar, bertemu pelanggan di hotel tertentu secara rahsia. Beberapa kes tangkapan “pelacur online” pernah dilaporkan di Kelantan membuktikan selagi ada permintaan, kegiatan ini akan mencari jalan. Pihak berkuasa agama dan polis terus melakukan operasi, tapi mereka akui selagi wujud pelanggan yang sanggup membayar, pelacuran tidak akan dapat dihapuskan sepenuhnya.
Begitulah realitinya, manusia boleh diubah oleh undang-undang dan pendidikan, tetapi nafsu dan desakan hidup sentiasa menjadi cabaran berterusan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




