Apabila manusia pertama menjejakkan kaki di Marikh, mereka akan memulakan kehidupan di planet yang tidak pernah dihuni manusia. Setiap pagi mereka akan melihat matahari terbit dalam cahaya kebiruan yang redup, berbeza dengan cahaya keemasan yang biasa menyinari Bumi. Udara yang dihirup pula datang daripada sistem kitar semula dengan bau logam yang sukar dihilangkan.
Tiada kicauan burung atau deruan angin di celah pepohon yang menenangkan. Angin di Marikh memang wujud tetapi hanya terasa seperti hembusan nipis yang membawa debu merah halus. Di luar, ribut debu yang mampu bertahan berbulan-bulan adalah pemandangan yang sering berlaku.
Bumi akan kelihatan seperti titik biru kecil di langit Marikh. Pada titik kecil itulah terkumpul semua kenangan, keluarga dan kehidupan yang pernah mereka kenal. Dengan jarak purata sekitar 140 juta batu atau 225 juta kilometer bergantung pada kedudukan orbit kedua-dua planet, bantuan segera hampir mustahil jika berlaku kecemasan.
Perjalanan dari Bumi ke Marikh memakan masa antara enam hingga sembilan bulan. Komunikasi radio pula akan mengalami kelewatan antara empat hingga dua puluh empat minit sehala. Ini bermakna perbualan terus seperti panggilan telefon tidak dapat dilakukan dan menunggu setiap mesej memerlukan kesabaran yang tinggi tetapi itu hanyalah perkara kecil.
Di kawasan khatulistiwa, suhu pada waktu siang dalam keadaan tertentu adalah sekitar 20 darjah Celsius, walaupun kebiasaannya lebih rendah. Menjelang malam, suhu boleh jatuh mendadak hingga -80 darjah Celsius kerana tekanan atmosfera yang hanya sekitar 0.6% daripada Bumi. Perubahan ekstrem ini menjadikan kawalan suhu dalam habitat amat kritikal.
Cabaran mental menjadi isu utama yang dihadapi NASA dan rakan kongsi antarabangsa. Kehidupan dalam ruang terkurung selama bertahun-tahun memerlukan daya tahan psikologi yang tinggi. Tekanan, rasa terasing dan rindu kepada Bumi boleh menjejaskan fokus kru terhadap misi.
Bagi memahami kesan ini, NASA menjalankan simulasi misi Marikh seperti projek HERA di Johnson Space Center dan CHAPEA yang menempatkan kru dalam habitat cetakan 3D selama setahun. Eksperimen ini mendedahkan bagaimana manusia mengurus konflik, kebosanan dan tekanan dalam ruang sempit. Data yang dikumpulkan membantu membentuk strategi sokongan mental untuk kru sebenar.
Permukaan Marikh diselaputi debu halus yang mengandungi perklorat, iaitu sebatian kimia berbahaya jika terdedah terlalu lama. Setiap kali keluar dari habitat, angkasawan wajib memakai sut perlindungan penuh.
Debu Marikh sangat halus hingga boleh menyusup ke celah sut angkasawan dan berpotensi merosakkan komponen mekanikal. Ia juga mempunyai sifat elektrostatik yang membuatnya melekat pada permukaan seperti magnet debu, walaupun ia bukan tarikan magnet sebenar. Mengawal dan membersihkan debu menjadi salah satu cabaran harian yang tidak boleh diabaikan.
Walaupun kelihatan gersang, Marikh menyimpan ais air di kutub dan di bawah tanah. Ais ini boleh diekstrak untuk minuman, pertanian dan penghasilan oksigen. Misi akan membawa peralatan seperti MOXIE yang sudah membuktikan keupayaannya menukar karbon dioksida Marikh menjadi oksigen melalui rover Perseverance.
Atmosfera Marikh terdiri daripada 95% karbon dioksida dan hanya sekitar 0.13% oksigen, berbanding Bumi yang mempunyai 21% oksigen. Sebab itu manusia memerlukan sistem sokongan hayat yang beroperasi tanpa henti dengan tahap kebolehpercayaan tinggi. Kegagalan sistem ini walau sebentar boleh membawa akibat yang serius.
Makanan akan dihasilkan dalam habitat melalui sistem hidroponik atau aeroponik. Tanaman seperti kentang, gandum dan sayuran berdaun hijau dipilih kerana boleh tumbuh dalam ruang terhad dan memberi sumber nutrien yang stabil. Penyelidikan di Stesen Angkasa Antarabangsa sudah membuktikan bahawa tanaman mampu hidup walaupun dalam keadaan mikrograviti.
Kehidupan harian di Marikh akan diatur mengikut jadual yang ketat. Kru perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, menyelenggara sistem, menjalankan eksperimen dan melaksanakan latihan di luar habitat. Masa lapang pula mungkin digunakan untuk berhubung dengan keluarga, membaca atau melakukan aktiviti digital.
Satu hari di Marikh dikenali sebagai ‘sol’ dan berlangsung selama 24 jam 39 minit. Walaupun perbezaannya kecil berbanding Bumi, ia tetap memerlukan penyesuaian dalam rutin kerja dan pola tidur kru. Penyesuaian ini penting untuk memastikan prestasi kekal optimum sepanjang misi.
Perubatan di Marikh adalah cabaran besar. Tiada hospital atau pakar bedah berdekatan, jadi kru perlu dilatih untuk menangani pelbagai situasi kecemasan. Bekalan perubatan yang dibawa mesti mencukupi sepanjang misi tanpa bergantung pada penghantaran dari Bumi.
Graviti Marikh hanya 38% daripada Bumi. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan otot dan ketumpatan tulang walaupun kru bersenam setiap hari. Kajian di Stesen Angkasa Antarabangsa membantu mencari cara terbaik mengurangkan kesan ini.
Dengan graviti yang rendah, berat badan seseorang akan berkurang kira-kira 62% berbanding di Bumi. Jika berat anda 70 kilogram di Bumi, di Marikh anda hanya sekitar 26 kilogram walaupun jisim kekal sama. Perkara ini memudahkan pergerakan tetapi memberi risiko kesihatan jangka panjang. Jadi, berat tak salah, mungkin anda salah lokasi.
Pemandangan di luar habitat hanyalah landskap merah yang sunyi sejauh mata memandang. Tiada air mengalir di permukaan dan tiada tanda kehidupan kompleks yang dapat dilihat. Namun tanah dan batu yang terbentang menjadi saksi kepada sejarah geologi berusia berbilion tahun.
Kenangan bunyi Bumi akan semakin pudar. Tiada titisan hujan di tingkap atau deburan ombak di pantai. Bahkan suara manusia lain selain kru sendiri akan menjadi sesuatu yang sangat dirindui.
Walaupun cabaran yang menanti amat besar, misi ke Marikh menjadi simbol keberanian manusia untuk meneroka ke tempat yang belum pernah dicapai. Mereka yang terpilih sanggup mengorbankan keselesaan, keselamatan dan hubungan rapat demi membuka bab baru dalam sejarah. Keputusan mereka akan mengubah cara manusia melihat masa depan.
NASA bersama rakan antarabangsa sedang membangunkan teknologi untuk melindungi kru daripada radiasi kosmik, memastikan bekalan makanan stabil dan mengekalkan kesihatan mental mereka. Kejayaan misi ini akan bergantung pada keseimbangan antara kekuatan teknologi dan ketahanan manusia.
Kisah perjalanan ke Marikh mengajar kita bahawa pencarian ilmu menuntut pengorbanan yang luar biasa. Semoga mereka yang bakal melangkah ke dunia asing itu kembali dengan selamat, membawa ilmu dan inspirasi untuk seluruh umat manusia.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ilmu, inspirasi, makna, ketepatan, dan keindahan.

Comments are closed.