Segalanya bermula di Makmal Kebangsaan Brookhaven (Brookhaven National Laboratory) yang terletak di sebuah daerah bernama Upton di New York, Amerika Syarikat. Di sana, seorang ahli fizik bernama William Higinbotham telah mereka cipta sebuah permainan untuk dipaparkan semasa Pameran Tahunan Makmal Kebangsaan Brookhaven.
Idea untuk beliau mereka permainan tersebut tercetus apabila beliau menyedari bahawa pameran tahunan yang dilaksanakan itu adalah membosankan dan pengunjung tidak dapat melihat sesebuah projek yang mampu untuk berinteraktif dengan pengunjung.
Hasil daripada cetusan idea tersebut, Higinbotham telah melaksanakan ideanya itu setelah beliau meneliti buku panduan terhadap komputer analog milik institut penyelidikan tersebut. Beliau mendapati yang komputer analog tersebut mampu untuk menghitung dan memaparkan demonstrasi pergerakan misil balistik.
Kemudian, setelah melaksanakan sedikit penambahbaikan terhadap aturcara sistem computer analog tersebut, beliau berjaya merubah demonstrasi pergerakan misil balistik tersebut menjadi sebuah sistem yang mampu dikawal pergerakannya.
Higinbotham bersama dengan seorang juruteknik bernama Robert Dvorak kemudian menyambungkan computer analog tersebut dengan sebuah monitor bernama Oscilloscope bersaiz 5-inci yang kemudian ditambah baik menjadikan saiznya lebih besar iaitu sekitar 17 inci untuk memaparkan pergerakan arus elektrik yang dikawal menggunakan dua alat kawalan jauh yang direka khas untuk permainan tersebut.
Paparan permainan tersebut kemudian direka dengan sebuah garisan mengufuk dijadikan sebagai gelanggang permainan tenis bersama dengan sebuah garisan mencancang yang pendek sebagai jaring pemisah di antara dua buah kawasan permainan. Pergerakan bola pula direka supaya kelajuannya boleh diubah dengan menggerakkan tombol pada alat kawalan jauh yang dicipta khas untuk permainan tersebut. Untuk memukulnya ke kawasan lawan pula, pemain perlu menekan butang pada alat kawalan jauh tersebut.
Pada tanggal 18 Oktober 1958, permainan video yang diberi nama Tennis For Two itu akhirnya dipamerkan kepada umum semasa Pameran Tahunan Makmal Kebangsaan Brookhaven. Tujuan asal Higinbotham selain daripada tujuannya untuk memberi kelainan pada pameran tersebut adalah untuk mempamerkan kemampuan teknologi computer yang dimiliki mereka pada ketika itu.
Tetapi apa yang dirasai oleh para pengunjung pameran tersebut jauh berbeza dengan tujuan asal Higinbotham tersebut. Bagi para pengunjung, projek permainan video tersebut merupakan sebuah projek yang istimewa dan tidak pernah dilihat mereka. Dikatakan juga bahawa gerai pameran projek Tennis For Two ini dikerumun ratusan pengunjung yang menunggu giliran untuk mencuba permainan tersebut. Hal tersebut membuatkan gerai-gerai pameran lain kurang diberi perhatian oleh para pengunjung pada ketika itu.
Tenggelamnya Permainan Video Pertama
Masa pun terus berlalu pergi, Tennis For Two pun hilang daripada pengetahuan umum. Seusainya Pameran Tahunan Makmal Kebangsaan Brookhaven, bahagian-bahagian alat yang digunakan untuk bermain Tennis For Two kemudian dibuka untuk digunakan pada projek-projek yang lain pula. Hal ini kerana bahagian-bahagian alat tersebut amatlah mahal harganya dan memakan kos yang amat besar untuk ditempah kepada yang baru. Oleh itu, mereka terpaksa mengitar semula bahagian-bahagian tersebut daripada projek Tennis For Two itu.
Sebagai tambahan, William Higinbotham juga tidak pernah mempatenkan permainan Tennis For Two tersebut oleh kerana kos untuk membeli bahagian-bahagian alat untuk memainkan permainan tersebut yang begitu tinggi. Kos untuk membina alat bagi memainkan permainan tersebut dianggarkan bernilai kurang lebih $20,000.
Baginya, ianya tidak berbaloi untuk membina alat bagi permainan tersebut kerana pada ketika itu, permainan tersebut tidak mempunyai nilai komersial di pasaran. Malang sekali untuk beliau kerana pasaran untuk permainan video hanya mula meluas setelah konsol permainan video pertama dicipta pada sekitar era 60-an.
Permainan video kemudian berkembang pesat dari semasa ke semasa. Permainan video yang asalnya merupakan paparan beberapa titik pergerakan arus elektrik kemudian perlahan-perlahan berjaya ditambah baik menjadi paparan 2D yang mampu memaparkan objek yang lebih jelas, berwarna dan menarik.
Teknologi pun semakin berkembang dan hasilnya, permainan video dapat dihasilkan dalam paparan 3D yang sudah tentu imejnya lebih menarik dan seronok untuk dimainkan. Hari ini, grafik yang terdapat dalam permainan-permainan video sudah seakan-akan tidak mampu dibezakan dengan paparan daripada rakaman yang dibuat di dunia realiti. Betapa permainan video telah melalui evolusi yang begitu dahsyat dan hebat sepanjang sejarah penciptaannya di dunia ini.
Dua orang individu penting dalam menjayakan projek Tennis For Two iaitu Robert Dvorak telah meninggal dunia pada tahun 1969 manakala William Higinbotham telah meninggal dunia pada tahun 1994.
Tanpa mereka berdua yang merupakan individu-individu pelopor kepada projek Tennis For Two ini, permainan video mungkin tidak dapat berevolusi dengan begini dahsyat seperti yang telah berlaku pada masa kini. Mungkin permainan-permainan video yang popular pada zaman sekarang juga tidak dapat kita lihat pada hari ini tanpa mereka berdua ini. Wallahualam.
RUJUKAN :
- CBC (2008). Video games turn 50. https://www.cbc.ca/news/technology/video-games-turn-50-1.703624
- Brookhaven National Laboratory (n.d.). The First Video Game. https://www.bnl.gov/about/history/firstvideo.php
- The History of Video Games (n.d.). TENNIS FOR TWO REVIEW-1958. https://videogamehistorydevelopment.weebly.com/tennis-for-two.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih