Istilah ‘paganisme’ didatangkan bagi merujuk kepada pelbagai agama pra-Kristian yang dianuti oleh sejumlah tamadun purba – baik kumpulan masyarakat di Greece, Rome, Mesir, Scandinavia, dan lain-lain. Dalam beberapa lingkungan ilmuwan, istilah itu juga merujuk kepada ideologi Wicca moden dan pengikut-pengikut ideologi Wicca versi lama yang dihidupkan semula. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya istilah ‘paganisme’ digunakan secara tidak tepat dalam khususnya dalam konteks sejarah.

Walaupun ‘paganisme’ diterima secara meluas sebagai istilah bagi merujuk kepada kepercayaan-kepercayaan pra-Kristian, penting bagi kita untuk mengetahui asal-usul perkataan tersebut dan apa pula konotasi ataupun maksud sebenar yang dibawanya. Pengetahuan ini sekali gus membolehkan kita untuk memahami latar belakang agama-agama pra-Kristian dengan lebih baik dan lebih menyeluruh.

Istilah ‘paganisme’ dihidupkan pada era Renaisans, khususnya apabila penulis-penulis pada waktu itu cuba membezakan antara tradisi-tradisi lama dan agama Kristian. Istilah ‘paganisme’ ini sendiri berasal daripada bahasa Latin, iaitu paganus yang boleh dimengertikan sebagai ‘warga pinggiran’. Oleh kerana itu, ‘paganisme’ pada mulanya merupakan suatu perkataan yang memerincikan status seseorang warga dan bukannya nama bagi sebuah agama.

Walau bagaimanapun, para penulis di zaman pertengahan menggunakan istilah berkenaan dalam konotasi yang silap; yakni merujuk kepada suatu sekte keagamaan. Kalau diikutkan, terdapat istilah lain yang digunakan bagi merujuk kepada maksud ‘pagan’ sebagaimana yang difahami pada masa kini, dan istilah tersebut juga pada mulanya berasal-usul daripada lokaliti penganut kepercayaan yang dimaksudkan.

Menurut Peter Brown, seorang ilmuwan dari Universiti Princeton, ‘hellene’ pada mulanya digunakan bagi membawa maksud ‘paganisme’ yang difahami paa masa kini. ‘Hellene’ mempunyai akar kata daripada Hellas, iaitu panggilan Yunani asli terhadap Greece. Brown menjelaskan bahawa semasa agama Kristian mula muncul dalam kalangan komuniti-komuniti timur, istilah ‘Hellene’ digunakan untuk membezakan antara bukan-Kristian dan penganut Kristian.

Kumpulan masyarakat dari Hellas cenderung memilih untuk taat pada agama lama. Namun, berikutan pertelagahan antara Judaism dan Kristian, hadir satu keperluan untuk membezakan antara kaum Yahudi dan masyarakat di Hellas. Memandankangkan kaum Yahudi tidak berasal dari Greece, maka istilah ‘Hellene’ dianggap sebagai suatu istilah yang sesuai bagi masyarakat bukan-Kristian dan bukan-Yahudi.

Sebuah kuil purba yang didedikasikan kepada dewa Zeus

Oleh kerana itu, budaya menamakan sesebuah agama mengikut nama etniknya ini diteruskan oleh penganut Kristian awal. Menurut sumber-sumber yang dapat diakses, istilah ‘pagan’ hanya mula digunakan pada era Empayar Rom Lewat. Penggunaan istilah ini adalah kerana ia memudahkan mereka mengkelompokkan masyarakat bukan-Kristian secara umum, khususnya semasa berbual ataupun semasa mengeluarkan titah diraja. Istilah ini meraih kemasyhuran kerana ia memudahkan dan bukannya kerana konotasinya yang tepat.

Di belahan barat Latin, kepercayaan-kepercayaan yang wujud di sana lebih cenderung dipanggil sesuai dengan nama etnik masing-masing berbanding nama dewa yang dipuja – di mana mereka menggelarkan diri (dalam bahasa tempatan) sebagai orang Rom, orang Yunani, orang Mesir, dll. Hal ini sekali gus mencampuradukkan antara imej keagamaan dan imej kewarganegaraan. Penamaan yang sebegini sebahagian besarnya disebabkan oleh kesatuan aspek politik dan aspek keagamaan dalam kehidupan seharian masyarakat pada waktu itu.

Lebih daripada itu, penting juga untuk dinotakan bahawa istilah ‘paganisme’ sama sekali tidak membawa konotasi pembezaan antara kepercayaan politeisme dan kepercayaan monoteisme. Berapa pun jua bilangan dewa yang dipuja sama sekali tidak mengubah konotasi istilah ini. Penganut kepercayaan-kepercayaan lama tidak mempunyai pertentangan yang khusus terhadap agama Kristian dalam soal penyembahan satu tuhan – kerana kebanyakan kultus juga memuja satu dewa utama, yang di bawahnya pula ada sejumlah dewa-dewa kecil. Istilah ‘paganisme’ hanya digunakan untuk membezakan masyarakat bukan-Kristian (dan bukan-Yahudi), mengkelompokkan mereka dalam satu kategori supaya identiti mereka dapat dihapuskan dengan lebih mudah.

‘The Triumph of Civilization’ oleh Jacques Reattu. Kebanyakan agama purba bersifat politeisme dan memuja banyak dewa

Penggabungan atau pengkelompokan kesemua agama bukan-Kristian di bawah satu istilah ini hakikatnya merupakan satu strategi dari pihak Kristian untuk menghapuskan kesemua kepercayaan ‘pagan’. Mengambil tradisi Norse sebagai contoh, masyarakat Viking pada zaman pertengahan awal tidak mempunyai nama khusus bagi merujuk agama anutan mereka. Bahkan, istilah ‘agama’ itu sendiri merupakan suatu perkataan yang asing bagi mereka. 

Masyarakat Norse lebih cenderung menggunakan istilah ‘adat-istiadat’ memandangkan ritual, kepercayaan dan tradisi mereka difahami secara tidak-formal, diperturunkan secara lisan, dan tidak bersifat ketat – sama seperti Yunani dan Rom. Tiada istilah tepat bagi merujuk kepada kepercayaan terhadap Aesir dan Vanid. Tiada juga catatan bertulis yang memerincikan amalan-amalan keagamaan mereka. Rekod bertulis berkenaan hal ini hanya muncul pada kurun ke-13, namun menerusi tangan seorang penulis Kristian yang bernama Snorri Sturluson.

Perincian Runestone 181, di Stockholm. Dewa-dewa Norse seperti Odin, Thor dan Freyr digambarkan sebagai tiga orang lelaki

Menurut Gareth Williams dalam Viking: Life and Legend, apa yang dianggap sebagai agama Norse pada masa kini hakikatnya adalah ‘legasi tinggalan mubaligh-mubaligh Kristian’. Lebih tepat, ia merupakan produk tekstual mubaligh Kristian yang dihasilkan dengan tujuan untuk menghapus atau memadam kepercayaan-kepercayaan pra-Krisian.

Mengkelompokkan tradisi-tradisi Norse – dan tradisi kepercayaan purba yang lain – ke dalam satu istilah membolehkan penganut Kristian awal menumpukan perhatian kepada satu sasaran tunggal sekaligus menjadikan sasaran ini lebih mudah untuk dihapuskan.

Walaupun pada hari ini, frasa ‘paganisme’ digunakan secara meluas bagi merujuk kepada penganut agama-agama purba, penting bagi kita untuk memahami asal-usul istilah tersebut dan kesalahan-konsep di sebalik penggunaannya.

Kurun demi kurun sudah pun berlalu, istilah ‘paganisme’ terus digunakan dengan konotasi yang lari jauh daripada maksud asalnya. Namun, tidak pernah terlewat bagi kita untuk mengetahui maksud sebenar istilah tersebut di mana pengetahuan ini seterusnya membolehkan kita memahami dengan lanjut berkenaan sejarah agama-agama purba.

RUJUKA :

Riley Winters. (9 November 2014). The true meaning of Paganism. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/true-meaning-paganism-002306


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.