Dia nampak dari jauh. Langit merah pekat. Asap tebal bergulung macam naga, naik dari kaki langit. Pekikan siren saling bertindih. Dia tak dengar suara manusia lagi, hanya letupan, kaca pecah, dan gegaran yang menggoncang bumi. Kota hilang nafas. Dunia berubah dalam sekelip mata.
Bayangkan seluruh bandar besar dunia meletup serentak. Api menjulang tinggi. Hutan hangus. Kilang dan loji terbakar. Semua itu hasil letupan nuklear. Tapi yang lebih menggerunkan ialah apa yang berlaku selepasnya. Dunia akan diselubungi musim sejuk nuklear yang akan “membunuh” secara perlahan-lahan.
Apabila bandar terbakar serentak, asap dan jelaga tebal akan naik ke atmosfera. Partikel hitam ini terapung dalam lapisan atas bumi, menyekat cahaya matahari dari menembus permukaan. Suhu bumi jatuh mendadak. Cahaya matahari hilang. Dunia jadi gelap, sejuk, dan perlahan-lahan membeku.
Tanaman gagal tumbuh. Haiwan-haiwan mati satu demi satu. Sungai dan tasik mula membeku. Rantai makanan runtuh. Manusia mula kelaparan. Inilah senario mimpi ngeri yang telah dikaji oleh saintis sejak era Perang Dingin dan ianya bukan sekadar khayalan sains fiksyen.
Pada tahun 1952, Amerika uji bom hidrogen dalam Operasi Ivy Mike. Letupan itu 500 kali lebih kuat dari bom Hiroshima. Awan berbentuk cendawan naik setinggi 50 kilometer. Cuaca mikro sekeliling berubah serta-merta. Dari situ, kajian iklim nuklear bermula.
Tahun 1961, USSR pula uji Tsar Bomba. Inilah senjata nuklear paling besar pernah diledakkan. Gelombang letupan gegarkan atmosfera sejauh beribu kilometer. Dan waktu itu barulah dunia mula sedar bahawa dengan hanya satu letupan pun sudah cukup untuk ganggu kestabilan iklim bumi.
Tahun 1962, Krisis Peluru Berpandu Cuba buat seluruh dunia “menahan nafas”. Amerika dan USSR hampir tekan butang. Mujur semuanya berakhir tanpa tragedi. Tapi bayangan ancaman itu tetap kekal. Semua tahu, sekali perang nuklear bermula, tiada jalan pulang.
Saintis anggar kalau 100 bom nuklear diledakkan serentak, dunia akan masuk kitaran gelap selama 10 tahun. Suhu global boleh jatuh sehingga 7 darjah Celsius. Musim panas jadi musim beku. Langit sentiasa kelabu. Matahari hilang selama bertahun. Bukan seminggu dua.
Universiti Rutgers jalankan simulasi. Lebih 5 bilion manusia dijangka mati akibat kebuluran jika senario ini berlaku. Negara yang tidak terlibat perang pun tetap terima kesan. Tiada siapa akan selamat.
Asap dari bandar yang terbakar akan terapung di stratosfera selama bertahun. Cahaya tak sampai ke permukaan bumi. Tanah jadi sejuk dan keras. Tanaman gagal bercambah. Dunia masuk zaman beku yang tidak diketahui bila akan berakhir.
Sistem pertanian lumpuh. Ternakan mati kelaparan. Manusia bergaduh demi saki-baki makanan. Dalam dunia gelap itu, setiap kalori jadi rebutan. Perang kecil tercetus di tengah-tengah dunia yang sudah mati sama ada fizikal mahupun dalaman. Porak peranda.
Kajian NASA dan pakar klimatologi seperti Alan Robock dan Brian Toon sokong ramalan ini. Mereka anggar, hanya 1 peratus daripada stok nuklear dunia sudah cukup musnahkan tamadun moden sepenuhnya.
Hari ini, dunia simpan hampir 13,000 kepala peledak nuklear. Amerika, Rusia, China, Perancis, UK, India, Pakistan, Korea Utara dan Israel antara pemilik utama. Satu peratus dari jumlah itu pun sudah cukup bawa kiamat kecil.
Jika ia berlaku, musim sejuk nuklear boleh berpanjangan hingga 10 ke 15 tahun. Itu anggaran sahaja, boleh jadi lebih lama. Ekonomi global lumpuh. Tiada perdagangan antarabangsa. Negara tak mampu beri bantuan. Makanan jadi mata wang. Manusia kembali ke zaman paling gelap.
Letupan nuklear hanya ambil masa beberapa saat. Tapi musim sejuk selepas itu ialah mengambil masa yang teramat lama. Dunia tak hancur sekelip mata, tapi membeku sedikit demi sedikit, perlahan-lahan. Seolah-olah bumi koma nampak masih hidup tapi sebenarnya “mati”.
Sejarah dah pernah tunjuk, kita pernah nyaris ke titik akhir. Ketika Perang Korea, General MacArthur pernah minta guna bom nuklear ke atas China. Mujur Presiden Amerika ketika itu tolak cadangan gila itu.
Hari ini, dunia kembali tegang. Krisis Ukraine, ketegangan Taiwan, Laut China Selatan, Iran dan Amerika. Setiap provokasi jadi bara api. Bila-bila masa saja boleh menyala untuk menjadi perang besar.
Langit masih biru pagi ini. Tapi kalau satu peluru dilepaskan pada waktu yang salah maka kita akan menyaksikan di depan mata kepala kita sendiri yang langit boleh jadi hitam buat selamanya. Musim sejuk nuklear akan hilangkan cahaya matahari dari langit kita.
Musim sejuk nuklear bukan sekadar istilah dalam buku teks. Ia isyarat bahawa manusia sedang duduk di hujung tali. Dan sesiapa pun boleh potong tali itu. Sejuk dan seksa.
Kita diberi masa. Tapi masa itu makin pendek. Selagi dunia percaya senjata ialah pelindung maka senjata itu juga satu hari nanti akan jadi asbab kehancuran.
Apa yang kita patut belajar? Kuasa tak pernah diserah secara sukarela. Tapi ia boleh dirampas oleh bencana. Dan kadang-kadang, bencana itu datang dari tangan kita sendiri. Sekarang ni pun kita sedang menyaksikannya hampir setiap hari.
Kalau hari itu tiba, tiada lagi cahaya pagi. Tiada lagi tawa, musim menuai, atau suara burung. Yang tinggal hanya salji pekat, asap kelabu, dan senyap yang menelan segalanya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.