Manusia sentiasa berazam untuk menguasai alam angkasa. Pendaratan Bulan yang berjaya pada tahun 1969 membuktikan potensinya.

Tetapi perjalanan merentasi alam angkasa itu sendiri ternyata memakan masa sangat lama.

Jarak antara Sistem Suria dengan bintang berhampiran iaitu Alpha Centauri harap bunyi saja 4.367 tahun cahaya.

Teknologi hari ini masih belum cukup ampuh untuk sampai sana dalam satu jangka hayat.

Kelajuan 250,000 kilometer sejam mengambil masa 18,000 tahun untuk tiba di sana (Clery, 2016).

Ikut logik ini, semua boleh faham sendiri betapa mustahilnya buat masa sekarang untuk merentasi alam semesta.

Satu hari nanti, mesti berjaya punya. Cuma sejak kemekaran ilmu relativiti, perbincangan mengenai wormhole semakin mendapat sambutan.

Terowong Penghubung Dimensi

Sebuah wormhole menghubungkan dua titik perjalanan merentasi ruangan dan masa. Perhubungan ini lebih mudah jika kita bayangkan terowong.

Dua titik bertemu.

Bermakna dengan sebuah wormhole, perjalanan menjadi lebih singkat berbanding dengan haluan terus.

Secara teori, wormhole boleh menghubungkan jarak satu bilion tahun cahaya dengan sebuah terowong beberapa meter sahaja.

Malah wormhole mungkin memintas ke alam semesta lain (multiverse).

Kalangan marhaen mungkin nampak teori ini dangkal. Tetapi ketahuilah – wormhole juga digelar “Jambatan Einstein-Rosen”.

Gambaran wormhole.

Bermakna teori wormhole dibentangkan melalui gandingan Albert Einstein dan Nathan Rosen.

Malah konsepnya dibincang Matt Visser, Frank Tipler dan Kip Thorne.

Semua individu ini merupakan sarjana-sarjana terkemuka dalam bidang masing-masing, yang mana tentu sekali karier dan maruah mereka tergadai seandainya teori ini bangang abadi.

Bukan Einstein saja yang terlibat dalam perbincangan mengenai wormhole.

Hermann Weyl mencadangkan sebuah hipotesis berkaitan dengan “tiub satu-dimensi” yang asasnya adalah wormhole, terjalin melalui perhubungan tenaga elektromagnetik (Rodrigo, 2010).

Hermann Weyl yang ketiga dari kiri.

Dalam model yang dibentangkan Einstein dan Rosen, sebuah wormhole mempunyai singulariti dan ufuk peristiwa.

Sudah. Dua ciri ini sudah berbunyi kayangan secara saintifik.

Dalam bahasa mudah, singulariti bermaksud suatu titik tumpuan yang ketumpatannya tidak terhad. Manakala ufuk peristiwa merujuk pada kawasan keliling singulariti ini yang mampu menyedut segalanya (Sutter, 2021).

Dengan erti kata lain, lohong hitam. Sebenarnya topik ini jika diselami ibaratkan sungai sangat dalam. Ini sekadar ringkasan untuk sekadar mencelup kaki sahaja.

Kalau ikut dapatan Einstein dan Rosen, di sebalik lohong hitam ada “lohong putih”. Hubungan antara dua lohong ini merupakan wormhole yang dibincangkan.

Mereka juga berbicara tentang risiko di sebalik akses terowong ini. Ada tiga kebarangkalian:

  1. Lohong putih bersifat tidak stabil oleh kerana faktor “ufuk peristiwa”. Untuk mudah faham, tiada apa boleh masuk dalam lohong putih kerana dihalang ufuk peristiwa.
  2. Ufuk peristiwa boleh dipintas. Misalnya sebuah kapal merentasi ufuk tersebut dan masuk. Cuma masalahnya, kapal tersebut takkan boleh keluar… selamanya bergerak dalam wormhole.
  3. Fitrah wormhole itu adalah pemusnah. Jika ada objek waima cahaya sekalipun masuk dalam terowong, wormhole itu sendiri akan pecah.

Jadi senang cakap, perbincangan teori masih panas dengan pelbagai hipotesis sangat kukuh. Banyak pihak menyertai perbincangan ini, seperti Universiti California, European Southern Observatory dan Universiti Colorado misalnya.

Cuma kalau sampai pada kalangan kebanyakan, mesti ada segelintir menghentam “ini semua merepek” macamlah arif seperti Einstein.

RUJUKAN:

Clery, D. (2016, Mei 23). U.S. lawmaker orders NASA to plan for trip to Alpha Centauri by 100th anniversary of moon landing. Science.

Rodrigo, E. (2010). The Physics of Stargates: Parallel Universes, Time Travel, and the Enigma of Wormhole Physics. Eridanus Press. Halaman 39.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply