Kecelaruan makan (eating disorder) merujuk kepada suatu keadaan yang sebenarnya berpunca daripada gangguan psikologi dan dicirikan dengan tabiat makan yang abnormal. Keadaan kecelaruan makan ini biasanya melibatkan pengambilan makanan yang tidak mencukupi dengan keperluan badan disusuli dengan perlakuan-perlakuan negatif seperti memuntahkan makanan (vomiting), senaman keterlaluan (excessive exercise) serta pengambilan julap, laksatif dan sebagainya.

Masyarakat umumnya mengenali kecelaruan makan melalui keadaan anoreksia nervosa, namun tahukah anda sebenarnya kecelaruan makan ini boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan utama, antaranya ialah anoreksia nervosa, bulimia nervosa, kecelaruan makan tidak spesifik (eating disorder not otherwise specified-EDNOS), binge eating disorder, other specified feeding or eating disorder (OSFED) dan orthorexia nervosa. Meskipun pengkelasan untuk jenis dan kumpulan kecelaruan makan ini adalah pelbagai, namun, kumpulan kecelaruan makan yang sering diberi perhatian ialah anoreksia nervosa, bulimia nervosa dan binge eating disorder.

  1. Anoreksia nervosa

Berdasarkan terminologi, anoreksia merujuk kepada simptom perubatan yang menunjukkan pengurangan atau kehilangan selera makan. Istilah yang digunakan untuk menerangkan anoreksia nervosa adalah berbeza-beza sejak beberapa dekad yang lalu. Pada tahun 1694, anoreksia telah dirujuk sebagai suatu keadaan ‘pengambilan makanan secara resah dan gementar’ (nervous consumption) bagi menerangkan satu kes yang berlaku ke atas remaja perempuan di England.

Anoreksia nervosa adalah suatu gangguan pemakanan serius yang ditunjukkan dengan kerelaan untuk berlapar, gangguan imej badan serta ketakutan terhadap pertambahan berat badan. Berdasarkan laporan daripada Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders V (DSM-V), anoreksia nervosa dicirikan mengikut beberapa kriteria tertentu dan satu daripadanya ialah keengganan individu untuk menambahkan berat badan kepada berat badan yang normal mengikut umur dan ketinggian. Kebiasaannya, pesakit anoreksia akan mengalami kehilangan berat badan yang membawa kepada jumlah berat badan yang kurang 85% daripada jangkaan yang sepatutnya.

Individu anoreksia mempunyai suatu ketakutan yang begitu tinggi terhadap pertambahan berat badan, meskipun telah berada dalam keadaan yang sangat kurus. Malah, mereka turut mengalami gangguan imej badan yang serius di mana pesakit yang mengalaminya menafikan bahawa mereka mempunyai berat badan yang terlampau rendah dan sentiasa berusaha untuk mengurangkannya.

  1. Bulimia nervosa

Keadaan bagi bulimia nervosa adalah sedikit berbeza daripada anoreksia nervosa di mana individu yang mengalami bulimia kebiasaannya masih mengekalkan berat badan yang normal dan masih kelihatan aktif dalam kegiatan harian. Sejarah bulimia ini sebenarnya bermula pada tahun 1979, apabila penyakit ini mula dikenalpasti oleh seorang profesor di salah sebuah hospital di London. Doktor tersebut, iaitu Gerald Russel telah mengklasifikasikannya sebagai suatu gangguan pemakanan pada tahun 1980. Perkataan bulimia telah diambil daripada perkataan Latin purba iaitu boulimia yang membawa maksud keadaan kelaparan yang melampau dan keterlaluan.

Bulimia nervosa dicirikan dengan keadaan seseorang individu  yang makan dalam kuantiti yang banyak secara rahsia (binge eating), diikuti dengan kelakuan-kelakuan tertentu bagi mengeluarkan makanan tersebut bagi mengelakkan pertambahan berat badan. Individu bulimia mempunyai idea yang tidak realistik tentang makanan dan berusaha untuk mengurangkan berat badan sama ada melalui senaman keterlaluan, memuntahkan makanan secara paksa, diet melampau atau menggunakan laksatif.

  1. Binge eating disorder

Binge eating disorder dicirikan dengan perlakuan individu yang makan dengan banyak secara kerap tanpa sebab yang tertentu. Masalah ini biasanya berkaitan dengan individu yang mengalami obesiti, namun individu yang mengalami binge eating disorder juga turut menghadapi masalah psikologi yang lain seperti keresahan dan depresi. Ciri penting bagi masalah binge eating disorder ini ialah episod makan dalam kuantiti yang banyak melebihi kuantiti yang dimakan oleh orang biasa, dan hilang kawalan makan. Dalam situasi ini, seseorang individu itu tidak mampu untuk berhenti makan, atau mengawal kuantiti dan jumlah makanan yang diambil oleh mereka.

Bagaimana kecelaruan makan boleh berlaku?

Secara umumnya, terdapat beberapa teori yang menerangkan kenapa dan bagaimana masalah kecelaruan makan ini boleh berlaku kepada seseorang individu.

  1. Teori bioperubatan

Salah satu teori utama yang menerangkan tentang kecelaruan makan ini ialah bioperubatan di mana teori ini menegaskan bahawa peningkatan kes kecelaruan makan adalah disebabkan oleh faktor biologi. Seorang penyelidik telah menerangkan bahawa keabnormalan sistem hormon pada individu yang mengalami kecelaruan makan menyebabkan ketidakseimbangan sekaligus menjejaskan selera makan serta sistem hipotalamus. Teori ini turut menjelaskan bagaimana masalah serotonin dalam otak serta endogenous opioids iaitu hormon yang mengawal rasa gembira dan kepuasan turut memberi pengaruh terhadap emosi dan agen olfaktori yang seterusnya menyumbang kepada masalah gangguan imej badan individu.

Faktor genetik turut memberi pengaruh terhadap masalah kecelaruan makan. Berdasarkan satu analisis genetik molekular yang dijalankan telah menunjukkan bahawa keadaan pesakit bulimia nervosa yang dicirikan melalui perlakuan memuntahkan makanan secara paksa mempunyai kaitan dengan kromosom 10 yang diwarisi secara genetik.

  1. Teori psikologikal

Kecelaruan makan merupakan suatu gangguan psikologi yang dianggap sebagai satu krisis identiti di mana iini memberi petunjuk kepada gangguan emosi yang serius. Teori psikologikal ini menerangkan bahawa keadaan gangguan emosi serius yang berlaku di bawah sedar ini ditunjukkan melalui perlakuan abnormal individu terbabit terhadap makanan.

Selain itu, terdapat juga faktor psikologi lain yang turut dipengaruhi oleh masalah yang dihadapi dalam keluarga seseorang individu yang mengalami masalah kecelaruan makan. Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap sekumpulan pelajar sekolah tinggi di Amerika Syarikat, didapati bahawa majoriti pelajar yang mengalami penderaan dan keganasan dalam keluarga menghadapi gangguan emosi yang serius. Keadaan ini menyebabkan para pelajar berkenaan cuba melepaskan tekanan yang dialami melalui perlakuan yang abnormal seperti memuntahkan makanan, menggunakan pil diet serta mengamalkan senaman melampau.

  1. Teori sosiobudaya

Teori ini adalah berkaitan dengan budaya yang diamalkan oleh sebahagian besar daripada masyarakat dunia yang mengutamakan kesempurnaan fizikal dan meletakkan pandangan negatif terhadap individu yang tidak menarik. Dalam hal ini, media massa turut memberi pengaruh besar dalam mencorakkan aspek sosiobudaya dalam sesebuah komuniti. Malah, banyak kajian yang dijalankan mendapati bahawa pengaruh pembacaan majalah fesyen, rancangan hiburan serta gaya hidup selebriti boleh membawa kepada masalah kecelaruan makan dan gangguan imej diri terutamanya kepada golongan remaja.

Kecelaruan makan di Malaysia

Meskipun hasil kajian terdahulu mendapati bahawa masalah kecelaruan makan di Malaysia ini tidaklah sebegitu serius jika dibandingkan dengan masalah obesiti, namun, perubahan yang berlaku dalam perkembangan ekonomi, budaya dan sosial di Malaysia memungkinkan masyarakat di negara kita untuk menghadapi risiko tinggi untuk turut mengalaminya.

Peningkatan dalam taraf sosioekonomi di Malaysia banyak mengubah sisi pandangan masyarakat, terutamanya golongan wanita terhadap imej diri serta penampilan bentuk badan mereka. Situasi ini sekaligus membuatkan kebanyakan mereka cenderung untuk terlibat dalam gejala diet yang tidak sihat serta berisiko tinggi untuk mengalami masalah kecelaruan makan.

Selain itu, kehadiran pengaruh budaya luar seperti Barat juga memberi impak kepada masyarakat Malaysia, dan mencetuskan persepsi tersendiri mengenai imej diri seperti yang digambarkan dalam budaya luar tersebut. Keadaan ini banyak disebabkan oleh ledakan maklumat tanpa batasan yang mudah untuk diperoleh sama ada melalui media elektronik mahupun media cetak.

Kesimpulan

Masalah kecelaruan makan mungkin tidak begitu kritikal jika dibandingkan dengan masalah obesiti dan kekurangan zat makanan yang berlaku di seluruh dunia pada ketika ini. Namun, kesan yang berlaku akibat masalah kecelaruan makan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal seseorang individu, malah ia turut boleh mengakibatkan masalah psikologi yang serius sekiranya tidak dibendung dan dicegah. Setiap individu harus yakin dengan imej diri yang ada dalam diri masing-masing dan percaya bahawa makanan bukanlah suatu perkara yang boleh membawa keburukan kepada diri mereka. Apa yang penting ialah keyakinan diri, kekuatan emosi serta amalan gaya hidup sihat dalam menentukan imej badan yang sihat dan cergas.

Rujukan

Bulik, C. M., & Tozzi, F. (2004). Contemporary thinking about the role of genes and environment in eating disorder. Epidemiol Psychiatr Soc., 13(2), 91–98.

Castellini, G., Trisolini, F., & Ricca, V. (2014). Psychopathology of eating disorders. Journal of Psychopathology, 20, 461–470.

Fairburn, C. G., & Harrison, P. J. (2003). Eating disorders. The Lancet, 361, 407–416.

Mancuso, S. G., Newton, J. ., Bosanac, P., Rossell, S. ., Nesci, J. ., & Castle, D. . (2015). Classification of eating disorders : comparison of relative prevalence rates using DSM-IV and DSM-5 criteria. The British Journal of Psychiatry, 206, 519–520.

Uher, R., & Rutter, M. (2012). Classification of feeding and eating disorders : review of evidence and proposals for ICD-11. World Psychiatry, 11, 80–92.

Williamson, D. ., White, M. ., York-Crowe, E., & Stewart, T. M. (2013). Cognitive-behavioral theories of eating disorders. Behavior Modification, 28(6), 711–738.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.