Frasa ‘dapur hantu’ ini mungkin mengingatkan kita kepada imej rumah hantu. Namun, realitinya, bukanlah begitu. Dapur hantu yang dimaksudkan ini adalah satu sistem atau trend baharu dalam dunia kulinari.
Hari ini kita biasa mendengar tentang sesebuah restoran atau kedai makan yang menawarkan perkhidmatan untuk pelanggan makan di lokasi itu serta penghantaran makanan ke rumah. Itu perkara biasa pada masa kini.
Tapi, dapur hantu adalah satu sistem operasi penyediaan makanan, tanpa menggunakan sebarang pelayan kedai, tiada ruang makan langsung, tiada tempat letak kereta, dan memang tiada kehadiran pelanggan langsung!
Namun, dapur hantu ini ‘hidup dan meriah’ dengan adanya pesanan dan kehendak pelanggan untuk penghantaran makanan. Secara keseluruhannya, dapur hantu adalah ruang fizikal untuk pengusaha mencipta makanan bagi kegunaan luar premis.
Pendek kata, ia boleh dianggap sebagai sebuah restoran virtual, tanpa sebarang lokasi khusus yang boleh dicari oleh para pelanggan. Aplikasi penghantaran mengiklankan bagi pihak syarikat dapur hantu sebagai sebahagian daripada model perniagaan mereka.
Paling utama, dapur hantu memerlukan aplikasi penghantaran untuk terus hidup, begitu juga sebaliknya. Boleh dikatakan, dapur hantu ini ini berkembang ketika pandemik berlaku.
Konsep dapur hantu mengurangkan kos dengan menghapuskan kapasiti tempat duduk, kakitangan menunggu, kakitangan sokongan dan keperluan untuk kedai yang mahal. Perniagaan ini hanya memerlukan dapur komersial dan beberapa tempat letak kereta untuk kenderaan penghantaran.
Restoran maya ini telah merevolusikan industri makanan pada masa ia dimusnahkan oleh peraturan pandemik dan penjarakan sosial. Dapur hantu boleh mengaut keuntungan tiga kali ganda atau empat kali ganda daripada restoran tradisional tanpa pening kepala berurusan dengan orang ramai.
Meskipun restoran tradisional masih menjadi keutamaan, namun trend masa depan ini dijangka akan semakin popular dengan peningkatan semakin banyak pekerjaan dari rumah, para digital nomad serta golongan yang tidak gemar menghabiskan masa di restoran biasa.
Dan ketika itu, mungkin tiada lagi makan-makan dan waktu lepak di kedai makan seperti mana yang kita lazimi pada hari ini.




No comments yet