Lima tahun yang lalu, orang ramai kenal Elon Musk dengan perspektif berbeza. Beliau nampak seperti seorang gila-gila yang berilham.
Tetapi selepas Joe Biden menewaskan Donald J. Trump, begitu cepat harta Musk melambung sampai beliau dinobat orang paling kaya dunia (Cai, 2021).
Jujurnya, Biden tidak buat apa pun melainkan satu komitmen jelas: peralihan ke industri kenderaan elektrik demi alam sekitar.
Usaha peralihan ini meningkatkan keyakinan pasaran pada pemain-pemain industri kenderaan elektrik sedia ada. Pelabur pun berakal panjang, pantas menyedari kekuatan pasaran ini.
Jadi tiba-tiba saham Tesla naik harga kerana permintaan terlalu tinggi. Dan Musk sebagai pemilik paling besar naik ke takhta tertinggi.
Hari ini harta Musk menghampiri AS$300 bilion, jauh meninggalkan Jeff Bezos (AS$180 bilion) dan Bill Gates (AS$134 bilion). Dengan kekuatan harta, beliau serba mampu membeli apa sahaja… dan baru-baru ini timbul ura-ura (yang menjadi sah) pasal beliau membeli Twitter.
Rancangan Ketika Musuh Lalai
Elon Musk mula membeli saham Twitter sejak 31 Januari 2022. Dalam masa beberapa bulan, Musk sudah memiliki jumlah lima peratus (Elder, 2022).
Dua minggu kemudian, Musk menjadi pemegang saham paling besar dengan pemilikan 9.13 peratus – salah di sisi undang-undang kerana pengurusannya sengaja tidak memberitahu Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (Albergotti, 2022).
SEC wajib diberitahu untuk memastikan aktiviti pembelian saham yang adil. Apabila seseorang membeli saham lebih daripada lima peratus, orang ramai akan berminat untuk membeli saham syarikat terbabit. Musk sudah membeli sebanyak 9.13 peratus dalam masa 14 hari. Beliau tidak memberitahu.
Jadi orang ramai terlepas pandang, yang menyebabkan harga saham Twitter kekal sama (kerana tiada permintaan baharu).
Apabila Musk melaporkan pembelian kepada SEC, barulah saham Twitter melambung +27 peratus (Imbert, 2022).
Usaha Manipulasi Kedua
Kalangan marhaen boleh kata terkinja-kinja sokong Elon Musk kononnya kerana beliau menyokong kebebasan bersuara. Pada 25 Mac, beliau menaikkan ciapan yang mempersoal komitmen Twitter pada kebebasan bersuara (Jones, 2022).
Suhu politik sekarang masih panas dengan media-media sosial menutup mulut Donald Trump. Jadi penyokong-penyokong Trump pakat menyokong.
Ikhlas atau alas, kritikan Musk tidak penting sekarang. Yang penting adalah usaha manipulasi pasaran yang kedua. Selepas lambat lapor pada SEC, pihak Musk kemudian mengatur langkah untuk menyertai Lembaga Pengarah pula (Corfield, 2022).
Semua kena tahu yang ahli lembaga tidak dibenarkan beli saham melebihi 15 peratus. Kira takat had hanyalah 14.9 peratus. Tidak boleh lebih.
Melihat perkembangan Twitter (dan penyertaan Musk dalam Lembaga Pengaruh), aktiviti saham syarikat melambung dan melantun-lantun. Pada mulanya AS$39.31 seunit, tiba-tiba jadi AS$49.97.
Sekarang tiba-tiba, Musk buat U-Turn kalah Pakatan Harapan dan enggan masuk jadi Lembaga Pengarah pula.
Ini yang jadi kecoh sekarang. Kerana tindakan Musk telah memanipulasi harga pasaran saham secara jangka pendek. Lambat buat laporan (padahal beli saham berbilion).
Tiba-tiba U-Turn. Macam mana SEC tidak bengang? Pekerja-pekerja Twitter pun pakat serabut. Tetapi tindakan Musk memberi gambaran yang beliau bakal membeli lagi banyak saham. Kalau jadi lembaga pengarah terhad sampai 14.9 peratus… baik tidak perlu jadi lembaga pengarah. Boleh beli sebanyak mungkin.
Setakat ini Twitter bernilai AS$14 bilion. Musk hanya perlu bermegah cakap, “aku bagi 14 biliyun dolar dulu. Kalau tak cukup, bagitau.”
Buat masa sekarang, kena tunggu dan lihat dululah jawabnya.
RUJUKAN:
Albergotti, R. (2022, April 6). Elon Musk delayed filing a form and made $156 million. The Washington Post.
Cai, K. (2021, September 28). Elon Musk, Now World’s Richest Person, Told Forbes He’s sending Jeff Bezos A Silver Medal. Forbes.
Corfield, G. (2022, April 5). Elon Musk to join Twitter board. The Telegraph.
Elder, B. (2022, April 6). Musk and Twitter: The Timeline. Financial Times.
Jones, C. (2022, April 4). Elon Musk becomes Twitter’s biggest shareholder after taking 9.2% stake. The Times.
Imbert, F. (2022, April 4). Twitter shares close up 27% after Elon Musk takes 9% stake in social media company. CNBC.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih