Ulama ialah golongan yang alim iaitu berkeahlian dalam sesuatu bidang khususnya ilmu Islami. Seorang ulama perlu mendalami pengajian yang lama masanya, dari peringkat permulaan (mubtadi), pertengahan (mutawasit) dan penghujung (muntahi). Ada terlalu banyak cabang ilmu Islami, namun diterangkan hanya beberapa contoh ilmu asas sahaja secara ringkas agar mudah faham. Contoh ayat, petikan surah al-Baqarah 2:124 ;
وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ …
TERJEMAHANNYA : Dan ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa ‘Kalimah’, maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. Lalu Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam bagi umat manusia…”
– Qurra’ (Ahli Qiraat)
Ulama yang berkecimpung dalam hal ehwal riwayat bacaan al-Quran. Ada pelbagai jenis tahapan dalam ilmu Qiraat ini merangkumi mutawatir, masyhur dan syadz iaitu Qiraat 7, Qiraat 10, Qiraat 14 serta segala aliran perawinya.
Sebagai contoh, perkataan Ibrahim (إبراهيم) kalau mengikut ilmu Rasm dalam al-Quran ditulis sebagai إبرهيم (dihazaf/hilangkan ا). Namun, istimewa hanya dalam surah al-Baqarah, nama Ibrahim ditulis sebagai إبرهم (dihazaf/hilangkan ا dan ي). Ini membuatkan ayat di atas ini boleh dibaca sebagai Ibrahim atau Ibraham dalam ilmu Qiraat.
– Mufasirin (Ahli Tafsir)
Ulama yang berkecimpung dalam hal ehwal huraian kefahaman ayat al-Quran (Dirayat). Ada pelbagai jenis tafsir antaranya seperti Tafsir bi Ma’thur, Tafsir bi Ra’yi, Tafsir bi Isyari serta segala disiplinnya.
Sebagai contoh, menurut Asbabun Nuzul (sebab turunnya ayat al-Quran), perkataan إبرهم dalam surah al-Baqarah boleh dibaca sebagai Ibrahim atau Ibraham adalah kerana ketika itu Rasulullah sedang berbicara dengan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) di mana dalam Taurat dan Injil di wilayah Arab, nama Ibrahim disebut sebagai Ibraham (English : Abraham).
Maksud perkataan ‘Kalimah’ yang diuji kepada Nabi Ibrahim pula memiliki pelbagai tafsiran dalam kalangan para Mufasirin. Sebahagian Ahli Tafsir memahami maksud ‘Kalimah’ yang diuji kepada Nabi Ibrahim adalah Syariat atau perintah dan larangan berkenaan manasik Haji. Ada juga yang menafsirkan sebagai Syariat tentang bersuci (Taharah).
– Muhadisin (Ahli Hadis)
Ulama yang berkecimpung dalam hal ehwal riwayat Hadis dan statusnya. Terdapat pelbagai darjat ulama hadis bergantung kepada tahap penguasaan dan hafazannya seperti al-Musnid, al-Hafiz, al-Hujjah, al-Hakim dan Amirul Mukminin fil Hadis.
Sebagai contoh, para ulama Hadis membicarakan tentang Hadis-Hadis ibadat Haji. Apa asbabul wurud (sebab didatangkan hadis) itu, apa matan dan sanadnya, siapa perawinya, kuat atau tidak serta lain-lain lagi.
– Fuqaha (Ahli Fiqh)
Ulama yang berkecimpung dalam hal ehwal hukum-hakam. Sebagai contoh, jika diambil dari kisah nabi Ibrahim ini iaitu tentang Manasik Haji, para Fuqaha akan membahaskan tentang hukum-hakam ibadat Haji. Apa Rukunnya, Syaratnya, Sah-Batalnya, Sunat-sunatnya, Larangan-larangannya dan lain-lain.
Untuk menentukan hukum, tidak berpada hanya setakat isu Sahih tak Sahih sesuatu Hadis sahaja. Banyak lagi rujukan dan faktor yang lain perlu diperhalusi antaranya seperti dari sudut Usul dan Qawaid, Tafsir, Qiraat dan sebagainya. Hukum-hakam ini dirujuk dalam Kitab Fiqh, bukan terus ambil dari terjemahan Hadis. Terdapat banyak darjat para Fuqaha antaranya adalah Mujtahid Fatwa, Mujtahid Tarjih, Mujtahid Muqayyad, Mujtahid Muntasib, Mujtahid Mutlak dan lain-lain.
– Mutakalimin (Ahli Kalam)
Ulama yang berkecimpung dalam hal ehwal Tauhid merangkumi Ilahiyat (Ketuhanan), Nubuwwah (Kenabian) dan Sam’iyat (segala perkara ghaib). Ilmu Tauhid ini juga memiliki banyak peringkat bermula dari ilmu Akidah, Usuluddin dan Kalam.
Sebagai contoh, dalam ayat di atas menceritakan tentang Ilahiyat iaitu Allah sebagai Tuhan yang memberikan wahyu Syariat dan Nubuwwah iaitu Nabi Ibrahim yang menerima wahyu Syariat. Maka dihurailah apa Sifat-Sifat Allah dan apa Sifat-Sifat Nabi.
– Sufi (Ahli Tasawuf)
Ulama yang berkecimpung dalam hal ehwal kerohanian. Ia memiliki beberapa peringkat dan maqam-maqamnya iaitu Takhalli, Tahalli dan Tajalli. Seorang Salik (pelajar Tasawuf) diajarkan membuang sifat mazmumah, menghiaskan diri dengan sifat mahmudah, diajarkan zikir-zikir untuk penyucian jiwa (tazkiyatun nafs).
Sebagai contoh, dalam ayat diatas, para ulama sufi akan membahaskan peribadi nabi Ibrahim yang bertakwa, tawaduk, kehambaan, patuh, mahabbah dan lain-lain sifat baik apabila baginda melaksanakan segala ujian yang Allah berikan melalui ‘Kalimah’ tersebut.
– Daie (Pendakwah)
Daie ialah orang yang berkecimpung dalam hal ehwal dakwah. Dakwah adalah menyeru manusia kepada Islam. Ya, semua orang boleh berdakwah. Tapi dakwah juga memerlukan pada ilmu agar segala yang disampaikan itu menepati kebenaran. Namun, tidaklah disyaratkan perlu menjadi alim besar baru boleh berdakwah.
Ulama selalunya juga seorang pendakwah, namun pendakwah belum tentu seorang ulama. Lagipula, dakwah ini sepatutnya disampaikan tentang perkara-perkara asas yang bersifat umum dalam Islam sahaja. Untuk perkara khusus yang mendalam, memerlukan kepada pengajian khusus yang diajarkan oleh para ulama.
Dakwah selalunya membicarakan soal akhlak, sirah dan perkara-perkara Fardu Ain yang lain seperti menekankan kewajiban solat, puasa, menghormati ibu bapa, menggalakkan sedekah dan sebagainya. Kerana itulah pada zaman dahulu, golongan yang paling masyhur sebagai pendakwah adalah ulama Sufi kerana bidang kesufian sangat berkait rapat dengan dunia dakwah.
Pendakwah juga tetap boleh ajarkan perkara-perkara asas dalam setiap bidang di atas. Boleh ajarkan Takhalli dan Tahalli dalam kesufian iaitu membuang sifat buruk (mazmumah) dan melaksanakan sifat baik (mahmudah). Tak perlu buka hal Tajalli iaitu ilmu Tasawuf tinggi-tinggi seperti Hakikat-Makrifat kepada orang awam sampai masing-masing nak jadi “Maklipat Jalan Terus” belaka.
Pendakwah juga perlu ajar asas ilmu Akidah seperti yang disusun oleh para ulama dalam asas Sifat 20 kepada masyarakat. Ilmu Akidah adalah ilmu paling utama untuk didakwahkan kerana Awaluddin Makrifatullah. Tak perlu dibahas ilmu Kalam yang tinggi-tinggi dalam majlis umum kepada masyarakat awam. Itu diajar dalam majlis pengajian khusus.
Begitu juga ilmu Fiqh. Diajar asas-asas Fardhu Ain. Kalau Malaysia ikut mazhab Syafie, ajarkan cara beribadah mengikut mazhab Syafie dulu bagi kemas. Tak perlu nak tunjuk action pergi mengajar benda-benda khilaf pelbagai mazhab sampai masyarakat pening lalu mereka bertindak mencampur aduk mazhab hingga merosakkan syariat.
Begitu juga ilmu Hadis. Ajarkan dulu kitab yang mudah-mudah. Hadis 40 Imam Nawawi contohnya. Tak perlu nak bahas Jarh wa Ta’dil, ilmu rijal depan orang awam nak suruh orang awam judge sendiri hadis tu sahih, dhaif atau palsu. Nak judge sesuatu hadis itu sahih atau tak sahih bukannya boleh dalam sejam dua kuliah Maghrib-Isya. Utamakan yang utama dahulu.
Begitu juga ilmu Tafsir. Ajarkan dulu Tafsir ayat-ayat Muhkamat yang mudah. Tak perlu nak bahas benda-benda Mutasyabihat dalam majlis dakwah yang umum. Tak perlu nak bahas Tafsir-Tafsir yang mendalam seperti Tafsir Isyari dan segala Sirr rahsianya.
Begitu juga ilmu Qiraat. Ajarkan dulu Qiraat yang kita amalkan iaitu Qiraat Asim al-Kufi riwayat Hafs al-Kufi. Perbetulkan tajwid dan makhraj dulu. Kemudian baru ajar Taranum sebagai suatu Tahsinul Quran sahaja. Tak perlu terus pergi ajar Qiraat 14 sampai masyarakat jadi terbeban kerana berasa susahnya al-Quran atau keliru dan bergaduh kenapa Imam baca Wadduha jadi Wadduhey.
Lihatlah, bagaimana hanya dari satu ayat al-Quran sahaja, sebenarnya boleh dihurai dengan pelbagai disiplin ilmu Islami kerana ianya saling berkaitan. Namun, untuk diajarkan kepada masyarakat awam, ajarkan dahulu yang asas. Bukan disibukkan dengan yang tinggi-tinggi. Mengajarkan ilmu yang tinggi kepada masyarakat awam umpama mengkalungkan emas dileher khinzir.
Kalau semua agamawan sedar dan faham akan batas-batas ini, nescaya umat tidak akan menjadi keliru dan bertelagah dalam hal ehwal agama.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih